RSS Feeds

Translate


6.12.2013

Ilmu Amat Penting

huruf pertama Cetak Halaman



Ilmu amat penting

Dr Fadlan bin Mohd Othman 
 Student Affairs Division

Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)


Ilmu yang menjana Iman mempunyai kedudukan yang mulia di dalam ajaran Islam. Allah Ta’ala telah menjelaskan kepada kita bahawa orang yang mempunyai Ilmu adalah lebih tinggi derajatnya daripada orang yang tiada ilmu. Firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Zumar ayat 9 yang bermaksud: "Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".

Tambahan kepada kenyataan ini, Allah Ta’ala mengarahkan pula orang yang tidak mempunyai ilmu supaya menimbanya daripada orang yang mempunyai ilmu. Jelaslah dengan ini bahawa ilmu itu amat penting untuk menjamin kesejahteraan manusia baik di dunia mahupun di akhirat. Firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Nahl ayat 43 yang bermaksud: "Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu wahai Muhammad, melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui". Ilmu di dalam Islam ialah ilmu tentang agama suci ini dan segala jenis ilmu yang dapat memantapkan Islam dari sudut kefahaman dan praktikal.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana cara untuk menimba ilmu? Pastinya Rasulullah s.a.w. telahpun menjelaskan perkara ini kepada kita. Justeru, marilah kita menyingkap petunjuk-petunjuk Baginda s.a.w. dalam perkara ini. Di antara petunjuk-petunjuk itu ialah pertama, Ikhlas. Al-Shaikh Bakr Abu Zaid dalam karangan hebatnya Hilyah Talib al-Ilm, telah menjelaskan bahawa dalam menuntut ilmu, niat mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala sahaja. Menuntut ilmu dengan tujuan duniawi hanya akan mengundang kemurkaan Allah Ta’ala. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Sesiapa mempelajari ilmu yang sepatutnya diharapkan dengannya wajah Allah Ta’ala, tetapi dia mempelajarinya untuk mendapat habuan dunia, dia tidak akan dapat menghidu aroma syurga pada hari Kiamat. (Hadis riwayat al-Imam Abu Daud, No. 3179, dan dinilai Sahih oleh al-Albani).

Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah menadah ilmu daripada para ilmuan, seperti yang dijelaskan oleh Dr. Nasir al-Aql dalam kitabnya al-Fiqh fi al-Din. Ilmu yang terjamin ialah ilmu yang diwarisi daripada Rasulullah s.a.w. Cara untuk mendapatkan ilmu itu ialah dengan mengambilnya daripada pewaris-pewaris Nabi s.a.w. iaitu para ulama. Oleh itu hadirilah majlis-majlis ilmu yang dikepalai oleh ilmuan yang berkemahiran. Pentingkanlah ilmu dan bukannya lawak jenaka yang disebut oleh penceramah. Langkah kedua ialah dengan membuka lembaran-lembaran karangan para ilmuan. Sekiranya terdapat tulisan-tulisan yang agak rumit, rujuklah kepada para ilmuan yang dapat menghuraikan maksud sebenar.

Walaupun ilmu itu sewajarnya diambil daripada ilmuan yang berkaliber, akan tetapi kebenaran wajib diterima daripada sesiapa sahaja. Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita bahawa kebenaran mesti diterima walaupun diutarakan oleh orang yang tidak beriman manakala kebatilan mesti ditolak walaupun dilafazkan oleh orang yang beriman. Di dalam sebuah hadith, Nabi s.a.w. telah mengulas tentang syaitan dengan berkata yang bermaksud: “Dia telah bercakap benar kepadamu sedangkan dia adalah penipu besar. Dia adalah syaitan.(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 3033).

Al-Shaikh Muhammad al-Uthaimin dalam Kitab al-Ilm pula menerangkan bahawa menimba ilmu haruslah dimulakan dengan yang terpenting kemudian yang penting dan seterusnya. Satu perkara yang perlu diberikan penekanan di sini ialah memilih bidang ilmu untuk pengajian atau memilih kitab yang dapat dijadikan sumber rujukan. Cara yang terbaik ialah dengan memulakan projek pengajian dengan ilmu yang terpenting iaitu tentang rukun Iman dan Islam. Kemudian barulah disusuli dengan ilmu-ilmu lain yang penting tetapi tidak seperti ilmu-ilmu tadi. Ketahuilah bahawa buku-buku berkaitan pemikiran hanyalah merupakan tambahan sahaja.

Akhir sekali, orang yang berjaya dalam menuntut ilmu ialah orang yang tidak segan silu untuk bertanya. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan teladan dalam perkara ini dengan bertanya kepada penduduk Quba’ tentang amalan mereka dengan sabdanya: Wahai sekelian al-Ansar, sesungguhnya Allah telah memuji kamu dalam kebersihan. Apakah bentuk kebersihan kamu?Mereka menjawab, “Kami berwuduk untuk solat, mandi kerana janabah dan beristinjak dengan air.” Baginda bersabda,Itulah dia, maka hendaklah kamu meneruskannya.(Hadis riwayat al-Imam Ibnu Majah 349, dan dinilai sahih oleh al-Albani). Ringkasnya ada malu yang dipuji dan ada malu yang dikeji. Jadi janganlah kita berasa malu semasa menuntut ilmu, sebaliknya berasa bangga dan senang bertindak atas kejahilan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails