RSS Feeds

Translate

7.23.2013

Hikmah Ramadan_4



1.2.Konsep Terperinci Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan (Perintah)

·                     Bacaan al-Quran al-Karim. Bulan Ramadan adalah bulan di mana al-Quran diturunkan. Firman Allah Ta’ala (alBaarah 2:185):

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
                 
Ø   Sudut Amali: Justeru, wajarlah diperbanyakkan bacaan al-Quran al-Karim atau setidak-tidaknya mendengar bacaan al-Quran al-Karim. Bacaan al-Quran merangkumi dua aspek:

i.               Bacaan teks arabnya agar dapat diperolehi pahala bacaan seperti sabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ. [1]
Maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah dia akan dapat satu kebaikan. Satu kebaikan itu berganda menjadi sepuluh sepertinya. Aku tidak mengatakan bahawa alif lam mim itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.

ii.             Bacaan terjemahannya juga wajar dikhatamkan agar diperolehi pahala menuntut ilmu agama Islam yang terkandung di dalam al-Quran. Kefahaman inilah yang akan membuahkan kekhusyukan seperti dalam hadith berikut:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اقْرَأْ عَلَيَّ قَالَ قُلْتُ أَقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ قَالَ إِنِّي أَشْتَهِي أَنْ أَسْمَعَهُ مِنْ غَيْرِي قَالَ فَقَرَأْتُ النِّسَاءَ حَتَّى إِذَا بَلَغْتُ فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلَاءِ شَهِيدًا قَالَ لِي كُفَّ أَوْ أَمْسِكْ فَرَأَيْتُ عَيْنَيْهِ تَذْرِفَانِ. [2]
Maksudnya: Daripada Abdullah bin Mas’ud katanya, ‘berkata Rasulullah s.a.w.,“Bacalah al-Quran untukku.” Aku berkata, ‘Saya baca untukmu sedangkan ianya diturunkan ke atasmu?’ Sabdanya, “Sesungguhnya saya ingin mendengarnya daripada orang lain.” Abdullah berkata, ‘Sayapun baca surah al-Nisa’ sehingga apabila sampai ayat {Maka bagaimanakah jika Kami bawakan daripada setiap umat itu seorang saksi, dan Kami bawakan engkau sebagai saksi ke atas mereka}, baginda berkata, ‘Berhenti.’ Lalu aku melihat air mata di kedua-dua matanya.’

Ø   Penerapan Taqwa 1: Sebelum ini telah dijelaskan bahawa akhlak mulia mestilah berteraskan al-Quran. Justeru, al-Quran perlulah sentiasa didampingi bagi mendapatkan petunjuknya. Setelah diperbanyakkan bacaan teks arab dan terjemahannya dalam bulan Ramadan, wajarlah diteruskan amalan ini di bulan-bulan yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w.:
تَعَاهَدُوا الْقُرْآنَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ الْإِبِلِ فِي عُقُلِهَا. [3]
Maksudnya: “Jagalah al-Quran. Demi tuhan yang jiwaku berada di tanganNya, al-Quran itu lebih mudah hilang daripada unta yang ditambat.”

Ø   Penerapan Taqwa 2: Inilah juga masanya untuk ditinggalkan lagu-lagu yang diiringi muzik tidak kira samada lagu yang melalaikan mahupun lagu yang disifatkan orang ramai sebagai ‘islamik’. Alternatifnya ialah al-Quran. Jika seseorang itu sibuk dengan al-Quran, pastinya dia tidak mempunyai masa untuk musik. Di samping itu, perlulah diketahui bahawa penggunaan muzik adalah dilarang oleh Rasulullah s.a.w. seperti di dalam hadith berikut:
لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ. [4]
Maksudnya: “Akan wujud dalam umatku orang-orang yang menghalalkan zina, sutera, arak dan alat muzik.

Akan tetapi, jika didendangkan lagu-lagu islamik tanpa muziknya, ia akan menjadi seperti syair-syair yang dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk perbagai tujuan seperti:
i. Mempertahankan Islam.
ii.                       Menghiburkan hati dalam pengembaraan.
iii.                     Hiburan di hari raya.
iv.                     Hiburan di hari perkahwinan.


[1]  HR al-Tirmizi, Kitab Thawab al-Quran ‘an Rasul Allah, Bab Ma Ja’a Fi Man Qara’a Harfan Min al-Quran Ma Lahu Min al-Ajr, No. 2910. Dihukum Sahih oleh al-Albani.
[2]  HR al-Bukhari, Kitab Fada‘il al-Quran, Bab al-Buka’ ‘Inda Qira’at al-Quran, No. 4667. Muslim Kitab Salat al-Musafirin Wa Qasriha, Bab Fadl Istima‘ al-Quran Wa Talab al-Qira’ah Min Hafizih, No. 1332.
[3]  HR al-Bukhari, Kitab Fada‘il al-Quran, Bab Istidzkar al-Quran Wa Ta‘ahudihi, No. 4645. Muslim Kitab Salat al-Musafirin Wa Qasriha, Bab al-Amr Bi Ta‘ahhud al-Quran…, No. 1317.
[4]  HR al-Bukhari (secara Mu‘allaq bi sighah al-jazm), Kitab al-Ashribah, Bab Ma Ja’a Fi Man Yastahillu al-Khamra Wa Yusammihi Bi Ghair Ismih.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails