RSS Feeds

Translate

6.12.2013

WASATIYYAH KUNCI KEJAYAAN

huruf pertama Cetak Halaman



WASATIYYAH KUNCI KEJAYAAN
 

Dr Fadlan Mohd Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)


Segala puji dan puja hanyalah milik Allah Ta‘ala, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.

Sedar ataupun tidak, kita telahpun berada semakin jauh daripada zaman Rasulullah s.a.w. Seribu empat ratus tiga puluh tiga tahun telah berlalu sejak peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. ke kota suci al-Madinah al-Munawwarah. Di dalam tempoh ini, Umat Islam telah mengecapi pelbagai kegemilangan, merasai pelbagai kesakitan dan tidak kurang juga menyaksikan begitu banyak penyelewengan. Fenomena ini menghasilkan tiga aliran utama, iaitu satu aliran asal dan dua aliran baru, hasil tindak balas. Aliran asal itu ialah aliran Wasat iaitu yang menepati kebaikan dan keadilan, manakala dua aliran baru itu pula ialah aliran Ifrat iaitu berlebihan dan aliran Tafrit iaitu pengabaian. Al-Imam Ibnu al-Qayyim telah berkata dalam kitabnya Madarij al-Salikin (jil. 2/ hlm. 108), “Sebahagian Ulama Salaf telah berkata, “Apa yang diperintahkan oleh Allah, pasti Syaitan akan mengganggu dengan dua tarikan; samada ke arah pengabaian ataupun ke arah berlebihan. Syaitan menganggap mana-mana daripada dua perkara ini sebagai kejayaan; iaitu pertambahan atau pengurangan.”

Kesucian dakwah Rasulullah s.a.w. adalah berlandaskan Basirah iaitu hujah yang nyata. Hakikat ini digambarkan oleh Allah Ta‘ala dalam pelbagai ayat di dalam Al-Quran Al-Karim. Antara lain ialah firman Allah Ta‘ala (Yusuf 12:108) yang bermaksud {Katakanlah: "Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata. Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik"}.

Di saat manusia berada dalam kesempitan minda dan kehilangan fakta sehingga menyembah sesama makhluk, Rasulullah s.a.w. menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu menyembah Tuhan segala makhluk. Di saat manusia memandang rendah kepada wanita dan memperhambakan mereka, Baginda s.a.w. menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu memberi hak yang tinggi kepada wanita yang menjamin kelangsungan umat manusia jua. Wahyu daripada Allah telah menjadikan dakwah Rasulullah s.a.w. gemilang.

Kebaikan dan keadilan inilah yang telah dinyatakan oleh Allah Ta‘ala antara lain dalam ayat  berikut (Al-Baqarah 2:143) yang bermaksud {Dan demikianlah (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu}.

Begitulah umat Islam ini disifatkan dengan sifat Wasatiyyah yang membawa maksud al-Khairiyyah iaitu kebaikan dan al-‘Adalah iaitu keadilan serta al-Tawassut bayn al-Ifrat wa al-Tafrit iaitu pertengahan antara melampau dalam berlebihan dan melampau dalam berkurangan seperti yang dirumuskan oleh Dr Muhammad Ba Karim dalam kitabnya Wasatiyyah Ahlis Sunnah. Inilah juga yang ditekankan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Madarij al-Salikin (jilid 2/ hlm. 496), seperti yang dinukilkan oleh YAB Perdana Menteri beberapa minggu lepas bahawa, “wasatiyyah, iaitu kesederhanaan atau keseimbangan bermakna tidak terlalu berlembut dan tidak terlalu ekstrem adalah seperti sebuah oasis di antara dua gunung”.

Umat Islam yang bersifat Wasatiyyah ialah umat yang berpegang kuat kepada kebaikan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Perkara ini juga telah dijelaskan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya (Ali Imran 3:110) yang bermaksud {Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)}.

Ayat ini menunjukkan bahawa kebaikan yang ada pada umat yang sederhana ini ialah apabila adanya perintah kepada kebaikan dan larangan daripada kemungkaran. Ini adalah satu amanah iaitu mengajak kepada makruf iaitu perkara baik yang diketahui oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat. Seterusnya menghindari daripada munkar iaitu perkara buruk yang bukan menjadi kebiasaan Baginda s.a.w. dan para Sahabat dalam urusan agama.

Wasatiyyah memerlukan keikhlasan. Wasatiyyah juga menuntut agar Umat Islam menepati kebenaran yang dijunjung oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat radiallahu ‘anhum. Rasulullah s.a.w. telah menyatakan perkara ini dengan sabdanya, “Kumpulan yang unggul adalah yang menepati peganganku dan pegangan para Sahabatku” (Hadis riwayat al-Tirmizi (no. 2641) dan dihukum Hasan oleh al-Albani). Kebenaran yang dijunjung dan diamalkan ini mestilah disampaikan walaupun pahit, sesuai dengan perintah Rasulullah s.a.w., Ucaplah yang benar walaupun pahit” (Hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Targhib wa al-Tarhib (no. 2233) dan dihukum Sahih Li Ghairih oleh al-Albani). Justeru, Wasatiyyah bukanlah menyesuaikan Islam dengan suasana, sebaliknya menyesuaikan suasana dengan Islam.

Sifat Wasatiyyah inilah yang menjadikan umat Nabi Muhammad s.a.w. dipanggil menjadi saksi terhadap sengketa antara para rasul dan umat-umat mereka di hadapan Allah Ta‘ala kelak. Di dalam sebuah hadith, apabila Umat Islam ditanya,“Apa hujah kamu bagi kenyataan itu?” Mereka menjawab, “Nabi kami datang kepada kami dan memberitahu bahawa semua para rasul telah menyampaikan wahyu, lalu kami membenarkannya.” Maka itulah firman Allah, {Dan demikianlah (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu} (Hadith direkod oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir dan dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ al-Saghir (no. 8033).

Perhatikanlah bagaimana Umat Nabi Muhammad s.a.w. dipanggil menjadi saksi terhadap kes yang tidak pernah mereka saksikan atau lihat secara langsung, akan tetapi Umat ini tetap dipanggil hanya kerana membenarkan wahyu yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Inilah dia landasan keadilan sejagat dan kebaikan global yang diredai oleh Ilahi. Inilah landasan Wasatiyyah; keadilan dan kebaikan yang menepati keredaan Allah Ta‘ala.

Konklusinya, usaha mengenengahkan semula konsep Wasatiyyah memang merupakan satu usaha terpuji dan seharusnya disokong oleh segenap lapisan masyarakat; setiap seorang dengan kapasitinya. Sinergi keikhlasan dan kepakaran semua pihak digembleng agar Umat Islam kembali ke landasan asal yang dipelopori oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat serta dijunjung oleh para ulama muktabar yang mengikuti jejak mereka. Al-Imam al-Syatibi telah berkata dalam kitabnya al-Muwafaqat (jil. 4/ hlm. 610), “…telah jelas bahawa meletakkan sesuatu secara pertengahan adalah menepati intipati agama; dan perkara inilah yang dilaksanakan oleh al-Salaf al-Salih iaitu generasi terawal yang salih…” Ya Allah bantulah kami dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan merealisasikan Ibadah kepadaMu. 











0 comments:

Related Posts with Thumbnails