RSS Feeds

Translate

6.04.2013

Perkongsian tentang Ketokohan Al-Imam Ibn Ashur dalam Tafsir

huruf pertama Cetak Halaman



KETOKOHAN AL-IMAM IBN ‘ASHUR DALAM BIDANG TAFSIR.


Fadlan bin Mohd. Othman


Student Affairs Division
Al-Madinah International University


(Jabatan Pengajian al-Quran al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia)


Kajian ini membincangkan biodata al-Imam Ibn ‘Ashur dan ketokohannya dalam bidang Tafsir. Kertas kerja ini mengenalkan secara ringkas biodata al-Imam Ibn ‘Ashur yang merangkumi pelbagai aspek seperti kehidupan, pengajian dan pengajaran serta khidmat masyarakat. Seterusnya perbincangan beralih kepada karangan al-Imam Ibn ‘Ashur yang tersohor iaitu al-Tahrir wa al-Tanwir yang dikenali juga sebagai Tafsir Ibn ‘Ashur. Kajian dimulakan dengan menyatakan beberapa metod yang digunakan oleh al-Imam Ibn ‘Ashur dalam kitab ini. Seterusnya, kajian menjurus kepada muqaddimah yang dinyatakan oleh al-Imam Ibn ‘Ashur. Al-Imam Ibn ‘Ashur menjelaskan sepuluh dasar utama yang diperlukan dalam ilmu Tafsir al-Quran al-Karim. Beliau menegaskan bahawa seseorang mufassir itu mestilah memahami dasar-dasar ini terlebih dahulu. Dengan mengutarakan dasar-dasar tersebut secara umum di dalam kertas kerja ini, terserlahlah ketokohan al-Imam Ibn ‘Ashur di dalam bidang Tafsir.

 





















PENGENALAN RINGKAS BERKENAAN BIOGRAFI AL-IMAM IBN ‘ASHUR

Untuk membincangkan ketokohan seseorang tokoh, sudah tentu perkara pertama yang perlu dilalui ialah biografi tokoh tersebut. Justeru, penulis akan membincangkan secara ringkas berkenaan biografi al-Imam Ibn ‘Ashur dari beberapa aspek penting seperti berikut:

  • NAMA DAN KETURUNAN:

Nama beliau ialah Muhammad al-Tahir (al-Awwal) bin Muhammad bin Muhammad al-Tahir (al-Awwal) bin Muhammd al-Syazili bin Abdul Qadir bin Muhammad bin ‘Ashur al-Syarif al-Andalusi thumma al-Tunisi. Keturunan keluarga ini merujuk kepada Muhammad bin ‘Ashur, datuk keempat bagi al-Imam Muhammad al-Tahir (al-Awwal). (Haya Thamir Miftah al-‘Ali 1994, 23)

Disebabkan terdapat dua orang yang membawa nama yang sama iaitu Muhammad al-Tahir di dalam salasilah keturunan tersebut, eloklah penulis tekankan bahawa kajian ini menjurus kepada Muhammad al-Tahir yang pertama dan bukannya Muhammad al-Tahir yang merupakan datuk. Seperkara lagi ialah penulis hanya akan menggunakan ungkapan Ibn ‘Ashur untuk merujuk kepada Muhammad al-Tahir ini, kerana panggilan ini telah menjadi sinonim dengan beliau.

Al-Imam Ibn ‘Ashur telah dilahirkan di pinggir al-Marsa yang terletak di bahagian utara Tunisia pada bulan Jumada al-Uula tahun 1296 hijrah bersamaan bulan September 1879 masehi, di rumah datuk sebelah ibu beliau yang bernama Muhammad al-‘Aziz Bu ‘Utur. (Haya Thamir Miftah al-‘Ali 1994, 25)

  • PROSES PENGAJIAN:

Ibn Ashur telah memulakan pengajian beliau dengan mempelajari al-Quran dan menghafalnya. Kemudian beliau telah menghafal beberapa matan dalam bidang bahasa Arab. Seterusnya pada umur empat belas tahun, beliau telah memasuki Jami‘ al-Zaitunah al-A‘zam pada tahun 1310H bersamaan 1893M. Di sana beliau telah melalui pengajian secara tradisional dengan penekanan kepada pelbagai ilmu-ilmu teras Islam yang berpandukan kitab-kitab sukatan insititusi pengajian ini. Metod ini adalah ala metod pengajian al-Imam Ibn Khaldun di institusi pengajian yang sama. (Dr. Balqasim al-Ghali 1996, 37-38). Perlu diingatkan bahawa al-Imam Ibn Khaldun lahir pada tahun 732H bersamaan 1332M dan wafat pada tahun 808H bersamaan 1406M (http://en.wikipedia.org/wiki/Ibn_Khaldun), bererti di antara beliau dengan al-Imam Ibn ‘Ashur terdapat lebih kurang 564 tahun (melihat kepada tarikh lahir mereka).

  • PANDANGAN ULAMAK:

Salah satu cara untuk menentukan ketokohan seseorang itu secara umum ialah dengan melihat kata-kata ulamak tentangnya. Di sini penulis meletakkan pandangan beberapa orang ulamak dan ilmuan tentang al-Imam Ibn ‘Ashur seperti berikut:
1-      al-Shaykh Muhammad al-Khidr Husain (Dr. Balqasim al-Ghali 1996, 39-40):
"شب الأستاذ على ذكاء فائق، وألمعية وقادة، فلم يلبث أن ظهر نبوغه بين أهل العلم وقد امتاز بهمة طماحة إلى المعالي، وجد في العمل لا يمسه كلل ومحافظة على واجبات الدين وآدابه، وبالإجمال ليس إعجابي بوضاءة أخلاقه وسماحة آدابه بأقل من إعجابي بعبقريته في العلم."

2-      Al-Shaykh Muhammad al-Bashir al-Ibrahimi (Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur, Tahqiq Muhammad al-Tahir al-Misawi 2001, 15):
"الأستاذ الأكبر الشيخ محمد الطاهر بن عاشور علم من الأعلام الذين يعدهم التاريخ الحاضر من ذخائره، فهو إمام متبحر في العلوم الإسلامية، مستقل في الاستدلال لها، واسع الثراء من كنوزها، فسيح الذرع بتحملها،  نافذ البصيرة في معقولها، وافر الاطلاع على المنقول منها، أقرأ وأفاد، وتخرجت عليه طبقات ممتازة في التحقيق العلمي، وتفرد بالتوسع والتجديد لفروع من العلم ضيقها المنهاج الزيتوني، وأبلاها الركود الذهني، وأنزلتها الاعتبارات التفليدية دون منزلتها بمراحل، فأفاض عليها هذا الإمام من روحه وأسلوبه حياة وجدة، وأشاع فيها مائية ورونقا، حتى استرجعت بعض قيمتها في النفوس، ومنزلتها في الاعتبار ... هذه لمحات دالة – في الجملة – على منزلته العلمية، وخلاصتها أنه إمام في العلميات لا ينازع في إمامته أحد."

3-      Dr. ‘Abdul Mun’im Khafaji (Haya Thamir Miftah al-‘Ali 1994, 63):
"كان الإمام الطاهر من أئمة رجال الدين وشيوخ الإسلام متمكنا في علوم الشريعة والأدب، في الأصول والفروع، حتى عد إمام عصره وشيخ دهره، وتصدر جيله وصار مقصد طالبي الفتيا في حياته."

4-      Al-Shaykh Mansur Rajab (Haya Thamir Miftah al-‘Ali 1994, 63):
"إنه حامل لواء العلم في زمانه وإمام وقته تفسيرا وحديثا وفقها وكلاما وأصولا ومنقولا ومعقولا."

  • BIDANG KEPAKARAN DAN KARANGAN:

Al-Imam Ibn ‘Ashur mendalami pelbagai bidang ilmu Islam yang merangkumi al-Quran, al-Hadis, Usul al-Fiqh, Fiqh, Bahasa Arab, Nahu, Sastera (al-Adab), al-Naqd, al-Ijtima‘, al-Tarikh, al-Tarajim dan al-Hikmah. (Ismail al-Hasani 1995, 89). Walaupun begitu, dapatlah dirumuskan bahawa kepakaran beliau menjurus kepada ilmu Tafsir al-Quran dan ilmu Maqasid al-Shari’ah melihat kepada dua tulisan utama beliau yang mendapat sambutan hangat para ilmuan iaitu al-Tahrir wa al-Tanwir dan Maqasid al-Shari’ah al-Islamiyyah.

  • JAWATAN YANG DISANDANG:

Menurut Dr. Haya Thamir Miftah al-‘Ali (1994, 53) dan juga Abdul Qadir Muhammad Salih (2003, 109), al-Imam Ibn ‘Ashur telah diberikan kepercayaan untuk menyandang beberapa tugas seperti berikut:
1-      Tenaga pengajar di Jami‘ al-Zaytunah secara sukarela pada tahun 1899M.
2-      Tenaga pengajar di Jami‘ al-Zaytunah secara tetap pada tahun 1900M.
3-      Tenaga pengajar di Jami‘ al-Zaytunah kelas kedua pada tahun 1900M.
4-      Tenaga pengajar di al-Sadiqiyyah pada tahun 1901M.
5-      Ahli jawatankuasa penyusunan kitab di al-Maktabah al-Sadiqiyyah pada tahun 1905M.
6-      Tenaga pengajar kelas pertama pada tahun 1905M.
7-      Wakil pertama bagi Majlis Ilmiyyah Jami‘ al-Zaytunah pada tahun 1907M.
8-      Ahli Majlis Pengurusan al-Madrasah al-Sadiqiyyah pada tahun 1909M.
9-      Ahli Majlis madrasah-madrasah pada tahun yang sama.
10-  Ahli Jawatankuasa Pendidikan Jami‘ al-Zaytunah, ahli Jawatankuasa penyusunan kitab Jami‘ al-Zaytunah dan ditugaskan juga untuk menyiapkan katalog kitab Jami‘ al-Zaytunah pada tahun 1910M.
11-  Ahli Jawatankuasa Pendidikan Jami‘ al-Zaytunah untuk kali kedua pada tahun 1924M.
12-  Ketua Jami‘ al-Zaytunah pada tahun 1932M di mana beliau menguruskan institusi ini selama setahun kemudian meletak jawatan. Pada tahun ini juga beliau telah dilantik menjadi Shaykh al-Islam bagi mazhab Maliki.
13-  Ketua Jami‘ al-Zaytunah pada tahun 1945M.
14-  Naib Canselor di al-Jami‘ah al-Zaytuniyyah pada tahun 1373H bersamaan 1956M.
15-  Beliau juga merupakan ahli Majma‘ al-Lughah al-‘Arabiyyah yang berpusat di Kaherah dan Damsyiq.

Kenyataan ini jelas menunjukkan ilmu dan kepimpinan yang dimiliki oleh al-Imam Ibn ‘Ashur sehinggakan beliau diberikan kepercayaan oleh pihak yang berkuasa untuk menerajui satu institusi teragung di bumi Tunisia iaitu al-Jami‘ah al-Zaytunah yang dahulunya dikenali sebagai Jami‘ al-Zaytunah al-A‘zam.

  • WAFAT:

Al-Imam Ibn Ashur wafat pada hari Ahad 13 Rejab 1393H bersamaan 12 Ogos 1973 selepas berkecimpung sekian lama dalam penyampaian dan penyebaran ilmu Islam di bumi Tunisia secara langsung dan secara tidak langsung ke negara-negara Islam lain. (Dr. Balqasim al-Ghali 1996, 68)

KETOKOHAN AL-IMAM IBN ASHUR DALAM BIDANG TAFSIR

Al-Imam Ibn Ashur amat mementingkan bidang tafsir. Pada beliau, bidang tafsir ialah sebaik-baik bidang perbincangan dalam ajaran-ajaran agama Islam. Ini dapat dilihat daripada kata-katanya seperti berikut (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1:11):
"...أما العلوم الشرعية والأدبية فلا يشترط فيها ذلك، بل يكفي أن تكون مباحثها مفيدة كمالا علميا لمزاولها، والتفسير أعلاها في ذلك، كيف وهو بيان مراد الله تعالى من كلامه..."

Untuk itu, al-Imam Ibn Ashur telah mengarang satu kitab dalam pentafsiran al-Quran al-Karim. Seterusnya akan dibincangkan secara ringkas tentang karangan tersebut.

  • KARANGAN AL-IMAM IBN ASHUR DALAM BIDANG TAFSIR: AL-TAHRIR WA AL-TANWIR

Al-Imam Ibn Ashur telah mengambil masa 39 tahun 6 bulan untuk menyempurnakan catatan tafsirnya yang dinamakan Al-Tahrir Wa Al-Tanwir (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 30:...). Kitab ini diterima sebagai satu kitab yang bersifat ‘mausu‘ah’ oleh para ulamak pada zamannya dan juga selepas kewafatan beliau sehingga kini. Al-Imam Ibn Ashur telah menjelaskan keinginannya yang tinggi di dalam mentafsirkan Al-Quran al-Karim seperti berikut (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1:11):
أما بعد فقد كان أكبر أمنيتي منذ أمد بعيد، تفسير الكتاب المجيد، الجامع لمصالح الدنيا والدين، وموثق شديد العرى من الحق المتين، والحاوي لكليات العلوم ومعاقد استنباطها، والآخذ قوس البلاغة من محل نياطها، طمعا في بيان نكت من العلم وكليات من التشريع، وتفاصيل من مكارم الأخلاق، كان يلوح أنموذج من جميعها في خلال تدبره، أو مطالعة كلام مفسره، ولكني كنت على كلفي بذلك أتجهم التقحم على هذا المجال، وأحجم عن الزج بسية قوسي في هذا النضال. اتقاء ما عسى أن يعرض له المرء نفسه من متاعب تنوء بالقوة، أو فلتات سهام الفهم وإن بلغ ساعد الذهن كمال الفتوة.

Beliau juga menjelaskan beberapa metod umum di dalam penyediaan kitab ini seperti berikut:
1. Beliau berusaha ke arah penulisan tafsir yang berlandaskan kitab-kitab sebelumnya di samping penambahbaikan melalui penapisan fakta dan penjelasan tambahan yang diperlukan. Inilah yang diucapkan oleh beliau dengan lebih kemas seperti berikut (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1:7):
ولقد رأيت الناس حول كلام الأقدمين أحد رجلين: رجل معتكف فيما شاده الأقدمون، وآخر آخذ بمعوله في هدم ما مضت عليه القرون، وفي كلتا الحالتين ضر كثير، وهنالك حالة أخرى ينجبر بها الجناح الكسير، وهي أن نعمد إلى ما أشاده الأقدمون فنهذبه ونزيده، وحاشا أن ننقضه أو نبيده، عالما بأن غمض فضلهم كفران للنعمة، وجحد مزايا سلفها ليس من حميد خصال الأمة، فالحمد لله الذي صدق الأمل، ويسر إلى هذا الخير ودل.

2. Beliau menekankan kekuatan peranan dan kredibiliti mufassir. Justeru, beliau mengkritik penulisan tafsir yang hanya dikumpul oleh penulis tanpa membuat sebarang komen atau penilaian. Beliau berkata (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1:7):
والتفاسير وإن كانت كثيرة فإنك لا تجد الكثير منها إلا عالة على كلام سابق بحيث لاحظ لمؤلفه إلا الجمع على تفاوت بين اختصار وتطويل.

3. Beliau menekankan sudut al-Balagah yang diyakininya sebagai satu subjek yang amat penting dan wujud dalam setiap satu daripada ayat-ayat al-Quran al-Karim. Beliau berkata (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1:8):
إن معاني القرآن ومقاصده ذات أفانين كثيرة بعيدة المدى مترامية الأطراف موزعة على آياته فالأحكام مبينة في آيات الأحكام، والآداب في آياتها، والقصص في مواقعها، وربما اشتملت الآية الواحدة على فنين من ذلك أو أكثر. وقد نحا كثير من المفسرين بعض تلك الأفنان، ولكن فنا من فنون القرآن لا تخلو عن دقائقه ونكته آية من آيات القرآن، وهو فن دقائق البلاغة هو الذي لم يخصه أحد من المفسرين بكتاب كما خصوا الأفانين الأخرى، من أجل ذلك التزمت أن لا أغفل التنبيه على ما يلوح لي من هذا الفن العظيم في آية من آي القرآن كلما ألهمته بحسب مبلغ الفهم وطاقة التدبر.

4. Beliau juga memberikan perhatian kepada sudut I’jaz dan keagungan bahasa Arab yang terangkum di dalam kosa kata ayat-ayat al-Quran al-Karim.

5. Beliau menekankan hubungan antara satu ayat dengan ayat yang selepasnya. Dua metod ini dijelaskan olehnya dengan berkata (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1:8):
وقد اهتممت في تفسيري هذا ببيان وجوه الإعجاز ونكت البلاغة العربية وأساليب الاستعمال، واهتممت أيضا ببيان تناسب اتصال الآي بعضها ببعض، وهو منزع جليل قد عني به فخر الدين الرازي، وألف فيه برهان الدين البقاعي كتابه المسمى  نظم الدرر في تناسب الآي والسور  إلا أنهما لم يأتيا في كثير من الآي بما فيه مقنع، فلم تزل أنظار المتأملين لفصل القول تتطلع، أما البحث عن تناسب مواقع السور بعضها إثر بعض، فلا أراه حقا على المفسر.

5. Beliau juga menjelaskan tema-tema utama yang dibawa oleh setiap surah agar pembaca tidak hanya tertumpu kepada perbahasan erti-erti perkataan dan susunan ayatnya sahaja. Beliau berkata (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1:8):
ولم أغادر سورة إلا بينت ما أحيط به من أغراضها لئلا يكون الناظر في تفسير القرآن مقصورا على بيان مفرداته ومعاني جمله كأنها فقر متفرقة تصرفه عن روعة انسجامه وتحجب عنه روائع جماله.

6. Beliau menjelaskan erti-erti perkataan-perkataan dari sudut bahasa Arab dengan penuh penelitian yang kadang-kadang tidak dihuraikan sedemikian rupa dalam kamus-kamus bahasa Arab. Beliau berkata (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1:8):
واهتممت بتبيين معاني المفردات في اللغة العربية بضبط وتحقيق مما خلت عن ضبط كثير منه قواميس اللغة. وعسى أن يجد فيه المطالع تحقيق مراده، ويتناول منه فوائد ونكتا على قدر استعداده.

Begitulah beberapa metod yang dinyatakan sendiri oleh al-Imam Ibn Ashur dan diguna pakai olehnya dalam kitabnya al-Tahrir wa al-Tanwir.

  • PENDAHULUAN AL-TAHRIR WA AL-TANWIR: SEPULUH KONSEP UTAMA DALAM PENTAFSIRAN

Di antara caranya untuk mengetahui perjalanan dan perbincangan sesuatu penulisan ialah dengan melihat ‘muqaddimah’ atau pendahuluan kitab itu. Pada kebiasaannya, para penulis akan menghuraikan apa-apa yang mereka anggap penting dan dasar di awal penulisan mereka. Sebagai contoh dapat kita perhatikan bagaimana al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani memulakan kitabnya Fathul Bari dengan menjelaskan antara lain keutuhan hadith-hadith sahih al-Bukhari yang cuba dipertikaikan oleh beberapa ulamak.

Melihat kepada kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, kita dapati penulisnya, al-Imam Ibn Ashur telah meletakkan sepuluh dasar yang dipandangnya sebagai perkara yang begitu penting dalam usaha seseorang pentafsir untuk menghuraikan ayat-ayat al-Quran al-Karim. Justeru, dirasakan penting untuk diringkas sepuluh perkara yang diutarakan oleh al-Imam Ibn Ashur yang sudah tentunya dapat menyerlahkan ketokohan beliau dalam bidang tafsir, seperti berikut:

1. Dasar Pertama: Berkenaan al-tafsir, al-ta’wil dan kedudukan al-tafsir sebagai satu ilmu (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1:9-15)
Di dalam perbincangan ini, al-Imam Ibn Ashur membahaskan perkara-perkara berikut:
    1. Definisi al-tafsir dari sudut bahasa Arab dan istilah para mufassir. Menurut beliau al-tafsir dari sudut istilah ialah:
والتفسير في الاصطلاح نقول: هو اسم للعلم الباحث عن بيان معاني ألفاظ القرآن وما يستفاد منها باختصار أو توسع...
 
    1. Fokus ilmu al-tafsir.
وموضوع التفسير: ألفاظ القرآن من حيث البحث عن معانيه، وما يستنبط منه ...

    1. Definisi al-ta’wil, di mana beliau memilih pendapat bahawa al-ta’wil ialah sinonim kepada al-tafsir:
وهذه كلها اصطلاحات لا مشاحة فيها إلا أن اللغة والآثار تشهد للقول الأول، لأن التأويل مصدر أوله إذا أرجعه إلى الغاية المقصودة، والغاية المقصودة من اللفظ هو معناه وما أراده منه المتكلم به من المعاني، فساوى التفسير، على أنه لا يطلق إلا على ما فيه تفصيل معنى خفي معقول.

    1. Kedudukan al-tafsir sebagai satu ilmu, di mana beliau berpendapat bahawa al-tafsir bukanlah satu ilmu kerana ilmu itu ialah satu perbincangan yang merangkumi isu-isu besar dan menyeluruh. Bagi beliau, al-tafsir hanyalah satu perbincangan yang terperinci berkenaan lafaz dan istinbat sahaja. Beliau berkata:
هذا وفي عد التفسير علما تسامح؛ إذ العلم إذا أطلق، إما أن يراد به نفس الإدراك، نحو قول أهل المنطق، العلم إما تصور وإما تصديق، وإما أن يراد به الملكة المسماة بالعقل وإما أن يراد به التصديق الجازم وهو مقابل الجهل  وهذا غير مراد في عد العلوم  وإما أن يراد بالعلم المسائل المعلومات وهي مطلوبات خبرية يبرهن عليها في ذلك العلم وهي قضايا كلية، ومباحث هذا العلم ليست بقضايا يبرهن عليها فما هي بكلية، بل هي تصورات جزئية غالبا لأنه تفسير ألفاظ أو استنباط معان. فأما تفسير الألفاظ فهو من قبيل التعريف اللفظي وأما الاستنباط فمن دلالة الالتزام وليس ذلك من القضية.

2. Dasar Kedua: Berkenaan sumber ilmu al-tafsir. (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1: 16-25)
Di dalam perbincangan ini, al-Imam Ibn Ashur membahaskan perkara-perkara berikut:
1.      Sumber ilmu tafsir yang perlu dimiliki oleh seseorang mufassir. Beliau berkata:
فاستمداد علم التفسير للمفسر العربي والمولد، من المجموع الملتئم من علم العربية وعلم الآثار، ومن أخبار العرب وأصول الفقه قيل وعلم الكلام وعلم القراءات.

2.      Kepentingan ilmu al-Ma‘ani dan ilmu al-Bayan di mana beliau menekankan kedudukan dua ilmu ini dalam menyerlahkan keutuhan sudut balagah al-Quran al-Karim. Beliau berkata:
ولعلمي البيان والمعاني مزيد اختصاص بعلم التفسير لأنهما وسيلة لإظهار خصائص البلاغة القرآنية، وما تشتمل عليه الآيات من تفاصيل المعاني وإظهار وجه الإعجاز ولذلك كان هذان العلمان يسميان في القديم  علم دلائل الإعجاز.

3.      Berkenaan sumber dari al-ma’thur, beliau menerangkan secara ringkas bahawa ianya terbahagi kepada tiga iaitu apa yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan daripada para sahabat r.a. serta apa yang disepakati oleh umat secara ijma‘. Beliau berkata:
وأما الآثار فالمعني بها، ما نقل عن النبي صلى الله عليه وسلم، من بيان المراد من بعض القرآن في مواضع الإشكال والإجمال، وذلك شئ قليل
وما نقل عن الصحابة الذين شاهدوا نزول الوحي من بيان سبب النزول، وناسخ ومنسوخ، وتفسير مبهم، وتوضيح واقعة من كل ما طريقهم فيه الرواية عن الرسول صلى الله عليه وسلم دون الرأي...
وتشمل الآثار إجماع الأمة على تفسير معنى، إذ لا يكون إلا عن مستند...

4.      Berkenaan qira’at, beliau berpendapat bahawa ianya hanya diperlukan dalam ilmu tafsir untuk digunakan sebagai dalil untuk mengetahui tafsir sesuatu ayat. Beliau berkata:
وأما القراءات فلا يحتاج إليها إلا في حين الاستدلال بالقراءة على تفسير غيرها، وإنما يكون في معنى الترجيح لأحد المعاني القائمة من الآية أو لاستظهار على المعنى، فذكر القراءة كذكر الشاهد من كلام العرب؛ لأنها إن كانت مشهورة، فلا جرم أنها تكون حجة لغوية، وإن كانت شاذة فحجتها لا من حيث الرواية، لأنها لا تكون صحيحة الرواية، ولكن من حيث إن قارئها ما قرأ بها إلا استنادا لاستعمال عربي صحيح، إذ لا يكون القارئ معتدا به إلا إذا عرفت سلامة عربيته...

5.      Berkenaan kisah-kisah orang Arab, beliau berpendapat bahawa ianya dapat digunakan untuk memahami perkara yang dinyatakan secara ringkas oleh al-Quran al-Karim. Beliau berkata:
وأما أخبار العرب فهي من جملة أدبهم. وإنما خصصتها بالذكر تنبيها لمن يتوهم أن الاشتغال بها من اللغو فهي يستعان بها على فهم ما أوجزه القرآن في سوقها لأن القرآن إنما يذكر القصص والأخبار للموعظة والاعتبار، لا لأن يتحادث بها الناس في الأسمار، فبمعرفة الأخبار يعرف ما أشارت له الآيات من دقائق المعاني.

6.      Berkenaan ilmu usul al-fiqh, beliau berpendapat bahawa sebahagian ilmu ini membantu ilmu al-tafsir. Beliau berkata:
فتحصل أن بعضه يكون مادة للتفسير، وذلك من جهتين: إحداهما أن علم الأصول قد أودعت فيه مسائل كثيرة هي من طرق استعمال كلام العرب وفهم موارد اللغة أهمل التنبيه عليها علماء العربية مثل مسائل الفحوى ومفهوم المخالفة، وقد عد الغزالي علم الأصول من جملة العلوم التي تتعلق بالقرآن وبأحكامه فلا جرم أن يكون مادة للتفسير. الجهة الثانية: أن علم الأصول يضبط قواعد الاستنباط ويفصح عنها فهو آلة للمفسر في استنباط المعاني الشرعية من آياتها.

7.      Berkenaan ilmu al-kalam, beliau berpendapat bahawa ianya bukanlah satu sumber bagi ilmu al-tafsir kerana ilmu al-kalam adalah untuk perluasan ilmu dan bukan sumber. Beliau berkata:
...وكلاهما اشتباه لأن كون القرآن كلام الله قد تقرر عند سلف الأمة قبل علم الكلام، ولا أثر له في التفسير، وأما معرفة ما يجوز وما يستحيل فكذلك، ولا يحتاج لعلم الكلام إلا في التوسع في إقامة الأدلة على استحالة بعض المعاني، وقد أبنت أن ما يحتاج إليه المتوسع لا يصير مادة للتفسير.

3. Dasar Ketiga: Berkenaan penerimaan al-tafsir bi gayr al-ma’thur dan pengertian al-tafsir bi al-ra’y. (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 26:35)
Di dalam perbincangan ini, al-Imam Ibn Ashur membahaskan perkara-perkara berikut:
1.      Penjelasan bahawa jumlah al-tafsir bi al-ma’thur sedikit sahaja dan al-tafsir bi gayr al-ma’thur diterima dalam ilmu al-tafsir. Beliau juga membincangkan tentang kemusykilan yang timbul daripada larangan Nabi s.a.w. daripada menggunakan al-ra’y (pendapat) dalam mentafsirkan al-Quran, antara lain dengan menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis-hadis larangan tersebut ialah salah satu dari lima perkara berikut:
1. Penggunaan al-ra’y tanpa sebarang sandaran kepada sumber-sumber ilmu al-tafsir yang terdiri daripada bahasa Arab, Maqasid al-Shari‘ah, al-Nasikh wa al-Mansukh dan Sabab al-Nuzul.
2. Penggunaan al-ra’y tanpa tadabbur iaitu dengan mentafsirkan sesuatu ayat dengan sekilas pandang dan hanya merujuk kepada satu dua sumber-sumber ilmu al-tafsir sahaja.
3. Penggunaan al-ra’y yang berasaskan hawa nafsu, mazhab, atau kepercayaan.
4. Penggunaan al-ra’y bersesuaian dengan erti lafaz kemudian mendakwa bahawa itulah satu-satu erti yang benar.
5. Penggunaan al-ra’y yang dilarang di dalam hadis-hadis tersebut ialah supaya wujudnya perasaan berhati-hati dan usaha tadabbur dan ta’wil di samping anjuran supaya sentiasa tidak tergopoh-gapah untuk mentafsirkan sesuatu ayat.

2.      Penjelasan bahawa al-tafsir al-batiniy adalah satu bentuk tafsir yang ditolak seperti yang dilakukan oleh kumpulan pelampau Syi‘ah yang dikenali sebagai al-Batiniyyah.

3.      Penjelasan bahawa al-tafsir al-ishariy dibenarkan sekiranya merupakan salah satu daripada tiga keadaan berikut:
1. Sebagai contoh untuk keadaan yang seakan-akan dengan isi ayat.
2. Sebagai al-tafa’ul dengan mengaitkan sebutan perkataan-perkataan dalam sesuatu ayat dengan sesuatu erti yang terdapat dalam hati si pendengar yang mentafsirkannya secara isyariy.
3. Sebagai peringatan dan pedoman dalam kehidupan dengan menjadikan erti sesuatu ayat yang merupakan kenyataan tentang sesuatu peristiwa atau perkara bertukar menjadi peringatan kepadanya.

4. Dasar Keempat: Berkenaan perkara-perkara yang sepatutnya menjadi tujuan mufassir. (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1: 36-43)
Di dalam perbincangan ini, al-Imam Ibn Ashur membahaskan perkara-perkara berikut:
1.      Tujuan utama seorang mufassir iaitu sebanyak lapan tujuan seperti berikut:
1. Memperbaiki aqidah dan mengajar aqidah yang sahih yang merupakan sebab utama kebaikan segenap makhluk.
2. Menyemai kemuliaan akhlak.
3. Menetapkan perundangan iaitu hukum-hakam yang khas dan umum.
4. Memimpin umat agar bersatu padu.
5. Menceritakan tentang kisah-kisah dan berita umat terdahulu untuk dijadikan pedoman dan teladan.
6. Mengajar mengikut keadaan dan kesesuaian zaman dan kefahaman orang yang mendengar.
7. Memberi peringatan samada amaran mahupun galakan.
8. Menonjolkan sudut I‘jaz al-Quran agar ianya menunjukkan kebenaran Rasulullah s.a.w.

2.      Penjelasan tentang kaitan ilmu-ilmu luaran dengan ilmu tafsir al-Quran al-Karim di mana beliau telah merumuskan perkara ini dengan berkata:
وأنا أقول: إن علاقة العلوم بالقرآن على أربع مراتب: الأولى: علوم تضمنها القرآن كأخبار الأنبياء والأمم، وتهذيب الأخلاق والفقه والتشريع والاعتقاد والأصول والعربية والبلاغة.
 الثانية: علوم تزيد المفسر علما كالحكمة والهيأة وخواص المخلوقات.
 الثالثة: علوم أشار إليها أو جاءت مؤيدة له كعلم طبقات الأرض والطب والمنطق.
 الرابعة: علوم لا علاقة لها به إما لبطلانها كالزجر والعيافة والميثولوجيا، وإما لأنها لا تعين على خدمته كعلم العروض والقوافي.

5. Dasar Kelima: Berkenaan Asbab al-Nuzul. (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1: 44-49)
Di dalam perbincangan ini, al-Imam Ibn Ashur membahaskan perkara-perkara berikut:
1.      Penerangan bahawa para ulamak terbahagi dua dalam penetapan dan pencarian ilmu Asbab al-Nuzul. Ada di kalangan mereka yang melampau-lampau dan ada di kalangan mereka yang bersederhana.

2.      Pembahagian Asbab al-Nuzul kepada lima bahagian iaitu:
1.      Riwayat yang merupakan erti ayat dan tidak dapat difahami ayat itu kecuali dengannya. Ilmu tentang bahagian ini adalah satu kemestian bagi mufassir.
2.      Riwayat yang merupakan peristiwa yang merupakan punca penurunan ayat. Bahagian ini hanya menambah kefahaman dan tidak mengapa jika tidak diketahui oleh mufassir.
3.      Riwayat yang merupakan kisah yang dinyatakan sebagai contoh bagi sesuatu ayat. Bahagian ini tidak perlu dinyatakan oleh mufassir dan sentiasa disalah fahamkan sebagai satu-satunya Sabab al-Nuzul bagi ayat itu.
4.      Riwayat yang merupakan kisah yang berlaku dan boleh dikaitkan dengan sesuatu ayat.
5.      Riwayat yang menjelaskan perkara yang tidak jelas atau menolak perkara yang mutashabih.

6. Dasar Keenam: Berkenaan al-Qira’at. (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1: 50-62)
Di dalam perbincangan ini, al-Imam Ibn Ashur membahaskan perkara-perkara berikut:
1.      Pembahagian al-Qira’at kepada dua bahagian iaitu:
1.      Bahagian yang tiada kaitan dengan ilmu al-Tafsir iaitu yang tidak mengubah erti ayat.
2.      Bahagian yang berkait rapat dengan ilmu al-Tafsir iaitu yang mengubah erti ayat samada memperkayakan erti ayat atau membawa kefahaman lain bagi ayat.

2.      Penjelasan tentang perbezaan antara Sab‘ah  al-Ahruf dan al-Qira’at al-Sab‘.

3.      Penjelasan tentang susunan qira’at yang sahihah dan manakah di antara kumpulan qira’at ini yang lebih utama.

7. Dasar Ketujuh: Berkenaan kisah-kisah al-Quran. (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1: 63-68)
Di dalam perbincangan ini, al-Imam Ibn Ashur membahaskan perkara-perkara berikut:
1.      Penjelasan bahawa kisah-kisah al-Quran mengatasi segala kisah-kisah lain dari sudut manfaat dan persembahan.

2.      Penerangan bahawa kisah-kisah al-Quran membuahkan sepuluh faedah iaitu:
1. Menolak sifat ummiyyah daripada bangsa Arab yang beriman kerana dengan kisah-kisah ini mereka mempunyai ilmu-ilmu yang dimiliki oleh pendeta-pendeta Ahli al-Kitab.
2. Menekankan bahawa mengenali keadaan pendokong kebenaran pada masa silam adalah satu budi pekerti mulia.
3. Pengetahuan bahawa setiap satu itu berdasarkan punca atau penyebabnya.
4. Amaran kepada orang musyrik bahawa akibat orang yang mengingkari adalah kebinasaan.
5. Mengutarakan satu pendekatan baru dalam kesusasteraan Arab iaitu pendekatan al-Tausif dan al-Muhawarah. Dengan dua cara ini yang menjadikan orang Arab terpegun, terserlahlah sudut I‘jaz al-Quran.
6. Membuka ufuk pemikiran umat Islam agar peka tentang umat-umat terdahulu untuk dijadikan teladan dalam kehidupan mereka.
7. Membuka minda umat Islam agar mengetahui kehebatan tamadun umat-umat terdahulu dan tidak hanya menyanjungi diri mereka sendiri.
8. Mewujudkan cita-cita tinggi dalam jiwa umat Islam agar berusaha menguasai alam ini seperti mana umat-umat terdahulu pernah menguasainya.
9. Menanam rasa yakin bahawa kekuasaan yang sebenarnya hanyalah milik Allah Ta‘ala. Jika umat Islam mengamalkan dua konsep ini iaitu persediaan dan pergantungan, pasti mereka akan terselamat daripada sebarang penjajahan.
10. Memberi pengajaran dari sudut sejarah pensyariatan dan ketamadunan yang menjana kemantapan infrastruktur kota.

3.      Penjelasan tentang hikmat pengulangan kisah-kisah al-Quran.

8. Dasar Kelapan: Berkenaan nama al-Quran, ayat-ayatnya dan susunan serta nama surah-surahnya. (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1: 69-90)
Di dalam perbincangan ini, al-Imam Ibn Ashur membahaskan perkara-perkara berikut:
1.      Kepentingan ilmu ini dalam ilmu al-Tafsir kerana ianya berkait rapat dengan erti ayat yang merupakan tujuan asasi ilmu al-Tafsir.

2.      Penjelasan tentang nama-nama al-Quran yang mencecah dua puluh lebih nama.

3.      Penjelasan tentang ayat-ayat al-Quran secara ketetapan wahyu, I’jaz al-Quran dan tempat berhenti bacaan ayat itu.

4.      Penjelasan tentang surah-surah al-Quran yang jumlahnya seratus empat belas surah kesemuanya bahawa susunannya adalah berdasarkan ijtihad para sahabat.

9. Dasar Kesembilan: Berkenaan penekanan bahawa erti-erti yang dibawa oleh ayat-ayat al-Quran adalah yang dimaksudkan. (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1: 91-98)
Di dalam perbincangan ini, al-Imam Ibn Ashur membahaskan perkara-perkara berikut:
1.      Penjelasan bahawa bangsa Arab mempunyai bahasa yang kaya dengan pelbagai pendekatan yang membuahkan kekayaan dalam erti dan maksud percakapan. Bahasa Arab juga dikenali sebagai satu bahasa yang mementingkan balaghah yang berasaskan konsep ringkas tetapi padat.

2.      Penerangan bahawa al-Quran menggunakan bahasa Arab dalam bentuk yang lebih tinggi nilai balaghahnya dan lebih kaya erti dan maksud ayat-ayatnya.

3.      Penekanan bahawa apa sahaja erti-erti yang dapat dikeluarkan daripada ayat-ayat al-Quran adalah diterima selagimana tidak menyalahi garis panduan bahasa Arab dan agama Islam.

10. Dasar Kesepuluh: Berkenaan I‘jaz al-Quran. (Muhammad al-Tahir Ibn Ashur 2000, 1: 99-127)
Di dalam perbincangan ini, al-Imam Ibn Ashur membahaskan perkara-perkara berikut:
1.      Penjelasan tentang kepentingan ilmu al-Balaghah yang menjana sudut I‘jaz al-Quran berdasarkan kekuatan dan ketinggian kesusateraannya. I’jaz al-Quran juga merupakan satu perkara yang penting dan sukar untuk diterokai.

2.      Penjelasan bahawa I‘jaz al-Quran terserlah dalam tiga sudut I’jaz seperti berikut:
1.      al-Quran telah mencapai martabat kesusateraan tertinggi dalam bahasa Arab yang Fusha dengan pendekatan-pendekatan yang menjelaskan erti-erti yang tersembunyi. Pendekatan ini begitu tinggi sehinggakan ianya tidak dapat ditiru oleh para pensyair dan khatib terkemuka orang Arab. 
2.      Penerokaan kesenian tinggi dalam mengolahkan sesuatu tajuk atau tema yang tidak menyalahi metod percakapan orang Arab, akan tetapi tidak terlintas dalam benak mereka untuk menggunakannya.
3.      Di dalam al-Quran terdapat petunjuk kepada hakikat-hakikat logik dan saintifik yang tidak dapat langsung dikaji oleh tahap pemikiran manusia di zaman tersebut.

KESIMPULAN

Melihat perbincangan di atas berkenaan penulisan al-Tahrir wa al-Tanwir oleh al-Imam Ibn Ashur, dapatlah dirumuskan di sini perkara-perkara berikut:
1.      al-Imam Ibn Ashur telah melalui proses pengajian yang begitu padat dan menyeluruh. Perkara ini menghasilkan keahlian yang tinggi dalam dirinya untuk menjadi seorang sarjana yang disegani.
2.      al-Imam Ibn Ashur ternyata memang merupakan seorang tokoh yang terbilang dalam bidang pentafsiran al-Quran al-Karim. Buktinya amat jelas sekali dengan kehebatan kitab tafsir karangannya yang diiktiraf ulamak dahulu dan sekarang.
3.      Sepuluh dasar yang dibincangkan oleh beliau juga menunjukkan ketinggian tahap kefahaman beliau yang begitu kritis dan kontemporari.

Wallahu A‘lam bi al-sawab.




RUJUKAN

Abdul Qadir Muhammad Salih, 1424H-2003. Al-Tafsir wa al-Mufassirun fi al-‘Asr al-Hadith. Bayrut: Dar al-Ma‘rifah.

Al-‘Aliyy, Dr. Haya Thamir Miftah. 1994. Al-Shaykh Muhammad al-Tahir bin ‘Ashur wa Manhajuh fi Tafsirih al-Tahrir wa al-Tanwir. Al-Dawhah: Dar al-Tahqafah.

Al-Ghaliyy, Dr. Balqasim. 1996. Min A’lam al-Zaytunah: Shaykh al-Jami‘ al-A’zam Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur, Hayatuh wa Atharuh. Bayrut: Dar Ibn Hazm.

Al-Hasaniyy, Isma’il. 1995. Nazariyyat al-Maqasid ‘inda al-Imam Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur. Virginia: al-Ma’had al-‘Alami li al-Fikr al-Islamiyy.

Ibn Ashur, al-Shaykh Muhammad al-Tahir. 1420H-2000. Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir. Bayrut: Muassasah al-Tarikh.

Ibn Ashur, al-Shaykh Muhammad al-Tahir. 2001. Maqasid al-Shari’ah al-Islamiyyah. Tahqiq wa dirasah: Al-Misawi, Dr. Muhammad al-Tahir. Al-Urdun: Dar al-Nafais.

(http://en.wikipedia.org/wiki/Ibn_Khaldun)

0 comments:

Related Posts with Thumbnails