RSS Feeds

Translate

6.12.2013

Pedoman Islam Semasa Senang Dan Susah

huruf pertama Cetak Halaman



Pedoman Islam Semasa Senang Dan Susah

Dr Fadlan Mohd Othman



Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)



Tujuan manusia dicipta
Matlamat hidup manusia dan jin dalam Islam amat jelas. Allah Ta’ala telah menyatakan bahawa tujuan dua makhluk ini dicipta adalah untuk semata-mata untuk merealisasikan ibadah kepada Allah Ta’ala. Kenyataan ini ditegaskan dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Zariyat ayat 56 yang bermaksud: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadat kepadaKu.” Namun begitu, observasi menunjukkan bagaimana kenyataan yang jelas lagi bersuluh ini gagal difahami oleh kebanyakan masyarakat manusia, termasuklah di kalangan umat Islam.

Islam adalah agama yang paling hebat. Allah Ta’ala telah meredai Islam sebagai satu-satunya agama yang menyelamatkan umat manusia di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang mencari kesejahteraan dan kerohanian daripada selain Islam, maka usahanya tidak akan diterima oleh Allah Ta’ala. Perkara ini telahpun diterangkan oleh Allah Ta’ala dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Kehebatan agama Islam terserlah dengan keprihatinan ajarannya terhadap keseluruhan aspek kehidupan umat manusia. Ini adalah kerana ajaran Islam adalah merupakan wahyu daripada Tuhan semesta alam yang mempunyai ilmu yang maha menyeluruh terhadap kemaslahatan umat manusia. Apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. sama ada al-Quran mahupun Sunnah Baginda s.a.w. adalah wahyu daripada Allah Ta’ala.

Berdasarkan kepada fakta inilah kita diarahkan agar menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan dan teladan unggul kita dalam kehidupan. Apa sahaja yang dibawa oleh Baginda s.a.w. adalah merupakan contoh terbaik bagi umat Islam khususnya dan bagi umat manusia amnya.

Allah Ta’ala telah mengarahkan demikian dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang Baginda larang kamu daripada melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya.” Suatu perkara yang perlu ditekankan ialah bahawa ajaran Rasulullah s.a.w. mencakupi kedua-dua aspek praktikal dan spiritual.

Dalam erti kata lain, tujuan manusia dicipta adalah untuk diuji siapakah yang lebih baik amalannya dari sudut praktikal dan spiritual. Dalilnya adalah firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Dengan ini, kita dapat memahami bahawa melafazkan keimanan tidak cukup, sebaliknya manusia akan diuji untuk dibezakan siapakah yang benar dan siapakah yang bohong. Maka ia merupakan satu mesej yang jelas kepada umat Islam agar mempersiapkan diri untuk menghadapi segala Mehnah dan tribulasi dalam kehidupan duniawi ini.

Hidup adalah medan ujian

Melihat kepada kehidupan manusia, kita dapati umat manusia tidak dapat lari daripada menghadapi ujian keburukan dan kebaikan.

Dapat dilihat ramai di kalangan manusia gagal dalam berinteraksi dengan ujian keburukan dan ujian kebaikan. Apabila ditimpa keburukan, seringkali ada di kalangan manusia yang menganggapnya sebagai satu ujian. Akan tetapi, apabila dikurniakan kebaikan, mereka tidak pula menganggapnya sebagai satu ujian.

Hasilnya ialah bila ditimpa keburukan, ada insan yang akan kembali kepada Allah Ta’ala. Sebaliknya, bila dikurniakan kebaikan, ramai yang akan lupa diri dan menganggap diri mereka bebas dari garis panduan Islam. Persoalannya ialah, bukankah Islam itu satu agama yang paling sempurna? Tidakkah wujud garis panduan berinteraksi dengan keburukan dan kebaikan dalam ajaran Islam? Jika ada, mengapa masih ramai insan yang seakan-akan hilang pedoman bila berhadapan dengan ujian keburukan dan kebaikan?

Marilah kita meneliti dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah yang merupakan panduan yang terbaik dalam menghadapi tribulasi kehidupan. Di dalam menghadapi kebaikan, manusia diperintahkan agar bersyukur. Jika dia bersyukur dia akan memperoleh pahala untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Naml ayat 40 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mensyukuri nikmat maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya dan sesiapa yang mengkufuri nikmat maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.” Allah Ta’ala tidak akan terkesan walau sekelumit dengan hamba-hambaNya yang kufur nikmat.

Umat Islam perlu sentiasa ingat bahawa orang yang bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepadanya akan diberikan tambahan nikmat. Orang yang mengingkari nikmat pula adalah berisiko tinggi untuk mendapat azab yang pedih daripada Allah Ta’ala.

Lihatlah firman Allah Ta’ala dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.” Orang yang beriman juga perlu sentiasa ingat bahawa Allah Ta’ala boleh sahaja menarik balik nikmat orang yang tidak bersyukur.

Tindak balas manusia menjadi penentu

Kesenangan itu tidak semestinya baik untuk manusia sebagaimana kesusahan itu tidak semestinya buruk untuknya. Indikator yang menentukan kesenangan atau kesusahan itu baik atau buruk telahpun dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud: “Amat ajaib keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua keadaannya adalah baik belaka. Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin. Sekiranya dia dikurniakan kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik untuknya.” (Hadis riwayat al-Imam Muslim, No. 5318). Daripada hadis ini dapatlah difahami bahawa tindak balas mukmin adalah amat dominan dalam menghadapi ujian kesenangan dan kesusahan.

Oleh itu, semasa ditimpa kesusahan, jika dia dapat menerima dan bertindak menepati kesabaran dan keredaan, maka di situlah dia akan mendapat balasan baik yang setimpal; dia akan diredai oleh Allah Ta’ala. Akan tetapi jika dia tidak reda dan sering memarahi, maka dia hanya akan mendapat kemurkaan daripada Allah Ta’ala.

Rasulullah s.a.w. menegaskan hakikat ini dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya ketinggian pahala itu setimpal dengan kegetiran ujian. Sesungguhnya Allah Ta’ala, sekiranya Dia cinta kepada sesuatu kaum Dia akan menguji mereka. Maka sesiapa yang reda akan mendapat keredaan dan sesiapa yang marah akan mendapat kemurkaan.” (Hadith riwayat al-Imam Ibn Majah, No. 3272 dan dinilai Hasan oleh al-Albani).

Jika salah seorang daripada kita ditimpa ujian, di antara perkara yang perlu diingati ialah dosanya akan dihapuskan. Apabila seorang sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Sa‘d bin Abi Waqqas bertanya kepada Nabi s.a.w. “Wahai Rasulullah siapakah di kalangan manusia yang paling teruk cubaannya?” Baginda telah menjawab, “Para nabi kemudian yang kuat imannya kemudian yang seterusnya. Seseorang lelaki itu diuji mengikut tahap keagamaannya. Sekiranya tahap keagamaannya kuat maka kuatlah cubaannya. Sekiranya tahap keagamaannya nipis maka dia diuji mengikut tahap keagamaannya. Ujian itu akan sentiasa bersama seseorang hamba itu sehinggalah dia dibiarkan berjalan di atas muka bumi ini tanpa sebarang dosa.” (Hadis riwayat al-Imam al-Tirmizi, No. 2398 dan dinilai Hasan Sahih oleh al-Albani).

Rasulullah s.a.w. juga telah mengajarkan zikir dan doa apabila kita mendepani musibah. Zikir dan doa itu ialah: “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Allahuma’jurni fi musibati. Wa akhlif li khairan minha” yang bermaksud “Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepadaNyalah kami akan kembali. Ya Allah berilah pahala padaku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya.” Bagi orang yang menyebut ucapan ini, Allah Ta’ala akan memberi pahala kepadanya dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. (Hadis riwayat al-Imam Muslim, No. 918).

Kesabaran yang dikira dalam menghadapi musibah ialah bila mana dilakukan seawal musibah menimpa. Ini bertepatan dengan satu lagi hadis Nabi s.a.w. iaitu yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. katanya: Nabi telah berjalan di sebelah seorang wanita yang menangis di sisi satu kubur.

Baginda berkata: “Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah.” Jawab wanita itu: “Pergilah, engkau tidak ditimpa seperti musibahku ini.” Dia tidak mengetahui bahawa itu ialah Rasulullah s.a.w. Kemudian ada orang berkata kepada wanita itu: “Lelaki itu adalah Nabi s.a.w.” Wanita itu pun bergegas menuju ke pintu rumah Nabi yang didapatinya tidak dijaga oleh sesiapa. Kemudian dia berkata kepada Nabi s.a.w.: “Aku tidak mengenalimu sebentar tadi.” Rasulullah s.a.w. hanya menjawab: “Sesungguhnya sabar itu pada kejutan yang pertama.” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1203).
Sesungguhnya pahala yang besar di sisi Allah adalah bersabar ketika sesuatu musibah menimpa pada saat itu juga.

Perkara inilah yang perlu dilakukan sepertimana diajarkan oleh agama kita apabila berhadapan dengan sesuatu ujian dari Allah samada  ujian yang buruk mahupun ujian yang baik.janganlah kita meniru kaedah orang kafir dan jahiliyah yang meratap ketika ditimpa musibah dan berfoya-foya ketika diberi kesenangan.


0 comments:

Related Posts with Thumbnails