RSS Feeds

Translate

7.23.2013

Hikmah Ramadan_1



Mencari Hikmah Ramadan

Bulan Ramadan seringkali dikaitkan dengan Bulan Puasa. Mencari hikmah Ramadan bukanlah suatu perkara yang rumit. Ini kerana Allah Ta'ala telah menurunkan beberapa ayat di dalam al-Quran berkaitan dengan Bulan Ramadan. Dikhususkan kepada puasa yang merupakan suatu amalan fardhu yang utama di dalam bulan ini, Allah Ta’ala telah turunkan ayat berikut kepada kita (al-Baqarah 2:183):
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Daripada pengamatan terhadap ayat ini sahaja kita sudah boleh menggarap hikmah utama Bulan Ramadan iaitu penjanaan Taqwa. Sebelum diterokai dengan lebih mendalam perihal uslub penjanaan Taqwa dalam Bulan Ramadan, ada baiknya kita mengamati erti Taqwa itu sendiri.

1.         Definisi Taqwa telah dihuraikan oleh para ulamak seperti berikut[1]:

·           Meletakkan penghalang dan penghadang di antaramu dan apa yang diharamkan oleh Allah.
أن تجعل بينك وبين ما حرم الله حاجبا وحاجزا
·           Melaksanakan perintah Allah dan menghindari laranganNya.
امتثال أوامر الله واجتناب النواهي
·           Takutkan Allah, beramal dengan wahyu, reda dengan sedikit serta bersedia untuk hari pembalasan.
الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل
·           Melaksanakan amalan taat dan meninggalkan amalan maksiat.
فعل طاعته واجتناب معاصيه.
·           Umar pernah bertanya Ubay bin Ka‘b, ‘Apakah itu taqwa?’ Ubay menjawab, ‘Wahai Amir al-mukminin, tidakkah engkau pernah memasuki jalan yang penuh berduri?’ Umar menjawab, ‘Ya.’ Ubay berkata, ‘Apakah yang engkau lakukan?’ Umar menjawab, ‘Aku menyingsingkan seluarku dan memerhatikan kakiku. Aku meletak satu langkah demi satu langkah dengan cermat kerana takut terkena duri.’ Ubay berkata, ‘Itulah taqwa!’
وقد سأل عمر رضي الله عنه أبي بن كعب فقال له: ما التقوى؟ فقال أبي: يا أمير المؤمنين أما سلكت طريقا فيه شوك؟ قال: نعم .. قال: فما ذا فعلت؟ قال عمر: أشمر عن ساقي وأنظر إلى مواضع قدمي وأقدم قدما وأؤخر أخرى مخافة أن تصيبني شوكة. فقال أبي بن كعب: تلك التقوى!

2.                   Dengan ini dapatlah dikategorikan taqwa itu kepada dua sudut iaitu:
·           Pertama, dari sudut praktikal (amalan): Taqwa ialah pelaksanaan perkara  yang diperintahkan oleh Allah Ta'ala dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah Ta'ala. Dari sudut ini, taqwa ialah pelaksanaan agama Islam yang merangkumi wajib, sunat, harus, makruh dan haram.
·           Kedua, dari sudut kerohanian (pendirian): Taqwa ialah kewaspadaan dalam mengorak setiap langkah dalam kehidupan beragama di dunia ini.  Dari sudut ini, taqwa ialah penilaian hati yang suci terhadap setiap perkara yang dihadapi oleh muslim. Dengan lafaz lain, taqwa dari sudut ini ialah timbang rasa atau berhati-hati.

Konsep Umum Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan

Bagi mendapatkan taqwa, Rasulullah s.a.w. telah meletakkan garis panduannya yang dapat dirangkumkan dalam dua ungkapan mudah iaitu mempergiatkan amalan baik dan menghentikan amalan buruk. Sabda Rasulullah s.a.w.:
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ   [2]
            Maksudnya: “Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satu pun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satu pun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam.



[1]  Lihat al-Munajjid, Muhammad bin Salih. Silsilah A‘mal al-Qulub (dalam al-Maktabah al-Shamilah). Jilid 3, Hlm. 65.
[2]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Fadl Shahr Ramadhan, No. 618. Dihukum Sahih oleh al-Albani.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails