RSS Feeds

Translate


7.07.2011

"Demi Masa..."

Cetak Halaman

Panggilan Sya‘ban

Taqwim hari ini telahpun menunjukkan 5 Sya’ban 1432 Hijrah bersamaan 7 Julai 2011. Ini bererti satu musim mulia telahpun mendekati Umat Islam di Malaysia khususnya dan di serata ceruk dunia umumnya. Musim itu tidak lain tidak bukan adalah musim pesta ibadah di dalam Bulan Ramadan, yang didahului dengan musim mulia Bulan Sya’ban. Begitulah Allah Ta‘ala meletakkan musim-musim kebajikan silih berganti agar hamba-hambaNya dapat menggilap semula keimanan yang mungkin pudar dengan pelbagai tribulasi kehidupan sepanjang zaman. Di dalam beberapa bulan yang lepas, pastinya kesibukan menyusun dan mengatur urusan duniawi sedikit sebanyak menjadikan qalbu insan alpa dan leka. Apatah lagi dengan wujudnya urusan yang menyelubungi negara ini (isu demonstrasi), lalu setiap orang dan setiap pihak menyuarakan hukum, pandangan, teguran serta arahan. Tidak dinafikan, urusan duniawi juga termasuk dalam definsi luas Ibadah, akan tetapi seringkali urusan duniawi dianak-tirikan daripada Ibadah sehingga etika mulia Ibadah kurang wujud dalam urusan duniawi itu…

Justeru dengan kemasukan kita ke dalam bulan Sya‘ban ini, dengan limpah kurnia daripada Allah yang Maha Mengasihani; adalah wajar kita menanam keazaman yang tinggi dalam memanfaatkan peluang yang Allah Ta‘ala berikan kepada kita. Janganlah perbincangan ilmiah mahupun siasiah melalaikan kita daripada kehebatan musim yang sedang kita lalui. Sememangnya inilah yang perlu diperhatikan oleh Umat Islam keseluruhannya tanpa mengira ‘warna perjuangan’, iaitulah pembersihan dan penyucian jiwa dalam mempraktikkan amal ibadah yang merupakan tujuan utama kita semua dicipta oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Perlulah diingatkan bahawa ketulusan niat dalam melaksanakan kebaikan dalam Islam adalah amat penting. Niat yang suci ini pula hanya akan mendapat tempat di sisi Allah Ta’ala jika sesuatu amalan itu menepati tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. yang telahpun diarahkan oleh Allah Ta’ala agar dijadikan suri teladan bagi Umat Islam.

Sekadar perkongsian dalam usaha menjadikan hati kita tenang dengan Keikhlasan terhadap Allah Ta’ala dan Ikutan terhadap Rasulullah s.a.w., ingin saya mengingatkan diri saya dan seluruh rakan-rakan muslim di Malaysia khususnya dan di serata dunia amnya tentang beberapa petunjuk Rasulullah s.a.w. dalam bulan Sya’ban yang sedang kita lalui sekarang ini. Perkongsian ini difokuskan kepada hadith yang sahih sahaja memandangkan kesepakatan para ulama bahawa ianyalah yang sesuai untuk menjadi paksi Ibadah, tidak seperti hadith da‘if yang penuh dengan pertikaian dan tidak juga seperti hadith maudu‘ yang ditolak sebulat suara oleh para ulama. Semoga perkongsian ini menjadi salah satu daripada kempen kita untuk menyemarakkan sambutan Ramadan tahun ini. Pastinya, usaha kerdil ini perlulah disambut dan diteruskan lagi oleh seluruh para pendakwah, asatizah dan juga profesional muslim.

Di antara tuntutan al-Sunnah yang berlandaskan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith sahih berkenaan bulan Sya‘ban ialah seperti berikut:

1- Perbanyakkan puasa dalam bulan ini:

أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا[1]

Maksudnya: ‘Aisyah berkata ‘Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa pada satu bulan melebihi bulan Sya‘ban. Baginda berpuasa bulan Sya‘ban kesemuanya. Baginda sering berkata “Ambil amalan yang kamu mampu lakukan kerana Allah tidak akan bosan kecuali jika kamu bosan.” Sebaik-baik solat kepada Nabi s.a.w. ialah apa yang diteruskan walaupun sedikit. Jika baginda melakukan satu solat Baginda akan meneruskannya.

2- Apabila sampainya pertengahan Sya‘ban, pastikan kita mempunyai sifat-sifat mulia ini (mukmin, tidak bersengketa dan tidak berhasad):

يطلع الله تبارك و تعالى إلى خلقه ليلة النصف من شعبان ، فيغفر لجميع خلقه ، إلا لمشرك أو مشاحن [2]

Maksudnya: Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam pertengahan Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).

3- Apabila berada di pertengahan kedua Sya‘ban, puasalah pada hari yang biasa sahaja, jika tidak biasa elok jangan berpuasa:

إِذَا بَقِيَ نِصْفٌ مِنْ شَعْبَانَ فَلَا تَصُومُوا [3]

Maksudnya: Apabila datangnya pertengahan Sya‘ban maka janganlah kamu berpuasa.

4- Pastikan tidak berpuasa pada hari yang diragui adakah masih Sya‘ban atau sudah masuk Ramadhan:

لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلَا يَوْمَيْنِ إِلَّا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ [4]

Maksudnya: Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan puasa satu hari atau dua hari kecuali orang yang biasa puasa hari tertentu bolehlah dia berpuasa pada hari itu.

فَقَالَ عَمَّارٌ مَنْ صَامَ الْيَوْمَ الَّذِي يَشُكُّ فِيهِ النَّاسُ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [5]

Maksudnya: Maka Ammar berkata ‘Siapa yang puasa pada hari yang manusia meraguinya maka dia telah membuat maksiat terhadap Abu al-Qasim s.a.w.

Akhir kata, semoga Allah Ta’ala memudah kita untuk mengetahui kebenaran dan beramal dengannya serta menyebarkannya dengan penuh hikmah dan kelembutan. Sebagaimana kita juga memohon agar Allah Ta’ala menunjukkan jalan kemungkaran kepada kita agar kita dapat menghindarinya dan menghalang orang daripada mendekatinya…

Aamiin ya Rabbal ‘aalamiin.



[1] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Saum Sya‘ban, No. 1834. Juga Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Siyam al-Nabi s.a.w. Fi Ghair Ramadhan Wa Istihbab An La Yukhliya Shahran ‘An Saum, No. 1957.

[2] HR Ibnu Abi ‘Asim, Ibnu Hibban dan lain-lain, dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1144.

[3] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah al-Saum Fi al-Nisf al-Thani Min Sya‘ban Li Hal Ramadhan, No. 669.

[4] HR Muslim, Kitab al-Siyam, Bab La Taqaddamu Ramadhan Bi Saum Yaum Wa La Yaumain, No. 1912.

[5] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah Saum Yaum al-Syak, No. 622. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud, No. 686.

Related Posts with Thumbnails