RSS Feeds

Translate

6.04.2013

Takhrij Dalam Penulisan Ilmiah

huruf pertama Cetak Halaman




APLIKASI TAKHRIJ AL-HADITH DALAM PENULISAN ILMIAH: PENYELARASAN
DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI,
 INSTITUSI AGAMA DAN MEDIA
CETAK DI MALAYSIA



Fadlan bin Mohd. Othman 

Student Affairs Division
Al-Madinah International University
 (Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)

&
 Mohd. Fadhil bin Mohd. Faudzi,
Dr Azwira Abdul Aziz dan Dr. Wan Nasyrudin Wan Abdullah
Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM



Abstrak


Artikel ini memperlihatkan aplikasi Takhrij al-Hadith di zaman silam dan perbandingannya di masa kini. Perbincangan disusuli dengan memfokuskan tahap-tahap metod Takhrij al-Hadith dalam penulisan ilmiah khususnya di institusi pengajian tinggi Malaysia dengan mengutarakan beberapa kriteria penting dalam menyatakan rujukan hadith. Tujuan utama artikel ini adalah untuk menjamin tahap autentisiti dan kredibiliti al-Hadith sebagai sumber primer dalam pengajian ilmu Islam. Artikel ini menggesa para siswazah dan pensyarah di institusi pengajian tinggi Malaysia agar dapat merealisasikan Takhrij al-Hadith dalam pembikinan artikel ilmiah, sekurang-kurangnya pada tahap yang paling minima berdasarkan kemudahan-kemudahan yang ada. Usaha murni ini perlu juga dipikul oleh institusi agama, para pendakwah, para penulis dan sesiapa sahaja yang menyebarkan hadith dalam bentuk bertulis di Malaysia khususnya dan Nusantara umumnya.

1.                  Menyusuri Sejarah Al-Takhrij sepanjang zaman: Perbandingan dan Pengamatan

Sejarah adalah suatu perkara yang penting untuk dipelajari dan dikaji demi mendapat pengajaran dan inspirasi. Kegemilangan umat Islam telah berlaku di zaman silam manakala kelemahannya muncul di zaman terkemudian. Hendaklah diketahui bahawa usaha memurnikan hadith-hadith tidak akan berhasil sekiranya individu yang berkenaan tidak memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh Allah Tacala untuk umat Islam dewasa ini.

Bayangkan bagaimana satu ketika dahulu para ulamak bertungkus-lumus mengembara ke negeri-negeri yang jauh dengan menaiki unta atau mungkin juga dengan berjalan kaki sahaja hanya untuk mendapatkan kepastian bahawa sesuatu hadith itu adalah benar-benar hadith Rasulullah s.a.w.! Dengan kemudahan yang asas mereka berjaya mencapai kecemerlangan yang begitu tinggi. Bagaimana pula dengan kita di abad yang serba moden lagi canggih ini?

Bukankah sepatutnya, dengan kemudahan yang hebat, kita sepatutnya berjaya mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi daripada pencapaian mereka dahulu? Itulah logiknya, akan tetapi mungkin juga kita ketinggalan dari satu sudut penting iaitu ‘al-Himmah al-cAliyah’/kemahuan yang tinggi. Mereka mempunyainya sedangkan kebanyakan kita kehilangannya. [i]


Gambarajah 1: Perbandingan dahulu dan sekarang dalam aplikasi Takhrij al-Hadith

Dahulu
Sekarang

Sumber hadith yang amat jauh, memerlukan pengembaraan yang memakan masa yang lama.


Sumber hadith yang dekat, hanya dengan petikan jari.

Kedaifan sistem pengangkutan dan kelembapan transaksi maklumat


Kehebatan sistem pengangkutan dan kepantasan transaksi maklumat

Semangat yang amat cekal dan tinggi


Semangat yang amat lemah dan alpa



2.                  Tahap-tahap pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith dalam penulisan ilmiah:

Selepas dilakukan takhrij iaitu usaha mengenalpasti sumber sesuatu hadith, seseorang pengkaji itu akan membentangkan natijah usahanya itu. Pembentangan ini dilakukan dalam bahan bertulis. Apakah bentuk pembentangan al-Takhrij yang unggul? Perkara ini dapat dikategorikan seperti berikut:

2.1.Pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith tahap kelas pertama
Pembentangan al-Takhrij tahap kelas pertama ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a.       Telah merujuk kepada semua sumber autentik Hadith merangkumi sumber asal, separa asal dan bukan asal.
b.      Mencatatkan kesemua sumber-sumber itu dengan menjelaskan Kitab dan Bab serta Nombor.
c.       Melakukan dan mencatatkan analisa sanad dan matan hadith dari sumber-sumber itu.
d.      Menjelaskan tahap kesahihan hadith secara terperinci berdasarkan biodata periwayat dan ketepatan matan, dengan menyatakan kata-kata ulamak yang muktabar atau penilaian sendiri.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas pertama ini dilakukan dalam karangan-karangan ilmiah para ulama dan tesis-tesis ilmiah para siswazah yang sememangnya menjurus kepada bidang al-Takhrij.

2.2.Pembentangan  aplikasi Takhrij al-Hadith tahap kelas kedua
Pembentangan al-Takhrij tahap kelas kedua ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a.       Telah merujuk kepada satu atau beberapa sumber autentik Hadith yang asal sahaja.
b.      Mencatatkan sumber-sumber itu dengan menjelaskan Kitab dan Bab. Nombor pula mungkin dinyatakan.
c.       Menjelaskan tahap kesahihan hadith itu secara agak terperinci, dengan menyatakan kata-kata ulamak yang muktabar atau penilaian sendiri.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas kedua ini dilakukan dalam karangan-karangan ilmiah para ulama dan tesis-tesis ilmiah para siswazah yang tidak menjurus kepada bidang al-Takhrij.

2.3.Pembentangan  aplikasi Takhrij al-Hadith tahap kelas ketiga
Pembentangan al-Takhrij tahap kelas ketiga ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a.       Telah merujuk kepada satu sumber autentik Hadith yang asal sahaja.
b.      Mencatatkan sumber itu dengan menjelaskan Kitab dan Bab. Nombor pula mungkin dinyatakan.
c.       Menjelaskan tahap kesahihan hadith itu secara ringkas, dengan menyatakan kata-kata ulamak yang muktabar atau penilaian sendiri.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas ketiga ini dilakukan dalam karangan-karangan ilmiah para ulama dan tesis-tesis ilmiah para siswazah yang tidak menjurus kepada bidang al-Takhrij dan bertujuan untuk ringkas.

Nota:
1.      Mengapa nombor hadith dirasakan tidak penting dalam tahap 2 dan tahap 3, berbanding penyataan kitab dan bab?
Penulis menjelaskan dalam pembentangan Takhrij al-Hadith tahap kelas kedua dan ketiga bahawa nombor hadith boleh ditulis atau sebaliknya kerana penulis dapati di luar sana terdapat pelbagai cetakan bagi sumber-sumber hadith merangkumi sumber primer, sekunder dan tritier. Nombor hadith dalam satu cetakan mungkin sahaja akan berbeza dengan nombor hadith yang sama dalam cetakan lain. Para ilmuan di Malaysia pula tidak pernah bersepakat untuk memilih cetakan sumber hadith yang spesifik. Justeru, sekiranya sesuatu penulisan ilmiah itu hanya menyatakan nombor hadith sahaja, tanpa nama kitab mahupun bab, perkara ini akan merumitkan proses siasatan lanjutan terhadap kesahihan maklumat berkenaan hadith tersebut, seperti pendalilan, terjemahan dan status. Sebaliknya, jika nama kitab dan nama bab dinyatakan, proses siasatan dan penjejakan akan dapat dibuat dengan mudah kerana kitab dan bab kebiasaannya serata walaupun dalam cetakan-cetakan yang berbeza.

2.      Mungkin akan timbul satu soalan lain iaitu perkara ini tidak relevan dengan adanya pelbagai perisian hadith yang canggih dan dapat menjejak sesuatu hadith dengan tuntas dan pantas.
Penulis menjawab soalan ini dengan mengatakan bahawa perisian hadith yang canggih ini tidak dimiliki oleh semua ilmuan yang berkecimpung dalam bidang hadith apatah lagi oleh ilmuan yang berada dalam pengkhususan lain. Di samping itu, apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga seperti keterbatasan akses internet ataupun keghaiban letrik, pastinya rujukan bercetaklah yang akan menjadi teman setia ilmuan terbabit.

2.4.Pembentangan  aplikasi Takhrij al-Hadith tahap gagal
Pembentangan al-Takhrij tahap gagal ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a.       Tidak menekankan rujukan kepada mana-mana sumber autentik Hadith. Mungkin dinyatakan dan mungkin juga tidak.
b.      Tidak menekankan catatan terperinci sumber autentik. Mungkin dibuat dan mungkin juga tidak.
c.       Tidak menjelaskan langsung tahap kesahihan hadith itu.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas kedua ini dilakukan dalam karangan-karangan individu yang tidak terdedah kepada ilmu Hadith.




Gambarajah 2: Tahap-tahap Pembentangan Aplikasi Takhrij al-Hadith

Takhrij Hadith
Rujuk Sumber Autentik
Catatan Terperinci Sumber Autentik

Catatan Analisa Sumber Autentik
Penjelasan Status Sahih atau Dacif atau Mawduc
Primer 
Sekunder 
Tertier
Kitab

Bab
Nombor
Sanad
Matan
Terperinci
Ringkas
Kelas 1

@   
@   
@   
@   
@   
@   
@   
@   
@   
-
Kelas 2

@   
-
-
@   
@   
@  ?
-
-
@   
-
Kelas 3

@   
-
-
@   
@   
@  ?
-
-
-
@   
Gagal

?
?
?
?
?
?
?
?
?
?
@ ertinya: ada
- ertinya: tiada
? ertinya: kemungkinan besar tiada

3.                  Pembentangan Aplikasi Takhrij al-Hadith tahap minima: tuntutan utama dan tanggungjawab bersama

Di dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ [ii]
Maksudnya: Cukuplah dosa seseorang itu, apabila dia menyebut semua yang dia dengar.

Rasulullah s.a.w. telah meletakkan satu tugas bagi setiap individu yang hidup di atas muka bumi ini. Setiap individu akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan terhadap tugasnya itu. Di antara tugas individu apabila mendengar sesuatu khabar ialah memastikan kesahihannya. Sekiranya individu itu tidak memberi perhatian terhadap perkara ini, dia berisiko tinggi terjerumus dalam meriwayatkan hadith mawduc [iii]. Hukum periwayatan hadith mawduc  adalah amat serius. Periwayatan hadith mawduc dapatlah dibahagikan kepada tiga bahagian seperti berikut:

1-      Secara Sengaja:
Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa hukum meriwayatkan hadith mawduc adalah haram berdasarkan kepada hadith Nabi s.a.w. :
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ [iv]
Maksudnya : Sesungguhnya penipuan ke atasku tidak seperti penipuan ke atas orang lain. Sesiapa yang menipu ke atasku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka.

2-      Secara Tidak Sengaja:
Orang yang melakukan perkara ini iaitu meriwayatkan hadith mawduc secara tidak sengaja pula, dia dimaafkan dan tidak mendapat apa-apa dosa berdasarkan hadith Nabi s.a.w. :
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ [v]
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa.

3-      Secara Jahil atau Sambil Lewa:
Orang yang meriwayatkan hadith mawduc secara jahil atau sambil lewa pula, dia tidak dimaafkan dan tetap akan mendapat dosa menyebarkan hadith mawduc walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui tentang kepalsuan hadith itu. Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut:

a.       Firman Allah Ta’ala (Surah al-Isra’ :36) :
{ولا تقف ما ليس لك به علم }
Maksudnya : Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya.

b.      Hadith :
مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيثٍ يُرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِينَ [vi]
Maksudnya : Sesiapa yang meriwayatkan hadith daripadaku sedang ianya diketahui sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu.[vii]

c.       Hadith :
الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ وَاثْنَانِ فِي النَّارِ فَأَمَّا الَّذِي فِي الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ فَهُوَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ [viii]
Maksudnya : Para qadhi terbahagi tiga; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Qadhi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Qadhi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Qadhi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia dalam neraka.[ix]

Justeru, dapatlah diperjelaskan tugas setiap individu muslim dalam perkara ini seperti berikut:

1-       Tugas orang yang tidak berilmu atau kurang ilmu:
Orang yang tidak berilmu berperanan besar di dalam usaha untuk memurnikan hadith Nabi s.a.w.. Di antara perkara yang boleh dilakukan oleh mereka ialah:
a.      Bertanya kepada Ilmuan dalam bidang hadith tentang hadith yang dijumpai:
Orang yang tidak mampu membuat penilaian antara hadith-hadith hendaklah bertanya kepada orang alim yang pada hematnya dapat memberi jawapan yang lebih menepati kebenaran. Selepas itu dia mestilah menerima jawapan tersebut. Kemudian sekiranya dia dapati ada jawapan lain yang lebih menepati kebenaran dari jawapan pertama hendaklah dia beramal dengan jawapan yang lebih tepat. Firman Allah Tacala di dalam surah Al-Anbiya (21:7):
{فَاسْأَلُوْا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَ}
Maksudnya: Maka bertanyalah kamu kepada Ahluz Zikri jika kamu tidak mengetahui.

b.        Bertanya kepada penceramah tentang hadith yang disampaikan:
Di samping itu, orang awam yang mendengar sesuatu hadith yang disampaikan oleh seseorang penceramah juga hendaklah memberanikan diri untuk bertanya kepada penceramah berkenaan tentang kesahihan hadith yang disampaikannya. Usaha ini akan membuatkan para penceramah lebih berhati-hati pada masa akan datang apabila ingin membawa dalil khususnya hadith-hadith Nabi s.a.w.. Secara tidak langsung orang yang bertanya itu telah membantu memurnikan hadith Nabi s.a.w. Akan tetapi perlulah ditekankan bahawa bertanya itu ada adab-adabnya. Eloklah sekiranya ditanya dengan cara yang baik dan bukannya dengan lafaz-lafaz yang menjatuhkan maruah dan kewibawaan para penceramah.

Sekiranya penceramah mengatakan hadith itu sahih, hendaklah dia menerima jawapan itu. Kalau dia masih rasa ragu dan sangsi, maka dia boleh kembali ke langkah pertama iaitu bertanya kepada orang yang lebih pakar dalam hadith.

2. Tugas untuk para pelajar dan ilmuan:
Di samping orang awam, para pelajar dan ilmuan juga memainkan peranan yang penting dalam memurnikan hadith Nabi s.a.w.. Di antara usaha yang boleh mereka lakukan ialah:

a.      Merujuk kepada ilmuan dalam bidang Hadith tentang hadith yang dijumpai:
Sekiranya pelajar dan ilmuan itu bukan dalam pengkhususan hadith, maka di sini hendaklah dia merujuk kepada ahli dalam bidang hadith untuk mengenalpasti kesahihan sesuatu hadith yang dijumpainya. Setakat ini, usaha ini boleh dilakukan secara individu. Akan tetapi, disebabkan perkara ini amat penting, sudah tiba masanya untuk difikirkan penubuhan institusi-institusi yang berkewajipan mengenalpasti status hadith-hadith yang sering digunapakai dalam masyarakat. Pihak universiti dan jabatan agama pastinya dapat memainkan peranan penting dalam merealisasikan kerohanian yang suci dari sebarang penggunaan hadith yang tidak makbul. Pihak yang berautoriti juga dapat ditubuhkan untuk mengeluarkan cop "lulus" dari sudut hadith, bagi bahan-bahan cetakan seperti buku, makalah, khutbah dan sebagainya.

b.      Mewujudkan Maktabah Hadithiyyah Asasiyyah:
Usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan mewujudkan Maktabah Hadithiyyah Asasiyyah. Maktabah Hadithiyyah ‘Asasiyyah ialah koleksi perpustakaan hadith pada tahap minima. Secara umumnya, dapatlah dibahagikan kemudahan ini kepada dua bahagian iaitu:

i.                    Bahan bercetak:
Sekurang-kurangnya bahan bercetak yang patut ada pada seseorang pencinta hadith ialah:

·         Kitab-kitab primer (asal) hadith, sekurang-kurangnya enam kitab berikut iaitu:
1.      Sahih al-Bukhari.
2.      Sahih Muslim.
3.      Sunan Abi Daud.
4.      Sunan al-Tirmizi.
5.      Sunan al-Nasa’i.
6.      Sunan Ibn Majah.
Kesemua kitab-kitab ini boleh didapati dalam satu jilid setiap satu, dengan penjelasan kedudukan hadith samada sahih atau dacif oleh al-Syaikh al-Albani rahimahullah bagi Sunan Abi Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibn Majah.

·         Kitab yang mengumpul dan mengtakhrijkan hadith-hadith, seperti;
1.      Sahih al-Jamic al-Saghir
2.      Dacif al-Jamic al-Saghir
3.      Himpunan Hadith-hadith Sahih
4.      Himpunan Hadith-hadith Dacif dan Mawduc

ii.    Maktabah Elektronik:
Kemajuan teknologi moden ini era ini telah dimanfaat oleh sekumpulan umat Islam yang telah berjaya mewujudkan sumber-sumber elektonik yang mendukung kewibawaan hadith. Sumber-sumber elektronik ini dapat dipecahkan pula kepada dua kategori iaitu:

·         Cakera Padat, seperti;
1.      Al-Jamic al-Kabir li Kutub al-Turath al-cArabi wa al-Islami terbitan Markaz al-Turath li al-Barmajiyyat.
2.      al-Maktabah al-Alfiyyah li al-Sunnah al-Nabawiyyah terbitan Markaz al-Turath li Abhath al-Hasib al-Aali.
3.      Mawsucat al-Ahadith al-Dacifah wa al-Mawducah terbitan Markaz al-Turath li Abhath al-Hasib al-Ali.
4.      Mawsucat al-Hadith al-Sharif terbitan Sharikat Harf.
5.      Jawamic al-Kalim terbitan Syarikat Ufuq li al-Barmajiyyat.
6.      al-Maktbah al-Shamilah yang disebarkan secara percuma di alam maya oleh sekumpulan pencinta hadith.

·          Laman sesawang, seperti;
- al-Durar al-Saniyyah atau ‘dorar.net’, yang didapati penulis sebagai satu akses terbaik di alam maya dalam memudahkan pencarian hadith dan penilaiannya berdasarkan ulasan-ulasan para ulamak muktabar dalam bidang yang mulia ini.

c.       Memberi penekanan kepada Takhrij Hadith secara minima dalam setiap kertas kerja:
Satu perkara yang amat penting yang perlu diberi perhatian oleh semua pelajar dan para ilmuan ialah penekanan kepada Takhrij Hadith secara minima dalam setiap kertas kerja yang disiapkan untuk apa sahaja majlis. Untuk usaha ini pelajar dan ilmuan mestilah membuat rujukan Takhrij untuk setiap hadith yang dinyatakan dalam kertas kerjanya seperti yang telah dinyatakan di atas, iaitu dengan menyatakan sumber hadith, kitab, bab, nombor dan penerangan samada hadith itu Makbul (Sahih dan Hasan) atau Mardud (Dacif dan Mawduc). Dapatlah diringkaskan pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith minima ini dengan (KBRH) iaitu: Kitab (Tajuk) Bab (Sub tajuk) Raqm (Nombor) dan Hukm (Status).

Ini semua bertujuan untuk memudahkan pembaca membezakan antara yang Makbul iaitu yang boleh diamalkan daripada yang Mardud iaitu yang tidak boleh diterima dalam pendalilan. Pembaca juga boleh merujuk kepada sumber sekiranya ingin mendalami pengertian hadith itu. Walaupun semua perkara itu dinyatakan secara minima dalam penulisan, tidak bermakna perlu disebut kesemuanya dalam ucapan, kecuali sekiranya diperlukan.

Perhatian:
Pembentangan Aplikasi Takhrij al-Hadith tahap minima merupakan tuntutan utama dalam penulisan ilmiah dan tanggungjawab bersama setiap individu muslim di institusi pengajian tinggi, institusi agama dan juga penerbit bahan bercetak atau media cetak di Malaysia berdasarkan perkara-perkara berikut:
·                     Dalil-dalil di atas yang jelas menunjukkan kewajipan meneliti setiap berita yang muncul.
·                     Supaya penulis lebih berwaspada dalam menisbahkan sesuatu hadith kepada Rasulullah s.a.w..
·                     Supaya pembaca dapat merujuk dengan mudah berkenaan sesuatu hadith itu untuk membuat siasatan lanjut khususnya dari sudut penelitian sanad dan matn.


4.                  Kesimpulan, Saranan dan Harapan

Kesimpulan:

Di akhir kertas kerja ini, dapatlah disimpulkan perkara-perkara berikut:
1-      al-Takhrij menjana al-Tashih; dengan al-Takhrij dapatlah dibezakan antara hadith yang diterima dan hadith yang ditolak. Ini merupakan langkah utama  dalam memartabatkan al-Sunnah iaitu dengan memurnikannya daripada apa yang tidak berasal daripadanya. Dapatlah diibaratkan al-Takhrij ini seperti farmasi yang menyediakan bekalan ubatan yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan untuk dirujukkan oleh para doktor yang merawat pesakit-pesakit. Jika ubat itu palsu dan tiruan, dapatkah ianya menjadi penyembuh kepada pesakit-pesakit?

2-      al-Tashih yang dihasilkan oleh al-Takhrij adalah suatu hakikat yang merangkumi sanad dan matan. Ringkasnya, kesahihan sesuatu hadith itu adalah tertakluk kepada kemurniannya baik dengan sanad yang tiada kelemahan mahupun dengan matan yang tiada kerapuhan. Kedua-dua perkara ini perlu dilihat dalam usaha menghukum hadith sebagai Sahih atau Maqbul.

Gambarajah 3: Fungsi al-Takhrij.

Organization Chart

Saranan:

Di samping itu, ingin penulis mengutarakan beberapa saranan yang dirasakan dapat mengubah situasi umat Islam kepada yang lebih progresif dan kritis. Di antara saranan-saranan ini ialah:
1-      Cop Kesahihan Hadith Oleh Pihak Yang Berautoriti:
Sebagaimana umat Islam di Malaysia khususnya dan di mana jua umumnya amat prihatin terhadap status halal sesuatu produk makanan dan minuman, begitu jugalah sepatutnya mereka menjadi amat prihatin terhadap status kesahihan hadith-hadith yang diutarakan oleh pelbagai pihak dalam apa juga saluran maklumat. Pihak yang berautoriti seperti Jakim atau pusat-pusat pengajian tinggi wajarlah memikul tanggungjawab yang mulia ini, tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memartabatkan hadith Rasulullah s.a.w. Apa sahaja bahan media cetak hendaklah terlebih dahulu mendapat status ‘Makbul’ atau ‘Sah’ bagi hadith-hadith yang terkandung dalamnya.

2-      Kursus Celik Hadith (KCH):
Amatlah baik sekiranya dapat diadakan kursus secara berterusan atau berkala di semua Institusi Pengajian Tinggi. Kempen ini boleh diatur kepada sesi-sesi berikut:

a.       KCH Sesi pertama: penekanan kepada kepentingan hadith dan kedudukannya dalam perundangan Islam secara menyeluruh. Di samping penekanan kepada fungsi hadith dalam membuahkan kefahaman yang tepat berkenaan agama Islam dari semua sudut baik Aqidah, Syariah, Manhaj dan juga Akhlak.
Hasil: Peserta sesi pertama ini wajar pulang dengan pegangan jitu bahawa tanpa hadith tiada gunanya al-Quran, tanpa hadith semua orang dapat mempermainkan al-Quran…

b.      KCH Sesi kedua: Pengenalan ringkas dan padat berkenaan sumber-sumber hadith yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Nasa'iyy, Sunan Ibn Majah dan lain-lain. Hasil: Peserta sesi kedua ini harus pulang dengan hati yang tertakluk kepada sumber-sumber hadith yang asli dan semangat yang berkobar-kobar untuk memiliki sumber-sumber itu…

c.       KCH Sesi ketiga: Penjelasan menyeluruh berkenaan peri bahayanya hadith-hadith dacif dan mawduc terhadap kemurnian, kesucian dan ketulusan ajaran Islam.
Hasil: Peserta sesi ketiga ini perlu beredar dengan hati yang penuh kebencian terhadap hadith mawduc, di samping rasa panas telinga apabila ada hadith dacif yang menusuk gegendang telinganya…

d.      KCH Sesi keempat: Penekanan perihal keutamaan penggunaan hadith yang berstatus maqbul dalam pengamalan Islam. Pada sesi ini para fasilitator akan memberi latihan Aplikasi Takhrij al-Hadith mengikut disiplin ilmu ini yang telah digariskan oleh para ulama.
Hasil: Peserta sesi ini akan dibekalkan dengan pelbagai bahan dan tip yang memudahkan aksesnya kepada hadith-hadith maqbul untuk dijadikan bahan ucapan dan pengajian…

Tidak dinafikan sebahagian institusi-institusi pengajian tinggi telahpun mengorak langkah dalam kempen ini. Akan tetapi penulis merasakan perlu dipergiatkan lagi usaha murni ini bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat di Malaysia khususnya.

3-      Perpustakaan Hadith:
Setiap individu, jabatan-jabatan dan agensi-agensi sewajarnya menyediakan Perpustakaan Hadith Mini, iaitu yang merangkumi kitab-kitab asas Hadith, setidak-tidaknya al-Sunan al-Sittah iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Nasa'iyy, Sunan Ibn Majah. Apa yang penting di sini ialah setiap orang yang membawa risalah Islam dan menyebarnya mestilah sentiasa mudah untuk menilai sesebuah hadith yang diutarakan. Sekiranya di rumah atau tempat kerja dia mempunyai rujukan hadith yang mudah untuk diakseskan. Sekiranya di luar rumah dia mempunyai komputer riba atau komputer ‘tapak tangan’ yang dilengkapi perisian hadith yang mudah untuk diaktifkan.




Harapan:

Akhir kata diharapkan kertas kerja ringkas ini dapat memotivasikan semua pembaca muslim untuk:
1-      Sentiasa memilih hadith-hadith yang Makbul / Sahih.
2-      Sentiasa nasihat-menasihati agar dimartabatkan hadith yang Makbul / Sahih dan dibanteras hadith yang Mardud / Dacif dan Mawduc.
3-      Lebih berwaspada terhadap hadith-hadith daif dan palsu yang seringkali diutarakan dalam masyarakat Islam.
4-      Lebih kritis terhadap hadith-hadith yang diutarakan dengan berusaha menilainya menggunakan akses-akses yang ada; kitab, cakera padat, internet, ustaz…
5-      Lebih berhati-hati dalam menggunakan hadith-hadith sebagai dalil di dalam ucapan, kertas kerja, tesis, artikel surat khabar, artikel majalah dan tidak ketinggalan, dalam perbualan seharian.
6-      Penilaian semula semua hadith yang digunakan dalam silibus-silibus pendidikan dan pelajaran bermula dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat yang tertinggi. Pihak berkuasa dan berautoriti harus memberi perhatian serius terhadap perkara ini.
7-      Penubuhan Institusi-institusi Penilaian Hadith yang saling bekerjasama dan berganding bahu dalam memikul tanggungjawab menilai keabsahan mana-mana hadith yang digunakan dalam masyarakat Malaysia. Ini juga merupakan peranan pihak berkuasa dan berautoriti.

Wa salla Allah cala nabiyyina Muhammad wa cala alih wa sahbih wa ikhwanih sa sallama tasliman kathira.



5.                  Bibliografi

Al-Quran al-Karim

Abu Daud, Sulaiman bin al-Ash‘ath al-Sijistani (202-275H), Sunan Abi Daud (1 jilid), Tahqiq Muhammad Nasiruddin al-Albani, I‘tina Masyhur bin Hasan Al Salman, Maktabah al-Ma ‘arif, al-Riyadh, Cetakan 1.
Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail Abu Abdillah al-Ju‘fi (194-256H), Sahih al-Bukhari (1 jilid), Darussalam, al-Riyadh, Cetakan 2: 1419H-1999M.
Al-Khayr Abadiyy, Muhammad Abu al-Layth (Dr.). 2004. Takhrij al-Hadith Nash'atuh wa Manhajiyyatuh. Selangor: Darul Syakir.
Al-Qudhah, Sharaf Mahmud, al-Minhaj al-Hadith fi cUlum al-Hadith, Kuala Lumpur: Muassasah al-Bayan, Cetakan pertama 2003/1423h.
Al-Ruhayliyy, cAbd Allah bin Dayf Allah (Dr.). 1425H. Istikhraj al-Ayat wa al-Ahadith fi al-Buhuth al-cIlmiyyah Turuquh wa Wasailuh. Al-Riyad: Matbacat Safir.
Al-Tahhan, Mahmud (Dr.). 1999. Usul al-Takhrij wa Dirasat al-Asanid. Al-Riyad: Maktabat al-Macarif.
Ibn Majah, Muhammad bin Yazid Abu Abdillah al-Qazwini (209-273H), Sunan Ibni Majah (1 jilid), Tahqiq Muhammad Nasiruddin al-Albani, I‘tina Masyhur bin Hasan Al Salman, Maktabah al-Ma ‘arif, al-Riyadh, Cetakan 1.
Muslim bin al-Hajjaj, Abu al-Husain al-Qushairi al-Naisaburi (204-261H), Sahih Muslim (1 jilid), Darussalam, al-Riyadh, Cetakan 1: 1419H-1998M.
Al-Suyuti, Jalal al-Din. 1423H. Tadrib al-Rawi fi Sharh Taqrib al-Nawawi (2 jilid), Tahqiq Abu Qutaybah Nazr Muhammad al-Faryabi. Al-Riyad: Dar al-Taybah.
Hadith Encyclopedia, Harf Information Technology, Egypt.
Al-Maktabah al-Syamilah.



6.                  Catatan:


[i] Sila lihat Al-Ruhayli, Dr. Abdullah bin Dayf Allah, Istikhraj al-Ayat wa al-Ahadith Fi al-Buhuth al-cIlmiyyah, Cetakan Pertama 1425, hlm. 253-273.
[ii] Muslim, Muqaddimah, Bab al-Nahy can al-hadith bi kull ma samic, No 6.
[iii]  Hadith Mawduc ialah: Apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. secara rekaan dan pendustaan, iaitu Baginda tidak sebut, buat atau perakui (al-Nawawi 1423H, 323). Hadith Mawduc tergolong dalam bahagian al-mardud (yang ditolak) bahkan ianya merupakan tahap tertinggi juga di kalangan hadith yang  ditolak sehinggakan para ulamak mengharamkan periwayatannya kecuali untuk tujuan menjelaskan kepalsuannya (al-Tahhan 1407H-1987, 89-90).
[iv]  Al-Bukhari, Kitab al-Jana'iz, Bab Ma yukrah fi al-niyahah c ala al-mayyit, No. 1209.
[v] Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Thalaq, Bab Thalaq al-mukrah wa al-nasi, No. 2033. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibnu Majah No. 1675.
[vi] Sahih Muslim, al-Muqaddimah, Bab Wujub al-riwayah can al-thiqat, No 1.  
[vii] Keterangan : lafaz ‘yura’/dilihat ; ertinya para ulamak mengetahui hadith itu palsu. Lafaz ‘yara’/melihat ; pula ertinya dia yang meriwayatkan hadith itu mengetahui tentang kepalsuannya.
[viii]  Sunan Abu Daud, Kitab al-Aqdiyah, Bab fi al-Qadi Yukhti’, No. 3102. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud No. 3573.
[ix]  Sila lihat Syaraf Mahmud al-Qudhah, al-Minhaj al-Hadith fi ‘Ulum al-Hadith, Kuala Lumpur: Mu'assasat al-Bayan, Cetakan pertama 2003/1423h, hlm. 183.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails