RSS Feeds

Translate


7.23.2013

Hikmah Ramadan_11



1.9.Konsep Terperinci Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan (Perintah)

·                     Berpuasa Ramadan secara berjemaah atau bermasyarakat. Rasulullah s.a.w. bersabda:
الصَّوْمُ يوم تَصُومُونَ وَالْفِطْرُ يوم تُفْطِرُونَ وَالْأَضْحَى يوم تُضَحُّونَ. [1]
Maksudnya: “Puasa ialah hari kamu semua berpuasa, hari raya puasa ialah hari yang kamu semua berhari raya puasa dan hari raya al-Adha ialah hari yang kamu semua berhari raya al-Adha.”

Ø    Penerapan taqwa 1: Hadith ini jelas menunjukkan agar umat Islam bersatu dalam pelaksanaan ibadah puasa. Perkara ini memupuk semangat kekitaan dan sama tinggi di kalangan masyarakat muslim. Tiada kasta dalam Islam. Orang yang mulia di sisi Allah Ta‘ala ialah orang yang bertaqwa tanpa melihat warna, bahasa, pangkat, bangsa mahupun harta. Firman Allah Ta ‘ala (al-Hujurat 49:13):

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Ø   Penerapan taqwa 2: Puasa adalah merupakan salah satu syiar Islam yang terhebat di mana ianya dilaksanakan secara bersatu, berkumpulan atau bermasyarakat. Perkara ini mendidik muslim agar sentiasa mendahulukan maslahat masyarakat melebihi maslahatnya. Ia juga mendidik muslim agar bekerjasama dalam usaha berdakwah kepada mentauhidkan Allah Ta‘ala dan menafikan unsur-unsur syirik. Sabda Rasulullah s.a.w.:
عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ ...قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ. [2]
Maksudnya: “Hendaklah kamu semua bersatu dan janganlah kamu berpecah. Sesungguhnya syaitan bersama dengan individu yang keseorangan. Syaitan akan mula jauh daripada dua orang yang bersatu. Sesiapa yang inginkan tempat yang termulia dalam syurga, hendaklah dia berpegang kepada kesatuan.”



[1]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’a al-Saum Yauma Tasumun wa al-Fitr Yauma Tuftirun wa al-Adha Yauma Tudhahhun, No. 697. Dihukum Sahih oleh al-Albani.
[2]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Fitan, Bab Ma Ja'a Fi Luzum al-Jama'ah, No. 2091. Dihukum Sahih oleh al-Albani.

Hikmah Ramadan_10



1.8.Konsep Terperinci Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan (Perintah)

·                     Berdoa sepanjang berpuasa:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْصَائمِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ [1]
Maksudnya: Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara.

Ø    Penerapan taqwa: Antara lain hadith ini menunjukkan bahawa doa orang yang berpuasa adalah makbul berpula dari masuk subuh hingga terbenam matahari. Hadith ini mendidik jiwa agar merendah diri kepada Allah dengan berdoa sepanjang masa tatkala berpuasa. Apabila sifat merendah diri ini wujud dalam jiwa muslim dengan doa dalam bulan mulia ini, pastinya dia akan meneruskan amalan mulia ini pada bulan-bulan lain. Dengan ini dia telah merealisasikan intisari ibadah, seperti dalam hadith berikut:
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ ثُمَّ قَرَأَ وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ. [2]
Maksudnya: Daripada al-Nu'man bin Basyir daripada Nabi s.a.w. sabdanya, “Doa itu ialah ibadah.” Kemudian baginda baca, {Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kepadaKu pasti akan Ku perkenankan untukmu. Sesungguhnya mereka yang sombong daripada beribadat terhadapKu akan masuk neraka Jahannam secara hina}.


[1]  HR al-‘Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir, dihukum sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1797.
[2]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Da'awat, Bab Minhu, No. 3294. Dihukum Sahih oleh al-Albani.

Hikmah Ramadan_9



1.7.Konsep Terperinci Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan (Perintah)

·                     Mengaitkan kegembiraan dengan ketaatan terhadap Allah:
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ. [1]
Maksudnya: Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; semasa dia berbuka dia akan gembira dan semasa dia berjumpa dengan Tuhannya dia akan bergembira dengan puasanya.
                       
Ø    Penerapan taqwa: Allah Ta‘ala mengkhabarkan bahawa muslim yang berpuasa wajar berasa gembira semasa berbuka puasa di dunia ini dan semasa berjumpa dengan Tuhannya di akhirat kelak. Ini menunjukkan betapa kegembiraan sepatutnya sentiasa dikaitkan dengan ketaatan dan nikmat sebagaimana kesedihan sewajarnya sentiasa dikaitkan dengan maksiat dan musibah.


[1]  HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Hal Yaqulu Inni Sa’im Idza Shutim. No. 1904.
Related Posts with Thumbnails