RSS Feeds

Translate

6.12.2013

Kehebatan Islam Terserlah Dengan Kepakaran Umat Yang Pelbagai

huruf pertama Cetak Halaman



Kehebatan Islam Terserlah Dengan Kepakaran Umat Yang Pelbagai

Dr Fadlan Mohd Othman


Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)



Sudah beberapa kali saya diajukan soalan yang menunjukkan ketidakpuasan terhadap kemahiran dan kelebihan yang dikurniakan Allah Ta’ala kepada seseorang hamba. Guru merasakan dia jauh daripada Allah Ta’ala kerana dia hanya mengajar bahasa Inggeris atau ilmu Sains. Doktor tertekan dengan kepadatan jadualnya lalu tiada masa untuk Allah dan agama. Bahkan, perempuan merasa tidak senang kerana perlu memikul pelbagai kesusahan menguruskan anak-anak. Ini belum lagi ditambah dengan tugas di pejabat yang menekan dan membebankan. Lalu saya cuba meneliti situasi yang mungkin sampai ke tahap fenomena ini. Adakah benar jurusan agama sahaja yang mendapat pahala? Atau adakah benar profesion yang lain kurang pahala atau tiada pahala. 

Setelah membuat pencarian dan penelitian, saya dapati di sana terdapat dalil-dalil yang dapat merungkai permasalahan ini. Pertama sekali, Nabi s.a.w. telahpun mengkhabarkan kepada kita bahawa tiada hasad kecuali pada dua perkara iaitu harta yang diinfaqkan ke jalan yang diredai oleh Allah Ta’ala dan ilmu yang dimanfaatkan oleh seseorang individu itu dan disebarkan kepada orang ramai. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tiada hasad kecuali pada dua perkara; seorang lelaki yang dikurniakan harta oleh Allah, maka dia menggunakan harta itu untuk kebenaran. Kedua, seorang lelaki yang dikurniakan hikmah oleh Allah, lalu dia memanfaatkannya dan mengajarnya.” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1409). Erti hasad dalam hadis ini ialah mengharap dapat mencapai dua amalan murni tersebut.

Seterusnya, apabila kita melihat kepada kepakaran para sahabat r.a., kita akan dapati kepakaran mereka adalah pelbagai dan berbeza. Dalam ilmu agama, terdapat hadis yang menunjukkan perbezaan kepakaran mereka. Sabda Nabi s.a.w.: “Di kalangan umatku, orang yang paling merahmati umatku ialah Abu Bakr. Orang yang paling tegas melaksanakan urusan Allah ialah Umar. Orang yang paling pemalu dan lemah lembut ialah Uthman. Orang yang paling mahir membaca kitab Allah ialah Ubay bin Ka’b. Orang yang paling mahir perihal harta pusaka ialah Zaid bin Thabit. Orang yang paling berilmu tentang halal dan haram ialah Muaz bin Jabal. Ketahuilah bahawa setiap umat mempunyai pemegang amanah. Dan sesungguhnya pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan beliau menyatakan status hadis ini ialah Hasan Sahih).

Perhatikanlah bagaimana Rasulullah s.a.w. mengiktiraf kepakaran sahabat-sahabatnya. Tiada pula Nabi s.a.w. mengarahkan agar mereka menumpukan perhatian kepada satu bidang keilmuan sahaja. Sebaliknya Rasulullah s.a.w. sentiasa melihat kepada kepakaran para sahabatnya di dalam skop yang lebih besar. Selagimana kepakaran itu dapat menyerlahkan kehebatan Islam, selagi itulah kepakaran itu akan dimanfaatkan. Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w. sering melantik Khalid bin al-Walid r.a. untuk mengepalai gerakan ketenteraan. Rasulullah s.a.w. tidak mengenepikan Khalid r.a. semata-mata kerana kekurangan beliau dalam periwayatan hadis jika dibandingkan dengan Abu Hurairah r.a. Setiap seorang perlu dihargai kerana setiap seorang berperanan dalam menyerlahkan kehebatan Islam.

Di dalam sebuah hadis, ‘Aishah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling awal wafat dan menyusuliku di kalangan kamu semua (iaitu isteri-isteri Baginda s.a.w.) ialah yang paling panjang tangannya”. ‘Aishah berkata, ‘Lalu kami mengukur tangan kami. Kemudian kami dapati Zainab yang paling panjang tangannya di antara kami kerana dia menjahit baju dan bersedekah dengan hasil kerjanya itu.’ (Hadis riwayat al-Imam Muslim, No. 2452). Di dalam mensyarah hadis ini, al-Imam al-Nawawi mengatakan bahawa hadith ini jelas menunjukkan keistimewaan Zainab binti Jahsh r.a. Ini kerana Zainab r.a. bekerja dan bersedekah daripada hasil jualan jahitannya. Justeru, dapatlah kita fahami bahawa Rasulullah s.a.w. mengiktiraf usaha murni Zainab r.a. dalam menyerlahkan kehebatan Islam melalui usahanya meringankan beban fakir miskin.

Satu lagi peristiwa yang menunjukkan bahawa kepakaran perlu dipelbagaikan demi menjaga kehebatan Islam ialah hadis Zaib bin Thabit r.a. Di dalam satu riwayat, Zaib bin Thabit berkata yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan saya untuk belajar Bahasa Yahudi. Lalu saya pun belajar persuratan Yahudi. Baginda telah berkata: “Demi Allah, aku tidak percaya dengan bangsa Yahudi dalam persuratanku”. Maka saya pun mempelajarinya dan tidak sampai setengah bulan, saya telahpun dapat menguasai bahasa Yahudi. Justeru, sayalah yang menulis surat Rasulullah s.a.w. kepada orang-orang Yahudi dan membaca surat mereka kepada Baginda.” (Hadis riwayat al-Imam Abu Daud, No. 3645 dan dinyatakan statusnya sebagai Hasan Sahih oleh al-Albani). Hadis ini sewajarnya menjadi inspirasi dan motivasi kepada mereka yang menceburi bidang linguistik agar berusaha sedaya upaya sehingga dapat menguasai bahasa yang dipelajari. Bukankah dengan mengetahui bahasa asing, ajaran Islam dapat disebar luaskan? Bukankah dengannya juga dapat dikesan perancangan jahat musuh terhadap kelangsungan Islam?

Sebelum mengakhiri coretan ini, saya ingin membawa kata-kata tuan guru kepada al-Imam al-Shafi’i rahimahullah, iaitulah al-Imam Malik rahimahullah yang menjelaskan kepada kita sikap sebenar seorang muslim terhadap kemahiran dan kecenderungan. Al-Imam Malik rahimahullah telah diajak oleh seorang abid untuk mempergiatkan amalan salih dan meninggalkan pengajaran ilmu, lalu beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah telah membahagikan amalan sebagaimana Dia membahagikan rezeki. Justeru, mungkin seorang lelaki itu dipermudahkan untuk solat tetapi tidak dipermudahkan untuk puasa. Seorang lagi dipermudahkan untuk bersedekah tetapi tidak dipermudahkan untuk puasa. Seorang yang lain pula dipermudahkan untuk berjihad. Maka menyebarkan amalan adalah di antara amalan kebajikan yang terbaik. Saya reda dengan amalan ini yang telah dipermudahkan untukku. Saya tidak merasakan apa yang saya buat ini kurang daripada apa yang anda buat. Saya berharap kita berdua berada di atas landasan kebaikan dan kebajikan.” (Dinukilkan oleh al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’).

Begitulah sewajarnya pendirian kita terhadap kecenderungan, kemahiran dan kerjaya. Janganlah kita mensia-siakan kepakaran kita, sebaliknya salurkanlah kepakaran itu untuk mencapai kerjasama dalam kebajikan dan ketaqwaan. Jika kita tidak mampu melakukan kebajikan, kita masih lagi mampu untuk mengajar orang lain untuk melakukannya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Sesungguhnya orang yang menunjukkan kepada kebaikan adalah seperti orang yang melakukan kebaikan itu.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan dinyatakan statusnya sebagai Hasan Sahih oleh al-Albani).Ingatlah bahawa setiap kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas dan menepati garis panduan agama pasti akan direkodkan oleh Allah Ta’ala sebagai amal salih. Begitu juga sebaliknya. Kedua-dua ilmu fardu ain dan fardu kifayah wajar bergerak seiringan. Allah Ta’ala berfirman dalam Surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8 yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

0 comments:

Related Posts with Thumbnails