RSS Feeds

Translate


6.29.2010

Etika dan Adab Pergaulan Apabila Berselisih Pendapat

Cetak Halaman

Etika dan Adab Pergaulan Apabila Berselisih Pendapat:

Memandangkan kepentingan etika dan adab dalam Islam, terpanggil saya untuk mengutarakan beberapa adab semasa berlakunya perselisihan pendapat yang saya petik daripada buku saya dan dua rakan lain, tajuknya (Khilaf dalam Islam: Sebab dan Adab). Etika dan adab berikut adalah berkaitan pergaulan dan interaksi sesama mereka yang berselisih pandangan, pendirian dan pendapat:

1. Tidak fanatik (ta‘assub)

Di dalam sebuah hadith:
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أُرَاهُ رَفَعَهُ قَالَ أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا
Maksudnya: Daripada Muhammad bin Sirin daripada Abu Hurairah, (Aku rasakan dia merafa’kan hadith ini) katanya, “Cintalah orang yang kamu cinta secara berpatutan, kerana mungkin dia akan menjadi orang yang kamu benci satu hari nanti. Bencilah orang yang kamu benci secara berpatutan, kerana mungkin dia akan menjadi orang yang kamu cinta satu hari nanti.

Apabila pandangan dialihkan ke arah pergaulan, Islam merupakan agama terhebat dalam membentuk keseimbangan dalam kehidupan sosial sesebuah masyarakat. Pergaulan yang harmoni dan mesra di semua peringkat menjadi simbol agama mulia ini. Kita dapati, walaupun junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW terasa terguris dengan pembunuhan pakciknya Hamzah, Baginda masih memaafkan pembunuhnya yang telah memeluk Islam. Cuma, Baginda memintanya supaya tidak menampilkan dirinya di hadapan Baginda supaya nostalgia silam tidak menghantui Baginda. Ukuwwah tetap ukuwwah. Kesilapan peribadi pula ditangani dengan cara yang amat profesional; tanpa fanatik terhadap hubungan kekeluargaan, kenegaraan, kemazhaban dan sebagainya.

2. Tidak berkelompok (tahazzub)
Sabda Rasulullah SAW :
الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الَّذِي لَا يُخَالِطُهُمْ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ قَالَ حَجَّاجٌ خَيْرٌ مِنْ الَّذِي لَا يُخَالِطُهُمْ
Maksudnya: Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar terhadap amalan mereka yang menyakitkan lebih besar pahalanya daripada orang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak pula bersabat terhadap amalan mereka yang menyakitkan.

Setiap seorang yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai keistimewaan dan kehebatannya yang tersendiri, di samping kelemahan dan kekurangan yang jelas dan pasti. Di dalam menghadapi senario ini, Islam mendidik penganutnya supaya saling bantu-membantu di dalam memartabatkan kebenaran dan ketaqwaan. Orang yang mahir di dalam sesuatu bidang seharusnya membantu Islam dari sudutnya serta menggalakkan orang yang berkemahiran dalam bidang lain supaya turut membantu Islam. Persepakatan ini akan menguatkan agama ini. Sebaliknya, jika setiap ahli atau pakar menganggap jurusannya sahaja yang dapat membantu Islam, manakala jurusan lain tidak penting, ini hanya akan mewujudkan pertembungan yang merugikan Islam. Kita dapati, di kalangan para Sahabat, kepelbagaian dalam kemahiran tidak menghalang mereka daripada bersatu untuk memperjuangkan Islam. Khalid dengan kepahlawanannya, Abu Hurairah dengan ketajaman hafalannya, Ibnu Mas‘ud dengan kepakaran ilmunya; semuanya tidak pernah memperkecilkan peranan orang lain di dalam menjunjung Islam, apatah lagi menghalang pengikutnya daripada mendapat faedah daripada tokoh-tokoh lain.

3. Menghormati orang lain.
Sabda Rasulullah SAW :
وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ
Maksudnya: Dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Orang muslim ialah saudara bagi orang muslim lain. Dia tidak boleh menzaliminya, membelakanginya dan menghinanya. Ketaqwaan terletak di sini (lalu Baginda menunjukkan kepada hatinya, sebanayak 3 kali). Sudah memadai keburukan pada seseorang lelaki apabila dia menghina saudara muslimnya. Setiap muslim adalah haram ke atas muslim yang lain dari sudut darah, harta dan maruah.

Kebiasaannya apabila disebut perkataan dosa, akal akan terus terfikir dosa-dosa yang masyhur seperti membunuh, berzina, mencuri dan sebagainya. Rasanya sedikit yang akan menekankan pandangan manusia terhadap manusia lain. Akan tetapi Rasulullah  telah menjelaskan bahawa memandang rendah terhadap saudara seagama adalah satu dosa yang utama. Jika tiada tambahan dosa lain, memandang rendah kepada orang lain sudah memadai. Sudah tentu, dosa ini menjurus kepada perbuatan orang yang mempunyai kelebihan memandang rendah kepada orang yang jurang upaya dalam apa sahaja bidang dan situasi. Bagaimanakah sekiranya tidak mempunyai kelebihan tetapi masih memandang rendah orang lain? Ini sebenarnya lebih dahsyat daripada yang tadi; di samping dosa besar, Allah menambahnya dengan satu lagi balasan iaitu tidak akan ditegur olehNya di akhirat kelak.

Semoga coretan ini menjadikan kita lebih beretika dalam menghadapi perselisihan di antara kita.

6.26.2010

Kenapa masuk UMNO?

Cetak Halaman

Kenapa masuk UMNO?

Segala puji dan puja hanya bagi Allah, solat dan salam ke atas Rasulullah, seterusnya:

Soalan ini, 'Kenapa masuk UMNO?' bukan sahaja ditujukan kepada saya, bahkan ditujukan juga kepada rakan-rakan seperjuangan. Cuma, ada yang memahami dan ada yang sukar menerima. Apapun, ingin saya nyatakan di sini kepada ikhwah sekelian bahawa kemasukan kami ke dalam UMNO telah dilakukan selepas pelbagai perbincangan dan penelitian dibuat termasuk mengambil pandangan ulama yang lebih senior.

Tujuan utama kami memasuki UMNO adalah untuk berdakwah dari dalam, untuk kebaikan ahli-ahli UMNO yang kami rasakan amat subur untuk proses peningkatan ilmiah, keagamaan dan kerohanian. Bukanlah tujuan kami untuk menimbulkan keresahan mahupun permusuhan di kalangan para pendakwah baik dalam UMNO mahupun dalam mana-mana parti, juga NGO-NGO. Kami hanya ingin mengambil peluang dan menerima janji pihak atasan UMNO yang ada menawarkan ruang luas untuk kami berdakwah. Dengan izin Allah jua, kami akan berusaha sedaya upaya untuk menepati prinsip Ahli al-Sunnah wal-Jama‘ah dalam menyebar kebenaran dan berdakwah.

Seawal perbincangan, kami telah dapat merasakan akan timbul di hari penyerahan borang dan selepasnya nanti pandangan yang selesa, sinis dan juga berkecuali. Tetapi itu adalah asam garam perjuangan dakwah. Kami memohon agar Allah Ta‘ala sentiasa memberi petunjuk dan menetapkan pendirian kami dan semua pendakwah dalam melaksanakan usaha pembaikan.

Akhir kata, kami pohon agar semua sahabat yang prihatin terhadap perjuangan kami ini, sentiasa mendoakan agar kami tetap di atas landasan kebenaran bersesuaian dengan ruh Islam yang suci.

6.19.2010

PENDIRIAN AHLIS-SUNNAH WAL-JAMAAH TERHADAP PEMERINTAH

Cetak Halaman

Pendirian Ahlis-Sunnah wal-Jamaah Terhadap Pemerintah

Di dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi maklumat berkenaan pendirian Ahlis-Sunnah wal-Jamaah terhadap pemerintah. Semoga maklumat ini, yang saya terjemahkan daripada kitab ‘A‘laam al-Sunnah al-Manshurah fi I‘tiqad al-Ta’ifah al-Mansurah’ oleh al-Shaikh Hafiz al-Hakami rahimahullah, dapat memberi penjelasan kepada kita berkenaan pegangan Ahlis-Sunnah wal-Jamaah khususnya dalam berurusan dengan pemerintah. Selamat membaca;

<< KEWAJIPAN TERHADAP PEMERINTAH
216- Apakah kewajipan rakyat terhadap pemerintah?

Kewajipan mereka ialah memberi nasihat iaitu dalam bentuk membantu dan menyokong mereka di atas kebenaran, mentaati mereka dalam kebenaran, menyuruh mereka menepati kebenaran, memberi peringatan kepada mereka dengan lembut, bersolat di belakang mereka, berjihad bersama mereka, menunaikan zakat kepada mereka, bersabar ke atas kezaliman mereka, tidak memberontak terhadap mereka dengan senjata selagi mana mereka tidak melakukan secara terang satu kekufuran yang nyata, tidak menipu mereka dengan pujian yang palsu terhadap mereka, mendoakan supaya mereka menjadi salih dan mendapat petunjuk.

DALIL WAJIB TAAT KEPADA PEMERINTAH
217- Apakah dalil berkenaan perkara ini?

Dalilnya banyak, di antaranya ialah firman Allah Ta'ala (al-Nisaa 4:59):
Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan para pemimpin di antara kamu.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Dengarlah dan taatlah walaupun yang memerintah kamu ialah seorang hamba.
Sabda Rasulullah s.a.w.: Sesiapa yang melihat pada pemimpinnya sesuatu yang dibenci, hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan al-Jamaah sebanyak satu jengkal lalu mati, maka dia mati dalam keadaan Jahiliyyah.
Ubadah bin al-Samit radiyallahu 'anhu telah berkata 'Nabi telah menyeru kami lalu kami berbai'ah kepadanya. Di antara perkara yang diambil janjinya daripada kami ialah kami berbai'ah kepadanya di atas dasar mendengar dan taat baik dalam keadaan segar mahupun benci. Juga agar kami tidak merebut pemerintahan daripada ahlinya kecuali jika kamu nampak kekufuran yang nyata yang mana kamu mempunyaii dalil nyata berkenaannya daripada Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w.: Sekiranya dilantik ke atas kamu seorang hamba yang terpotong anggota badannya lagi hitam di mana dia memimpin kamu dengan al-Quran maka dengarlah dan taatlah kepadanya.
Sabda Rasulullah s.a.w.: Orang muslim wajib dengar dan taat dalam perkara yang dia suka dan benci kecualilah jika dia diperintah melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintah melakukan maksiat maka tiada dengar dan tiada taat.
Sabda Rasulullah s.a.w.: Ketaatan itu hanyalah dalam perkara makruf.
Sabda Rasulullah s.a.w.: Walupun dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu, hendaklah kamu dengar dan taat.
Sabda Rasulullah s.a.w.: Sesiapa yang menarik tangannya daripada taat terhadap Allah, pada hari Qiamat tiada hujjah baginya. Dan sesiapa yang mati dan tiada di lehernya sebarang bai'ah, dia mati dalam keadaan jahiliyyah.
Sabda Rasulullah s.a.w.: Sesiapa yang ingin memecah belahkan urusan umat ini dalam keadaan urusan mereka bersatu, pukullah dia dengan pedang tidak kira siapa dia.
Sabda Rasulullah s.a.w.: Akan wujud pemerintah-pemerintah yang kamu ketahui kebaikan mereka dan ingkari keburukan mereka. Sesiapa yang benci, dia telah menjauhkan diri (lepas tanggungjawab), sesiapa yang mengingkari dia telah selamat. Akan tetapi binasalah orang yang redha dan ikut. Mereka berkata: Wajarkah kami memerangi mereka? Jawab Baginda: Tidak selagi mereka solat.
Di samping hadith-hadith lain. Kesemua hadith-hadith ini terdapat dalam sumber hadith sahih (Sahih al-Bukhari dan Muslim).>>

6.15.2010

Tuntutan al-Sunnah dalam Bulan Rejab

بسم الله الرحمن الرحيم
إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.
أما بعد؛


Segala puji bagi Allah Ta ‘ala yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita sebagai hamba-hambaNya. Di antara nikmat-nikmat tersebut ialah musim-musim ibadah yang diselang-selikan untuk hamba-hambaNya mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala dari semasa ke semasa. Sebagai manusia, pastinya mempunyai macam-macam kelemahan. Akan tetapi pada masa yang sama, manusia juga mempunyai kecergasan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita telah diarahkan supaya menjaga masa dan menjaga hak-hak khaliq dan makhluk. Hadith Salman wajarlah menjadi pedoman kita dalam perkara ini. Kisah Salman dengan Abu Al-Darda’ adalah seperti berikut:
عن أَبِي جُحَيْفَةَ قَالَ آخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ سَلْمَانَ وَأَبِي الدَّرْدَاءِ فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدَّرْدَاءِ فَرَأَى أُمَّ الدَّرْدَاءِ مُتَبَذِّلَةً فَقَالَ لَهَا مَا شَأْنُكِ قَالَتْ أَخُوكَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِي الدُّنْيَا فَجَاءَ أَبُو الدَّرْدَاءِ فَصَنَعَ لَهُ طَعَامًا فَقَالَ كُلْ قَالَ فَإِنِّي صَائِمٌ قَالَ مَا أَنَا بِآكِلٍ حَتَّى تَأْكُلَ قَالَ فَأَكَلَ فَلَمَّا كَانَ اللَّيْلُ ذَهَبَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُومُ قَالَ نَمْ فَنَامَ ثُمَّ ذَهَبَ يَقُومُ فَقَالَ نَمْ فَلَمَّا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ قَالَ سَلْمَانُ قُمْ الْآنَ فَصَلَّيَا فَقَالَ لَهُ سَلْمَانُ إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [ صَدَقَ سَلْمَانُ.][1]
ini

Maksudnya: Terdapat riwayat daripada Abu Juhfah katanya: Rasulullah r telah mempersaudarakan antara Salman dan Abu al-Darda’. Pada suatu hari Salman menziarahi Abu al-Darda’ dan dia melihat isteri Abu al-Darda’ tidak terurus. Salman bertanya kepadanya, “Kenapa kamu begini?” Isteri Abu al-Darda’ menjawab, “Saudaramu, Abu al-Darda’ tidak berhajat kepada dunia.” Apabila Abu al-Darda’ datang dan membuat hidangan untuk Salman, Salman mengajak beliau makan sekali. Abu al-Darda’ menjawab, “Saya Puasa.” Salman berkata, “Saya tidak akan makan jika kamu tidak makan.” Abu al-Darda’ pun makan bersama. Apabila tiba waktu tidur di permulaan malam, Abu al-Darda’ bangun untuk solat malam. Salman menyuruhnya tidur, lalu beliau pun tidur. Tidak lama kemudian Abu al-Darda’ bangun untuk solat malam. Sekali lagi Salman menyuruhnya tidur. Apabila sampai penghujung malam, Salman berkata, “Sekarang bangun.” Mereka pun bangun dan solat malam. Kemudian Salman berkata kepada Abu al-Darda’ “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab terhadap Tuhanmu, tanggungjawab terhadap badanmu, tanggungajawab terhadap keluargamu; jadi hendaklah kamu melaksanakan tanggungjawab kamu kepada mereka semua.” Abu al-Darda’ kemudiannya pergi bertanya Rasulullah r tentang perkara ini lalu Baginda r berkata, “Benar kata Salman.”

Di samping itu kita juga mestilah mengetahui bahawa amalan yang terbaik di sisi Allah Ta‘ala ialah yang berterusan walaupun sedikit.
وَإِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ.[2]

Maksudnya: Sebaik-baik amalan di sisi Allah Ta'ala ialah yang berterusan walaupun sedikit.

Semua ini mestilah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan menepati garis panduan yang telah diletakkan oleh Rasulullah s.a.w. Sebagaimana yang kita semua maklum, al-Ikhlas dan menepati al-Sunnah adalah dua syarat penerimaan amalan kita di sisi Allah Ta‘ala selepas wujud keimanan. Perkara pertama adalah amat penting. Sesuatu amalan yang tidak disulami al-Ikhlas akan tinggal amalan yang kering dan tidak bermaya. Penelitian terhadap sirah dan sejarah para ulamak akan banyak membantu individu muslim untuk menerapkan sifat mulia ini di dalam kehidupan hariannya.

Selepas memastikan kewujudan al-Ikhlas, datanglah giliran al-Sunnah untuk diterapkan dalam kehidupan kita. Apabila melihat kepada al-Sunnah pastilah perbincangan di sini menjurus kepada dua perkara iaitu kesahihan hadith dan ikutan terhadapnya. Orang yang mahir dalam disiplin hadith akan digelar ‘Sahibu hadith’ manakala orang yang menitik-beratkan ikutan terhadap hadith akan digelar ‘Sahibu sunnah.’ Apapun gelarannya, kedua-duanya amat diperlukan oleh kita di Malaysia khususnya dan di Nusantara umumnya.

Di dalam lembaran-lembaran berikut, perbincangan akan dihalakan kepada tuntutan al-Sunnah dalam tiga bulan tertentu iaitu bulan Rejab, Sya‘ban dan Ramadhan. Secara umumnya, bersesuaian dengan tajuk perbincangan, kita akan menekankan amalan-amalan yang disinari cahaya al-Sunnah. Amalan-amalan yang ditutup oleh kegelapan al-Bid‘ah pula hanya akan disentuh secara ringkas sahaja. Ini semua dilakukan berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadith-hadith Nabi s.a.w. serta pandangan-pandangan para ulamak yang muktabar.

Semoga perbincangan yang serba ringkas dapat sedikit-sebanyak membantu kita di dalam beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w. serta memartabatkannya di dalam kehidupan seharian kita demi untuk membuktikan ketulusan cinta kita kepada Allah Ta‘ala, Tuhan sekelian alam. Allah jualah yang dipohon agar memberi kita ganjaran yang berlipat ganda dan mengampunkan kesilapan-kesilapan kita di dalam usaha ini. Amin.

1- Tuntutan al-Sunnah: Rejab.

Berkenaan dengan bulan Rejab, sebenarnya tidak terdapat dalil-dalil yang menentukan kelebihan bulan ini. Justeru, dapatlah diringkaskan bahawa bulan ini samalah dengan bulan-bulan lain. Untuk mendapat gambaran ringkas tentang tuntutan al-Sunnah di dalam bulan ini perhatikanlah kenyataan-kenyataan berikut:

1- al-Quran menjelaskan bahawa bulan Rejab adalah salah satu daripada al-Ashhur al-Hurum (bulan-bulan haram). Firman Allah Ta‘ala (al-Taubah 9:36):
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَةِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ [3]

Maksudnya: Sesungguhnya waktu telah kembali seperti keadaannya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Satu tahun mempunyai 12 bulan. Di kalangannya 4 bulan haram, 3 berterusan; Zul Qi‘dah, Zul Hijjah dan al-Muharram serta Rejab kabilah Mudar di antara Jumada dan Sya‘ban.

2- Tiada solat khas dalam bulan Rejab:
وقال النووي رحمه الله تعالى "واحتج به العلماء على كراهة هذه الصلاة المبتدعة التي تسمى الرغائب قاتل الله واضعها ومخترعها فإنها بدعة منكرة من البدع التي هي ضلالة وجهالة وفيها منكرات ظاهرة وقد صنف جماعة من الأئمة مصنفات نفيسة في تقبيحها وتضليل مصليها ومبتدعها ودلائل قبحها وبطلانها وتضلل فاعلها أكثر من أن تحصر" [4]

Maksudnya: Imam al-Nawawi telah berkata ‘Para ulamak telah berhujjah dengannya ke atas kebencian solat yang yang bid‘ah ini yang dinamakan al-Raghaib. Semoga Allah memerangi pemalsunya dan penciptanya. Sesungguhnya ia adalah bid‘ah yang munkar yang terdiri daripada bid‘ah-bid‘ah yang sesat dan kejahilan. Di dalamnnya terdapat kemungkaran yang jelas. Sekumpulan para ulamak telah menulis tulisan-tulisan yang bermutu dalam memburukkannya dan menyesatkan orang yang bersolat dengannya dan menciptanya. Dalil-dalil berkenaan kekejiannya, kebatilannya dan kesesatan pembuatnya amat banyak sehingga tidak terbilang.

وقال الحافظ ابن رجب رحمه الله تعالى " فأما الصلاة فلم يصح في شهر رجب صلاة مخصوصة تختص به والأحاديث المروية في فضل صلاة الرغائب في أول جمعة من شهر رجب كذب وباطل لا تصح وهذه الصلاة بدعة عند جمهور العلماء ... وأول ما ظهرت بعد الأربعمائة فلذلك لم يعرفها المتقدمون ولم يتكلموا فيها " ا.هـ( لطائف المعارف / 228) .

Maksudnya: Berkenaan dengan solat, di dalam bulan Rejab tidak terdapat solat yang khas untuk bulan ini. Hadith-hadith yang diriwayatkan berkenaan kelebihan solat al-Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab adalah penopuan dan batil serta tidak sah. Solat ini adalah bid‘ah di sisi kebanyakan ulamak… Kali pertama solat ini muncul ialah selepas tahun 400. Oleh sebab itulah ianya tidak diketahui oleh ulamak terdahulu dan mereka tidak membincangkannya.

3- Berpuasa di bulan Rejab tidak mempunyai keistimewaan tertentu:
قال ابن القيم "كل حديث في ذكر صوم رجب وصلاة بعض الليالي فيه فهو كذب مفترى"[5]

Maksudnya: Semua hadith yang menyatakan puasa bulan Rejab dan solat sebahagian malam-malamnya adalah penipuan yang direka.
وقال الحافظ ابن حجر " لم يرد في فضل شهر رجب ولا في صيامه ولا صيام شيء منه معيَّن ولا في قيام ليلة مخصوصة فيه حديث صحيح يصلح للحجة " ا.هـ تبيين العجب / 11 ( وأنظر : لطائف المعارف /228 )

Maksudnya: Tidak terdapat hadith sahih yang boleh dijadikan hujah berkenaan kelebihan bulan Rejab, puasa bulan ini, puasa hari-hari tertentu bulan ini mahupun bangun malam tertentu pada bulan ini.

4- Membuat umrah di bulan Rejab tidak mempunyai keistimewaan tertentu:
Setakat ini, penulis masih belum berjumpa dengan hadith sahih yang menerangkan kelebihan umrah di bulan Rejab. Ya, terdapat beberapa riwayat golongan Syi‘ah yang mengatakan umrah bulan Rejab adalah umrah yang terbaik. Akan tetapi Ahl al-Sunnah tidak menerima periwayatan mereka di samping riwayat tersebut tidak bersambung kepada Rasulullah s.a.w.

5- Malam al-Isra’ wal-Mi‘raj tidak sah pada malam ke 27 bulan Rejab:
قال الحافظ ابن كثير الدمشقي رحمه الله تعالى: (وقد أورد-أي عبدالغني المقدسي- حديثاً لا يـصـحّ سـنـــده ذكرناه في فضائل شهر رجب أن الإسراء كان ليلة السابع والعشرين من رجب والله أعلم. ومن الناس من يزعم أن الإسراء كان أول ليلة جمعة من شهر رجب, وهي ليلة الرغائب التي أُحدثت فيها الصلاة المشهورة, ولا أصل لذلك والله أعلم) [6]

Maksudnya: al-Imam Ibnu Kathir telah berkata (Abdul Ghani al-Maqdisi telah meriwayatkan sebuah hadith yang tidak sah sanadnya dan kami telah jelaskan dalam ‘Fadail Shahr Rajab’ bahawa peristiwa al-Isra’ telah berlaku pada malan ke-27 bulan Rejab, Allah jua yang lebih mengetahui. Ada juga di antara manusia yang menyangka bahawa peristiwa al-Isra’ telah berlaku pada Jumaat pertama dalam bulan Rejab, iaitulah malam al-Raghaib yang dicipta padanya solat yang masyhur, sedangkan tiada asal bagi perkara ini, Allah jua yang lebih mengetahui.)

Kesimpulannya, amalan-amalan di bulan Rejab adalah sama seperti amalan-amalan di bulan-bulan lain. Perkara yang membezakannya ialah bulan ini tergolong dalam bulan-bulan haram yang mana kezaliman dan peperangan tanpa sebab amat dimurkai oleh Allah Ta’ala berbanding dengan bulan-bulan lain.

[1] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Man Aqsama ‘ala Akhihi Liyuftir, No. 1832.
[2] HR al-Bukhari, No. 5523. Juga Muslim, No. 782.

[3] HR al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Hajjah al-Wida’, No. 4054. Juga Muslim, Kitab al-Qasamah Wa al-Muharibin Wa al-Qisas Wa al-Diyat, BabTaghliz Tahrim al-Dima’ Wa al-A‘rad Wa al-Amwal, No. 3179.
[4] Sila lihat al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Jil. 8 Hlm. 20.
[5] Sila lihat Ibnu al-Qayyim, al-Manar al-Munif, Hlm. 96.
[6] Sila lihat Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jil. 3 Hlm. 136-137.
[7] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Saum Sya‘ban, No. 1834. Juga Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Siyam al-Nabi s.a.w. Fi Ghair Ramadhan Wa Istihbab An La Yukhliya Shahran ‘An Saum, No. 1957.
[8] HR Ibnu Abi ‘Asim, Ibnu Hibban dan lain-lain, dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1144.
[9] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah al-Saum Fi al-Nisf al-Thani Min Sya‘ban Li Hal Ramadhan, No. 669.
[10] HR Muslim, Kitab al-Siyam, Bab La Taqaddamu Ramadhan Bi Saum Yaum Wa La Yaumain, No. 1912.
[11] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah Saum Yaum al-Syak, No. 622. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud, No. 686.

Cetak Halaman
Related Posts with Thumbnails