RSS Feeds

Translate

6.12.2013

Inspirasi Sya'ban

huruf pertama Cetak Halaman

Inspirasi Sya’ban


Dr Fadlan bin Mohd Othman 
 Student Affairs Division

Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)


Telahpun diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa kebanyakan hari dalam bulan Sya’ban. Apabila ditanya kenapa, Baginda s.a.w. menjawab, “Ia adalah bulan yang dilupai oleh kebanyakan manusia, di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah satu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam. Justeru aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.” (Hadis riwayat al-Nasa’i, Kitab al-Siyam, Bab Saum al-Nabi s.a.w., No. 2357. Dinilai hasan oleh al-Albani.) Hadis ini adalah salah satu daripada hadis-hadis sahih dan hasan yang membicarakan perihal kelebihan bulan Sya’ban. Hadis ini juga merupakan galakan agar umat Islam memperbanyakkan puasa pada bulan ini.

Akan tetapi, perlulah diketahui bahawa ibadah dalam Islam adalah satu perkara yang sesuai dengan naluri suci manusia. Rasulullah s.a.w. mengajar kita agar beribadah kepada Allah Ta’ala setinggi yang kita mampu. Namun Baginda s.a.w. juga memberi garis panduan agar mengimbangi praktikal ibadah kita. Nilai murni ini dapat digarap daripada perakuan Nabi s.a.w. terhadap kenyataan Salman al-Farisi kepada Abu al-Darda’ “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab terhadap Tuhanmu, tanggungjawab terhadap badanmu, tanggungajawab terhadap keluargamu; jadi hendaklah kamu melaksanakan tanggungjawab kamu kepada mereka semua.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Man Aqsama ‘ala akhihi liyuftir, No. 1832.)

Berdasarkan kepada perkara inilah kita dapati Rasulullah s.a.w. melarang umatnya daripada berpuasa bermula daripada pertengahan Sya’ban. Sabda Baginda s.a.w., “Apabila datangnya pertengahan Sya’ban maka janganlah kamu semua berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab Fi Karahiyah Zalik, No. 1994. Dinilai sahih oleh al-Albani.).
Al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif (cetakan Dar Ibn al-Haitham, halaman 169) telahpun menerangkan maksud hadis ini dengan menyatakan bahawa terdapat perselisihan ulama dalam beramal dengan hadis ini. Pandangan pertama; hadith ini tidak diamalkan kerana bercanggahan dengan hadis-hadis lain yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. berpuasa pada bulan ini. Pandangan kedua; hadith ini diterima dan diamalkan dengan kefahaman bahawa dilarang memulakan puasa sunat bagi mereka yang tidak biasa berpuasa sunat sebelum waktu ini. Pandangan kedua ini adalah pandangan al-Imam al-Syafi’i rahimahullah bersama beberapa ulama lain.
Di dalam satu hadis lain, Rasulullah s.a.w. melarang umatnya daripada berpuasa sunat sehari atau dua hari sebelum masuknya bulan Ramadan. Baginda s.a.w. bersabda, “Janganlah ada di kalangan kamu orang yang mendahului bulan Ramadan dengan berpuasa sehari atau dua hari, kecuali orang yang biasa puasa pada hari tertentu maka dibenarkan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadith ini jelas menganjurkan umat Islam agar menjauhi sifat was-was dalam melaksanakan ibadah. Islam mementingkan keyakinan dan kepastian dan bukannya was-was dan terlalu berjaga-jaga. Jika anak bulan Ramadan dapat dilihat atau sempurna kiraan tiga puluh bulan Sya’ban maka hendaklah dimulakan puasa Ramadan.

Satu perkara penting yang ingin dibincangkan ialah berkenaan dengan hadis pertama yang saya nyatakan di atas. Secara khusus lagi, ungkapan yang saya maksudkan ialah sabda Rasulullah s.a.w., “…yang dilupai…” Ungkapan ini sebenarnya membawa satu inspirasi yang amat hebat iaitu pahala sesuatu amal salih akan berganda bila dilakukan pada waktu yang dilupai atau tidak dihiraukan oleh orang ramai. Kenapakah beramal di waktu yang tidak dihiraukan oleh orang ramai dijanjikan pahala yang berganda? Jawapannya telah dihuraikan oleh al-Imam Ibn Rajab dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif (cetakan Dar Ibn al-Haitham, halaman 162) seperti berikut. Pertama, kerana amalan yang dilakukan semasa orang tidak hirau adalah satu amalan yang tersembunyi. Sudah tentu amalan yang dilakukan secara tersembunyi adalah lebih terselamat daripada dicemari dengan riyak yang akan merosakkan amalan itu.

Kedua, kerana melakukan amal salih semasa orang tidak hirau adalah suatu usaha yang payah dan susah. Apabila kebanyakan masyarakat membuat kebaikan, adalah mudah untuk kita mengikuti mereka. Akan tetapi, jika kebanyakan masyarakat tidak hiraukan kebaikan, sering membuat keburukan, maka sudah tentu ini memerlukan semangat dan kesungguhan yang tinggi untuk kita melawan arus. Ini kerana semakin jauh Umat Islam daripada zaman Rasulullah s.a.w. maka semakin lemahlah pegangan mereka terhadap ajaran Islam. Di sinilah kita dapati Rasulullah s.a.w. menjanjikan pahala yang besar bagi mereka yang berpegang teguh dengan sunnah Baginda s.a.w. di akhir zaman. Janji Rasulullah s.a.w. itu berbunyi, “Bagi orang yang beramal salih di kalangan mereka pahala lima puluh orang daripada kalangan kamu.” (Hadis Hasan Gharib riwayat al-Tirmizi, Kitab Tafsir al-Quran, Bab Wa min Surah al-Maidah, No. 3004.)

Inspirasi inilah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. di dalam bulan Sya’ban. Inspirasi ini jugalah yang wajar kita warisi daripada baginda s.a.w. Di mana sahaja kita berada, di saat mana juapun, bila orang mula lalai dan tidak menghiraukan ajaran Islam, di situlah kita harus bangkit mengamalkan dan menyebarkan dengan penuh hikmah dan konsisten. Hayatilah inspirasi Sya’ban agar ibadah kita kekal menepati praktikal Rasulullah s.a.w.


0 comments:

Related Posts with Thumbnails