RSS Feeds

Translate

6.04.2013

Perkongsian Tentang Aplikasi Takhrij Terhadap Nur al-Ihsan

huruf pertama Cetak Halaman




APLIKASI ILMU TAKHRIJ DALAM KITAB TAFSIR MELAYU: TINJAUAN AWAL TERHADAP SURAH AL-BAQARAH,  
KITAB TAFSIR NUR AL-IHSAN OLEH AL-SHAYKH
MUHAMMAD SAC ID BIN CUMAR



Dr Fadlan Mohd. Othman 

Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)


Mohd. Fadhil Mohd. Faudzi
Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM




Abstrak



Artikel ini menjelaskan aplikasi ilmu Takhrij dalam penulisan kitab Tafsir Melayu. Tinjaun awal dilakukan terhadap Surah al-Baqarah, kitab Tafsir Nur al-Ihsan. Artikel ini memperlihatkan tahap penekanan dalam aspek penyataan rujukan hadith di dalam kitab tafsir Melayu. Kajian ini menghasilkan beberapa dapatan iaitu, pertama: jumlah hadith ialah dua belas; di mana enam sahih, dua hasan, empat daif dan tiada mawdu'. Kedua: hanya satu hadith dinyatakan lafaznya. Ketiga: tiada penilaian status hadith. Keempat: hanya satu hadith sahaja yang dinyatakan sumber.  Kelima: tiada hadith yang dinyatakan sanadnya. Secara keseluruhan, tahap aplikasi Takhrij dalam kitab ini perlu diperbaiki oleh para pengkaji terkemudian bagi memperkasakan warisan kitab tafsir Melayu.






Pendahuluan

Keberadaan hadith-hadith dalam tafsir Nur al-Ihsan sebagai huraian kepada ayat-ayat al-Quran memberi impak kepada masyarakat dari sudut kefahaman dan amalan. Justeru kajian ini dibuat untuk mengenalpasti tahap keabsahan hadith-hadith tersebut melalui aplikasi ilmu takhrij. Kajian ini merupakan tinjauan awal yang dihadkan kepada Surah al-Baqarah berbentuk analisis. Kitab tafsir Nur al-Ihsan dipilih kerana pengarangnya adalah salah seorang tokoh agama Malaysia pertama yang telah mentafsir tiga puluh juzuk al-Quran secara sempurna dalam empat jilid edisi jawi. Kitab ini masih belum digiatkan usaha untuk memartabatkan kehebatan ilmunya khususnya dari sudut penelitian hadith. Justeru kajian ini mengorak langkah untuk memperkasakan aplikasi ilmu takhrij dalam kitab tafsir dan mewujudkan keserasian dua bidang takhassus mulia ini iaitu pengajian al-Quran dan pengajian al-Hadith.


Latar Belakang Ringkas Pengarang

Nama penuh beliau ialah Muhammad Said bin Umar yang dilahirkan di Kampung Kuar Jerlun, Kedah pada tahun 1275H bersamaan 1857M. Beliau pernah belajar di Mekah dan beliau telah membuka pondok di tempatnya di samping menjadi guru diraja serta dilantik sebagai qadi di Jitra. Beliau wafat pada hari Rabu, 22 Zulkaedah 1350H bersamaan 19 Mac 1932M dalam usia 75 tahun. Beliau pernah menulis dua buah kitab iaitu Tafsir Nur al-Ihsan yang dicetak pertama kalinya di Mekah dan sejurus kemudian dicetak di Pulau Pinang selepas mendapat izin Kerajaan Negeri Kedah. Kitab kedua ialah Fatwa Kedah yang merangkumi pelbagai fatwa, namun ianya masih lagi berada di dalam simpanan Kerajaan Negeri Kedah dan masih belum lagi dicetak.


Metodologi Penggunaan Hadith Dalam Tafsir Nur al-Ihsan

Melalui tinjauan awal yang dilakukan terhadap Surah al-Baqarah, Tafsir Nur al-Ihsan, kajian merumuskan perkara-perkara berikut sebagai metodologi pengarang dalam penggunaan hadith[1]:

  1. Sanad hadith: Pengarang hanya menyebut matan hadith tanpa sanad.
  2. Matn hadith: Kebanyakan hadith disebut secara makna tanpa lafaz dan sebilangan kecil didatangkan dengan lafaznya.
  3. Sumber hadith: Majoriti hadith dinyatakan tanpa disebut sumber pengambilan dan hanya sebilangan kecil sahaja yang disebutkan sumbernya.
  4. Status hadith: Pengarang tidak menentukan status hadith.


Dapatan Kajian

Tinjaun awal mendapati terdapat dua belas hadith dalam Surah al-Baqarah yang dapat diklasifikasikan statusnya seperti berikut; enam hadith sahih, dua hadith hasan, empat hadith daif dan tidak terdapat hadith mawdu'. Hadith yang dinyatakan lafaz Arabnya hanya satu hadith sahaja manakala hadith-hadith lain hanya disebutkan ertinya tanpa lafaz Arab. Pengarang juga tidak menyatakan sebarang penilaian status hadith samada dari aspek 'maqbul' mahupun 'mardud'. Selain itu, sumber rujukan hadith tidak dinyatakan kecuali pada satu hadith sahaja dan pengarang didapati tidak menyatakan sanad bagi hadith-hadith yang diutarakan dalam tafsirnya[2].


Kesimpulan dan Saranan

Secara keseluruhan, kitab ini merupakan salah satu aset dan khazanah Nusantara yang terbilang dan gemilang. Penghasilan kitab tafsir dari ulama terdahulu pastinya memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Generasi kini sepatutnya meneladani kesungguhan ulama terdahulu dalam menimba dan mencurahkan ilmu. Usaha-usaha perlu dipergiatkan untuk memperkasakan lagi warisan ilmu antara lainnya dengan pemantapan aplikasi Takhrij dalam kitab ini. Dua tindakan drastik wajar dilakukan iaitu: Tindakan pertama, pemerkasaan ilmu Takhrij dan aplikasinya dalam jiwa pelajar dan pengajar bidang Tafsir. Tindakan kedua, penggiatan kajian ilmiah samada sarjana mahupun kedoktoran terhadap hadith-hadith kitab Tafsir Melayu silam dan semasa.



Rujukan

Al-Quran al-Karim

Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail Abu Abdillah al-Ju‘fi (194-256H), Sahih al-Bukhari, Darussalam, al-Riyadh, Cetakan 2: 1419H-1999M.

Al-Qazwini, Muhammad bin Yazid Abu Abdillah Ibn Majah, (209-273H), Sunan Ibni Majah, Tahqiq Muhammad Nasiruddin al-Albani, I‘tina Masyhur bin Hasan Al Salman, Maktabah al-Ma ‘arif, al-Riyadh, Cetakan 1.

Al-Sijistani, Sulaiman bin al-Ash‘ath Abu Daud (202-275H), Sunan Abi Daud, Tahqiq Muhammad Nasiruddin al-Albani, I‘tina Masyhur bin Hasan Al Salman, Maktabah al-Ma ‘arif, al-Riyadh, Cetakan 1.

Al-Tirmidhi, Muhammad bin Isa Abu Isa. 1980. Sunan. Beirut: Dar al-Fikr.

Muhammad Said bin Umar, Tafsir Nur al-Ihsan. Dar al-Macarif, Pulau Pinang.

Muslim bin al-Hajjaj, Abu al-Husain al-Qushairi al-Naisaburi (204-261H), Sahih Muslim, Darussalam, al-Riyadh, Cetakan 1: 1419H-1998M.

http://eprints.uum.edu.my/846/1/ISRAILIYYAT_DALAM_KITAB_TAFSIR_MELAYU_-_TAFSIR_NUR_AL-IHSAN_-_SATU_ANALISIS.pdf

http://www.dorar.net/ 





Lampiran: Tinjauan Awal Aplikasi Ilmu Takhrij Di Dalam Tafsir Nur al-Ihsan (Surah al-Baqarah)

PETIKAN DARI KITAB

METODOLOGI PENGARANG

ANALISA KAJIAN

BIL

HADITH

HLM

SANAD

MATN

SUMBER

STATUS

SUMBER

STATUS

1

Sabda Nabi s.a.w: Apabila menyusah akan dia oleh satu perkara, menyegera ia kepada sembahyang.

16-17
Tiada
Tiada
Tiada
Tiada
Sunan Abi Dawud
Hasan
2

Sabda Nabi s.a.w: Barangsiapa baca "Inna lillah wa inna 'ilayhi rajicun" ketika musibah, nescaya memberi pahala akan dia oleh Allah padanya, ganti ia atasnya yang terlebih baik daripada yang binasa.

48
Tiada
Tiada
Tiada
Tiada
Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Sunan al-Tirmidhi,
Sahih
3

Pelita Nabi s.a.w padam maka istarjac ia yakni baca "inna lillah wa inna 'ilayhi rajicun". Kata cA'ishah, Hanya ini pelita ya Rasulullah s.a.w maka sabdanya tiap-tiap yang menyakiti orang mukmin itu musibah

48
Tiada
Tiada
Tiada
Tiada
Al-Marasil li Abi Dawud, Dacif al-Jamic
Dacif
4
Sabda Nabi s.a.w: Allah s.w.t telah fardhu atas kamu itu saci .
49
Tiada
Tiada
Tiada
Tiada
Al-Istidhkar oleh al-ShafiCiy, al-Tamhid oleh Ibn CAbd al-Barr
Sahih
5

Sabda Nabi s.a.w: "Ibda'u bi ma bada'a Allah" maksudnya: Mula oleh kamu dengan barang yang memulai oleh Allah s.w.t dengannya yakni safa.

49
Tiada
Ada
Tiada
Tiada
Al-Muhalla oleh Ibn Hazm
Sahih
6

Nabi s.a.w berhenti dengannya (Mashcar al-Haram), berzikir akan Allah s.w.t dan doa hingga asfar cerah.

63
Tiada
Tiada
Tiada
Tiada
Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Sunan Ibn Majah,
Sahih
7

Sabda Nabi s.a.w: Barangsiapa baca Bismillah ketika jimak maka datang akan dia oleh anak, maka baginya kebajikan dengan sebilang-bilang nafas demikian itu anak dan sebilang-bilang nafas anak cucunya hingga hari kiamat.

72
Tiada
Tiada
Tiada
Tiada
Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Tirmidhi, Sunan Abi Dawud
Sahih
8
Jamilah, saudara Macqal ibn Yasar, ditalak akan dia oleh suaminya cAsim ibn cAdiyy rajci, maka berkehendak bahawa rujuk akan dia maka menegah oleh Macqal, diriwayatkan oleh Hakim.

76
Tiada
Tiada
Ada
Tiada
Sahih al-Bukhari, Sunan Abi Dawud, al-Mustadrak
Sahih
9
Sabda Nabi s.a.w: Barangsiapa baca ayat al-kursi  tiap-tiap lepas sembahyang fardhu, nescaya tiada menegah masuk syurga melainkan mati dan tiada mengekali atasnya melainkan sadiq atau cabid. Barangsiapa baca akan dia apabila hendak tidur aman oleh Allah atas dirinya dan jirannya dan segala rumah-rumah kelilingnya.


87-88
Tiada
Tiada
Tiada
Tiada
ShuCab al-Iman oleh al-Bayhaqi, Al-Kafi Al-Shaf oleh Ibn Hajar, al-Fawa'id al-MajmuCah oleh al-Shawkani
Dacif tetapi rangkap pertamanya adalah sahih
10
Turun ayat ini pada cUthman ibn cAffan, ia sedekah pada perang Tabuk dengan seribu unta kenaikkan dengan alatnya dan seribu dinar dituang pada riba Nabi s.a.w, maka sabdanya tiada mudarat cUthman apa yang dikerja kemudian daripada ini.

92
Tiada
Tiada
Tiada
Tiada
MajmaC al-Zawa'id oleh al-Haythami
Dacif
11
Sabda Nabi s.a.w: Barangsiapa beri tangguh orang papa atau kukur hutang daripadanya, nescaya menaung Allah s.w.t akan dia pada naungNya pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya.

97
Tiada
Tiada
Tiada
Tiada
Al-CIlal li Ibn Abi Hatim oleh Abu ZurCah al-Razi
Hasan
12
Sabda Nabi s.a.w: Ini tiga ayat khatm surah al-Baqarah, barangsiapa baca akan dia, tiada hampir oleh syaitan rumahnya tiga malam iaitu daripada "li Allah ma fi al-samawat".

101
Tiada
Tiada
Tiada
Tiada
Al-Kamil fi al-DuCafa' oleh ibn CAdiyy
Dacif


















[1]  Sila lihat lampiran.
[2] Sila lihat lampiran.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails