RSS Feeds

Translate


1.24.2010

Catatan hadith dalam penulisan ilmiah

Cetak Halaman

Assalamu alaikum ikhwah yang dihormati sekelian.

Menghadapi dunia penulisan ilmiah yang merangkumi apa sahaja bentuk penulisan yang mengandungi ilmu yang bermanfaat samada jurnal, tesis, buku, makalah dalam surat khabar mahupun majalah, saya merasakan ada kekurangan yang perlu ditangani oleh umat Islam dengan kadar segera namun minima… Kekurangan itu ialah perihal rujukan sesuatu hadith yang dibawa dalam penulisan ilmiah tersebut. Saya telah membentangkan permasalahan ini dalam beberapa siri wacana dan seminar (terakhirnya di Seminar Takhrij Universiti Malaya Disember 2009). Untuk tujuan perkongsian maklumat, saya merasa terpanggil untuk memuatkan sedutan kertas kerja yang mengupas permasalahan ini. Saya hanya memilih bahagian yang berkenaan sahaja untuk memudahkan para pembaca sekelian. Bahagian yang dimaksudkan adalah seperti berikut, semoga mendapat manfaat:

1. Tahap-tahap pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith dalam penulisan ilmiah:

Selepas dilakukan takhrij iaitu usaha mengenalpasti sumber sesuatu hadith, seseorang pengkaji itu akan membentangkan natijah usahanya itu. Pembentangan ini dilakukan dalam bahan bertulis. Apakah bentuk pembentangan al-Takhrij yang unggul? Perkara ini dapat dikategorikan seperti berikut:

1.1. Pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith tahap kelas pertama
Pembentangan al-Takhrij tahap kelas pertama ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a. Telah merujuk kepada semua sumber autentik Hadith merangkumi sumber asal, separa asal dan bukan asal.
b. Mencatatkan kesemua sumber-sumber itu dengan menjelaskan Kitab dan Bab serta Nombor.
c. Melakukan dan mencatatkan analisa sanad dan matan hadith dari sumber-sumber itu.
d. Menjelaskan tahap kesahihan hadith secara terperinci berdasarkan biodata periwayat dan ketepatan matan, dengan menyatakan kata-kata ulamak yang muktabar atau penilaian sendiri.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas pertama ini dilakukan dalam karangan-karangan ilmiah para ulama dan tesis-tesis ilmiah para siswazah yang sememangnya menjurus kepada bidang al-Takhrij.

1.2. Pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith tahap kelas kedua
Pembentangan al-Takhrij tahap kelas kedua ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a. Telah merujuk kepada satu atau beberapa sumber autentik Hadith yang asal sahaja.
b. Mencatatkan sumber-sumber itu dengan menjelaskan Kitab dan Bab. Nombor pula mungkin dinyatakan.
c. Menjelaskan tahap kesahihan hadith itu secara agak terperinci, dengan menyatakan kata-kata ulamak yang muktabar atau penilaian sendiri.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas kedua ini dilakukan dalam karangan-karangan ilmiah para ulama dan tesis-tesis ilmiah para siswazah yang tidak menjurus kepada bidang al-Takhrij.

1.3. Pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith tahap kelas ketiga
Pembentangan al-Takhrij tahap kelas ketiga ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a. Telah merujuk kepada satu sumber autentik Hadith yang asal sahaja.
b. Mencatatkan sumber itu dengan menjelaskan Kitab dan Bab. Nombor pula mungkin dinyatakan.
c. Menjelaskan tahap kesahihan hadith itu secara ringkas, dengan menyatakan kata-kata ulamak yang muktabar atau penilaian sendiri.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas ketiga ini dilakukan dalam karangan-karangan ilmiah para ulama dan tesis-tesis ilmiah para siswazah yang tidak menjurus kepada bidang al-Takhrij dan bertujuan untuk ringkas.

Nota:
1. Mengapa nombor hadith dirasakan tidak penting dalam tahap 2 dan tahap 3, berbanding penyataan kitab dan bab?
Penulis menjelaskan dalam pembentangan Takhrij al-Hadith tahap kelas kedua dan ketiga bahawa nombor hadith boleh ditulis atau sebaliknya kerana penulis dapati di luar sana terdapat pelbagai cetakan bagi sumber-sumber hadith merangkumi sumber primer, sekunder dan tritier. Nombor hadith dalam satu cetakan mungkin sahaja akan berbeza dengan nombor hadith yang sama dalam cetakan lain. Para ilmuan di Malaysia pula tidak pernah bersepakat untuk memilih cetakan sumber hadith yang spesifik. Justeru, sekiranya sesuatu penulisan ilmiah itu hanya menyatakan nombor hadith sahaja, tanpa nama kitab mahupun bab, perkara ini akan merumitkan proses siasatan lanjutan terhadap kesahihan maklumat berkenaan hadith tersebut, seperti pendalilan, terjemahan dan status. Sebaliknya, jika nama kitab dan nama bab dinyatakan, proses siasatan dan penjejakan akan dapat dibuat dengan mudah kerana kitab dan bab kebiasaannya serata walaupun dalam cetakan-cetakan yang berbeza.

2. Mungkin akan timbul satu soalan lain iaitu perkara ini tidak relevan dengan adanya pelbagai perisian hadith yang canggih dan dapat menjejak sesuatu hadith dengan tuntas dan pantas.
Penulis menjawab soalan ini dengan mengatakan bahawa perisian hadith yang canggih ini tidak dimiliki oleh semua ilmuan yang berkecimpung dalam bidang hadith apatah lagi oleh ilmuan yang berada dalam pengkhususan lain. Di samping itu, apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga seperti keterbatasan akses internet ataupun keghaiban letrik, pastinya rujukan bercetaklah yang akan menjadi teman setia ilmuan terbabit.

1.4. Pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith tahap gagal
Pembentangan al-Takhrij tahap gagal ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a. Tidak menekankan rujukan kepada mana-mana sumber autentik Hadith. Mungkin dinyatakan dan mungkin juga tidak.
b. Tidak menekankan catatan terperinci sumber autentik. Mungkin dibuat dan mungkin juga tidak.
c. Tidak menjelaskan langsung tahap kesahihan hadith itu.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas kedua ini dilakukan dalam karangan-karangan individu yang tidak terdedah kepada ilmu Hadith.

(Selesai nukilan) Semoga dengan penjelasan ini, kita lebih berhati-hati dalam penulisan hadith yang dimasukkan ke dalam semua penulisan ilmiah.

1.16.2010

"Siapa Betul?"

Assalamualaikum w.b.t



Untuk melihat rakaman selanjutnya, sila muat turun di sini.

Sekian

Wassalam

1.04.2010

Ustaz Fadlan di Konvensyen Sunnah Ke 5

Tajuk: "Dakwah Melalui Media - Keperluan, Peluang dan Cabaran"



Untuk melihat rakaman video selanjutnya sila ke pautan berikut:

TV SUNNAH 2

Sekian

Wasslam
Related Posts with Thumbnails