RSS Feeds

Translate

6.24.2008

Jamak solat kerana keperluan (Huraian daripada Syarh Sahih Muslim oleh al-Imam al-Nawawi)

Berkata al-Iman Muslim: Yahya bin Yahya memberitahu kami katanya Aku membaca kepada Malik daripada Abu al-Zubair daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibnu Abbas katanya “Rasulullah s.a.w. telah solat Zuhur dan Asar secara jamak serta Maghrib dan Isyak secara jamak tanpa ketakutan mahupun pengembaraan.”
Diriwayatkan oleh Muslim, Kitab Solat para pengembara dan Qasar solat, Bab Jamak antara dua solat dalam keadaan mukim. No. 1146.


Berkata al-Imam Muslim: Ahmad bin Yunus memberitahu kami, juga ’Aun bin Sallam kedua-duanya daripada Zuhair berkata Ibnu Yunus, Zuhair memberitahu kami, Abu al-Zubair memberitahu kami daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibnu Abbas katanya ‘Rasulullah s.a.w. solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah tanpa ketakutan mahupun pengembaraan’. Abu al-Zubair berkata, ‘Aku bertanya Sa’id, ‘Kenapa Baginda buat demikian?’ Katanya, ‘Aku bertanya Ibnu Abbas sepertimana kamu tanya aku lalu beliau menjawab, ‘Baginda inginkan agar tidak membebankan seorangpun daripada umatnya’.
Diriwayatkan oleh Muslim, Kitab Solat para pengembara dan Qasar solat, Bab Jamak antara dua solat dalam keadaan mukim. No. 1147.


(Berkata al-Imam al-Nawawi): Kata-katanya dalam hadith Ibnu Abbas “Rasulullah s.a.w. telah solat Zuhur dan Asar secara jamak serta Maghrib dan Isyak secara jamak tanpa ketakutan mahupun pengembaraan”, Ibnu Abbas menjawab orang yang bertanya, ‘Kenapa dia berbuat demikian?’ dengan berkata ‘Baginda inginkan agar tidak membebankan seorangpun daripada umatnya’.

Dalam riwayat lain daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah s.a.w. menjamak solat dalam pengembaraannya ke peperangan Tabuk, lalu dia jamak Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Berkata Sa’id bin Jubair, ‘Aku tanya Ibnu Abbas, apa sebabnya?’ Katanya, ‘Dia inginkan agar tidak membebankan umatnya’.

Dalam riwayat Muaz bin Jabal pun begitu juga, bahawa ianya di dalam peperangan Tabuk dan dia berkata seperti kata-kata Ibnu Abbas.



Dalam riwayat lain daripada Ibnu Abbas ‘Rasulullah s.a.w. menjamak solat Zuhur dengan Asar dan solat Maghrib dengan Isyak di Madinah tanpa ketakutan mahupun hujan.’ Aku bertanya Ibnu Abbas, ‘Kenapa baginda berbuat demikian?’ Jawabnya, ‘Supaya baginda tidak membebankan umatnya’.

Dalam riwayat lain daripada Amr bin Dinar daripada Abu al-Sya’tha’ Jabir bin Zaid daripada Ibnu Abbas katanya, ‘Aku solat bersama Nabi s.a.w. lapan rakaat secara jamak dan tujuh rakaat secara jamak.’ Aku bertanya, ‘Wahai Abu al-Sya’tha’, aku rasa dia melewatkan Zuhur dan mencepatkan Asar serta melewatkan Maghrib dan mencepatkan Isyak.’ Katanya, ‘Aku juga rasa demikian’.

Dalam satu riwayat lain daripada Abdullah bin Syaqiq katanya, ‘Ibnu Abbas berkhutbah kepada kami satu hari selepas Asar sehingga terbenamnya matahari dan munculnya bintan-bintang. Orang ramai mula berkata, ‘Solat! Solat!’ Ada seorang lelaki dari Bani Taim berterusan menyebut, ‘Solat! Solat!’ Ibnu Abbas berkata, ‘Adakah engkau hendak mengajarku tentang Sunnah, tiada ibu bagimu ? Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. menjamak Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak.’ Abdullah bin Syaqiq berkata, ‘Perkara itu berlegar dalam dadaku lalu aku pergi kepada Abu Hurairah dan bertanya lalu beliau membenarkan kata-katanya’.’

Riwayat-riwayat ini sabit dalam Sahih Muslim seperti yang anda perhatikan. Para ulamak mempunyai pelbagai huraian dan mazhab dalam perkara ini. Al-Tirmizi telah berkata di penghujung kitabnya, ‘Dalam kitabku ini, tidak terdapat hadith yang disepakati ulamak untuk meniggalkannya kecuali hadith Ibnu Abbas berkenaan jamak di Madinah tanpa ketakutan dan hujan di samping hadith hukum bunuh peminum arak pada tangkapan keempat’. Apa yang dinyatakan oleh al-Tirmizi berkenaan hadith peminum arak adalah tepat kerana hadith ini mansukh menurut Ijmak. Berkenaan hadith Ibnu Abbas pula, mereka tidak berijmak meniggalkannya sebaliknya mereka mempunyai beberapa pendapat.

Ada di antara mereka yang berkata baginda jamak kerana hujan. Ini pendapat sekumpulan ulamak besar terdahulu. Pendapat ini lemah berdasarkan riwayat lain ‘tanpa ketakutan mahupun hujan’.


Ada di antara mereka yang menghuraikannya bahawa keadaan redup lalu baginda solat Zuhur kemudian matahari muncul dan ternyata waktu Asar sudah masuk lalu baginda solat Asar. Ini juga batil kerana walaupun berkemungkinan berkenaan Zuhur dan Asar, ianya tidak berkemungkinan berkenaan Maghrib dan Isyak.

Ada di antara mereka yang menghuraikannya dengan melewatkan solat pertama kepada akhir waktunya lalu dilaksanakan di waktu itu. Apabila selesai, masuk waktu kedua lalu dilaksanakan pula. Jadi jamaknya ialah jamak dalam bentuk sahaja. Ini juga lemah atau batil kerana ianya bercanggahan dengan zahir hadith tanpa sebarang kemungkinan. Di samping itu, perbuatan Ibnu Abbas yang kami nyatakan semasa memberi khutbah dan pendalilannya dengan hadith ini, disusuli pembenaran Abu Hurairah kepadanya dan tidak pula mengingkarinya, ini semua jelas menolak huraian ini.

Ada di antara mereka yang berkata ini dikaitkan dengan jamak kerana sakit atau seumpamanya yang membawa maksud yang sama dari sudut keuzuran. Ini pendapat Ahmad bin Hanbal dan Qadi Husain dari sahabat-sahabat kami. Ianya dipilih oleh al-Khattabi, al-Mutawalli dan al-Rawyani dari sahabat-sahabat kami. Dan inilah pendapat yang terpilih dalam huraian hadith ini kerana ianya bertepatan dengan zahir hadith ini, perbuatan Ibnu Abbas dan persetujuan Abu Hurairah. Juga kerana beban yang ditanggung padanya lebih berat daripada hujan.

Ada pendapat sekumpulan ulamak bahawa dibenarkan jamak solat semasa mukim disebabkan keperluan bagi mereka yang tidak menjadikannya kebiasaan. Ini adalah pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari sahabat-sahabat Malik. Ianya juga disebut oleh al-Khattabi daripada al-Qaffal dan al-Syasyi al-Kabir daripada sahabat-sahabat al-Syafi’i daripada Abu Ishaq al-Marwazi daripada sekumpulan ahli-ahli hadith. Ia juga dipilih oleh Ibnu al-Munzir dan dikuatkan oleh zahir kata-kata Ibnu Abbas, ‘Baginda inginkan agar tidak membebankan umatnya’ dan tidak pula beliau nyatakan sebab sakit atau lain-lain. Allah juga yang Maha Mengetahui.

Cetak Halaman

MANHAJ ASWJ DALAM HIDAYAH DAN DALALAH

1- Manhaj ASWJ berlandaskan tiga dasar sahaja iaitu:
a. al-Quran al-Karim.
b. Sunnah Rasulullah s.a.w. yang sah.
c. Ijma‘ para Salaf yang dikepalai oleh para Sahabat r.a.

2- Sifat ma’sum hanyalah untuk Nabi s.a.w. Mana-mana manusia selain Nabi s.a.w. terbuka kepada kesilapan. Kata-kata dan perbuatan mereka hendaklah dibentangkan kepada Tiga Dasar tadi.
قول الإمام مالك رحمه الله: " كل يؤخذ من قوله ويرد إلا صاحب هذا القبر، ويشير إلى قبر النبي صلى الله عليه وسلم ".

3- Tidak boleh sekali-kali diletakkan seorang tokoh untuk dijadikan kayu pengukur terhadap hidayah atau kesesatan; di mana orang yang menyetujuinya adalah benar dan orang yang menyalahinya adalah sesat kerana tokoh itu tidak ma’sum, jadi bagaimana mungkin beliau dijadikan pengukur untuk ketepatan atau kesilapan.

4- Tidak boleh sekali-kali diletakkan ijtihad atau pendapat seorang tokoh untuk dijadikan satu dasar dalam al-wala’ dan al-bara’.
قال شيخ الإسلام ابن تيمية (728هـ) رحمه الله: " وليس لأحد أن ينصب للأمة شخصاً يدعو إلى طريقته، ويوالي ويعادي عليها غير النبي صلى الله عليه وسلم، ولا ينصب لهم كلاماً يوالي عليه ويعادي غير كلام الله ورسوله وما اجتمعت عليه الأمة، بل هذا من فعل أهل البدع الذين ينصبون لهم شخصاً أو كلاماً يفرقون به بين الأمة، يوالون به على ذلك الكلام أو تلك النسبة ويعادون ". (20/164)

5- Tidak boleh dididik para penuntut ilmu agar berkelompok dan fanatik terhadap seorang tokoh walau bagaimana tinggi sekali ilmunya. Ketaatan yang mutlak untuk makhluk hanyalah untuk Rasulullah s.a.w. Sebaliknya, adalah wajib dididik para penuntut ilmu agar mempunyai konsep cinta dan benci kerana Allah Ta’ala tanpa melihat kadar kesesuaiannya dengan seseorang tokoh.
قال شيخ الإسلام ابن تيمية (728هـ) رحمه الله: " فإذا كان المعلم أو الأستاذ قد أمر بهجر شخص أوبإهداره وإسقاطه وإبعاده ونحو ذلك نظر فيه: فإن كان قد فعل ذنباً شرعياً عوقب بقدر ذنبه بلا زيادة، وإن لم يكن أذنب ذنباً شرعياً لم يجز أن يعاقب بشيء لأجل غرض المعلم أو غيره.
وليس للمعلمين أن يحزبوا الناس ويفعلوا ما يلقي بينهم العداوة والبغضاء، بل يكونون مثل الإخوة المتعاونين على البر والتقوى، كما قال الله تعالى: (( وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ )) " (28/15-16)

6- Tidak semestinya orang yang menyalahi seseorang tokoh itu menjadi sesat dan keluar daripada daerah al-Sunnah. Perkara ini mestilah dinyatakan dengan terperinci seperti berikut:
a. Jika dia menyalahi seseorang tokoh kerana tokoh itu amat kuat berpegang dengan al-Sunnah dan Ijma‘ Salaf, maka dia adalah ahli bid’ah yang sesat.
b. Jika dia menyalahi seseorang tokoh kerana ketidaktepatan ijtihadnya atau cemburu atau hasad atau salah faham, maka dia bukanlah ahli bid’ah dan bukan sesat.

7- Bukan semua orang yang memuji ahli bid’ah menjadi ahli bi’ah. Perkara ini juga dapat dinyatakan secara terperinci seperti berikut:
a. Sekiranya dia memuji ahli bid’ah itu dalam bid’ahnya dan kesesatannya, maka dia juga ahli bid’ah yang sesat.
b. Sekiranya dia dikenali sebagai pendokong al-Sunnah lalu dia memuji ahli bid’ah itu dalam perkara lain yang bukan bid’ah dan kesesatan, atau bersangka baik kepadanya, atau tidak jelas kepadanya kesesatan ahli bid’ah itu, maka dia bukan ahli bid’ah dan bukan sesat.

8- Wajib dijadikan dasar dakwah di Malaysia dan di mana-mana sahaja berlandaskan konsep Cinta dan Benci kerana Allah Ta’ala dan bukannya kerana seseorang tokoh atau mazhab atau warna kulit atau apa-apa jua sekalipun.

9- Sesiapa yang berada di atas dasar-dasar ASWJ dengan mengagungkan dan mendahulukan al-Quran dan al-Sunnah serta Ijma‘ al-Salaf al-Salih, kemudian tanpa niat jahat dia tersilap dalam beberapa persoalan, maka tidaklah boleh dia dikira keluar daripada ASWJ atau dihukum sebagai ahli bid’ah atau dihukum sesat.
وقال شيخ الإسلام ابن تيميه (728هـ) رحمه الله: " ومما ينبغي أن يعرف أن الطوائف المنتسبة إلى متبوعين في أصول الدين والكلام على درجات، منهم من يكون قد خالف السنة في أصول عظيمة، ومن من يكون إنما خالف السنة في أمور دقيقة.
ومن يكون قد رد على غيره من الطوائف الذين هم أبعد عن السنة منه، فيكون محموداً فيما رده من الباطل وقاله من الحق، لكن يكون قد جاوز العدل في رده بحيث جحد بعض الحق وقال بعض الباطل، فيكون قد رد بدعة كبيرة ببدعة أخف منها، ورد باطلاً بباطل أخف منه، وهذه حال أكثر أهل الكلام المنتسبين إلى السنة والجماعة.
ومثل هؤلاء إذا لم يجعلوا ما ابتدعوه قولاً يفارقون به جماعة المسلمين يوالون عليه ويعادون كان من نوع الخطأ، والله سبحانه وتعالى يغفر للمؤمنين خطأهم في مثل ذلك.
ولهذا وقع في مثل هذا كثيرٌ من سلف الأمة وأئمتها لهم مقالات قالوها باجتهاد وهي تخالف ما ثبت في الكتاب والسنة، بخلاف من والى موافقه وعادى مخالفه، وفرق بين جماعة المسلمين، وكفر وفسق مخالفه دون موافقه في مسائل الآراء والاجتهادات، واستحل قتال مخالفه دون موافقه، فهولاء من أهل التفرق والاختلافات ". مجموع الفتاوى (3/348-349)

وقال الإمام الذهبي (748هـ) رحمه الله: " ثم إن الكبير من أئمة العلم إذا كثر صوابه، وعلم تحريه للحق، واتسع علمه، وظهر ذكاؤه، وعرف صلاحه، وورعه واتباعه، يغفر له زلله، ولا نضلله ونطرحه، وننسى محاسنه، نعم! ولا نقتدي به في بدعته وخطئه، ونرجو له التوبة من ذلك ". سير أعلام النبلاء (5/271)

10- Perlu dibezakan antara menyanggah orang yang bersalahan dengan al-Sunnah (الرد على المخالفين) dengan bidasan dan hukuman bid’ah (التجريح والتبديع), di mana kewajipan kita ialah menyanggah dengan dalil orang yang bersalahan dengan al-Sunnah tidak kira setinggi mana ilmunya. Ini tidak bererti kita wajib membidas, menghukumnya bid’ah dan sesat kecuali jika dia menyalahi asas-asas ASWJ.

11- ASWJ adalah manusia yang paling penyayang di kalangan umat manusia. ASWJ sangat berkeinginan agar semua orang, baik kafir mahupun muslim, berada di atas kebenaran dan al-Sunnah. ASWJ sekali-kali tidak membawa cita-cita untuk mengeluarkan orang daripada al-Sunnah apatah lagi menghumban mereka ke dalam neraka.

Cetak Halaman

6.04.2008

Pastikan Hadith Nabi yang anda sebut!

Assalamu alaikum, ikhwah yang dihormati sekelian..

Sekadar nasihat dan pandangan. Saya ingin mencadangkan agar setiap seorang daripada kita memastikan kesahihan hadith yang disebut atau ditulis atau disampaikan kepada orang lain. Pastikan hanya hadith yang sahih dan hasan sahaja yang kita guna. Jangan sekali-kali kita guna hadith yang maudu' atau palsu.

Untuk itu, saya ingin menggesa anda sekelian untuk merujuk kepada buku-buku yang menerangkan hadith sahih dan hadith daif serta maudu'. Untuk orang yang tidak dapat berbahasa Arab, bolehlah beli atau rujuk kitab ini:

Himpunan Hadis-hadis Shahih (3 jilid) dan Himpunan Hadis Dha'if dan Maudhu' (2 jilid) oleh Drs Abdul Ghani Zami bin Haji Idris.

Kumpullah duit anda untuk beli kitab ini yang dapat membantu kita untuk menggunakan hadith yang sahih sahaja dan menjauhkan daripada penggunaan hadith daif dan maudu'.

Sekian dahulu..

Cetak Halaman

6.02.2008

Hukum hadith tentang 'tulisan agung'

Hukum hadith tentang ‘tulisan agung’:
بسم الله الرحمن الرحيم
Hadith tentang pendinding (atau tangkal atau azimat) ‘tulisan agung’ telah dinyatakan oleh beberapa orang ulamak dan dikomen oleh mereka seperti berikut:

1- al-Imam al-Baihaqi dalam ‘Dalail al-Nubuwwah’ no 3050 di bawah tajuk “Jima’ Abwab Kaifiyyah Nuzul al-Wahy ‘ala Rasulillah Sallallahu ‘alaih wa sallam” dan beliau telah berkata:
وقد روي في حرز أبي دجانة حديث طويل ، وهو موضوع لا تحل روايته
Ertinya: ‘Dan telah diriwayatkan berkenaan pendinding Abu Dujanah sebuah hadith yang panjang. Ianya palsu dan tidak halal untuk diriwayatkan.’

2- al-Imam Ibn al-Jauzi dalam “al-Maudhu’at al-Kubra” no 1583 di bawah tajuk “Kitab al-Zikr: Bab Hirz Abi Dujanah” dan beliau telah berkata:
هذا حديث موضوع بلا شك ، وإسناده مقطوع ، وليس في الصحابة من اسمه موسى أصلا ، وأكثر رجاله مجاهيل لا يعرفون

Ertinya: ‘Ini adalah hadith palsu tanpa syak. Sanadnya terputus. Tidak terdapat sama sekali di kalangan para sahabat orang yang bernama Musa. Kebanyakan para periwayatnya majhul dan tidak dikenali.’

3- al-Imam al-Suyuti dalam “al-Laali al-Masnu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah” di bawah tajuk “Kitab al-Zikr wa al-Du’a” dan beliau telah berkata:
موضوع ، وإسناده مقطوع ، وأكثر رجاله مجاهيل ، وليس في الصحابة من اسمه موسى أصلا

Ertinya: ‘Palsu dan sanadnya terputus. Kebanyakan para periwayatnya majhul. Tidak terdapat langsung di kalangan para sahabat orang yang bernama Musa.’

4- al-Imam al-Fatani dalam “Tazkirah al-Maudhu’at” no 1734 di bawah tajuk “Kitab al-‘Ilm: Bab al-Maradh min al-Humma wa al-Ramad wa al-‘Ama wa al-Zukam wa al-Juzam wa Isabah al-‘Ain wa Dawaih” dan beliau telah berkata:موضوع وإسناده مقطوع وأكثر رجاله مجهولون وليس في الصحابة من يسمى بموسى أصلا

Ertinya: ‘Palsu dan sanadnya terputus. Kebanyakan para periwayatnya majhul dan tidak terdapat sama sekali di kalangan para sahabat orang yang bernama Musa.’

5- al-Imam al-Kanani dalam “Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah ‘an al-Akhbar al-Syani’ah al-Maudhu’ah” no 15 di bawah tajuk “Kitab al-Zikr wa al-Du’a: al-Fasl al-Thani” dan beliau telah membawa kata-kata al-Imam Ibn al-Jauzi dan al-Imam al-Baihaqi yang menghukum riwayat ini sebagai maudhu’.

Sekian dahulu, semoga kita dipelihara Allah Ta’ala daripada menyebar dan mengamalkan hadith yang palsu.

Fadlan Mohd Othman
Jabatan al-Quran dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam
U.K.M.
Bangi, Malaysia. 3 Jumadil Awwal 1427H - 31/5/2006.

Cetak Halaman

Salam Pengenalan

Assalamu alaikum,

Di dalam satu kuliah di UKM, pernah saya gesa rakan-rakan pelajar untuk aktif dalam apa sahaja bentuk dakwah yang termampu oleh mereka... termasuklah dakwah melalui blog. Pada asalnya saya ingat perkara ini mudah, tetapi bila saya cuba menceburinya ternyata agak susah juga untuk orang yang pasca remaja seperti saya ini. Apa pun ini adalah satu cubaan untuk menyahut sendiri gesaan saya itu.

Sekian sahaja buat masa ini.
Related Posts with Thumbnails