RSS Feeds

Translate


5.31.2013

Kepentingan Usul al-Fiqh dalam kehidupan

huruf pertama Cetak Halaman



KEPENTINGAN DAN PERANAN USUL AL-FIQH DALAM MENGHADAPI CABARAN MASA KINI DAN BICARA BUKU “AL-USUL MIN
‘ILM AL-USUL” KARANGAN AL-SHAIKH MUHAMMAD
BIN SALIH AL-UTHAIMIN RAHIMAHULLAH

Oleh:

Dr Fadlan Mohd Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University



PENDAHULUAN:

Ilmu Usul adalah satu ilmu yang wujud sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Seperti juga ilmu-ilmu Islam yang lain, ia hanya dikumpulkan menjadi satu ilmu yang tersendiri dan lebih sistematik oleh para ulama‘ di zaman-zaman terkemudian. Sekiranya ada suara yang mengatakan ilmu Usul al-Fiqh atau ilmu Usul al-Tafsir atau ilmu Mustalah al-Hadith adalah ilmu-ilmu yang baru dan tidak terdapat dalam agama Islam, kita menjawab dengan mengatakan “Ini satu kenyataan yang betul dan salah.” Penjelasannya adalah seperti berikut:

1-      Betul; dari sudut ilmu ini tidak wujud dalam bentuk yang tersendiri dan terasing dari ilmu-ilmu Islam yang lain pada zaman Rasulullah s.a.w.. Perlu diketahui bahawa pada peringkat awal kedatangan Islam, semua ilmu-ilmu Islam wujud dalam amalan-amalan Rasulullah s.a.w. dalam bentuk yang serasi dan saling kuat-menguatkan. Di samping itu, pengasingan satu ilmu dari ilmu yang lain tidak diperlukan memandangkan kewujudan Rasulullah s.a.w. yang senang dirujuk pada bila-bila masa. Pun begitu, kita juga mendapati Rasulullah s.a.w. telah memberikan gambaran terhadap pengasingan ilmu-ilmu Islam demi pemantapannya dalam sebuah hadith yang menjelaskan tentang kemahiran para sahabat dalam disiplin-disiplin ilmu tertentu iaitu hadith berikut:
أرحم أمتى بأمتى أبو بكر وأشدهم في أمر الله عمر وأصدقهم حياء عثمان وأقرؤهم لكتاب الله أبي بن كعب وأفرضهم زيد بن ثابت وأعلمهم بالحلال والحرام معاذ بن جبل ولكل امة أمين وأمين هذة الأمة أبو عبيدة بن الجراح.[1]
Maksudnya: Di kalangan umatku; orang yang paling merahmati umatku ialah Abu Bakr. Orang yang paling tegas dalam pelaksanaan agama Allah ialah Umar. Orang yang paling pemalu ialah Uthman. Orang yang paling mahir dalam bacaan al-Qur'an ialah Ubayy bin Ka'b. Orang yang paling mahir dalam pembahagian pusaka ialah Zaid bin Thabit. Orang yang paling mahir tentang halal dan haram ialah Muaz bin Jabal. Setiap umat mempunyai pemegang amanah, dan pemegangn amanah umatku ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.

2-      Salah; jika kenyataan ini diertikan bahawa: ilmu ini bercanggahan dengan ajaran agama Islam. Sebenarnya ilmu ini tidak bercanggahan dengan ajaran agama Islam, sebaliknya ilmu ini merupakan khulasah atau intipati atau formula asli ajaran agama Islam. Sesiapa sahaja yang meneliti ilmu ini akan mendapatinya seratus peratus berlandaskan sumber-sumber Islam yang asasi iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Secara umumnya, cendekiawan pertama yang mengarang ilmu Usul al-Fiqh ialah al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi‘i  di dalam kitabnya yang masyhur iaitu al-Risalah yang merupakan pembuka bagi kitabnya al-Umm. Selepas beliau, para ulama‘ Islam tidak jemu-jemu meneruskan usaha murni memakmurkan lagi ilmu ini dengan pelbagai bentuk penulisan dan huraian.[2] Sehingga kinipun usaha ini masih berterusan. Dalam konteks Malaysia pula, dirasakan amat penting dan amat digalakkan jika ada mana-mana institusi atau individu-individu yang dapat mengarang satu kitab menyeluruh berkenaan ilmu ini besesuaian dengan kefahaman dan keadaan semasa di iklim ini.[3] Semoga Allah Ta‘ala menggerakkan dan memimpin mereka ke arah kecemerlangan.


PENGENALAN KEPADA PENULIS KITAB “AL-USUL MIN ‘ILM AL-USUL”:

Pengarang kitab ini ialah al-Shaikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin. Beliau ialah Abu ‘Abdullah Muhammad bin Salih bin Muhammad bin ‘Uthaimin al-Wuhaybi al-Tamimi lahir pada 27 Ramadhan tahun 1347H di bandar ‘Unayzah, Arab Saudi. Sejak awal beliau diberi pendidikan agama yang mendalam. Antara gurunya yang terkenal ialah Syaikh ‘Abd al-Rahman bin Nasr al-Sa’di dan Syaikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz.
Sejak tahun 1371H beliau sudah mula mengajar di beberapa institusi pengajian. Kemudian beliau, yang terkenal dengan gelaran al-Syaikh al-‘Uthaimin, menjadi salah seorang ahli majlis fatwa Kerajaan Arab Saudi dan aktif menulis dalam pelbagai subjek. Di samping itu beliau juga mengajar di Fakulti Syariah di al-Qasim. Beliau juga merupakan Imam dan khatib di Masjid Jami‘ al-‘Unayzah menggantikan tuan gurunya Syaikh Abdul Rahman al-Sa‘di.
Al-Syaikh al-‘Uthaimin terkenal dengan cara penyampaian yang menarik perhatian. Beliau juga amat disegani dan dihormati oleh penduduk kepulauan Tanah Arab khususnya dan umat Islam umumnya. Al-Syaikh al-‘Uthaimin rahimahullah meninggal dunia pada tahun 1421H.[4]

PENGENALAN KEPADA KITAB 'AL-USUL MIN 'ILM AL-USUL' KARANGAN AL-SYAIKH MUHAMMAD BIN SALIH AL-‘UTHAIMIN

Kitab ini sebenarnya merupakan sukatan pelajaran untuk pelajar-pelajar tahun 3 sekolah menengah di Arab Saudi. Walaupun begitu, kita dapati susunannya amat padat dan sesuai untuk dijadikan bahan bacaan atau kajian permulaan bagi mereka yang ingin mendapat maklumat ringkas berkenaan dengan ilmu Usul al-Fiqh ini. Kitab ini merangkumi empat perbincangan asasi ilmu Usul al-Fiqh iaitu:

1-      Hukum-hukum.
2-      Dalil-dalil iaitu al-Quran, al-Sunnah, al-Qiyas dan al-Ijma‘.
3-      Cara istinbat iaitu bentuk-bentuk petunjuk dalil-dalil tersebut.
4-      Orang yang membuat istinbat iaitu mujtahid.[5]

Kitab ini merangkumi 20 tajuk yang dipilih oleh penulis dan dihuraikan secara mudah dan jelas. Tajuk-tajuk itu ialah:

1- Usul al-Fiqh                                                                                                                       
2- Al-Ahkam (Hukum-hukum)                                                                                   
3- Al-'Ilm (Ilmu Pengetahuan)                                                                        
4- Al-Kalam (Percakapan)                                                                                          
5- Al-Amr (Perintah)                                                                                                  
6-Al-Nahy (Larangan)                                                                                    
7- Al-‘Am (Umum)                                                                                                     
8- Al-Khas (Khusus)                                                                                                  
9- Al-Mutlaq (Yang dibiar) dan al-Muqayyad (Yang dikaitkan)                               
10- Al-Mujmal (Yang samar) dan al-Mubayyan (Yang dihuraikan)              
11- Al-Zahir (Yang jelas) dan al-Muawwal (Yang ditukar maksudnya)
12- Al-Naskh (Pemansuhan)                                                                                       
13- Al-Akhbar (Hadith-hadith)                                                                                  

14- Al-Ijma' (Persepakatan/ Konsensus)                                                                                

15- Al-Qiyas (Penyamaan/ Analogi)                                                                                      
16- Al-Ta'arudh (Percanggahan)                                                                                
17- Al-Tartib bain al-Adillah (Susunan dalil-dalil)                                                    
18- Al-Mufti (Orang yang mengeluarkan fatwa) dan al-Mustafti (Orang yang meminta fatwa)                                                                          
19-Al-Ijtihad    (Usaha pengeluaran hukum)                                                                          

20- Al-Taqlid   (Mengikut ijtihad cendekiawan)                                                                                                  

Kebanyakan perbincangan akan dimulakan dengan definasi dari sudut bahasa dan istilah serta huraian bagi istilah itu. Walaupun kitab ini nampak kecil dan mudah, bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan ilmu ini, adalah amat dinasihatkan agar dapat berguru untuk memudahkan proses pemahaman dan penghadaman. Secara umumnya kitab kecil ini sesuai dijadikan permulaan bagi pelajar baru dan peringatan bagi yang sudah lama berkecimpung dalam ilmu ini.

Sudah tentu, selepas mempelajari kitab ini, wajarlah kita memantapkan lagi penguasaan ilmu ini dengan menerokai pelbagai kitab yang lebih mendalami perbahasan ilmu Usul al-Fiqh.


KEPENTINGAN DAN PERANAN USUL AL-FIQH DALAM MENGHADAPI CABARAN MASA KINI:

Al-Shaikh al-‘Uthaimin telah berkata,“Sesungguhnya di dalam apa sahaja ilmu, perkara yang amat penting bagi orang yang ingin mempelajarinya ialah mengkaji dasar-dasarnya yang dapat membantu memahami ilmu tersebut. Pengajian dasar-dasar sesuatu ilmu akan menjadikan pengkaji itu seorang yang mempunyai tapak yang kuat dalam ilmu itu. Pepatah ada menyatakan bahawa orang yang tidak dapat memahami dasar, tidak dapat sampai ke mana.”[6]

Salah satu perbincangan dalam ilmu Ushul al-Fiqh ialah berkenaan dengan syarat-syarat ijtihad dan mujtahid. Ini merupakan satu perkara penting dalam pensyariatan agama Islam kerana dalil-dalil dalam agama Islam secara kasarnya boleh dibahagikan kepada dua seperti berikut[7]:



Dalil-dalil
Dari sudut al-Thubut (ketetapan)
Dari Sudut al-Dilalah (pengertian)


Qat‘i (Pasti dan jelas)

Al-Quran / Hadith Mutawatir

(Al-Quran / Hadith Mutawatir/ Hadith Ahad)
Wajib solat, wajib zakat, haram riba dan haram zina.


Zanni (Perlu dikaji dan diteliti)

Hadith Ahad

(Al-Quran / Hadith Mutawatir/ Hadith Ahad)
{ثلاثة قروء} البقرة 228
{لامستم النساء} النساء 43
[لا يصلين أحدكم العصر إلا في بني قريظة] البخاري


Kita dapati para ulama’ sebulat suara menerima kesempurnaan agama Islam dan sumbernya. Persoalannya ialah dalam menghadapi isu-isu semasa yang tidak disebut secara terperinci di dalam al-Quran dan al-Sunnah, apakah yang sepatutnya dilakukan untuk mendapatkan hukumnya? Di sinilah terserlahnya fungsi ilmu Usul al-Fiqh di mana ilmu ini menjana pemikiran para mujtahid dan juga mufti untuk mengkaji dasar dan formula yang telah dinyatakan oleh dua sumber asasi ini demi untuk mengeluarkan satu hukum yang sesuai samada dari sudut dalil, pendalilan dan logik. Perlulah diketahui bahawa tiada pertentangan hakiki antara pensyariatan agama Islam dan logik akal.

Secara umumnya, para mufti dan para mujtahid samada yang mutlak, muqayyad atau juz’i[8], merekalah yang berkewajipan untuk meneliti dasar dan formula itu. Dengan melakukan demikian umat Islam sentiasa dapat mengatasi masalah-masalah yang ditimbulkan oleh kemajuan duniawi atau kejahilan dalam agama atau kedua-duanya sekali. Sekiranya mereka mempunyai penguasaan ilmu Usul al-Fiqh yang mantap, dengan mudah mereka dapat menghasilkan istinbat-istinbat yang bernas dan relevan.

Al-Shaykh Muhammad al-Khudari ada mengutarakan satu persoalan yang mungkin timbul iaitu ilmu Usul al-Fiqh sudah tidak relevan kerana pintu ijtihad telahpun ditutup. Beliau kemudiannya menerangkan bahawa para ulama‘ yang mengeluarkan fatwa agar pintu ijtihad ditutup, sebenarnya mereka mempunyai alasan tersendiri bagi tindakan itu. Apabila mereka melihat kebanyakan orang yang belum berkeahlian untuk membuat ijtihad telah ‘berijtihad’, mereka merasakan perlu supaya pintu ijtihad ditutup agar ijtihad tidak disalahgunakan. Pada masa yang sama mereka masih lagi aktif mengembangkan ilmu Usul al-Fiqh ini yang pada dasarnya merupakan alat-alat asasi bagi seorang mujtahid mengeluarkan hukum dari dalil-dalilnya. Justeru, ilmu Usul al-Fiqh ini sebenarnya membekalkan kemampuan kepada seseorang muslim dalam keadaan-keadaan berikut:

1-      Untuk membezakan antara ijtihad-ijtihad para mujtahid, yang manakah lebih menepati kebenaran.

2-      Untuk mengkaji usaha ijtihad mereka di mana sekiranya timbul satu perkara baru yang menuntut penghasilan hukum, individu itu dapat memanfaatkan kajiannya bagi mengeluarkan hukum yang sesuai untuk perkara baru itu berlandaskan perjalanan ijtihad para mujtahid terdahulu.

Berdasarkan inilah kita dapati ilmu Usul al-Fiqh ini pada hakikatnya merupakan keperluan dan kemestian bagi para mujtahid, mufti dan pengkaji ilmu Islam yang mementingkan metod istinbat hukum-hukum.[9]

Di samping para Mujtahid, ilmu Ushul al-Fiqh juga merupakan satu perkara asasi dalam membina individu Muslim. Dengan ilmu ini seseorang individu Muslim dapat menghindari dari beberapa kesilapan yang sering berlaku dalam umat Islam seperti:

1-      Terlampau berani dalam mengeluarkan hukum walaupun hukum itu bercanggahan dengan dasar-dasar yang terdapat dalam agama. Kecenderungan ini dapat dilihat dalam individu atau kumpulan yang sering inginkan perubahan dalam amalan umat Islam yang dianggap mereka sebagai tidak adil dan tidak sesuai dengan sesuatu masa, tempat atau kaum.

Contohnya ialah penyamaan wanita dengan lelaki.
-          Isu semasa: Solat wanita sebagai Imam.
-          Individu dan kumpulan yang terlibat: Kumpulan yang memperjuangkan hak wanita dll.
Berkenaan pejuang hak wanita, jika dikaitkan dengan Usul al-Fiqh, kita dapati mereka tidak memahami konsep al-Qiyas. Kekeliruan juga berlaku dalam konsep percanggahan antara dalil-dalil.

2-      Terlampau berjaga-jaga dan takut dalam mengeluarkan hukum. Ini menyebabkan berlakunya pautan kepada amalan-amalan atau kefahaman menyeleweng walaupun diakui kekurangannya.

Contohnya ialah amalan mengupah orang membaca ayat-ayat al-Quran al-Karim supaya sampai pahalanya kepada si mati. Seperti juga amalan keluarga jenazah yang menjamu para hadirin yang datang menziarahi jenazah. Amalan ini menjadi lebih kronik jika ada unsur memandang rendah orang yang menegur walaupun dibawa dalilnya sekali. Walaupun sebenarnya diakui oleh sebahagian atau kebanyakan masyarakat bahawa amalan ini memberatkan mereka yang tidak berkemampuan.
-          Ini merupakan salah faham terhadap konsep al-Taklif. Manusia hanya mukallaf semasa dia hidup. Apabila mati amalan terputus kecuali apa yang dinyatakan oleh dalil. Amalan pertama (mengupah) tadi tidak berdalil atau tidak mempunyai pendalilan tepat manakala amalan kedua (menjamu) bersalahan dengan dalil yang warid.

3-      Tidak dapat memberi penekanan seimbang kepada isu-isu agama.

Contohnya ialah amalan menekankan dakwah tanpa ilmu atau dakwah dengan mengabaikan kebajikan keluarga.
-          Ini merupakan salah faham terhadap konsep al-Akhbar (al-Ahadith). Di mana amalan Rasulullah s.a.w. dilihat dari sudut tertentu dan tidak menyeluruh.



KESIMPULAN BERKENAAN ILMU USUL AL-FIQH:

Secara ringkasnya dapatlah dirangkumkan kepentingan dan peranan ilmu Ushul al-Fiqh seperti berikut:

1-      Mengawal kaedah pendalilan dengan membezakan antara dalil-dalil yang sahih dan dalil-dalil yang palsu.
2-      Menjelaskan bentuk pendalilan yang tepat kerana bukan semua dalil yang sahih digunakan dengan cara pendalilan yang betul.
3-      Memudahkan usaha Ijtihad dan mengeluarkan hukum yang sesuai dengan perkara baru yang berbangkit.
4-      Menerangkan kaedah-kaedah fatwa, syarat-syarat mufti dan adab-adabnya.
5-      Menerangkan punca-punca perselisihan ulama dan mencari alasan dan kelonggaran untuk mereka.
6-      Mengajak kepada ikutan terhadap dalil dan meninggalkan sifat fanatik dan taqlid buta.
7-      Memelihara aqidah Islam dengan menjaga dasar-dasar pendalilan dan menyanggah kesamaran golongan menyeleweng.
8-      Memelihara fikah Islam daripada dua perkara iaitu kelonggaran yang berpunca daripada menerima sumber-sumber baru untuk pensyariatan, dan kebekuan yang berpunca daripada dakwaan pintu Ijtihad dikunci.
9-      Mengawal kaedah-kaedah perdebatan dan perbincangan dengan selalu merujuk kepada dalil-dalil yang sahih lagi muktabar.
10-  Menjelaskan toleransi Islam, kemudahannya dan juga kebaikannya.[10]


PENUTUP

Akhir kata, semoga lembaran-lembaran ini dapat membei manfaat kepada penyusun dan juga kepada semua yang membaca dan menelitinya. Didoakan juga agar Allah Ta’ala mengampunkan segala kelemahan dan kekurangan. Dia jualah yang membuka hati dan menunjukkan jalan hidayat. Solat dan salam ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga, para sahabat dan saudara-saudaranya.[11]






















[1]  Hadith riwayat Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa’I, Ibnu Hibban dan lain-lain, dihukum sahih oleh al-Shaykh al-Albani dalam: Sahih al-Jami‘ al-Saghir wa Zayadatih, al-Maktab al-Islami, Bayrut, 1408h-1988, cetakan ke 3, jil. hlm. 216, hadith no. 895.
[2]  Sila lihat: al-Ashqar, Muhammad Sulayman Abdullah, al-Wadih fi Ushul al-Fiqh li al-mubtadi’in ma‘a as’ilah li al-munaqashah wa tamrinat, Dar al-Nafa’is, al-Urdun, 1421h-2001, cetakan 5, hlm. 14-15.
[3]  Sila lihat Dr Muhammad Bakir Hj. Yaakum, Usul Fiqh Dalam Konteks Masyarakat Malaysia: Antara Keperluan Dan Pemahaman, dalam Prosiding Seminar Usul Fiqh, K.U.I.M., 2004, hlm. 157
[4]  Sila lihat: http://www.ibnothaimeen.com/all/Shaikh.shtml
[5]  Al-Khudari, Al-Shaykh Muhammad, Ushul al-Fiqh, Dar al-Hadith, al-Qahirah,1424h-2003m, hlm. 7.
[6]  Lihat: al-Uthaimin. Usul al-Tafsir, Muqaddimah.
[7]  Lihat: Zaydan, Dr. Abdul Karim. al-Wajiz fi Ushul al-Fiqh, Muassasah al-Risalah, Bayrut, Lubnan, 1422h-2001, hlm. 406. Lihat juga: Ustaz Abdul Rasyid, Dr Azwira dan Ustaz Fadlan. Khilaf Dalam Islam: Sebab dan Adab, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 19-21.
[8]  Zaydan, Dr. Abdul Karim. al-Wajiz fi Ushul al-Fiqh, hlm. 408.
[9]  al-Khudari, Al-Shaykh Muhammad, Ushul al-Fiqh, Dar al-Hadith, al-Qahirah,1424h-2003m, hlm. 18.
[10]  al-Jizani, Muhammad bin Husayn  bin Hasan, Ma‘alim Ushul al-Fiqh  ‘ind Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, Dar Ibn al-Jayzi, al-Riyadh, cetakan kedua, 1419h-1998, hlm 24.
[11]  Kertas kerja ini telah diedit semula pada 14/6/2010.
Related Posts with Thumbnails