RSS Feeds

Translate


9.28.2011

Kuatkan bahasa Arab anda!

Cetak Halaman

Saranan untuk menguatkan bahasa Arab!

Assalamu alaikum ikhwah yang dikasihi sekelian. Semalam, semasa saya memandu kereta untuk pulang dari UKM ke rumah, saya merasakan ada baiknya jika saya berkongsi apa yang telah saya sarankan kepada pelajar-pelajar dan rakan-rakan saya di UKM untuk menguatkan bahasa Arab.

Saranan itu sebenarnya merupakan satu perkara yang pernah saya sendiri lakukan 22 tahun lepas. Saya diberikan satu kaset (semasa itu komputer masih di zaman permulaan) yang bertajuk al-Taubah al-Sadiqah oleh al-Shaikh Sa‘d al-Braik. Sayapun mendengar dari mula hingga akhir, dan bayangkan, berapa peratuskah yang saya faham? Emm, saya rasa hanya sekitar 5 peratus sahaja. Lalu, sayapun mengulangi kaset itu dan mencatatkan mufradat atau vocabulary yang terdapat dalam kaset itu dengan membuka kamus. Dan begitulah saya lakukan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya Alhamdulillah saya dapat menikmati kehebatan isi kaset itu secara menyeluruh.

Justeru, saya ingin menyarankan kepada ikhwah sekelian agar mencuba cara ini. Sudah tentu usaha ini memerlukan kesabaran. Akan tetapi saya merasakan usaha ini jauh lebih mudah sekarang jika dibandingkan dengan dua puluh tahun lepas. Manakan tidak, sekarang ini kita hanya perlu ada komputer dan internet lalu;

1- Kita dapat memilih mana-mana ceramah bahasa Arab yang telah dimuatnaik ke dalam internet.

2- Kita dapatlah mencatat perkataan yang tidak difahami terus ke dalam fail Words.

3- Kita boleh bertanya ‘Shaikh Google Translate’ berkenaan perkataan yang tidak difahami itu.

4- DAN, akhirnya dengan satu ceramah, kita akan dapat begitu banyak mufradat atau vocabulary!

Ikhwah yang dikasihi sekelian, cubalah cara ini, semoga Allah Ta‘ala memudahkan usaha kita untuk menguatkan penguasaan bahasa Arab kita. Cuma, nasihat saya, jika anda berjaya menyelesaikan satu ceramah, janganlah berhenti pula! Sebaliknya hendaklah anda teruskan dan teruskan…

Selamat mencuba, semoga Allah mempermudahkan usaha anda!

Nota: berikut adalah link ceramah yang saya dengar 22 tahun lepas :

http://audio.islamweb.net/audio/index.php?page=audioinfo&audioid=107291

9.26.2011

Pensyariatan dan pelaksanaan Hudud

Cetak Halaman Kita terima hudud seratus peratus.
Orang yang menolak pensyariatan hudud, tiada sebarang syak bahawa dia telah murtad jika sebelum itu dia Muslim. Akan tetapi, dari sudut pelaksanaan, untuk mencapai aplikasi hudud yang cemerlang, kita harus melalui pelbagai proses seperti pemahaman kepada masyarakat baik yang Muslim mahupun kafir, penyediaan infrastuktur kehidupan yang sesuai untuk semua dan meneliti sudut keselamatan Negara.
Apapun yang terpenting ialah usaha bersepadu untuk memperkasa dakwah semula baik kepada Muslim mahupun Kafir. Jika masyarakat tak bersedia, dikhuatiri Umat Islam sendiri menolak hudud sebelum Umat Kafir, seperti yang pernah berlaku di beberapa negara Umat Islam.

Dari sudut Sirah, pelaksanaan hudud berlaku selepas wujudnya kerajaan dan masyarakat yang memahami Islam dari sudut Akidah terlebih dahulu disusuli dengan penerimaan total terhadap kepimpinan Rasulullah saw sebagai sumber Syariat.

Jika ditanya sampai bila kita perlu berdakwah? Sudah puluhan tahun dakwah dilaksanakan, adakah belum sampai masanya lagi? Jawapannya ialah kita dituntut untuk berusaha secara berterusan. Jika benar dakwah kita ikhlas dan menyeluruh di mana Umat Islam benar-benar menjadi contoh dalam ikutan mereka terhadap Rasulullah s.a.w. yang membawa konsep "rahmatan lil'alamin", maka ya tibalah masanya untuk perlaksanaan hudud.

Akan tetapi, jika Umat Islam masih dibelenggu dengan pelbagai masalah dalaman dan masih tidak jelas jati dirinya, selagi itulah dakwah bersepadu perlu dipergiat dan diperkasa. Pada peringkat awalan ini, matlamat utama yang wajar ialah pembentukan individu Muslim yang mampu menerima kebaikan orang lain dan mengakui kesilapan diri sendiri; satu petunjuk bahawa di dalam diri ada keinsafan dan keadilan.
Related Posts with Thumbnails