RSS Feeds

Translate


2.20.2011

Petikan daripada Majalah i, Februari 2011

Cetak Halaman

Petikan daripada Majalah i (BIL. 100 FEB 2011) hlm. 16 dan 17.

Syiah di Malaysia & Kesannya Kepada Umat Islam

FADLAN MOHD OTHMAN

Berkenaan dengan Syiah di Malaysia dan kesannya kepada umat Islam, dapatlah saya bahagikan jawapan saya kepada beberapa fasa seperti berikut:

Fasa pertama; Apakah yang dimaksudkan dengan Syiah?

Menjadi kebiasaan para ulama, apabila membicarakan perihal sesuatu perkara, mereka akan meletakkan definisi atau pengertiannya dari dua sudut utama iaitu Bahasa Arab dan Istilah. Tujuannya adalah supaya perbahasan dan perbincangan menjadi jelas dan terarah.

Di dalam Bahasa Arab, Shi’ah bererti penolong dan pembantu.

Manakala dari sudut Istilah pula, dapatlah dirumuskan bahawa Shi’ah adalah satu kumpulan manusia yang dinisbahkan kepada umat Islam, mengutamakan Ali r.a. terhadap para Sahabat yang lain dan mengutamakan keluarga Rasulullah s.a.w. yang terpilih sahaja di samping membawa kepercayaan yang menyeleweng dan terpesong berkenaan perkara-perkara asasi dalam Islam seperti ketuhanan, kenabian, al-Imamah (pemerintahan), pendirian berkenaan para sahabat, dan juga para isteri Rasulullah s.a.w. (Definisi secara terperinci dapatlah dirujuk dalam: Hukum Ulamak2 Islam Terhadap Shiah Dahulu dan Sekarang, karangan Ibnu Umar. Kuala Lumpur: Virtue Publications. Cetakan 1987. Halaman 9.)

Golongan Shi’ah terbahagi pula kepada beberapa kelompok iaitu kelompok yang melampau, pertengahan dan ikut-ikutan.

Kelompok yang melampau adalah kelompok yang menyeleweng dan mempertikaikan perkara-perkara dasar dalam Islam seperti mengatakan bahawa al-Qur’an telahpun diselewengkan oleh para Sahabat r.a., Ali lebih hebat daripada Rasulullah s.a.w., ‘Aishah isteri Rasulullah adalah penzina, Abu Bakr dan Umar adalah penjenayah, mencerca para Sahabat dan menganggap kebanyakan mereka fasiq atau murtad. Cendekiawan di kalangan kelompok inilah yang dihukum sesat dan kufur oleh ulama muktabar dalam Islam. Kelompok ini dikenali sebagai, al-Imamiyyah @ al-Ithna ‘Asyariyyah @ al-Ja‘fariyyah.

Kelompok yang pertengahan pula adalah kelompok yang dikenali sebagai Zaidiyyah yang walaupun berbeza dengan Umat Islam tetapi tidak melampau seperti kelompok pertama.

Adapun kelompok ikut-ikutan pula, mereka adalah yang mengaku Shi’ah tetapi tidak mengetahui ajaran-ajaran Shi’ah.

Fasa kedua; Adakah wujud perbezaan antara Shi’ah dan Ahlus Sunnah?

Sebelum meneruskan perbincangan, perlu rasanya dijelaskan apakah yang dimaksudkan dengan Ahlus Sunnah. Perkataan ‘Ahl’ dari sudut Bahasa Arab bererti ahli manakalah perkataan ‘Sunnah’ dari sudut Bahasa Arab bererti jalan dan cara. Melihat kepada sudut Istilah, Ahlus Sunnah membawa erti orang yang berpegang dengan manhaj dan cara pelaksanaan Islam yang dipelopori oleh Rasulullah s.a.w.

Sememangnya daripada penjelasan ringkas di atas, kita sudah dapat melihat perbezaan di antara Shi’ah dan Ahlus Sunnah. Akan tetapi untuk menjadikannya lebih nyata dan terang, marilah sama-sama kita melihat jadual berikut yang menjelaskan sebahagian pegangan Syiah yang sesat dan menyeleweng:

Syi’ah

Ahlus Sunnah

Al-Qur’an telahpun diselewengkan oleh para Sahabat r.a.

Al-Qur’an terpelihara daripada sebarang penyelewengan

Ali lebih hebat daripada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. lebih hebat daripada sekelian makhluk

‘Aishah isteri Rasulullah adalah penzina

‘Aishah isteri Rasulullah adalah suci dan merupakan Ibu kepada orang-orang yang beriman

Abu Bakr dan Umar adalah penjenayah

Abu Bakr dan Umar adalah sebaik-baik umat Islam selepas Rasulullah s.a.w. dan para nabi dan rasul

Mencerca kebanyakan para Sahabat dan menghukum mereka adalah fasiq dan murtad

Menghormati para Sahabat dan mempercayai mereka dipuji oleh Allah Ta’ala

Fasa ketiga; Apakah Syiah bahaya?

Melihat kepada perkataan ‘bahaya’, sebenarnya kita boleh bahagikan kepada dua situasi. Pertama, bahaya terhadap agama dan kedua, bahaya terhadap keselamatan.

Berkenaan bahaya Syiah terhadap agama, berdasarkan sedikit maklumat yang telahpun saya utarakan sebentar tadi, kita dapat merumuskan bahawa Syiah memang merbahaya dan menjadi antara ancaman utama yang menggugat kesucian Islam yang berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah al-Sahihah. “Bahaya” dari sudut ini jauh lebih besar daripada bahaya dari sudut keselamatan. Bahaya dari sudut keagamaan inilah yang menuntut pihak berwajib untuk bangkit menjelaskan penyelewengan yang ada pada aliran Syiah ini samada dalam bentuk seminar, wacana, forum mahupun debat atau muzakarah antara Ahlus Sunnah dan Syiah. Jika perkara ini dapat direalisasikan, masyarakat akan mendapat maklumat seimbang di antara kebenaran dan kebatilan, seterusnya dapat membuat penilaian dan pilihan yang sewajarnya.

Manakala bahaya Syiah terhadap keselamatan pula, perkara ini sebenarnya merujuk kepada kadar ketaksuban mereka yang beraliran Syiah. Setakat ini, menurut pandangan saya, Syiah di Malaysia masih belum menimbulkan apa-apa kekacauan. Ini mungkin dapat dilihat dari sudut sifat masyarakat Malaysia yang sememangnya lemah-lembut. Ertinya, “Bahaya kepada keselamatan” adalah perkara yang cukup subjektif. Mana-mana kumpulan dan aliran pun berpotensi menjadi bahaya apabila sebahagian daripada mereka yang kurang ilmu bertindak menjangkau ajaran dan garis panduan pemimpin mereka. Jika ini berlaku, perlulah dibezakan antara individu yang tersilap dengan doktrin ajaran yang dijunjung. Ketelanjuran yang mungkin berlaku tidak semestinya menggambarkan kepincangan doktrin, sebaliknya hanyalah menunjukkan kelemahan kawalan semangat dan emosi si pengikut.

Sebagai penutup, ingin saya tekankan bahawa segala bentuk penyelewengan dalam kepercayaan dan pegangan Islam perlulah ditangani dan dibanteras secara berhemah dan penuh ilmiah. Umat Islam harus dididik atas dasar “Basirah” iaitu kekuatan hujjah yang yang nyata. Allah Ta’ala telah berfirman (Yusuf 12:108):

108. Katakanlah: "Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada termasuk orang-orang yang musyrik."

Justeru, umat Islam haruslah memulakan proses pemantapan Aqidah dengan menyelami ayat-ayat al-Quran berpandukan tafsiran absah para ulama muktabar, seiringan dengan pengamatan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. berdasarkan huraian tepat ulama Ahlus Sunnah yang menitik beratkan kesahihan fakta dan kesucian ajaran Islam. Seterusnya, harus wujud sekumpulan cendekiawan atau ilmuan yang dapat menjelaskan kepada masyarakat dan membezakan antara kesucian ajaran Islam dan kedurjanaan penyimpangan doktrin menyeleweng. Semoga Allah Ta’ala memperlihatkan kepada kita kebenaran dan memudahkan kita melaksanakannya, juga memperlihatkan kepada kita kebatilan dan memudahkan kita menjauhinya. Aamiin.

2.12.2011

Ya Allah! Selamatkan bumi Mesir

Cetak Halaman

Apa yang berlaku di bumi Tunisia dan Mesir sememangnya menyedihkan. Semoga Allah memudahkan urusan mereka mendapat kebenaran dan keadilan. Kita, umat Islam di Malaysia harus bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikurniakan Allah Ta'ala. Kesyukuran itu haruslah diterjemahkan dengan penghayatan terhadap al-Quran dan al-Sunnah. Rakan-rakan Arab saya ada menyatakan bahawa rakyat Malaysia, khususnya Umat Islamnya hidup dalam pelbagai nikmat yang tidak dikecapi oleh mereka di negara mereka. Penghayatan Islam di Malaysia amat mudah berbanding sebahagian negara Arab. Mereka menambah lagi bahawa umat Islam Malaysia boleh dikatakan agak lalai; tanggungjawab dakwah kurang dipergiatkan sedangkan ruang danpeluang terbuka luas.

Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan bumi Mesir dan rakyatnya, khususnya yang Islam. Hendaklah kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di sana. Para pemimpin seharusnya menerapkan keadilan dan memastikan tanggungjawab dilaksana dengan penuh ketaqwaan, manakala rakyat pula hendaklah membantu kerajaan dalam perkara ma’ruf dan menegur dengan penuh berhemah terhadap sesuatu kemungkaran yang berlaku. Elakkanlah perpecahan dan persengketaan yang hanya akan melemahkan umat Islam di masa kita amat memerlukan kesatuan dan kekuatan.

Ya Allah, bantulah Islam dan umat Islam… Ya Allah, kembalikanlah mereka ke jalanMu…Ya Allah bantulah umat Islam agar dapat mengatasi musuh mereka… Amiin…

Related Posts with Thumbnails