RSS Feeds

Translate

3.28.2014

Lisan, Akal dan Hati

Gabungkan Lisan, Akal dan  Hati anda semasa membaca Al-Quran. 

Marilah kita memperbaiki cara kita berinteraksi dengan al-Quran al-Karim khususnya dalam Tadabbur al-Quran yang sebenarnya menggambarkan tahap kecintaan kita kepada Allah Ta’ala. 

Perhatikanlah ungkapan Al-Shaikh Jamal al-Din al-Qasimi al-Dimashqi rahimahullah (dalam kitab Mau’izat al-Mu’minin min Ihya’ ‘Ulum al-Din. Tahqiq: ‘Asim Bahjah al-Baitar. Bayrut: Dar al-Nafa’is. 1423H-2002):

فالقرآن يراد للعمل به، وأما مجرد حركة اللسان فقليل الجدوى وتلاوة القرآن حق تلاوته هو أن يشترك فيه اللسان والعقل والقلب، فحظ اللسان تصحيح الحروف بالترتيل، وحظ العقل تفسير المعاني، وحظ القلب الاتعاظ والتأثر بالانزجار والائتمار، فاللسان يرتل والعقل يترجم والقلب يتعظ.

Maksudnya: Maka al-Quran tujuannya adalah untuk diamalkan. Adapun semata-mata menggerakkan lisan maka faedahnya kurang. Tilawah al-Quran yang sebenarnya ialah yang menggabungkan lisan, akal dan hati. Fungsi lisan adalah membetulkan huruf semasa baca. Fungsi akal adalah mentafsirkan ertinya. Fungsi hati adalah mengambil pengajaran dan terkesan dengan menjauhi dan mematuhi. 
Justeru; lisan membaca, akal menterjemahkan dan hati mengambil pengajaran.
 
Semoga Allah menunjukkan kebenaran kepada kita dan memudahkan kita mempraktikkannya, sebagaimana kita berharap agar Allah Ta’ala menunjukkan kebatilan kepada kita dan memudahkan kita menghindarinya. 

Amin ya Rabbal ‘alamin.

2.09.2014

Boleh cukur janggut?

Beli Janggut

Qais bin Sa'd radhiyallahu anhu merupakan salah seorang SAHABAT Nabi shallallahu alaihi wa sallam yang meriwayatkan 16 hadis. 

Beliau merupakan antara sahabat Nabi shallallahu alaihi wa sallam yang mulia dan merupakan antara orang yang bijak pada zamannya, pemimpin kepada kaumnya, mempunyai pandangan yang bernas dan tepat di dalam peperangan. 

Beliau adalah seorang lelaki yang tampan. Namun, beliau tidak mempunyai janggut (secara asli, bukan dicukur). 

Orang Ansar berkata:

وددنا أن نشتري لقيس لحية بأموالنا 

Kami suka jika kami dapat MEMBELIKAN JANGGUT untuk Qais dengan HARTA-HARTA kami. [Tahzib Asma' 1/580]

Alangkah ganjilnya LELAKI ZAMAN SEKARANG ini.  Mereka MENCUKUR janggut yang tumbuh pada wajah mereka. 

Sedangkan  para sahabat dahulu bercita-cita untuk membelikan JANGGUT untuk sahabat ini dengan HARTA mereka. 

Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda:

أعفوا اللحى

Peliharalah JANGGUT! [Shahih Bukhari (5554), Shahih Muslim (259)]

Semoga Allah berikan taufiq untuk melaksanakan Sunnah Nabi shallallahu alaihi wa sallam.

Hukum Mencaci Ahli Bid'ah

Fatwa


سئل الشيخ عبد المحسن العباد حفظه الله:


ما حكم سب أهل البدع على المنابر بألفاظ قبيحة والاستهزاء بهم؟ 


فأجاب حفظه الله :


القبح والكلام البذيء لا يصلح،  المسلم ليس ببذيء، إنما يمكن أن يبين حالهم حتى يحذر منهم، ولا يغتر بهم أحد من الناس، وأما كونه يأتي بعبارات بذيئة سيئة قبيحة يتجاوز بها  الحدود، فهذا لا يصلح. 


4 ربيع الثاني 1435 

المسجد النبوي


Syaikh Abdul Muhsin Al-Abbad hafizahullah ditanya:


Apakah hukum memaki ahli bid'ah di atas minbar dengan perkataan yang buruk dan mempermain-mainkan mereka? 


Beliau hafizahullah menjawab:


Perkataan yang buruk dan keji tidak sepatutnya (digunakan).  Seorang Muslim bukanlah seorang yang menggunakan perkataan yang keji. Tetapi mungkin baginya untuk menjelaskan keadaan mereka sehingga manusia berwaspada (berhati hati)  dengannya dan tidak terpedaya dengannya. Adapun, menggunakan perkataan yang keji, jahat dan buruk yang melampaui batas, maka ianya tidak sepatutnya (digunakan). [Syarah Shahih Muslim, 4 Rabi' Tsani 1435,Masjid Nabawi]


(Sumber: ARAR)

Beberapa Faedah daripada Surah Yusuf

Perkongsian faedah-faedah yang dapat diambil daripada Surah Yusuf Sallallahu alaihi Wasallam (diambil daripada kitab Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, karangan al-Shaikh Abdul Rahman al-Sa’di rahimahullah):

 

1- Kisah Yusuf ini merupakan antara kisah-kisah yang paling baik, jelas dan mudah. Kisah ini mengandungi perubahan dari satu keadaan kepada satu keadaan, dari satu ujian kepada satu ujian demi ujian demi ujian dan akhirnya pemberian, dari kehinaan kepada kemuliaan, dari penghambaan kepada pemerintahan, dari perpecahan kepada kesatuan dan keharmonian, dari kesedihan kepada kegembiraan, dari kesenangan kepada kekeringan, dari kekeringan kepada kesenangan semula, dari kesempitan kepada kelapangan, dari penafian kepada pengakuan… Maha suci Tuhan yang menceritakannya dengan begitu baik, jelas dan mudah.

 

2- Surah ini merupakan asas bagi pentafsiran mimpi. Pentafsiran mimpi merupakan salah satu ilmu penting yang diberika oleh Allah Ta’ala kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Secara umumnya dapatlah ditafsirkan mimpi dengan menggunakan konsep persamaan dan keserasian dari sudut nama dan sifat. Seperti mimpi Nabi Yusuf melihat matahari, bulan dan sebelas bintang. Sebagaimana semua ini merupakan cahaya dan hiasan langit begitu juga dengan para nabi dan para alim yang menjadi teladan bagi orang ramai. Mereka menjadi cahaya yang menerangi kegelapan sebagaimana matahari, bulan dan bintang. Apabila bapanya dan ibunya merupakan asal dan adik beradiknya merupakan cabang, sesuailah dinyatakan asal dengan perkara yang lebih besar dan lebih bercahaya berbanding cabang-cabangnya. Begitulah dihuraikan matahari sebagai ibunyanya, bulan sebagai ayahnya dan bintang-bintang sebagai adik beradiknya. Kaitan lain pula ialah matahari dalam bahasa Arab bersifat muannath, itulah ibunya. Bulan dan bintang-bintang pula bersifat muzakkar, iaitulah ayahnya dan adik-beradiknya yang semuanya lelaki. Kaitan lain lagi ialah orang yang sujud pastinya mengagungkan orang yang disujud manakala orang yang disujud adalah agung dan terhormat. Ini menunjukkan Yusuf seorang yang diagungkan dan dihormati oleh ayah, ibu dan adik beradiknya.

 

3- Surah ini juga menunjukkan kebenaran Nabi Muhammad sebagai nabi dan rasul. Nabi Muhammad dapat menyampaikan kisah Nabi Yusuf dengan tepat tanpa mempelajarinya daripada orang-orang terdahulu. Baginda berada bersama kaumnya setiap masa dan merupakan orang yang tidak membaca dan tidak menulis. Akan tetapi kisah yang disampaikan kepada mereka menepati apa yang termaktub dalam kitab-kitab terdahulu.

 

4- Adalah diwajibkan menjauhkan diri daripada punca-punca keburukan dan diwajibkan menyembunyikan perkara yang mungkin boleh memudharatkan.

 

5- Nikmat Allah yang dikurniakan kepada seseorang hamba juga merangkumi sesiapa sahaja yang ada kaitan dengannya samada keluarga, kerabat mahupun sahabat. Nikmat yang disempurnakan kepada Yusuf dapat dirasai oleh keluarga Ya’qub seperti nikmat kemuliaan, pemerintahan, kegembiraan dan kesenangan.

 

6- Keadilan adalah suatu perkara yang dituntut dalam semua perkara dan bukannya dalam urusan pemerintah dengan rakyatnya sahaja. Keadilan perlu -sebagai contoh- dalam urusan bapa dengan anak-anaknya dari sudut cinta, memberi keutamaan dan lain-lain. Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, keadaan akan menjadi huru-hara. Jadi apabila Nabi Ya’qud melebihkan Yusuf  ke atas adik beradiknya, di sinilah mulanya mereka merosak keadaan mereka, adik mereka dan ayah mereka.

 

7- Perlunya berwaspada daripada kecelakaan dosa-dosa. Satu dosa akan menarik berbilang-bilang dosa. Dosa yang dirancang tidak akan wujud tanpa didahului oleh dosa-dosa lain. Sebagai contoh, apabila abang-abang Yusuf ingin mengasingkan antara Yusuf dengan ayahnya, mereka telah melakukan berbagai-bagai tipu daya dan berulangkali berbohong seperti memalsukan darah pada baju Yusuf dan berpura-pura menagis apabila pulang.

 

8- Keadaan muktamad bagi seseorang hamba itu adalah dengan kesempurnaan penghujungnya dan bukannya kekurangan permulaannya. Anak-anak Nabi Ya’qub a.s., pada mulanya mereka telah melakukan pelbagai kesalahan. Akan tetapi akhirnya mereka bertaubat dan dimaafkan oleh Yusuf dan ayah mereka, bahkan didoakan agar mendapat kemapunan dan rahmat. Jadi sekiranya seseorang hamba itu melepaskan haknya, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rahmat.

Justeru, mengikut pendapat yang terkuat, adik-beradik Yusuf adalah nabi-nabi. Al-Asbat ialah anak-anak Ya’qub yang berjumlah 12 orang serta zuriat mereka. Antara dalilnya lagi ialah mimpi Nabi Yusuf di mana baginda telah melihat 12 bintang cerah. Kecerahan pada bintang menandakan cahaya dan hidayat yang merupakan antara sifat para nabi. Kalaupun mereka tidak nabi, pasti mereka merupakan ulamak penghurai hidayat.

 

9- Nabi Yusuf a.s. dikurniakan nikmat-nikmat yang mulia seperti ilmu pengetahuan, ketenangan, akhlak mulia, dakwah kepada Allah dan agamaNya, sifat pemaaf kepada abang-abangnya yang melakukan kesalahan terhadapnya dan tidak mengungkit-ngungkit serta memalukan mereka.

Nabi Yusuf a.s. juga dikurniakan sifat mulia menghormati ayah dan ibunya, membuat kebajikan kepada saudara maranya dan juga kepada manusia sejagat.

 

10- Sesetengah kejahatan adalah ringan daripada kejahatan yang lain. justeru membuat kejahatan yang lebih ringan adalah lebih baik daripada membuat kejahatan yang lebih berat. Cadangan untuk membunuh Nabi Yusuf seperti dalam firman Allah adalah berat berbanding cadangan untuk meletaknya di dalam perigi. Oleh itu mereka tidak terbeban dengan dosa yang lebih besar. 

 

11- Sekiranya ada perkara yang dijual beli, sedangkan ada urusannya yang haram, akan tetapi orang yang kemudiannya menjual, membeli, menggunakan khidmatnya atau memanfaatkannya tidak tahu tentang pengharamannya, dia tidak berdosa. Contohnya seperti apa yang berlaku kepada Nabi Yusuf yang dijual sebagai hamba.

 

12- Perlu berwaspada dan menjauhkan diri daripada bersendirian dengan wanita-wanita yang dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah. Begitu juga dengan cinta yang memudharatkan. Isteri al-Aziz telah menimbulkan pelbagai huru-hara disebabkan dia bersendirian dengan Nabi Yusuf dan cintanya yang melampau padanya yang menyebabkan dia berusaha memikatnya kemudian berbohong terhadapnya dan menyebabkannya masuk penjara dalam tempoh yang lama.

 

13- Keinginan yang wujud dalam jiwa Nabi Yusuf terhadap wanita kemudian ditinggalkannya kerana Allah adalah merupakan sesuatu yang mendekatkannya kepada Allah Ta’ala. Ini kerana keinginan ini merupakan salah satu sifat-sifat jiwa yang sentiasa memerintahkan kepada kekejian. Sifat ini adalah sifat kebanyakan manusia. Jadi apabila Nabi Yusuf mempertimbangkan antara keinginan ini dan cinta serta ketakutan kepada Allah, cinta dan ketakutannya kepada Allah mengatasi panggilan jiwa dan nafsunya. Dengan ini Nabi Yusuf tergolong dalam golongan yang takutkan kehebatan Tuhannya dan melarang diri dari hawa nafsu. Baginda juga merupakan salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah di bawah bayangan singgahsanaNya pada hari yang tidak mempunyai bayangan kecuali bayangan singgahsanaNya. Salah satu golongan tersebut ialah “Seorang lelaki yang dipanggil oleh seorang wanita yang berkedudukan lagi jelita lalu dia menjawab ‘Aku amat takut kepada Allah’.” Di sebalik ini semua, ada satu keinginan yang tidak baik iaitu yang kekal dan berubah kepada azam bahkan boleh bertukar kepada perbuatan.

 

14- Apabila Iman masuk ke dalam hati seseorang yang menyucikan amalannya kerana Allah semata-mata, maka sesungguhnya dengan imannya yang jelas dan ikhlasnya tulus akan Allah Ta’ala menjauhkan daripadanya segala bentuk keburukan, kekejian dan punca-punca maksiat. Ini semua adalah balasan bagi keimanan dan keikhlasannya. Ini tercatat dalam bacaan ‘mukhlisin’ (orang yang ikhlas). Bagi bacaan ‘mukhlasin’ (orang yang diselamatkan) pula, ini merupakan keikhlasan Allah Ta’ala kepadanya iaitu selepas dia memurnikan amalannya kerana Allah Ta’ala, maka Allah Ta’ala pun menyelamatkannya dari keburukan dan kekejian.

 

15- Menjadi satu kemestian bagi seseorang hamba itu, apabila melihat satu tempat yang ada fitnah dan punca maksiat, supaya melarikan diri dari tempat itu sejauh mungkin. Ini supaya dia dapat menyelamatkan dirinya daripada maksiat. Apabila Yusuf digoda oleh wanita yang menjaganya, baginda bergegas lari ke arah pintu untuk menyelamatkan dirinya daripada keburukannya.

 

16- Apabila berlaku kesamaran, wajarlah digunakan petanda-petanda untuk menentukan hak atau kebenaran seseorang. Sekiranya seorang lelaki dan isterinya bergaduh tentang pingggan mangkuk maka wajarlah dihukumkan bahawa apa yang bersifat kelakian diberikan kepada lelaki itu dan apa yang bersifat kewanitaan diberikan kepada isterinya. Begitu juga bila seorang tukang kayu dan rakannya si tukang besi bergaduh tentang satu alat tukang seperti gergaji kayu, tanpa disebutkan sebarang bukti. Juga boleh digunakan petanda ‘al-Qafah’ (yang menyerupai DNA dewasa ini) dalam menentukan keserasian wajah dan keturunan. Ini semua berdasarkan kenyataan saksi dalam kisah Nabi Yusuf a.s. yang telah menghukum dengan petanda-petanda; sekiranya baju Yusuf dikoyak dari belakang… atau dari depan… dalam menentukan kebenaran atau pembohongan Yusuf a.s.

 

Contoh lain bagi kenyataan ini dalam kisah Nabi Yusuf a.s. ialah kisah piala raja yang terdapat dalam bagasi adiknya Benyamin yang mana dengan itu dia dihukum sebagai pencuri tanpa sebarang saksi atau pengakuan. Berdasarkan ini sekiranya benda yang dicuri terdapat pada seseorang pencuri yang dikenali sebagai pencuri, maka dihukum bahawa dia telah mencurinya. Perkara ini lebih besar daripada saksi. Seperti juga lelaki yang memuntahkan arak. Anak dara yang mengandung hendaklah dilaksanakan ke atasnya hudud jika tiada kemungkinan lain yang melarang perlaksanaan itu.

 

17- Yusuf a.s. mempunyai kecantikan zahir dan batin. Kecantikan zahirnya telah menyebabkan wanita yang menjaganya terfitnah juga menyebabkan wanita-wanita lain memotong tangan mereka dan berkata ‘Dia ini bukan manusia, dia adalah satu malikat yang mulia.’ Kecantikan batinnya ialah harga dirinya yang agung daripada melakukan maksiat walaupun wujudnya bergitu banyak panggilan untuk melakukannya. Isteri al-Aziz dan para wanita itu semuanya naik saksi terhadap kesucian Yusuf a.s.

 

18- Yusuf a.s. telah memilih penjara dan bukannya maksiat. Begitulah yang wajar dilakukan oleh seseorang hamba apabila diuji dengan salah satu dari dua perkara; samada membuat maksiat atau mendapat hukuman duniawi, wajarlah dia memilih hukuman duniawi dan bukannya membuat maksiat itu yang sebenarnya akan menjatuhkannya ke dalam hukuman yang lebih dahsyat di dunia dan di akhirat. Ini merupakan tanda-tanda Iman, bahawa dia benci kembali kepada kekufutan selepas diselamatkan oleh Allah Ta’ala daripadanya, sepertimana dia benci untuk dilemparkan ke dalam api neraka.

 

19- Seseorang hamba itu wajar kembali kepada Allah Ta’ala dan berlindung dengan perlindunganNya sekiranya wujud punca-punca maksiat. Dia juga mestilah berpegang dengan kuasa dan kekuatan Allah Ta’ala.

 

20- Ilmu dan akal mengajak tuannya kepada kebaikan dan melarangnya daripada keburukan. Kejahilan pula mengajak tuannya kepada amalan yang serasi dengan hawa nafsunya walaupun maksiat itu memudharatkan pembuatnya.

 

21- Membuat ibadat semasa senang adalah satu tuntutan ke atas seseorang hamba sama seperti semasa dalam kesusahan. Yusuf a.s. sentiasa berdoa kepada Allah Ta’ala. Selepas masuk penjara, baginda masih teruskan. Baginda juga mengajak dua remaja itu kepada Tauhid dan melarang mereka daripada syirik.

Satu perkara yang menunjukkan kepintaran Yusuf a.s. ialah apabila baginda melihat kesungguhan dua remaja itu untuk mendengar huraian mimpi mereka dan juga kesesuaian mereka untuk menerima dakwahnya, Nabi Yusuf a.s. telah mengambil kesempatan ini dengan menerangkan kepada mereka bahawa perkara yang menjadikan baginda seperti yang mereka lihat ialah tidak lain tidak bukan, keimanan dan tauhid serta meninggalkan agama orang yang tidak beriman dengan Allah Ta’ala dan hari akhirat. Ini adalah satu bentuk doa dengan keterampilan. Kemudian barulah baginda mendakwah mereka dengan lisan dengan menerangkan kefasadan syirik dan hakikat Tauhid dengan pendalilan yang jelas.

 

22- Hendaklah dimulakan dengan perkara yang paling penting kemudian yang penting dan seterusnya. Sekiranya seorang mufti ditanya satu soalan sedangkan orang yang bertanya memerlukan satu perkara yang lebih penting dari jawapan soalannya itu, di sini hendaklah dia menerangkan perkara yang lebih penting itu sebelum menjawab soalannya. Ini adalah tanda kepintaran mufti dan keprihatinannya serta cara yang mithali dalam memberi petunjuk dan pengajaran. Perhatikan bagaimana Yusuf a.s. telah mengajak dua remaja itu kepada mentauhidkan Allah Ta’ala sebelum menjawab pertanyaan mereka tentang mimpi.

 

23- Orang yang berada dalam satu musibah dan kesempitan dibenarkan memberitahu tentang kesusahannya atau meminta bantuan daripada orang yang berkuasa membantunya. Ini tidak bermaksud mengadu kepada makhluk kerana ini perkara biasa yang berlaku sesama manusia. Disebabkan inilah Yusuf a.s. telah meminta remaja yang dirasakan akan selamat untuk menyuarakan kisahnya kepada raja.

 

24- Seorang pengajar mestilah menghayati keikhlasan yang sempurna dalam pengajarannya. Dia tidak wajar menjadikan pengajarannya satu cara untuk mendapat balasan seseorang baik harta, kedudukan mahupun manfaat. Dia juga tidak boleh berhenti mengajar atau tidak bersungguh-sungguh mengajar jika orang yang bertanya tidak membuat apa yang dia beritahu kepadanya. Yusuf a.s. telah meminta agar salah seorang remaja itu menyebut kisahnya kepada raja. Akan tetapi dia lupa. Kemudian apabila dia datang bertanya Yusuf  a.s. tentang mimpi raja, Yusuf a.s. tidak keberatan untuk menjawab soalannya dengan jawapan yang begitu cantik dan sempurna.

 

25- Orang yang ditanya tentang sesuatu perkara mestilah mengajar orang yang ditanya perkara yang memberi manfaat kepadanya yang tidak terdapat dalam soalannya tetapi berkait rapat dengannya yang dapat membuahkan manfaat kepadanya di dunia dan di akhirat. Ini semua merupakan tanda kesempurnaan nasihat, kepintaran dan petunjuknya. Yusuf a.s. tidak hanya menghuraikan mimpi raja, sebaliknya baginda menujukkan cara yang sepatutnya mereka lakukan pada tahun-tahun kesuburan iaitu banyak bercucuk-tanam dan menuai.

 

26- Orang yang berusaha mempertahankan dan menyucikan dirinya daripada tohmahan tidak dikeji sebaliknya dipuji. Yusuf a.s. enggan keluar dari penjara sehinggalah jelas kesuciannya daripada sebarang tuduhan.

 

27- Kelebihan ilmu iaitu ilmu hukum-hakam dan agama, ilmu huraian mimpi, ilmu pengurusan dan pendidikan. Kesemua ini lebih utama daripada bentuk luaran seseorang walaupun mencapai kecantikan Yusuf a.s. Perhatikan bagaimana disebabkan kecantikan, Yusuf a.s. menghadapi pelbagai rintangan dan kesusahan. Disebabkan ilmu pula, Yusuf mengecapi kemuliaan, ketinggian dan kekuasaan. Hakikatnya ialah semua kebaikan dunia dan akhirat adalah kesan ilmu yang dimiliki.

 

28- Ilmu tentang huraian mimpi adalah termasuk ilmu-ilmu agama. Orang yang mempelajarinya dan mengajarnya mendapat pahala. Huraian mimpi termasuk juga dalam fatwa. Dengan ini, dilarang menghurai mimpi kecuali dengan ilmu.

 

29- Dibenarkan bagi seseorang itu menceritakan perihal kehebatan dirinya samada ilmu atau amalan sekiranya mendatangkan kebaikan dan tidak berniat riya’ dan tidak pula suatu pembohongan. Begitu juga dibenarkan meminta urusan pentadbiran sekiranya orang yang meminta itu lebih berkelayakan berbanding orang lain. Sekiranya ada orang lain yang lebih layak atau setanding, di sini tidak dibenarkan meminta urusan pentadbiran. Begitu juga, perkara ini tidak dibenarkan jika tujuannya bukan untuk menegakkan agama Allah Ta’ala.

 

30- Sesungguhnya Allah Ta’ala maha luas pemberianNya dan kurnianNya. Dia memberi hambaNya kebaikan dunia dan akhirat. Kebaikan akhirat berpunca dari Keimanan dan Ketaqwaan. Kebaikan akhirat lebih hebat daripada kebaikan dunia.

Seseorang hamba sewajarnya mengajak dan menjadikan dirinya rindu kepada pahala Allah Ta’ala. Dia tidak perlu sedih melihat dunia dan kecantikannya sedangkan dia tidak mampu memilikinya. Sebaliknya dia mestilah menyabarkan dirinya dengan pahala-pahala akhirat daripada Allah Ta’ala.

 

31- Menyediakan simpanan makanan yang banyak untuk menghadapi kemungkinan kemarau adalah dibenarkan sekiranya tidak mendatangkan mudharat kepada orang ramai. Ini tidak bercanggahan dengan konsep tawakal kerana erti sebenar tawakal ialah berusaha lalu berserah kepada Allah Ta’ala.

 

32- Kehebatan pengurusan Nabi Yusuf a.s. apabila baginda mengambil alih urusan ekonomi negara sehinggakan apa yang disimpan melebihi keperluan. Penduduk luar Mesir juga turut datang untuk mengambil bekalan mereka. Yusuf a.s. bijak mengagihkan dengan memberi mereka sekadar apa yang mereka perlukan sahaja dan tidak melebihi muatan seekor bintang tunggangan.

 

33- Disyariatkan melayan dan menghormati tetamu. Perkara ini merupakan antara sunnah para nabi dan rasul.

 

34- Sekiranya terdapat petanda-petanda, sangka buruk tidak menjadi haram dan tidak dilarang. Contohnya sekiranya orang yang biasa menipu memberitahu sesuatu yang benar, tidak salah jika disangkakan dia turut menipu di situ.

 

35- Mengusahakan punca-punca yang dapat menolak al-’ain atau perkara yang dibenci adalah dibenarkan, walaupun diketahui umum bahawa setiap perkara itu berlaku dengan qadha’ dan qadar. Sesungguhnya berusaha itu juga adalah dalam qadha’ dan qadar.

 

36- Dibenarkan menggunakan tipu helah untuk mendapatkan hak. Ilmu tentang cara-cara tersembunyi untuk sampai ke maksud yang mulia adalah satu perkara yang dipuji. Sebaliknya yang dilarang ialah tipu helah untuk menolak satu perkara wajib atau melakukan perkara haram.

 

37- Sekiranya seseorang itu ingin melakukan sesuatu yang dia tidak suka orang lain mengetahui tentangnya, dia boleh menggunakan kata-kata kiasan atau perbuatan yang bukan penipuan. Yusuf a.s. telah mengeluarkan piala raja dari bagasi adiknya, seolah-olah adiknya telah mencuri. Yusuf tidak berkata ‘orang yang mencuri barang kami’ atau ‘kami telah jumpa barang kami padanya’, sebaliknya Yusuf a.s. menggunakan kata-kata yang umum. Ini semua dilakukan untuk sampai ke maksud utama iaitu agar adiknya dapat tinggal bersamanya.

 

38- Tidak dibenarkan naik saksi kecuali dengan apa yang diyakini sahaja samada dengan melihat atau berita daripada orang yang dipercayai.

 

39- Kesabaran tidak bercanggahan dengan mengadu kepada Allah Ta’ala tentang kesedihannya. Orang yang sabar boleh mengadu kepada Allah Ta’ala. Akan tetapi mengadu kepada makhluk adalah suatu perkara yang bercanggahan dengan kesabaran.

 

40- Kemudahan akan tiba selepas musibah. Bersama setiap kesusahan itu ada kesenangan. Apabila kesedihan Nabi Ya’qub a.s. memanjang dan kesempitan menimpa keluarganya, di situ Allah Ta’ala mengizinkan kemudahan untuk mereka. Dengan ini jelaslah bahawa Allah Ta’ala menguji pembantu-pembantuNya dengan ujian-ujian yang berbentuk keperitan dan kesenangan agar diuji kesabaran dan kesyukuran mereka serta bertambah keimanan dan keyakinan  mereka

 

41- Dibenarkan memberitahu tentang kesempitan yang dihadapi samada kesakitan, kefakiran atau sebagainya dengan syarat tanpa rasa marah dan benci. Saudara-saudara Yusuf a.s. telah mengatakan bahawa kemudharatan telah menimpa mereka dan keluarga mereka. Dan Yusuf a.s. tidak menegur mereka.

 

42- Kelebihan Taqwa dan Sabar… semua kebaikan di dunia dan akhirat adalah kesan daripada ketaqwaan dan kesabaran. Kesudahan tuan punya taqwa dan sabar ialah kesudahan yang terbaik.

 

43- Orang yang diberikan nikmat selepas kesusahan, kefakiran dan keburukan sepatutnya mengakui nikmat tersebut serta sentiasa mengingati keadaannya dahulu agar dia mula bersyukur kembali setiap kali mengingatinya.

 

44- Tampak kelembutan Allah Ta’ala dalam membawa Nabi Yusuf a.s. dari satu keadaan kepada keadaan-keadaan yang seterusnya. Allah Ta’ala telah membawa kepadanya pelbagai kesusahan dan ujian, semua ini untuk menyampaikan baginda ke puncak destinasi mulia dan ganjaran yang tidak terhingga.

 

45- Seseorang hamba itu mestilah sentiasa meminta bantuan Allah Ta’ala agar memantapkan imannya. Dia juga mesti berusaha melakukan perkara yang membawa ke arah pemantapan imannya. Di samping itu dia hendaklah meminta agar Allah Ta’ala membaikkan kesudahannya dan menyempurnakan nikmatNya ke atasnya.

8.07.2013

Ucapan Hari Raya Aidilfitri 1434h

Assalamu alaikum warahmatullah.
Dengan penuh hormat saya, Dr Fadlan Mohd Othman dan famili mengucapkan kpd seluruh Umat Islam "Taqabbalallahu minna wa minkum" & "Selamat Hari Raya Aidilfitri"! 

Petikan Sinar Harian 6 Ogos


Di sebalik ungkapan mohon 'maaf zahir dan batin'

KUALA LUMPUR - Ungkapan 'maaf zahir batin' sudah menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia ketika memohon kemaafan terhadap kesilapan yang dilakukan terutama di pagi 1 Syawal.  
   
Namun, amalan bermaafan sesama insan tidak seharusnya ditangguh sehingga menjelang musim raya, sebaliknya perlu dilakukan dengan segera iaitu sebaik sahaja seseorang menyedari telah melakukan kesilapan.     
   
Pengerusi Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu) Dr Fadlan Mohd Othman berkata tidak terdapat dalil khusus mengenai bermaafan di hari raya dan menyifatkan perbuatan bermaafan itu sebagai satu tradisi yag menjadi amalan umat Islam di negara ini.
   
"Melihat kepada ungkapan 'maaf zahir batin', kita minta kesalahan kita dimaafkan pihak yang disalahi, jadi sepatutnya perkara itu tidak dikhususkan pada hari raya sahaja.
   
"Sebaliknya bila ada sahaja kesilapan yang kita buat pada orang, antara akhlak mulia yang diajarkan Islam ialah kita minta maaf," katanya ketika dihubungi di sini.
 
Fadlan berkata masyarakat Islam terutama kanak-kanak juga perlu dididik supaya tidak melihat pemberian duit raya ketika menziarahi saudara mara dan sahabat handai sebagai syarat wajib pada Hari Raya Aidifitri.
   
"Kalau tujuan kita (beri duit raya) untuk nak merapatkan hubungan dan mengembirakan anak-anak, itu tak ada masalah, cuma kalau benda itu bertukar menjadi syarat contohnya kita menziarah sebab nak dapat duit raya, jadi itu perlu diperbetulkan.
   
"Kita kena beritahu anak kita ini bukan syarat Hari Raya, kalau tak bagi (duit raya) pun tak ada masalah sebab ia bukan wajib dan bukan syarat, kalau kita ziarah orang pun atas dasar silaturrahim bukan bertujuan untuk dapat duit raya," katanya.  - Bernama

7.23.2013

Hikmah Ramadan_11



1.9.Konsep Terperinci Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan (Perintah)

·                     Berpuasa Ramadan secara berjemaah atau bermasyarakat. Rasulullah s.a.w. bersabda:
الصَّوْمُ يوم تَصُومُونَ وَالْفِطْرُ يوم تُفْطِرُونَ وَالْأَضْحَى يوم تُضَحُّونَ. [1]
Maksudnya: “Puasa ialah hari kamu semua berpuasa, hari raya puasa ialah hari yang kamu semua berhari raya puasa dan hari raya al-Adha ialah hari yang kamu semua berhari raya al-Adha.”

Ø    Penerapan taqwa 1: Hadith ini jelas menunjukkan agar umat Islam bersatu dalam pelaksanaan ibadah puasa. Perkara ini memupuk semangat kekitaan dan sama tinggi di kalangan masyarakat muslim. Tiada kasta dalam Islam. Orang yang mulia di sisi Allah Ta‘ala ialah orang yang bertaqwa tanpa melihat warna, bahasa, pangkat, bangsa mahupun harta. Firman Allah Ta ‘ala (al-Hujurat 49:13):

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Ø   Penerapan taqwa 2: Puasa adalah merupakan salah satu syiar Islam yang terhebat di mana ianya dilaksanakan secara bersatu, berkumpulan atau bermasyarakat. Perkara ini mendidik muslim agar sentiasa mendahulukan maslahat masyarakat melebihi maslahatnya. Ia juga mendidik muslim agar bekerjasama dalam usaha berdakwah kepada mentauhidkan Allah Ta‘ala dan menafikan unsur-unsur syirik. Sabda Rasulullah s.a.w.:
عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ ...قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ. [2]
Maksudnya: “Hendaklah kamu semua bersatu dan janganlah kamu berpecah. Sesungguhnya syaitan bersama dengan individu yang keseorangan. Syaitan akan mula jauh daripada dua orang yang bersatu. Sesiapa yang inginkan tempat yang termulia dalam syurga, hendaklah dia berpegang kepada kesatuan.”



[1]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’a al-Saum Yauma Tasumun wa al-Fitr Yauma Tuftirun wa al-Adha Yauma Tudhahhun, No. 697. Dihukum Sahih oleh al-Albani.
[2]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Fitan, Bab Ma Ja'a Fi Luzum al-Jama'ah, No. 2091. Dihukum Sahih oleh al-Albani.

Hikmah Ramadan_10



1.8.Konsep Terperinci Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan (Perintah)

·                     Berdoa sepanjang berpuasa:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْصَائمِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ [1]
Maksudnya: Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara.

Ø    Penerapan taqwa: Antara lain hadith ini menunjukkan bahawa doa orang yang berpuasa adalah makbul berpula dari masuk subuh hingga terbenam matahari. Hadith ini mendidik jiwa agar merendah diri kepada Allah dengan berdoa sepanjang masa tatkala berpuasa. Apabila sifat merendah diri ini wujud dalam jiwa muslim dengan doa dalam bulan mulia ini, pastinya dia akan meneruskan amalan mulia ini pada bulan-bulan lain. Dengan ini dia telah merealisasikan intisari ibadah, seperti dalam hadith berikut:
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ ثُمَّ قَرَأَ وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ. [2]
Maksudnya: Daripada al-Nu'man bin Basyir daripada Nabi s.a.w. sabdanya, “Doa itu ialah ibadah.” Kemudian baginda baca, {Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kepadaKu pasti akan Ku perkenankan untukmu. Sesungguhnya mereka yang sombong daripada beribadat terhadapKu akan masuk neraka Jahannam secara hina}.


[1]  HR al-‘Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir, dihukum sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1797.
[2]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Da'awat, Bab Minhu, No. 3294. Dihukum Sahih oleh al-Albani.
Related Posts with Thumbnails