RSS Feeds

Translate


7.14.2010

UMNO dan PAS

Cetak Halaman

Bersatulah wahai umat Islam demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara!

Seawal malam pertama penglibatan saya dan rakan-rakan sebagai ahli UMNO, kami telah mendapat beberapa soalan yang diajukan oleh rakan media. Mereka bertanya adakah "ulama muda" akan bertelagah dengan ulama dari parti-parti lain. Saya menjawab, "Kami ingin menekankan aspek Dakwah dengan ahli-ahli UMNO, dengan parti-parti lain dan juga dengan NGO-NGO." Pertentangan antara UMNO dan PAS juga dilihat oleh kami dari sudut yang positif, iaitu sudah wujudnya keinginan daripada sebahagian pucuk pimpinan PAS untuk bersatu dengan UMNO… Saya nyatakan bahawa itulah yang kami citakan; agar umat Islam di Malaysia ini dapat bersatu di atas landasan al-Qur'an dan al-Sunnah! Semoga kami dapat menjadi sebahagian daripada usaha murni ini.

Alhamdulillah, akhbar semalam pula menampilkan kenyataan pucuk pimpinan UMNO bahawa mereka bersedia untuk bersatu dengan PAS. Sebahagian ahli dan tokoh agama juga menyatakan kepentingan perkara ini untuk direalisasikan. Saya rasa ini adalah satu perkembangan yang amat positif. Saya juga amat suka melihat perjalanan alam ciptaan Ilahi ini dari sudut yang positif, walaupun tidak dinafikan kita sebagai insan perlu juga berwaspada. Saya amat bersetuju dengan cadangan yang mengatakan bahawa ulama dan golongan agama wajar memainkan peranan yang proaktif dalam usaha suci ini. Kedua-dua pihak seharusnya mengorak langkah untuk mengadakan perbincangan demi perbincangan yang dapat membina semangat ukhuwwah Islamiyyah yang mendalam. Pepatah Arab ada mengatakan "al-Bu'du jafa' " yang bererti "berjauhan punca kerenggangan".

Perbincangan yang serius harus dilakukan untuk menyatukan umat Islam di bumi tercinta ini. Pastinya landasan perbincangan ialah al-Qur'an dengan tafsiran yang sahih, al-Sunnah dengan huraian yang absah serta kefahaman para ulama yang muktabar. Ayat 2 Surah al-Ma'idah perlu dijadikan paksi perjuangan mulia ini:

Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Untuk bangsa dan agama lain di bumi tercinta ini, janganlah anda rasa tertekan atau terpinggir dengan usaha murni penyatuan umat Islam. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa jika sekiranya umat Islam benar-benar menghayati ajaran agama Islam, penindasan tidak akan berlaku; tidak kepada umat Islam dan tidak juga kepada yang bukan Islam. Sebagai permulaan, bacalah sejarah Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) dan empat khalifah selepasnya. Inilah yang kita citakan; agar umat Islam benar-benar menghayati ajaran agama Islam

Alhamdulillah, setakat ini saya telah memaparkan dua atau tiga Siri Etika dan Adab Semasa Berselisih Pendapat. Masih berbaki beberapa siri. Pada hemat saya, ini adalah secebis usaha untuk membekalkan kita sekalung etika dan adab, semoga dengannya dapat kita mengharungi kehidupan di bumi Malaysia ini dengan lebih beriman dan berwawasan.

Siri Etika dan Adab Semasa Berselisih Pendapat

Cetak Halaman

Siri 2: Jagalah niat semasa berselisih pendapat
(petikan dan coretan semula...)

Semasa berlakunya perselisihan pendapat, seorang mukmin hendaklah sentiasa melihat dan menilai semula niatnya. Di sinilah syaitan akan memainkan peranannya, tatkalah ada pujian atau cemuhan; mungkin sahaja seorang muslim itu terpedaya. Justeru, amalan muslim hendaklah dipastikan niatnya, jangan sekali-kali membuat sesuatu amalan tanpa niat dan jangan juga niat yang suci murni dinodai pro dan kontra manusia sejagat.

Berikut adalah beberapa perkara yang penting untuk dipertimbangkan selalu oleh muslim yang berada dalam arena perselisihan pendapat:

1. Ikhlas.
Allah Ta ‘ala telah berfirman (al-Bayyinah 98:5):

Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.

Apabila berlaku perbezaan pendapat, perkara terpenting yang akan menjamin kesejahteraan dan ikatan ukhuwwah sesama Islam ialah keikhlasan. Orang yang ikhlas hanya akan memikirkan keredhaan Allah Ta‘ala. Dengan berpegang kepada matlamat ini, dia akan sentiasa mencari penyelesaian yang terbaik berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, mengikut kefahaman generasi terawal. Dia tidak akan mendahulukan kepentingan dirinya, imamnya ataupun pendapatnya.

2. Tidak memenangkan diri.
Allah Ta ‘ala telah berfirman (al-Baqarah 2:206):

Maksudnya: Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah" timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

Orang yang ikhlas tidak akan memikirkan untuk semata-mata menang berhujjah dalam satu-satu perbicaraan. Sebaliknya dia lebih mementingkan kebenaran walaupun kebenaran itu keluar daripada musuhnya. Baginya kalah atau menang bukan perkara utama, akan tetapi matlamat tertingginya ialah untuk memartabatkan kebenaran dan menyapu bersih kebatilan.

3. Tidak menonjolkan diri.
Allah Ta ‘ala telah berfirman (al-Zumar 39:49):

Maksudnya: Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

Keikhlasan terserlah di dalam diri seseorang mukmin apabila dia menjadikan kebenaran itu sebagai ikutannya dan bukan sebaliknya iaitu menjadikan dirinya sebagai ikutan. Dia tahu apa sahaja kelebihan yang dikecapinya adalah satu pemberian daripada Allah Ta‘ala yang menuntutnya supaya bersyukur dan bukannya bermegah-megahan. Konsep ini jelas akan membentuk peribadinya yang mulia; sentiasa rendah diri dan tidak takabbur.

7.02.2010

Siri Etika dan Adab Semasa Berselisih Pendapat

Cetak Halaman

Siri 1: Bersatulah walaupun berselisihan: Mukadimah
(petikan dan coretan semula...)

Walaupun jelas kepada kita, orang-orang yang beriman, bahawa antara kewajipan utama kita ialah bersatu di bawah misi yang jelas iaitu penghambaan kepada Allah Ta‘ala berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah; tetapi secara fitrahnya juga Allah Ta‘ala telah menjadikan manusia itu berbeza-beza dalam kejadian dan penciptaan. Firman Allah Ta‘ala (al-Hujurat 49:13):

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Memandangkan kenyataan ini, sudah tentulah manusia sentiasa akan mempunyai kepelbagaian dalam setiap urusan mereka samada duniawi mahupun ukhrawi. Pastinya juga perbezaan ini adalah natijah kepada kepelbagaian mereka dalam pendidikan, pemikiran, adat dan alam sekeliling. Aspek-aspek ini telah disentuh oleh Allah Ta‘ala dalam ayat tadi dengan menekankan tujuan kejadian itu iaitu supaya mereka dapat kenal-mengenali antara satu sama lain, dan bukan sekali-kali supaya mereka kecam-mengecam antara sesama manusia.

Dalam satu ayat lain Allah Ta‘ala telah menjelaskan walaupun perbezaan itu berlaku dan berterusan, akan tetapi orang-orang yang Allah rahmati ialah yang tidak berselisihan dan tidak pula berpecah-belah. FirmanNya (Hud 11:118-119):

Maksudnya: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)".

Adab-adab perbezaan pendapat.

Setelah mendapat gambaran umum tentang sunnatullah dalam perpaduan dan perbezaan, wajarlah juga kita memerhatikan petunjuk-petunjuk al-Quran dan al-Sunnah untuk menghadapi perbezaan-perbezaan ini. Wajarlah ditekankan di sini bahawa perbincangan ini adalah berkenaan perkara-perkara yang menerima perbezaan pendapat atau dalam erti kata lain masalah-masalah yang berunsur cabang atau zanniyyat dan bukannya yang berunsur dasar atau qat‘iyyat. Perkara juz’i (cabang) atau zanni (tidak muktamad) ialah perkara yang boleh menerima perbezaan pendapat manakala perkara kulli (dasar) atau qat‘i (muktamad) tidak sekali-kali boleh dipertikaikan. Perbezaan dalam perkara dasar atau muktamad inilah yang menghasilkan kumpulan-kumpulan pecahan (al-firaq) dalam Islam.

Perbezaan dalam perkara cabang atau tidak muktamad pula, pada asalnya tidak sepatutnya menghasilkan perpecahan, namun jika diiringi dengan sikap fanatik, pertengkaran, permusuhan dan hawa nafsu; maka di sini situasi akan bertukar daripada perbezaan pendapat yang dimaafkan dan dibenarkan Syarak kepada perbezaan pendapat yang dikeji Syarak kerana ianya menghasilkan perpecahan.
Related Posts with Thumbnails