RSS Feeds

Translate

6.04.2013

Perkongsian tentang Dakwah kepada Golongan Pelampau Sufiyyah

huruf pertama Cetak Halaman

 

Metod Dakwah Kepada Kumpulan Sufiyyah Pelampau
Menurut Perspektif Syariah

Disediakan Oleh:
Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim (Jabatan Syariah UKM)
&
Fadlan bin Mohd Othman

Student Affairs Division
Al-Madinah International University

(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah UKM)




1-      MENGENALI TASAWUF SECARA UMUM

1.1              Pendahuluan

Di dalam badan manusia,hati merupakan di antara organ yang paling penting sebagai ejen pembentukan syakhsiyyah seseorang muslim. Hati juga memainkan peranan besar di dalam melahirkan jiwa-jiwa yang suci dan anggota yang taat dan patuh kepada Allah SWT.

            Lantaran itu, hati hendaklah sentiasa digilap dengan cahaya keimanan dan taqwa kepada Allah menerusi amal ibadah dan akhlak yang mulia. Perkara seperti ini tidak dapat tidak mesti mengamalkan tarekat atau yang dikenali ilmu tasauf seperti mana yang diamalkan oleh Rasul dan Sahabatnya serta para ulama yang terkenal seperti Imam al-Ghazali, Dr. Soleh al-Farfur dan sebagainya. Mereka ini merealisasikan ilmu yang mereka pelajari dengan bantuan tarekat dan tasawuf.

            Akan tetapi, ilmu dan amalan ini telah disalahertikan oleh para pengikut yang tergolong dari kalangan orang awam yang tidak mempunyai asas agama Islam yang kukuh serta jahil tentang hakikat ilmu tasauf. Mereka hanya mengamalkan amalan itu tanpa merujuk kepada orang yang arif mengenai hal ini. Rentetan daripada salah faham inilah berlakunya penyelewengan terhadap ilmu tasauf dan tarekat itu sendiri.

            Oleh yang demikian, gejala seperti ini harus dibanteras dengan secepat mungkin, kerana ia melibatkan aqidah dan syariat seseorang mukmin serta menjatuhkan reputasi agama Islam itu sendiri di mata dunia.

            Maka dengan itu, terkandung di dalam kertas kerja ini penerangan dan gambaran umum mengenai ilmu tasauf serta amalan tarekat yang sebenar. Seterusnya penulis membincangkan mengenai penyelewengan yang berlaku dalam amalan tarekat dan ilmu tasawuf. Penulis juga merumuskan cara dan metodologi dakwah menurut syariat, kepada golongan tarekat yang sesat ini dengan strategi yang sesuai serta mengikut peredaran zaman.  

1.2              Definisi Tasawuf
Apabila diteliti pada ilmu tasawuf, akan terdapat di sana berbagai-bagai definisi yang telah diberikan oleh para ulama samada dari segi bahasa mahupun dari segi istilah. Definisinya adalah seperti berikut: [1]

1.2.1        Dari segi bahasa, perkataan tasawuf berasal daripada perkataan Şofā yang memberi erti suci bersih. Ini kerana sesiapa yang memberi perhatian kepada ilmu tasawuf yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, sesungguhnya perbuatan, percakapan dan pendengarannya akan sentiasa suci bersih dari perkara-perkara yang dimurkai Allah. Begitu juga dengan hatinya, sentiasa bersih dari kekotoran dosa.[2]

        Ada juga pendapat mengatakan perkataan tasawuf ini daripada perkataan Şufah yang bererti bulu binatang. Ini kerana mereka yang masuk di dalam golongan ini akan memakai pakaian keras dan enggan memakai pakaian yang indah.[3]

1.2.2        Dari segi istilah, terdapat juga beberapa pendapat mengenai definisi  tasawuf. Antaranya adalah seperti berikut:

1)      Al-Ghazali : Tasawuf adalah memakan makanan yang halal mengikuti akhlak, perbuatan dan perintah Rasulullah s.a.w. yang terdapat di dalam hadis-hadis Baginda. Barang siapa yang tidak mengetahui isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah, maka janganlah dia ikuti ajaran tasawuf kerana ajaran ini hendaklah berdasarkan dua perkara asas tersebut[4].

2)      Ibn al-Khaldun : Matlamat asas kaum sufi ialah muhasabah diri sehingga ia benar-benar melaksanakan perintah Allah dan RasulNya sepertimana termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah.[5]

3)      Abu al-A‘la al-Maududi : Tasawuf dalam erti kata yang sebenar ialah mencintai Allah dan RasulNya dengan mentaati suruhanNya dan menjauhi laranganNya sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah.[6]

Daripada definisi-definisi yang dipaparkan di atas, jelaslah bahawa ilmu tasawuf adalah sebahagian daripada al-Quran dan al-Sunnah. Sekiranya seseorang itu tidak benar-benar memahami isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah sesungguhnya mereka tidak layak untuk mendekati ilmu ini.

Sebagai contoh, ulama-ulama tasawuf yang terkenal, mereka ini bukan sahaja alim dalam ilmu tasawuf, akan tetapi mereka juga alim dalam ilmu tafsir, hadis, fiqah, usul al-fiqh dan sebagainya yang merupakan asas penting sebelum mendalami ilmu Tasawuf.

Ketiadaan ilmu-ilmu asas seperti yang disebut di atas itulah merupakan punca kepada kemunculan ajaran-ajaran sesat yang berasaskan ilmu tasawuf yang tidak berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Maka untuk lebih jelas dan memudahkan strategi dakwah kita kepada golongan tarekat pelampau ini kita harus mengetahui sedikit sebanyak mengenai kaitan ilmu tasawuf dengan amalan tarekat.

1.3  Konsep Tarekat
1.3.1        Pengertian Tarekat[7]:
Tarekat adalah satu istilah dalam tasawuf yang lahir selepas zaman permulaan Islam. Walaupun istilahnya tidak secara langsung merupakan istilah al-Quran namun kelahirannya atau penciptaannya bukanlah satu jenayah selama ia tidak mengandung maksud yang bercanggah dengan ajaran Islam. 

Tarekat dalam pengertiannya adalah sebagai “perjalanan kepada Allah SWT atau perjalanan menuju keredhaan Allah”
Firman Allah S.W.T :

Bermaksud:
            Memimpin kepada jalan kebenaran dan kepada jalan yang lurus[8]
           
Firman Allah S.W.T:

Bermaksud:
Dan sekiranya orang-orang yang beriman itu berjalan lurus di atas jalan yang  ditetapkan oleh Islam dengan sebenar-benarnya, kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak) [9]


            Penggunaan kalimat-kalimat seperti sabīl , sirāj , al-sābiqun selain dari kalimah al-tarīq atau al-tariqah jelas menyarankan kandungan makna tarekat dalam pengertiannya yang asas dan umum atau perjalanan menuju kepada Allah.

             Perjalanan menuju Allah s.w.t. harus memastikan adanya jalan yang menjamin untuk sampai ke destinasi seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.. Jalan yang sedemikian adalah jalan yang lurus, dan jalan yang lurus adalah jalan yang hak, manakala jalan yang hak itu adalah jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. di dunia dan akhirat. Hanya jalan inilah yang akan membawa kita ke syurga Ilahi. Rasul s.a.w. dan sahabatnya adalah orang pertama yang mengikuti jalan ini sekaligus menjadikan al-Quran sebahagian dari hidup mereka.

            Umat Islam akhir-akhir ini sudah semakin jauh dari jalan kebenaran  yang dahulunya menjadi lumrah dan keagungan kehidupan umat Islam di zaman permulaan. Umat Islam kini sudah dipengaruhi oleh cara hidup yang mementingkan keduniaan semata-mata, sehinggakan mereka lupa tujuan mereka dicipta dan tanggungjawab mereka kepada Allah s.w.t.. Justeru, lahirlah pelbagai golongan di kalangan umat Islam yang ingin membezakan antara mereka dan orang-orang yang mementingkan keduniaan.

Di antara golongan itu ialah ahli Sufi dan ahli Tasawuf yang lebih dikenali umum sebagai golongan yang mencontohi perjalanan hidup Rasul s.w.t. dan para sahabatnya dalam menuju ke jalan yang diredhai Allah S.W.T.

Mereka ini mengaku sebagai golongan yang bertanggungjawab untuk menyambung perjalanan menuju Allah s.w.t. seperti yang dipercontohkan oleh Rasul s.a.w. dan dijalani oleh keseluruhan para sahabatnya. Mereka juga berpendapat bahawa perjalanan menuju Allah merupakan satu perlayaran yang jauh dan penuh kesukaran yang perlu diharungi oleh setiap insan yang taat kepada Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w..

Tabiat perjalanan yang penuh dengan kerumitan dan pancaroba untuk menuju Allah adalah salah satu punca lahirnya Tarekat, dengan pengertian yang lebih khusus seperti yang ditakrifkan oleh al-Jurjani:

الطريقة هي السيرة المختصة بالسالكين الى الله مع قطع المعازل. والترقي في المقامات   
Bermaksud:
Tarekat adalah perjalanan yang khusus bagi para salikin menuju Allah dengan melalui beberapa peringkat dan menaiki beberapa maqam


Tarekat dalam erti perjalanan menuju Allah s.w.t. dengan caranya yang lebih spesifik memerlukan penumpuan usaha yang lebih khusus. Usaha ini diistilahkan dalam tasawuf dengan riyadhah dan mujahadah. Riyadhah adalah latihan-latihan yang bertujuan menyucikan jiwa dari dosa yang telah dilakukan dan juga menjadi pendinding dari melakukan perkara-perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w. 

Manakala Mujahadah pula ialah perjuangan untuk menghiasi hati dengan sifat-sifat yang mulia dan mahmudah. Dari Mujahadah inilah  seseorang salik ke jalan Allah s.w.t. itu akan dapat menghiaskan dirinya dengan sifat-sifat yang dipanggil sebagai al-maqāmāt secara berperingkat-peringkat. Maqam tersebut ialah seperti berikut:[10]

      1.Iradah  2.Ikhlas  3.Taubah  4.Muqarabah  5.Taqwa  6.Warac  7.Zuhud  8.Sabar 9.Khawf  10.Raja’  11.Syukur  12.Tawakal  13.Redha  14.Mahabbah  15.Yakin  16.Tama’ninah  17.Macrifat  18.Tawhid.

Mereka mengharungi jalan-jalan menuju Allah ini bukan sahaja secara individu, akan tetapi secara jemaah atau kumpulan di bawah bimbingan syeikh sufi. Pada kurun ketiga mereka ini mula dikenali dengan kumpulan Tarekat. Seterusnya mereka terus berkembang terutama pada kurun keenam dan ketujuh. Sejak itulah perkataan Tarekat lebih dikenali dan difahami oleh umum sebagai kumpulan murid-murid yang menjalani perjalanan menuju Allah (al-tariq ila Allah ) yang mengikut aliran-aliran tarekat tertentu yang mu‘tabar di bawah panduan dan didikan seorang syeikh yang mursyid.

1.3.2        Kedudukan Tarekat Dalam Tasawuf
Apabila dilihat secara mendalam kepada takrif tasawuf, tarekat merupakan satu wasilah atau jalan dalam kehidupan tasawuf yang pasti dilalui oleh setiap mereka yang menjalani hidup sebagai seoarang sufi.

        Dari sudut sejarah pula, tarekat tidak dapat dipisahkan dari kehidupan seorang sufi. Ini merupakan satu bukti yang begitu kukuh yang menunjukan bahawa tarekat adalah sebahagian dari unsur asas dalam tasawuf.

1.3.3    Hubungan Tarekat Dengan Syariat
Walau bagaimanapun ilmu tarekat atau tasawuf tidak boleh lari dari landasan syariat, kerana syariatlah yang mengukur kesahihannya. Tanpa syariat sudah pasti tarekat itu tidak benar bahkan sesat lagi menyesatkan. Ini bertepatan dengan kata-kata al-Imam Malik yang berbunyi:
من تفقه ولم يتصوف فقد تفسق ومن تصوف ولم يتفقه فقد تزندق ومن جمع بينهما فقد تحقق
Bermaksud:
Barang siapa yang bersyariat tetapi tidak bertasawuf sesungguhnya dia telahpun fasiq, dan barang siapa yang bertasawuf tetapi tidak bersyariat sesungguhnya dia telahpun zindiq, dan barang siapa yang bersyariat sekaligus bertasawuf sesungguhnya dia telah mendapat hakikat yang sebenar (tawhid). [11]


Dari sini dapat kita simpulkan bahawa  tasawuf mengandungi dua sudut iaitu tarekat dan hakikat. Tarekat sebagai perjalanan menuju hakikat. Maka lazimnya perjalanan itu memerlukan “jalan”, dan jalan itu haruslah yang berlandaskan syariat iaitu al-Quran dan al-Sunnah.


2-      PENYELEWENGAN DALAM TAREKAT


2.1              Faktor-faktor Penyelewengan Dalam Tarekat

Sebagaimana bidang-bidang lain seperti politik dan lain-lain, ilmu tarekat tasawuf tidak sunyi dan terkecuali daripada penyelewengan dan penyesatan. Islam yang sedemikian jelas masih ingin diselewengkan dan disesatkan oleh musuh-musuh Islam.

Jika dibuat perbandingan, bidang tasawuf adalah lebih terdedah kepada penyesatan dan penyelewengan. Sejarah telah membuktikan bahawa tasawuf sentiasa menjadi tumpuan para musuh Islam untuk menyesatkan dan menyelewengkan kesucian aqidah dan syariat Islam.

            Selain dari fakta sejarah itu tadi, penyelewengan dan penyesatan yang berlaku dalam tarekat telah diperakui oleh semua tokoh-tokoh sufi dan ulama-ulama terdahulu dan semasa. Mereka sentiasa menasihati umat Islam agar berwaspada daripada terjebak ke kancah kesesatan tarekat. Oleh kerana itulah para ulama bertungkus lumus menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan penting dalam tasawuf agar ianya dapat memberi penjelasan yang lengkap mengenai konsep tasawuf yang sebenar sepertimana yang diajar dan diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya. [12]

Terdapat beberapa faktor yang membuatkan umat Islam terpedaya dengan tarekat yang menyeleweng. Ianya adalah seperti berikut:[13]

a.      Kejahilan masyarakat Islam terhadap hakikat agamanya lebih-lebih lagi dalam bidang tasawuf, serta kurang keimanan dan keyakinan mereka kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Sebagai contoh, terdapat  masyarakat Islam terutamanya di tanah air ini yang mengaku dirinya ahli tarekat atau tasawuf, mengatakan bahawa sembahyang hanya cukup dengan niat dan tidak perlu kepada perbuatan solat. Manakala dalam bab nikah, berkahwin dengan guru tarekat akan melahirkan anak yang soleh dan banyak lagi kepercayaan-kepercayaan yang bercanggah dengan fiqah dan syariat. Sepatutnya kepercayaan seperti ini tidak wujud dalam masyarakat Islam jika mereka mendalami ilmu fiqah dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan syariat.

b.      Sikap tidak mahu menerima dan mengakui tasawuf sebagai satu bidang penting dalam Islam oleh para intelek dan cerdik pandai Islam.

c.       Keghairahan segelintir masyarakat Islam untuk mengetahui rahsia alam ghaib atau terlalu ghairah untuk mendapat rahsia alam ghaib.

d.      Kekeramatan atau mendapat sesuatu yang luar biasa boleh juga dianggap sebagai salah satu faktor yang membuka pintu penyesatan dan penyelewengan tanpa menyedari tentang hakikat keramat menurut pandangan tasawuf dan juga tanpa menyedari tentang kedudukan keramat yang dianggap oleh ahli sufi tidak penting dalam tasawuf.

e.       Kelemahan penguatkuasaan dalam menangani gejala ajaran sesat  terutamanya tarekat pelampau.

Maka dengan kedudukan inilah semakin banyak golongan yang bersungguh-sungguh mengaku bahawa diri mereka adalah yang termulia dari orang lain sehinggakan ke peringkat kemuliaan Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Tabiat dan kedudukan tasawuf sedemikian ini menyebabkan tasawuf menjadi perlindungan kepada golongan dajjālīn dan mulhidin untuk menjalankan kegiatan penyesatan dan penyelewengan di kalangan umat Islam.

Oleh itu para ulama dari dulu hingga sekarang masih berusaha untuk menyedarkan mereka ini dari kesesatan dengan pelbagai metodologi dakwah mengikut perkembangan semasa. Jika hal ini tidak dibendung, ia akan memberi kesan buruk yang amat besar buat umat Islam terutama sekali di masa akan datang.

Sebelum dibincangkan metod dakwah yang sesuai untuk golongan sesat ini, haruslah kita mengenali dahulu peringkat-peringkat penyesatan dan penyelewengan di dalam tarekat.

2.2              Peringkat-peringkat Penyelewengan
Di sana terdapat tiga peringkat penyelewengan di dalam tarekat tasawuf. Ianya adalah seperti berikut:

1)      Penyelewengan atau kesalahan dalam perkara yang asasi dan pokok yang berpunca dari ketidak teguhan serta kejahilan mereka pada asas-asas syariat dan kurang kukuhnya keimanan serta keikhlasan mereka dalam melakukan suruhan Allah dan RasulNya.

2)      Penyelewengan atau kesalahan dalam perkara-perkara al-furuc al-muhimmah, seperti adab, akhlak, konsep tawakal, maqam-maqam yang ditetapkan oleh Allah, ketentuan Allah dalam menaikkan martabat makhlukNya dan sebagainya. Kesalahan ini berpunca dari kejahilan mereka terhadap ilmu dan pengetahuan asas-asas agama Islam sekaligus mereka ini bertindak mengikut hawa nafsu mereka yang berlandaskan kejahilan.

3)      Kesalahan yang berpunca dari kegelinciran dan kesilapan yang tidak disengajakan. Mereka yang seperti ini akan segera tunduk kepada kebenaran dan sedia menebus dosa mereka  dengan penuh keinsafan.[14]

3-      METODOLOGI DAKWAH KEPADA GOLONGAN TAREKAT MUTATARRIFAH

3.1              Metodologi Dakwah Kepada Ahli Tarekat Mutatarrifah

Untuk mendakwah mereka ini agar kembali ke pangkal jalan bukanlah satu perkara yang mudah. Ini kerana ketaasuban mereka kepada jemaah amatlah kuat sekali. Jadi untuk berhadapan dengan golongan ini kita harus mempunyai metod dan cara yang terbaik dan yang boleh meyakinkan mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Antara metod yang boleh direalisasikan dalam dakwah ini adalah seperti berikut:

3.1.1        Berhujah dengan dalil-dalil yang muctabar seperti berikut:[15]

1)      Al-Quran. Di dalam al-Quran terkandung banyak ayat-ayat yang boleh mematahkan hujah dan dalil-dalil yang digunakan oleh golongan tarekat pelampau.

2)      Al-Sunnah. Di dalam sunnah terdapat banyak cara-cara dan dalil yang terbaik untuk mematahkan hujah-hujah tarekat pelampau. Ini kerana mereka sudah pasti akan sedar apabila mendapati apa yang mereka buat dan amalkan itu bukannya datang dari sunnah Rasul s.a.w., bahkan ianya datang daripada musuh-musuh Islam yang menjadikan tarekat tasawuf sebagai wasilah untuk menyesatkan umat Islam.



3)      Fakta-fakta sejarah al-salaf al-salih.
Sejarah-sejarah para sahabat, tabicin dan tabic-tabicin adalah salah satu hujah yang kuat untuk menunjukkan apa yang mereka lakukan itu tidak pernah diamal oleh al-salaf al-salih selaku orang yang paling dekat dengan zaman Rasulullah s.a.w.. Sekiranya al-salaf al-salih tidak pernah beramal dengan tarekat-tarekat yang melampau itu bagaimana pula dengan golongan yang terlalu jauh dari zaman Rasulullah s.a.w. pada hari ini boleh menerima dan menganggapnya sebagai suatu amalan Rasulullah s.a.w.? Maka, ini menjelaskan segala amalan yang diamalkan itu tidak berasas dan tidak bersanad daripada amalan Rasulullah s.a.w. sama ada berbentuk perbuatan ataupun percakapan Baginda s.a.w.. Justeru, amalan-amalan yang tidak berasas ini haruslah ditolak.

4)      Fatwa-fatwa para ulama dan fuqaha. Para fuqaha tidak akan melarang atau menyuruh kepada sesuatu perkara kecuali perkara tersebut telah dikaji dan diselidik dengan teliti. Jika para ulama telah mendapati ada sesetengah tarekat yang menyeleweng, maka wajib bagi umat Islam menjauhinya.

3.1.2        Mengenali penyakit dan penawar bagi golongan yang akan didakwah
Para ulama telah menetapkan dua perkara penting yang perlu dikenali oleh seorang pendakwah sebelum masuk ke medan dakwah. Dua perkara itu ialah penyakit dan ubatnya.

Penyakit   :  apa yang dimaksudkan dengan penyakit ialah, kejahilan mereka dalam ilmu-ilmu agama seperti (syariat) fiqah dan akidah. Kejahilan adalah punca yang paling bahaya, kerana dengannya akan berlakunya kerosakan dan perpecahan di kalangan umat Islam.

Penawar : penawar bagi penyakit tersebut haruslah diketahui dengan baik. Maka penawarnya tidak lain dan tidak bukan ialah ilmu yang berkaitan dengan syariat dan akidah.

            Penjelasan terhadap kepentingan ilmu dan kebesaran darjatnya di sisi Allah s.w.t.  kepada golongan ini amat penting. Firman Allah dalam al-Quran:

Bermaksud:
Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat[16]

Ayat ini menunjukan bahawa Allah s.w.t. amat memuliakan makhlukNya yang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Ini bermakna, sekadar beramal dengan bermacam-macam tarekat secara al-taqlid al-acma tanpa sebarang ilmu akan menyebabkan kesesatan dan penyelewengan dalam pengamalan tarekat atau ilmu tasawuf.  

3.1.3        Membersihkan kefahaman mereka daripada segala syubuhat dan syirik
Sekiranya dilihat dengan teliti, apa yang berlaku terhadap golongan tarekat yang menyeleweng ini adalah disebabkan keraguan-keraguan yang mereka hadapi disebabkan kejahilan dalam ilmu syariat dan akidah. Oleh itu, segala syubahat dan keraguan di dalam diri mereka harus dibersihkan.

Yang dimaksudkan dengan syubuhat ialah, segala syakwasangka yang membuatkan seseorang itu payah untuk menerima hakikat kenyataan atau melambatkan mereka itu menerimanya dengan sepenuh hati.[17]

Masalah seperti ini sudah lama berlaku di kalangan umat manusia. Setiap Nabi diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk menghapuskan kesemua syubuhat dan kesesatan yang ada pada umat manusia. Namun begitu, para Nabi dan Rasul menjadi mangsa cemuhan dan kejian kerana usaha mereka dalam memerangi kebatilan dan kejahilan.


Firman Allah s.w.t.:

Bermaksud:
Tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: "Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila[18].


Justeru, untuk menghadapi mereka yang fanatik terhadap tarekat sesat, haruslah dibersihkan terlebih dahulu pemikiran-pemikiran yang menyeleweng dengan hujah-hujah yang  kuat agar ianya menjadi penawar yang mujarab.

3.1.4        Al-Tarhgib Wa al-Tarhib
Apa yang dimaksudkan dengan al-Targhib ialah meyakinkan mereka yang sesat itu dengan hujah-hujah yang kukuh serta menarik perhatian mereka dengan cara yang hikmah tanpa mencaci atau mengutuk mereka dengan kata-kata kesat atau yang boleh menyinggung perasaan mereka sehinggakan mereka menjauhkan diri daripada mendengar kebenaran.

            Manakala al-Tarhib pula bermaksud menakutkan mereka itu dengan amaran dan azab Allah s.w.t. kepada mereka yang ingkar dengan suruhan dan laranganNya serta mereka yang menyeleweng daripada hukum dan syariat Allah S.W.T.

Cara ini telah diamalkan oleh para Rasul sejak zaman berzaman lagi. Para Rasul berdakwah menggunakan metod ini untuk memikat hati orang-orang yang akan didakwahnya dengan harapan mereka itu dapat menerima hukum dan ajaran Islam dengan sempurna tanpa ada penyelewengan.

Firman Allah S.W.T dalam menerangkan hal ini pada zaman Rasul s.w.t:

Bermaksud:
Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah), (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Yang Menguasai Rumah (Kaabah) ini, Tuhan Yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan[19].


            Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasul S.A.W. telah diwahyukan dengan ayat ini untuk dijadikan satu cara dan metod dakwah baginda kepada orang kafir Quraisy. Ini adalah satu contoh al-Targhib dalam dakwah Rasul S.A.W..

3.1.5    al-Tarbiyyah Wa al-Taclīm
Apa yang dimaksudkan dengan al-tarbiyyah wa al-taclīm ialah mengajar dan mendidik mereka itu dengan ilmu-ilmu syariat dan akidah secara terperinci. Cara ini akan membantu mereka kembali ke pangkal jalan dan menyedari kesilapan mereka sekaligus menghapuskan kejahilan dan keraguan yang mereka alami selama ini.[20]

            Rasul s.a.w amat meggalakkan para sahabatnya untuk menimba ilmu:
ومن سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة
Bermaksud:
Dan barangsiapa yang memasuki satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan mudahkan untuknya jalan menuju ke Syurga.[21]


            Baginda juga mengarahkan agar ilmu yang dipelajari itu hendaklah di sampaikan kepada mereka yang tidak mengetahuinya, walaupun jumlahnya hanyalah sepotong ayat:
بلغوا عني و لو آية
Bermaksud:
Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat.[22]

Hadis ini menjelaskan betapa perihatinnya Rasul s.a.w dalam membimbing sahabat-sahabatnya yang jahil mengenai Islam. Ia juga menunjukkan kepentingan dan keharusan pendakwah mendidik dan mengajar orang-orang yang baru memeluk Islam dan juga mereka-mereka yang sesat dalam memahami agama mereka sendiri.

Ilmu-ilmu yang perlu didahulukan dalam al-tarbiyyah wa al-taclim
Mengikut pengamatan penulis, berikut adalah ilmu-ilmu yang perlu didahulukan dalam al-tarbiyyah wa al-taclim kepada golongan tasawuf pelampau:
1)      Ilmu Aqidah : Aqidah adalah ilmu yang paling penting dalam agama Islam. Kerana dengan aqidahlah terdapat perbezaan yang jauh di antara mukmin dan kafir, dan dengan aqidah jugalah yang membezakan antara mukmin yang berada di jalan yang benar dengan mereka yang sesat.

Oleh kerana itu lah Rasul s.a.w. telah diajar oleh Jibril agar mendahulukan dakwahnya dengan ilmu akidah iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Ini berdalilkan sabdanya semasa Jibril menanyakan soalan kepadanya yang berbunyi:
عن عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لاَ يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلاَ يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِى عَنِ الإِسْلاَمِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « الإِسْلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَتُقِيمَ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِىَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلاً. قَالَ صَدَقْتَ. قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ. قَالَ فَأَخْبِرْنِى عَنِ الإِيمَانِ. قَالَ « أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ ». قَالَ صَدَقْتَ. قَالَ فَأَخْبِرْنِى عَنِ الإِحْسَانِ. قَالَ « أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ »
Bermaksud:
 Daripada Umar ibn al-Khattab r.a berkata, pada suatu hari telah datang seorang lelaki yang memakai baju serba putih, rambutnya yang sungguh hitam dan teratur, tidak Nampak daripadanya kesan seorang musafir, seorang dari kamipun tidak mengenalinya sehinggalah beliau mendekati Rasulullah s.a.w kemudian beliau duduk dekat dengan Rasulluah s.a.w dengan lutut berlaga lutut manakala tangannya pula diletakkan di atas peha Nabi s.a.w dan seraya berkata: Wahai Muhammad, apakah yang dimaksudkan dengan Islam? Bagindapun menjawab: Hendaklah kamu naik saksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah pensuruh Allah, dan hendaklah kamu menunaikan solat, membayar zakat, puasa di bulan Ramadhan dan menunaikan Haji ke Baitullah al-Haram bila kamu mampu. Lelaki itupun berkata: benar kata kamu. Umar berkata: kami pelik!!dia bertanya dan dia juga yang mengiakan!!Kemuadian orang itu bertanya lagi: apakah itu Iman? Iman ialah beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitabnya, rasul-rasulnya, hari kiamat dan beriman dengan kada’ kadar baik dan buruknya. Lelaki itupun berkata: benar kata kamu. Apakah pula itu Ikhsan? Bagindan menjawab: untuk mendapat ikhsan, kamu harus beribadah kepada Allah S.W.T seakan-akan kamu nampak Allah, walau pun kamu tidak nampakNya sesunggunya Allah Nampak kamu. [23]     

Daripada hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa mendidik mereka yang jahil tentang agama atau sesat dalam agama haruslah didahulukan dengan ilmu tauhid kepada Allah dan ittibac kepada RasulNya. Kerana jika dilihat, kebanyakan golongan tarekat yang sesat itu berpunca daripada jahilnya mereka tentang ilmu tauhid dan disamping itu mereka lebih mempercayai khurafat-khurafat yang direka oleh guru-guru mereka, seperti percaya bahawa dengan  adanya tarekat, maqamnya boleh sampai ke peringkat maqam Nabi s.a.w..
Ini semua berpunca daripada kecetekan ilmu mereka dalam tauhid kepada Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w..

2)      Syariat (Fiqah) : Selepas mereka diterapkan dengan ilmu akidah, mereka juga harus diajar hukum-hukum fiqah. Ini kerana dengan adanya ilmu fiqah akan membantu mereka mengamalkan suruhan dan larangan Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w. dengan sebaik yang mungkin sepertimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w.:
من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
Bermaksud:
Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan untuknya, Allah akan memberinya kefahaman tentang agama Islam.[24]


3)      Akhlak : Ilmu yang berkaitan dengan akhlak Nabi s.a.w  juga memainkan peranan penting dalam mendidik golongan tarekat yang sesat itu. Ini kerana dengan pengetahuan mereka tentang akhlak Rasulullah s.a.w akan lebih meyakinkan mereka tentang agama Islam yang sebenar sekaligus membatalkan kesemua kesesatan yang mereka amalkan selama ini daripada amalan tarekat al-mutatarrifah.
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
            Bermaksud:
Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk melengkapkan kemuliaan  
akhlak[25].

4)      Hadith dan tafsir serta memahami ayat-ayat al-mutasyabihat yang terdapat di dalam al-Quran: Ilmu ini juga amat penting untuk mengembalikan mereka ke pangkal jalan. Kerana dengan menerangkan kepada mereka ayat-ayat al-mutasyabihat akan lebih meyakinkan mereka bahawa apa yang mereka fahami sebelum ini adalah salah dan batil. Sebagai contoh, sesetengah golongan tarekat yang sesat berpendapat bahawa ayat yang berbunyi[26]:
ßtƒ «!$# s-öqsù öNÍkÉ÷ƒr& 4
                     Sesetengah ajaran sesat mentafsirkannya seperti berikut:         
                        “Kuasa Allah itu diberikan kepada guru-guru mereka”

                     Maksudnya yang betul ialah:
Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu (Muhamad), sesungguhnya mereka juga telah berjanji setia kepada Allah dan tangan Allah (keredhaan dan rahmatNya) akan sentiasa berada bersama mereka yang beriman dengan Rasul s.a.w.[27]

           
Daripada tafsir yang diberikan oleh golongan sesat itu tadi, jelas menunjukkan yang mereka ini langsung tidak memahami dan arif tentang tafsir ayat-ayat al-mutasyabihat. Maka ia merupakan penyebab mereka mudah ditipu.
              
5)      Fiqh al-Sirah  al-Nabawiyyah : Ilmu ini akan memantapkan lagi ilmu
pengetahuan seseorang itu tentang perjalanan hidup Nabi dan sahabat Baginda. Di samping itu juga, mereka akan terdedah dengan hukum dan hikmat yang terdapat di dalam Sirah Rasulullah s.a.w .Maka dengan adanya ilmu ini dalam jiwa mereka, akan memudahkan mereka untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan di dalam mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T.

3.1.6    Dakwah melalui seminar dan ceramah
Dakwah dengan cara ini banyak digunakan di masa kini. Badan yang akan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini ialah Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri.

            Dengan cara ini, mereka akan kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah S.W.T. Ini kerana mereka dapat menghisab diri mereka hasil daripada pengajaran serta nasihat yang bernas daripada penceramah-penceramah yang berwibawa dan berdidikasi. Nabi s.a.w. adalah contoh tradisi yang tidak jemu didengar, di mana Baginda adalah seorang pemidato dan penceramah yang hebat, dengan kata-katanya Baginda mampu menarik orang-orang kafir ke dalam Islam di waktu itu. Maka dalam berdakwah kepada ahli tarekat sesat, pendakwah perlulah mempunyai himpunan hujah dan dalil yang kukuh di samping mempunyai gaya dan toleransi yang memikat.

3.1.7        Dakwah melalui penulisan

Apa yang dimaksudkan dengan dakwah melalui penulisan ialah menjelas serta membuat satu garis panduan  kepada masyarakat Islam mengenai syarat-syarat untuk mengamalkan tarekat serta penjelasan mengenai ilmu tasauf yang dibenarkan oleh syarak.
           
Di samping itu juga, para ulama dan pemimpin harus menyebar dan mengumumkan kesemua penyelewengan yang terdapat di dalam amalan tarekat samada ianya berbentuk buku atau pun akhbar-akhbar dan sebagainya.

3.1.8        Dakwah dengan menetapkan hukuman yang berat kepada mereka yang melakukan kesesatan

Badan kehakiman dan kerajaanlah yang akan memainkan peranan dalam menetapkan  satu hukuman yang berat terhadap mereka yang menyeleweng dalam amalan dan ilmu agama. Penetapan hukuman yang berat kepada mereka ini bertujuan untuk menakutkan-nakutkan umat Islam daripada melakukan amalan-amalan sesat sepertimana yang banyak berlaku dalam amalan tarekat. Ini juga termasuk di dalam hukuman al-taczir yang boleh dilakukan oleh pemimpin atau imam sekiranya ia memberi maslahat yang besar untuk masyarakat, sepertimana yang termaktub di dalam buku-buku fiqah.

4-      PENUTUP
Daripada kajian yang dibuat, dapat disimpulkan bahawa amalan tarekat amat penting untuk mendidik diri seorang muslim. Dengannya jugalah seseorang itu akan dapat menghayati dan mengenali erti mukmin yang sejati. Cuma untuk menyelamatkan umat Islam daripada tertipu dengan dakyah-dakyah yang songsang mengenai agama terutamanya dalam ilmu tarekat, aqidah dan syariat, para ulama dan pemimpin harus mengambil berat tentang pendidikan asas-asas agama kepada generasi muda di kalangan umat Islam.

            Ini adalah bertujuan untuk mencegah umat Islam daripada terjebak ke alam sufi yang menyeleweng lagi menyesatkan. Di samping itu juga, mereka harus didedahkan mengenai perbezaan yang berlaku di antara ilmu tasauf yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah atau sebaliknya, kerana dengan adanya pengetahuan mengenai ilmu ini akan menyukarkan lagi berlakunya penyesatan di kalangan umat Islam.






















Bibliografi

1-    Al-Quran
2-    Jamaah min kibar al-Luhgawiyin.Mukjam Arabi al-Asasiy.al-Munazamah al-
Arabiyyah.

3-    Ibnu Idrus al-Qari.1999.Rahsia Alam Sufi.Jasmin Enterprise.Kuala Lumpur.

4-    Ibnu al-khldun.Abd rahman bin mohd.1959.Şifā al-sā’il Li al-Thadhib al-Masail.al-  
 Maktabah al-Khutalukiyyah.Beirut.

5-   Sulaiman Yasin.1978.Tarekat Tasawuf:Satu Pengenalan dan
Permasalahannya.UKM,Bangi.

6-   al-Qasiy,Mohd Jamaluddin.1990.Mauizat al-Mu’minin Syarah Ihya’Ulumuddin.
Dar al-Nafais.Jorden.

7-   al-Syarqamiy.1976.al-Syaricah Wa al- al-Haqiqah al-Hai’ah al-Āmmah li al-Kitab.

8-   al-Tusiy.Abu Nasr al-Sarraj .TT. al-Lumac.Dar al-Tawfiqiyyah Kaherah.

9-   Zaidan,Abd Karim.2001.Usul al-Dakwah.Muassat al-Risalah.Beirut.

10- Abadiy,Fairuz.1996.al-Qamus al-Mukhit.Muassat al-Risalah,Beirut.

11- Ibnu Hisham.Sirah Ibni Hisham.Dar al-Fikr Dimasq,

12- Al-Asyqar,Mohd Sulaiman.1996.Zubdat al-Tafasir.Dar al-Muayyad,Dimasq.

13- Mustafa Masyhur.1995.Min Fiqh al-Dakwah. Dar al-Tauzik Wa al-Nasyar al-
Islamiy,Dimasq.

14-  JAKIM.Mengenal Ajaran Sesat Di Malaysia.

15-  Harun.Abd Fatah.1985.Ajaran Sesat.DBP Kuala Lumpur.

16-  Al-Zuhaily.Wahbah.Tafser al-Munir.Dar al-Fikr.Dimasq

17- Muslim ibn Hajjaj. 1994. Sohih muslim. Bab ma’rifat al-iman wa al-islam.Beirut: Dar al-Khair. 


19- ww.islamweb.net/ver2/Fatwa/ShowFatwa.php?Option=FatwaId&lang=A&Id=59757

20- Abdul Rahman ibn Rajab. 1998. Lataif al-Maarif. Kaherah: Maktabah al-Tawfiqiyyah.

21- Al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 2000. Ihya’ ulum al-din. Kaherah: Dar al-Tawzi’.





[1] Abd Fatah. 1985. Ajaran Sesat. DBP Kuala Lumpur. hlm v.
[2] Jamaah min kibar al-Luhgawiyin. Mukjam Arabi al-Asasiy. al-Munazamah al-Arabiyyah. hlm 750.
[3] Ibnu Idris al-Qari. 1999. Rahsia Alam Sufi. Jasmin Enterprise. Kuala Lumpur. hlm5.
[4] Al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 2000. Ihya’ ulum al-din. Kaherah: Dar al-Tawzi’. hlm. 82.
[5] Ibnu al-khldun. Abd rahman bin mohd.1959. Şifā al-sā’il Li al-Thadhib al-Masail. Beirut: al-Maktabah al-Khutalukiyyah. hlm. 221.
[6] Ibnu Idris al-Qari.1999.Rahsia Alam Sufi.Jasmin Enterprise.Kuala Lumpur. hlm 5, 6.
[7] Sulaiman Yasin.1978.Tarekat Tasawuf: Satu Pengenalan dan Permasalahannya.UKM, Bangi. hlm 19.
[8] Al-Quran.al-Ahqaf. (46):30.
[9] Al-Quran. al-Jin. (72):16.
[10]Al-Qasimy, Mohd Jamaluddin.1990. Mauizat al-Mu’minin Syarah Ihya’Ulumuddin. Jorden: Dar al-Nafais. hlm 326.

[11] Al-Syarqamiy. 1976. al-Syaricah Wa al- al-Haqiqah al-Hai’ah al-Āmmah. Beirut: Dar al-Kutb al-Ilmiyyah. hlm 85.
Perhatian: Kenyataan ini disandarkan kepada al-Imam Malik oleh al-‘Adawi dalam Hasyiah ‘ala Syarh al-Zarqani. Ada pula yang menyandarkannya kepada Ibrahim al-Dasuqi, seorang tokoh tasawuf. Sila lihat: (http://www.islamweb.net/ver2/Fatwa/ShowFatwa.php?Option=FatwaId&lang=A&Id=59757)
[12] Abd Fatah Haron. 1985. Ajaran Sesat. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. hlm v.
[13] al-Tusiy, Abu Nasr al-Sarraj .tt. al-Lumac. Dar al-Tawfiqiyyah Kaherah. hlm 512-555.
[14] Al-Tusiy. Abu Nasr al-Sarraj .tt. al-Lumac. Kaherah: Dar al-Tawfiqiyyah. hlm 512-555.
[15] Zaidan, Abd Karim. 2001. Usul al-Dakwah.Muassat Beirut: al-Risalah.  hlm :413.
[16] Al-Quran.al-Mujadalah.(58):11
[17] Abadiy,Fairuz.1996. al-Qamus al-Mukhit. Beirut: Muassat al-Risalah. hlm 1610
[18] al-Quran. al-Zariyyat.(51):52
[19] Al-Quran. al-Quraisy (106):1-4
[20] Zaidan, Abd Karim. 2001.Usul al-Dakwah. Beirut : Muassat al-Risalah..hlm 442
[21] Sahih Muslim, No 2699.
[22] Sahih Sunan al-Tirmizi, No 2669.
[23]Muslim ibn Hajjaj. 1994. Sohih muslim. Bab ma’rifat al-iman wa al-islam. Beirut: Dar al-Khair.  Hadith sahih. Jil.1. hlm 114
[24] Sahih al-Bukahri, No 3116.
[25] Sohih. Abdurrahman ibn Rajab. 1998. Lataif al-Maarif. Kaherah: Maktabah al-Tawfiqiyyah. hlm. 246. 
[26] Al-Quran.al-Fath. (48):10.
[27] Al-Asyqar, Mohd Sulaiman.1996. Zubdat al-Tafasir. Dar al-Muayyad, Dimasq. hlm 679.
   

0 comments:

Related Posts with Thumbnails