RSS Feeds

Translate


5.31.2010

Ustaz Fadlan di rancangan Hello Malaysia



Assalamualaikum kepada pengunjung setia blog ustaz Fadlan Mohd Othman.

Untuk makluman, ustaz Fadlan akan ke udara di rancangan Hello Malaysia, sebagaimana berikut:

Siaran Langsung

Hello Malaysia (TV Bernama) 502 Astro

Tajuk: "Sunnah Nikah"

Tarikh: 3 Jun 2010

Masa: 10 malam

5.25.2010

Ditanya tentang Wahabi…

Cetak Halaman

Suatu hari saya ditanya oleh seorang pelajar, "Ustaz, Wahabi itu apa?". Saya telah menjawab soalannya dengan ringkas. Saya juga telah berjanji kepadanya untuk membuat satu posting berkenaan perkara ini dalam blog saya. Untuk menunaikan janji, saya catat di bawah ini beberapa maklumat tentang 'Wahabi'. Semoga bermanfaat:
Terdapat satu artikel tentang Wahabi dalam portal Jakim. Kesimpulannya adalah seperti berikut:

"Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru tentang akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan oleh Ibnu Taimiyyah sendiri. Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakan kerana kesan pengglobalan ilmu di dunia hari ini.
Malah dalam penghayatan muamalah dan sisitem perbankan Islam di negara ini dan di dunia ssekarang banyak menggunakan kaedah yang terdapat dalam Mazhab Hanafi.
Kesimpulannya dari segi tauhid fahaman Wahabi bukan ajaran baru dan juga tidak termasuk antara 73 cabang ajaran sesat seperti mana yang dijelaskan ulama berdasarkan huraian hadis penjelasan 73 ajaran sesat itu."

sila rujuk (http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=892)

Satu perkara lagi dulu saya pernah hadir kursus oleh JAWI di Masjid Duta. Kertas kerja pertama dan kedua merewang sekitar ketidak relevan ajaran ‘Wahabi’, walaupun tidak dinyatakan secara fokus oleh pembentang-pembentangnya. Moderator seminar juga agak rancak dan senang sekali memperkatakan perihal ketidak sesuaian ‘Wahabi’ di alam Melayu. Kertas kerja yang ketiga membentangkan perihal autoriti fatwa. Di dalam ‘kit’ yang dibekal, ada dimasukkan buku kecil fatwa-fatwa wilayah persekutuan. Apabila tiba sesi soal jawab, bangun seorang peserta lelaki lalu bertanya (mafhumnya), “Di dalam buku fatwa ini tidak dinyatakan kumpulan ‘Wahabi’ sebagai sesat. Jadi adakah ‘Wahabi’ itu sesat? Jika sesat harap dimasukkan ke dalam buku ini agar menjadi panduan kepada kami sebagai pemegang tauliah.” Prof. Madya. Dr Mohd Saleh (panel ketiga tersebut) menjawab (mafhumnya), "Wahabi tak sesat... tidak menyalahai Ahli Sunnah... Wahabi adalah gerakan pembaharuan... Tetapi biasalah dalam mana-mana gerakan pun pasti akan ada yang terlebih..."

Shaikh Atiyyah Saqr pun pernah ditanya oleh pelajar2 Mesir tentang Muhammad bin Abdul Wahab, jawapannya "al-Wahhabiyyah dinisbahkan kepada al-Shaikh Muhammad bin Abdul Wahhab. al-Sahikh Muhammad bin Abdul Wahhab adalah Muslih Diniyy (Reformer agama) yang muncul di Kepulauan Tanah Arab. Beliau memerangi kemungkaran dan bid'ah yang tidak menepati agama. Beliau telah bersungguh-sungguh dalam menetapkan tauhid Allah s.w.t. Terdapat di sana sebagai contoh, beberapa masyarakat yang bertawassul dengan beberapa para wali dan mengambil berkat daripada mereka serta memuliakan mereka dengan kemuliaan yang besar ke tahap yang menunjukkan seolah-olah individu-individu wali itu merupakan para nabi atau seolah-olah mereka adalah Allah s.w.t. Melampau dalam cinta boleh membawa kepada kufur. Disebab itu, apabila Nabi s.a.w. melihat para sahabat r.a. amat-amat mencintai Baginda –dan memang wajib ke atas kita untuk mencintai Rasul dan mencintai Allah s.w.t. – akan tetapi melampau dalam cinta adalah suatu perkara yang ditolak. Apabila Rasul s.a.w. melihat kemelampauan para sahabat dalam cinta, Baginda takut mereka akan mengangkatnya melebihi statusnya, lalu Baginda bersabda, 'Jangan kamu semua memujiku secara melampau sebagaimana golongan Nasrani telah memuji al-Masih Bin Maryam secara melampau. Akan tetapi sebutlah, 'Hamba Allah dan rasulNya' ' Iaitu jangan puji aku dengan pujian yang amat besar sehingga kamu berikan kepadaku melebihi apa yang aku berhak sepertimana golongan Nasrai cinta Isa bin Maryam dan mengagungkannya dengan pengagungan yang besar sehingga sampai ke tahap mereka sebut Baginda adalah tuhan atau anak tuhan. Melampaui batas dalam cinta adalah perkara yang amat munkar dan ditolak sama sekali. Justeru, Muhammad bin Abdul Wahhab dalam usaha reformasinya telah menekankan perkara ini iaitu tauhid atau pemurnian tauhid bagi Allah s.w.t. dan kepercayaan bahawa Dialah Pembuat kepada segala sesuatu, Dialah Yang mengkayakan, Yang menghidupkan, Yang mematikan. Akan tetapi individu-individu yang diambil berkat mereka oleh orang ramai ke tahap mungkin menjadikan salah seorang daripada mereka berkata, 'Shaikh besar ini dapat menyembuhkan orang-orang sakit,' 'Shaikh besar ini di tangannya rezeki, di tangannya segala sesuatu.' Melampau dalam menisbahkan perkara ini kepada orang ramai, kemelampauan ini boleh membawa kepada kekufuran. Kerana Allah lah yang bersendirian Yang di dalam tanganNya segala sesuatu. Jadi beliau (Muhammad bin Abdul Wahhab) telah bangun dengan kebangkitan reformasi (islahiyyah) ini dan memberi penekanan yang kuat kepada pemurnian tauhid bagi Allah s.w.t. Walaupun sebahagian pelajar-pelajarnya dan sebahagian yang mengambil mazhabnya, mereka telah melampau dalam tauhid ini, mereka melampau dengan banyak, di mana mereka melarang beberapa perkara yang dapat dihidu daripadanya walaupun dengan sedikit bau, dapat dihidu daripadanya bahawa di sana terdapat sekutu bagi Allah. Akan tetapi saya telah mengatakan dan saya ulangi lagi bahawa kemelampauan dalam semua perkara boleh membawa kepada kesesatan yang amat amat amat besar. Kita semestinya sentiasa menjadi pertengahan (mu'tadilin), jadi rasional sebelum memberi sebarang hukum kepada sesuatu. Kita mesti meneliti dan memahami sebenar-benarnya. Ini kerana tergopoh-gapah dalam mengeluarkan hukum kepada mana-mana manusia yang cinta manusia lain di kalangan para wali contohnya, tergopoh-gapah dalam memberi label kufur kepadanya adalah perkara yang amat memudaratkan. Anda semua pasti tahu hadith yang menyatakan, 'Siapa berkata kepada saudaranya 'Wahai kafir' maka kembali dengannya salah seorang daripada mereka berdua. Kalau benar sebutan itu (maka benarlah) tetapi kalau tidak benar ianya kembali kepadanya'. Apapun yang pentingnya, sebahagian pengikut-pengikut Shaikh yang besar ini telah melampau dalam perkara ini dan mereka telah mengingkari benda-benda ke tahap mereka menghukum ke atas sebahagian manusia sebagai kafir, dan ini adalah satu kesilapan besar. "

Rakaman jawapan Shaikh Atiyyah Saqr yang merupakan bekas ketua Lajnah Fatwa Mesir ini boleh dilihat pada pautan berikut: (http://www.youtube.com/watch?v=K-K0Mnmqpzs)

Jadi, pada saya tak perlu risau pada Wahabi, mereka orang-orang yang baik lagi membuat pembaikan. Akan tetapi, yang tidak diingini ialah sifat melampau dalam apa sahaja pegangan dan pembawakan.

Semoga Allah Ta'ala memudahkan kita untuk menerima kebenaran dan kebaikan serta untuk menjauhi kesesatan dan keburukan.

5.11.2010

Beradablah wahai saudaraku!

Cetak Halaman

Etika dalam khilaf:

Manusia sering sahaja berselisih pendapat, atau khilaf. Dalam menangani perihal khilaf ini, pelbagai ragam akan terserlah. Orang yang nampak tenang, mungkin sahaja akan bertukar wajah menjadi kebengisan. Apatah lagi jika khilaf yang berlaku antaranya dengan insan lain dianggap hanya dia sahaja yang betul. Di sinilah Nabi s.a.w. pernah memberitahu bahawa orang yang tegas adalah orang yang dapat mengawal dirinya semasa marah.

Di sini saya ingin menukil perihal etika atau adab khilaf yang berkaitan dengan pendapat yang diyakini oleh seseorang muslim dari buku 'Khilaf Dalam Islam: sebab dan Adab' yang ditulis bersama oleh saya dan dua rakan seperjuangan. Semoga kita mendapat inspirasi daripada catatan ini:

[[ 6. (Adab) berkenaan pendapat yang dipilih:
6.1. Pendapat sendiri adalah kuat tetapi berkemungkinan lemah.
Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:111):

Maksudnya: Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

Semestinya, di dalam beramal dengan ajaran-ajaran Islam, kita memilih pendapat yang terkuat selepas melalui proses pengajian, pertanyaan dan kajian. Di dalam perkara-perkara yang mempunyai berbagai-bagai pendapat, pendapat kita samada sesuai dengan majoriti ataupun dengan minoriti sahaja. Apapun keadaannya, kita pasti akan menguatkan pendapat yang kita ambil. Di sini pendirian yang tepat ialah walaupun itu pilihan kita, masih ada kemungkinan pilihan orang lain lebih kuat. Mewujudkan kemungkinan ini akan menjadikan kita lebih terbuka dan senang untuk berbincang bagi mendapatkan keterangan yang lebih tepat dan mantap.

6.2. Menghormati atau memberi ruang kepada pendapat orang lain.
Di dalam sebuah riwayat:

Maksudnya: Daripada Anas Bin Malik, beliau berkata: Kami pernah bermusafir / mengembara bersama Nabi  , dan orang yang berpuasa tidak memperlekehkan orang yang berbuka, dan tidak pula orang yang berbuka memperlekehkan orang yang berpuasa.

Satu perkara yang lain ialah kemestian menghormati pendapat orang lain. Adab ini akan menghasilkan keharmonian dalam masyarakat yang sudah jelas mempunyai pelbagai pendapat dan pegangan. Menghormati pendapat orang lain yang kita anggap salah bukan ertinya kita lemah di hadapannya, sebaliknya kita mementingkan perpaduan yang amat memerlukan kelembutan daripada pihak kedua. Kekerasan tidak boleh ditangani dengan kekerasan sepertimana kelembutan tidak boleh dihadapi dengan kelembutan. Sekiranya sesuatu pendapat itu dianggap salah, jelaskanlah kesalahannya secara tersusun dengan tangan atau lisan. Jika tiada kemampuan, pindah kepada peringkat minimum iaitu dengan hati. ]] (selesai nukilan)

Seterusnya, ingin saya nyatakan bahawa memilih salah satu daripada beberapa pendapat Ahli Sunnah wa al-Jama'ah tidaklah wajar dihukum sesat, diminta bertaubat, dicaci, dicerca atau dituduh menyakiti Rasulullah s.a.w. Sepatutnya kita dapat lebih beradab dalam perkara berunsur khilaf atau yang merupakan khilafiyyah. Beradab dalam perkara khilaf bukanlah dengan memaksa orang lain menerima pendapat yang kita pilih. Apatah lagi menuduhnya dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

Saya pilih pendapat ini, anda pilih pendapat lain; apa yang saya dan anda boleh buat ialah berbincang dengan penuh keharmonian. Jika sesuatu masalah itu tidak wajar dibangkitkan dalam masyarakat, mengapa dimarahi orang yang memberi respon dan bukannya orang yang mula-mula mengeluarkan sesuatu isu itu di dada akhbar dalam bentuk yang tidak menyeluruh? Justeru, apabila ada yang memberi pendapat di alam maya, kebebasannya untuk menyatakan pendapat dan pandangan pula yang dipersoalkan atas hujah perkara ini tidak relevan. Mana satukah yang tidak relevan; membuka perbincangan secara tidak menyeluruh atau memberi respon terhadap kelemahan dalam perbincangan itu dengan tujuan pembaikan?

Ustaz Fadlan di Seminar Iman Orang Asing (1 Ogos 2009)

Tajuk: Allah di sisi Orang Asing
Tarikh: 1 Ogos 2009
Tempat: Dewan Utama, Pusat pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.



Untuk melihat rakaman selanjutnya sila klik sini

5.05.2010

Pemikiran Kritikal yang Positif dan bukannya yang Negatif

Cetak Halaman

Di dalam satu kursus anjuran UKM, saya berkesempatan berbual dengan seorang pensyarah dari fakulti lain yang menyatakan kepada saya perihal pandangannya terhadap pelajar-pelajar Fakulti Islam yang disifatkannya sebagai agak tidak bersifat kritikal dalam pemikiran. Seolahnya mereka begitu berpegang kepada dalil-dalil tanpa ada usaha menganalisa. Soalannya, 'Adakah itu merupakan gaya pendidikan di Fakulti Islam?'

Menjawab persoalan yang dilontarkan, saya menjelaskan kepadanya bahawa memang ada tenaga pengajar yang bersifat demikian. Akan tetapi saya memberitahunya bahawa sebahagian tenaga pengajar khususnya yang muda-muda sudah bergerak ke arah menerapkan pemikiran kritikal; iaitu pemikiran yang menganalisia dalil-dalil yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Ayat al-Quran memang tidak boleh diragui; akan tetapi adakah tafiran kepada sesuatu ayat itu sentiasa betul? Saya jelaskan bahawa itulah yang perlu dilakukan oleh pelajar iaitu menilai secara kritikal tafsiran sesuatu ayat. Berkaitan hadith pula, saya jelaskan bahawa satu perkara asas yang amat perlu ialah mengenalpasti autentisitinya diikuti dengan menilai interpretasi absah bagi hadith itu.

Tidak saya nafikan pelajar Fakulti Islam masih memerlukan penggembelingan tenaga bersepadu daripada para pensyarahnya dalam mengangkat pemikiran mereka agar menjadi dinamis dan kritikal. Pelajar seharusnya dididik agar berani menyatakan sesuatu pandangan yang terhasil dalam benaknya, kepada pensyarahnya. Pensyarah pula wajar menggalakkan usaha murni perbincangan ilmiah dan perlu terbuka mendengar pandangan pelajar malahan teguran mereka.

Sudah tiba masanya rakan-rakan pensyarah merubah dan meningkatkan pendekatan pengajaran dan pendidikan agar dapat membina pelajar yang berkeperibadian kritikal dalam erti kata positif (iaitu teliti dan kritis) dan tidak sekali-kali keperibadian kritikal dalam erti kata negatif (iaitu lemah dan nyawa-nyawa ikan)…

Bagi para pelajar sekelian, ambillah pengkhabaran tentang luahan persepsi ini sebagai satu cabaran. Anda perlu menjadi seorang pelajar yang sentiasa Ikhlas dalam menuntut ilmu, berusaha dengan rasional dan bukan dengan emosi, berfikiran kritikal dan bukan berfikiran 'semua yang pensyarah sebut tu mesti betul', bersikap proaktif dan tidak hanya menunggu telunjuk pensyarah sahaja, serta sentiasa menuntut bantuan Ilahi.

Saya berterima kasih kepada pensyarah dari fakulti lain tersebut kerana sudi menyuarakan persepsinya walaupun beliau nampak sedikit teragak-agak pada permulaannya…

Bagi saya, kita memang perlu mendapat maklum balas pihak ketiga dalam usaha kita untuk membaik pulih kesilapan-kesilapan yang mungkin sahaja terlepas pandang oleh kita. Dan kadang-kadang maklum balas pihak ketiga itu perit untuk ditadah oleh telinga kita dan panas untuk dihadapi oleh muka kita, tetapi itulah yang perlu dilakukan oleh setiap daripada kita. Ingatlah firman Allah Ta'ala (al-Zumar:17-18):

maksudnya: { Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu -.

Iaitu mereka yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.}

Akhir coretan, semoga Allah menggolongkan kita sebagai 'mereka yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya'. Ya Allah, perkenankanlah…

5.03.2010

Rakaman Ceramah Cara Mengenal Allah

Seminar Mengenal Allah
Tarikh: 1 May 2010
Tempat: Yayasan Ta'lim, TTDI.

Tajuk: Cara Mengenal Allah, Dari Zaman Salafussoleh Sehingga ke Zaman Perkembangan Falsafah
Oleh : Ustaz Fadlan Mohd Othman (Pembentangan 2)

Related Posts with Thumbnails