RSS Feeds

Translate


9.03.2010

Status Hadith

Cetak Halaman

Sekadar berkongsi maklumat. Saya ditanya tentang hadith yang diriwayatkan melalui Abdullah bin Abi Aufa r.a. (dan juga Abdullah bin Umar):
نوم الصائم عبادة ، وصمته تسبيح ، ودعاؤه مستجاب ، وعمله مضاعف
Maksudnya: Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

Lalu saya mencarinya di laman dorar.net dan hasilnya:
1. Al-Imam al-Baihaqi (dalam Shu‘ab al-Iman 3/1437) berkata:
فيه معروف بن حسان ضعيف وسليمان بن عمرو النخعي أضعف منه
Maksudnya: “Dalam sanadnya terdapat Ma‘ruf bin Hassan yang da‘if dan juga Sulaiman bin ‘Amr al-Nakha‘i yang lebih da‘if daripadanya.”

2. Al-Hafiz al-‘Iraqi (dalam Takhrij al-Ihya’ 1/1437) berkata:
إسناده ضعيف
Maksudnya: “Sanadnya da‘if.”

3. Al-Shaikh al-Albani (dalam Da‘if al-Jami‘ 5972 dan al-Silsilah al-Da‘ifah 4696) berkata:
ضعيف
Maksudnya: “Da‘if.”

Sila lihat: http://www.dorar.net/enc/hadith/%D9%86%D9%88%D9%85+%D8%A7%D9%84%D8%B5%D8%A7%D8%A6%D9%85/+p

Siri Etika Dan Adab Semasa Berselisih Pendapat

Siri 3: Fikirlah berkali-kali sebelum mengeluarkan hukum tatkala berselisih pendapat
(petikan dan coretan semula...)


Kecenderungan orang yang bersalahan ialah ke arah mengeluarkan hukum yang tidak rasional. Ini mungkin kerana dia tidak terdidik untuk menghadap tekanan perselisihan. Padanya, dia sahaja yang betul, orang lain pasti salah. Justeru, mudah dia untuk melabel pihak yang menyalahinya dengan pelbagai tuduhan dan labelan.

Untuk menghadapi perkara ini, amatlah wajar jika kita dapat meneliti perbincangan-perbincangan berikut:

1. Selidik terdahulu.
Firman Allah Ta‘ala (al-Nisa’ 4:94):

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.

Apabila ada orang yang menyampaikan sesuatu berita tentang seseorang kepada kita, langkah pertama yang mesti diambil kira ialah menapis berita itu dan menelitinya dengan mengambil kira beberapa sudut iaitu:
** Pembawa berita; adakah berkelayakan atau sebaliknya. Sekiranya pembawa tidak berwibawa tolaklah berita itu awal-awal lagi. Sekiranya pembawa agak berwibawa, pindahlah ke sudut kedua iaitu:
** Berita itu sendiri;
o Adakah disampaikan dengan betul atau telah disalaf tafsirkan oleh pembawanya. Kerap berlaku, apabila berita disampaikan, pembawa tersalah tafsir. Justeru, adalah tidak adil kiranya kita terus memberi hukum tanpa diminta lafaz sebenar yang diutarakan oleh pembicara.
o Adakah bertentangan dengan apa yang kita ketahui tentang orang yang dibicarakan. Sekiranya kita telah kenal dengan pembicara sekian lama, tiba-tiba dibawa berita yang menyalahi sifatnya, eloklah kita menolaknya dan memberikan alasan-alasan yang berkemungkinan. Pepatah “disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga” tidak sesuai diaplikasikan di sini. Sebaliknya kaedah “sesungguhnya kebaikan-kebaikan akan menghapuskan keburukan-keburukan” sebenarnya lebih sesuai.

Cadangan yang dipercayai bernas ialah dengan menggunakan segala kemudahan teknologi dan kemodenan terkini untuk dimanfaatkan dalam langkah pertama ini. Hubungilah pembicara dan dapatkan kepastian daripadanya tanpa sebarang perantaraan…

2. Tidak terlalu cepat mengeluarkan hukum.
Pada masa yang sama, jika sampai berita bahawa seseorang telah melakukan sesuatu yang berbeza dengan pandangan kita, sewajarnya diberikan sedikit masa untuk pemikiran kita menghadamkan perkara itu; memahami dan merumuskannya dengan rasional atau waras. Kewarasan dan tenang amat diperlukan di sini. Di dalam sebuah hadith:
َقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلْأَشَجِّ أَشَجِّ عَبْدِ الْقَيْسِ إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ
Maksudnya: Rasulullah s.a.w. telah berkata kepada al-Ashaj dari kabilah Abdul Qais, “Sesungguhnya di dalam diri kamu terdapat dua sifat yang disukai Allah; kewarasan dan tenang.”

3. Hukum ke atas perbuatan dan bukannya pembuat.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
يَا أَبَا ذَرٍّ أَعَيَّرْتَهُ بِأُمِّهِ إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ
Maksudnya: Wahai Abu Zar, adakah engkau menghinanya dengan ibunya? Sesungguhnya engkau seorang lelaki yang mempunyai satu sifat jahiliyyah.

Di dalam mengeluarkan sesuatu hukum, kita dapati secara umumnya dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah memfokuskan kesalahan yang dilakukan dan bukannya peribadi orang yang melakukannya . Ada juga peribadi-peribadi yang dikecam secara terus, akan tetapi ini sedikit berbanding dengan bahagian yang pertama. Kita hanya menghukum dengan yang zahir, Allah lah yang menghukum dengan yang batin. Kita digalakkan supaya memberi peluang kepada orang yang melakukan kesalahan, walaupun hukuman tetap dijalankan. Kelemahan manusia amat diambil berat oleh Syarak. Dalam erti kata lain, walaupun hukuman dijalankan, peluang masih ada jika dan sekiranya seseorang itu meninggal perbuatan keji yang dicela.

4. Tidak membidas (jarh) pembuat dengan bidasan yang keras.
Allah Ta‘ala telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada kita. Antara nikmat-nikmat itu ialah nikmat berbicara. Anggota yang berbicara ialah lidah dan mulut. Akan tetapi, berwaspadalah wahai saudaraku, ingatlah “Sebab pulut santan terasa, sebab mulut badan binasa”! Di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah juga terdapat begitu banyak dalil yang mengarahkan agar kita menjaga pertuturan kita. Justeru, amat malang jika kita tidak mengendahkan perintah suci ini.

Sabda Rasulullah s.a.w. :
أُتِيَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم بِرَجُلٍ قَدْ شَرِبَ الْخَمْرَ قَالَ [ اِضْرِبُوْهُ.] قَالَ أَبُوْ هُرَيْرَةَ : فَمِنَّا الضَّارِبُ بِيَدِهِ وَالضَّارِبُ بِنَعْلِهِ وَالضَّارِبُ بِثَوْبِهِ. فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ: أَخْزَاكَ اللهُ. قَالَ [ لاَ تَقُوْلُوْا هَكَذَا، لاَ تُعِيْنُوْا عَلَيْهِ الشَّيْطَانَ.]
Maksudnya: Seorang lelaki yang telah minum arak telah dibawa kepada Nabi. Baginda mengarahkan, “Pukul dia.” Berkata Abu Hurairah, “Maka di antara kami, ada yang memukul dengan tangan, memukul dengan kasut, dan memukul dengan pakaian. Apabila dia berpaling (untuk pulang), beberapa orang dari kaum yang hadir telah berkata, “Semoga Allah menghina kamu.” Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Jangan kamu semua sebut begitu, jangan membantu syaitan merosakkannya.”

Setelah didapati memang benar orang yang menyalahi kita tersasar, hukum ke atasnya hendaklah dikeluarkan dengan penuh kesopanan. Apa yang Allah Ta‘ala tetapkan pastinya diutamakan. Akan tetapi, tambahan-tambahan yang tidak diperlukan sepatutnya dijauhi dan dihindari. Sebutan-sebutan yang berbaur kecaman dan celaan, yang secara umumnya memutuskan harapan untuk berbalik ke pangkal jalan tidak harus dilafazkan oleh orang yang memusuhi syaitan. Sebutan-sebutan ini hanya akan memudahkan syaitan dan menyulitkan lagi usaha al-Islah (baik-pulih). Kelembutan seiringan dengan ketegasan amat membantu usaha menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.
Related Posts with Thumbnails