RSS Feeds

Translate


2.12.2011

Ya Allah! Selamatkan bumi Mesir

Cetak Halaman

Apa yang berlaku di bumi Tunisia dan Mesir sememangnya menyedihkan. Semoga Allah memudahkan urusan mereka mendapat kebenaran dan keadilan. Kita, umat Islam di Malaysia harus bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikurniakan Allah Ta'ala. Kesyukuran itu haruslah diterjemahkan dengan penghayatan terhadap al-Quran dan al-Sunnah. Rakan-rakan Arab saya ada menyatakan bahawa rakyat Malaysia, khususnya Umat Islamnya hidup dalam pelbagai nikmat yang tidak dikecapi oleh mereka di negara mereka. Penghayatan Islam di Malaysia amat mudah berbanding sebahagian negara Arab. Mereka menambah lagi bahawa umat Islam Malaysia boleh dikatakan agak lalai; tanggungjawab dakwah kurang dipergiatkan sedangkan ruang danpeluang terbuka luas.

Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan bumi Mesir dan rakyatnya, khususnya yang Islam. Hendaklah kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di sana. Para pemimpin seharusnya menerapkan keadilan dan memastikan tanggungjawab dilaksana dengan penuh ketaqwaan, manakala rakyat pula hendaklah membantu kerajaan dalam perkara ma’ruf dan menegur dengan penuh berhemah terhadap sesuatu kemungkaran yang berlaku. Elakkanlah perpecahan dan persengketaan yang hanya akan melemahkan umat Islam di masa kita amat memerlukan kesatuan dan kekuatan.

Ya Allah, bantulah Islam dan umat Islam… Ya Allah, kembalikanlah mereka ke jalanMu…Ya Allah bantulah umat Islam agar dapat mengatasi musuh mereka… Amiin…

1.28.2011

Siri Etika Dan Adab Semasa Berselisih Pendapat

Siri 4: Sikap yang mulia semasa perselisihan melambangkan keikhlasan diri dan kesucian jiwa (petikan dan coretan semula...)

Di dalam menghadapi perselisihan, sikap yang mulia hendaklah sentiasa ditekankan. Semasa berselisih inilah jiwa dan diri manusia diuji; adakah dia dapat mempertahankan segala kemuliaan yang dipelajari selama ini, ataupun dia akan tertewas di hadapan kejahatan diri kecilnya. Berikut adalah beberapa garis panduan berkenaan kemuliaan akhlak yang amat dituntut khususnya apabila berlaku pertelingkahan:

1. Insaf atau adil.[1]

Firman Allah Ta‘ala (al-Maidah 5:8):

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Allah berfirman lagi (al-Hujurat 49:12):

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Bersikap insaf atau adil amat sukar dilakukan kerana sebagai manusia, kita terdedah kepada emosi. Orang yang sama dengan kita sering diadili manakala orang yang berbeza dengan kita pula sering dizalimi. Oleh itu sikap ini perlu diberikan penekanan yang lebih oleh setiap orang mukmin. Janganlah persamaan terlalu dimanja-manjakan sehingga kesalahan dikira benar. Janganlah pula perbezaan terlalu dianak-tirikan sehingga kebenaran dikira salah. Penilaian mestilah bersifat ilmiyyah (fakta dan hakikat) dan bukannya ‘atifiyyah (emosi dan perasaan).

2. Sangka baik.[2]

Firman Allah Ta‘ala (al-Hujurat 49:12):

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Sangka baik adalah satu sifat yang amat mulia di dalam Islam khususnya terhadap orang yang dikenali sebagai insan yang mulia. Sekiranya ada kesilapan yang dilakukan oleh orang yang mempunyai sirah yang baik, alasan wajar dicari untuk mengolah kesilapannya itu. Banyak kemungkinan yang boleh difikirkan untuk mempertahankan individu mulia tersebut. Adalah tidak tepat jika dia diperlakukan seperti orang yang tersohor dengan keburukan dan kerosakan. Rasulullah sa tetap memuliakan orang yang buruk perangainya. Jika begitu, orang yang baik seharusnya dihargai walaupun telah melakukan kesilapan. Kisah Ka‘b dan dua sahabatnya elok dijadikan pedoman dalam menghayati sifat mulia ini.

3. Nasihat.[3]

Firman Allah Ta‘ala (al-Asr 103:1-3):

Maksudnya: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Nasihat merupakan satu dasar utama dalam Islam. Dengan nasihat, agama ini dapat dipelihara daripada pencemaran kepercayaan, amalan, cara dan akhlak. Akan tetapi nasihat mestilah diselami dengan etika-etikanya. Antara lain:

· Orang yang menasihat mestilah ikhlas.

· Dia mesti mencari jalan terbaik untuk memberi nasihat; secara peribadi, secara lembut, secara logik dan lain-lain.

· Orang yang dinasihati pula mestilah terbuka dan bersedia menerima pandangan dan kritikan.

· Dia juga mestilah menghargai nasihat itu walaupun sekiranya tidak berapa lembut.

4. Hormat Ahlul-‘ilm.[4]

Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:247):

Maksudnya: Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan".

Golongan ahlul-‘ilm adalah satu golongan yang amat perlu diberi penghormatan. Penghormatan ini kerana mereka meneruskan tradisi para Nabi dan Rasul. Walaupun terdapat kepelbagaian dalam golongan ini yang membuahkan perbezaan, hakikatnya ahlul-‘ilm tetap ahlul-‘ilm walaupun mereka melakukan kesalahan. Janganlah disebabkan satu, dua, lima atau sepuluh kesalahan, status mereka terus dihumban daripada ahlul-‘ilm yang memahami Islam kepada orang awam yang tiada ilmu tentang Islam. Hendaklah diketahui bahawa sebarang tohmahan kepada ahlul-‘ilm sebenarnya target utama ialah Islam itu sendiri dan bukannya peribadi mereka.

Secara analoginya pula, para pendakwah yang tidak sampai ke tahap ahlul-‘ilm juga sepatutnya dihormati dalam erti kata yang sama.

5. Kembali kepada Ahlul-‘ilm.[5]

Firman Allah Ta‘ala (al-Nahl 16:43):

Maksudnya: Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

Apabila berlakunya perbezaan pendapat, antara perkara yang menjamin perpaduan ialah merujuk kepada para ahlul-‘ilm. Ini kerana kebiasaannya para ahlul-‘ilm mempunyai ilmu yang lebih berbanding orang-orang lain. Dengan merujuk kepada mereka, sesuatu perkara yang samar akan bertukar menjadi jelas. Sebenarnya langkah ini bukan sahaja diterima pakai dalam agama, bahkan dalam urusan dunia juga. Langkah terbaik ialah dengan merujuk kepada pakar-pakar dalam semua bidang sekiranya terdapat lebih dari satu pendapat yang dikeluarkan oleh ahli-ahli yang tidak mencapai tahap pakar.

6. Meredakan punca-punca perbezaan.[6]

Firman Allah Ta‘ala (al-Anfal 8:46):

Maksudnya: Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Sebarang bentuk perbezaan sudah tentu mempunyai sebab-sebab dan punca-punca. Untuk membenteras keburukan yang mungkin timbul akibat perbezaan pendapat, usaha yang kuat diperlukan untuk memastikan punca-punca perbezaan dapat diatasi dengan menyeluruh. Sebagai contoh, huraian sesuatu isu mestilah dibuat dengan jelas dan mantap. Kisah perbincangan Ibnu Abbas dengan golongan Khawarij dapat dijadikan antara contoh di sini, di samping kisah perbincangan Rasulullah dengan golongan al-Ansar sejurus selepas pembukaan kota Mekah al-Mukarramah.

7. Mengutamakan ukhuwwah.[7]

Firman Allah Ta‘ala (al-Hujurat 49:10):

Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Ada kalanya, walaupun perbincangan telah dilakukan, pihak yang bertelagah atau berbeza pendapat masih tidak dapat menerima hujjah pihak satu lagi. Banyak kemungkinan di sini, antaranya ialah hujjah pihak lain masih dianggap lemah dan tidak berwibawa. Dalam keadaan ini, perpaduan adalah keutamaan yang mesti didahulukan. Walaupun Ibnu Abbas tidak setuju dengan Uthman dan telah berbincang dengannya, beliau tetap solat empat rakaat mengimamkan Uthman. Dalam peristiwa ini, perrlu ditekankan bahawa Uthman juga mempunyai dalil dan kefahaman yang mantap. Apabila ditanya kenapa cakapnya tidak serupa amalnya, beliau dengan tegas menjawab “Perbezaan (perselisihan) itu keji.”

Semoga kita dapat menerapkan sikap yang mulia dalam semua kondisi dan situasi, khususnya apabila jiwa teruji dengan sanggahan lawan mahupun kawan. Aamiin ya Rabbal 'alamiin.



[1] Sila lihat Mahmud Muhammad al-Khazandar, Fiqh al-I’tilaf qawa‘id al-Ta‘amul Ma‘a al-Mukhalifin bi al-Insaf, Dar Taybah: al-Riyadh, 1421H, Hlm. 45.

[2] Sila lihat al-Qaradawi, al-Sahwah al-Islamiyyah, Hlm. 223.

[3] Sila lihat Mahmud al-Khazandar, Fiqh al-I’tilaf, Hlm. 259.

[4] Sila lihat Muhammad bin Shalih al-Uthaimin, Kitab al-‘Ilm, al-Riyadh: Dar al-Thurayya, 1417H-1996, Hlm. 41.

[5] Sila lihat al-Uthaimin, Kitab al-‘Ilm, Hlm. 20.

[6] Sila lihat al-Khazandar, Fiqh al-I’tilaf, Hlm. 225.

[7] Sila lihat al-Khazandar, Fiqh al-I’tilaf, Hlm. 223.

10.29.2010

Sekitar Perbahasan Ustaz Fathul Bari di Perhimpunan UMNO

Cetak Halaman

Assalamu alaikum ikhwah yang dihormati sekelian,

Setelah melihat perbahasan Ustaz Fathul Bari di perhimpunan UMNO tempoh hari melalui you tube dapatlah saya rumuskan perkara-perkara berikut:

1- UFB menekankan etika menasihati pemimpin menurut Ahlis Sunnah wal Jamaah, di mana menasihati pemimpin perlulah dilakukan dengan sehikmah mungkin, antara lain dengan menjadikan nasihat itu sebagai perkara yang peribadi, tidak dilakukan di khalayak ramai, tidak menjatuhkan kredibiliti dan air mukanya.

Respon saya: Saya rasa perkara ini jelas bagi sesiapa sahaja yang mengkaji hadit-hadith berkenaan dengan menasihati pemimpin. Hadith-hadith itu memang mengarahkan kita agar penuh beretika dalam menyampai nasihat dan teguran kepada pemimpin.

2- UFB menyelar perbuatan sesetengah parti pembangkang yang sering menyerang dan mencari kelemahan pemimpin. Beliau juga ada menyebut nama individu yang dikaitkan dengan IFF, yang dianggap meredai kemungkaran IFF tanpa menyelidiki terlebih dahulu adakah benar individu itu meredai kemungkaran yang berlaku dalam IFF.

Respon saya: Janganlah parti pembangkang berasa tertekan dengan ucapan beliau ini. Saya yakin beliau hanya ingin menerangkan hujah pertama di atas berkenaan etika nasihat dan bukannya menimbulkan permusuhan. Tidak sama sekali.

Berkenaan dengan menyelidik terlebih dahulu sesuatu urusan, khususnya perihal IFF, saya juga bersetuju dengan pandangan UFB kerana memang kita diarahkan berbuat demikian berkaitan khabar-khabar yang disampaikan secara ‘mafhum’ seperti, “Dia penaung, pasti dia reda.” Saya ingin menegaskan bahawa ‘mafhum’ seperti ini tidak wajar diterima, sebaliknya perlu ditapis terlebih dahulu. Jika selepas ditanya, jawapannya ialah, “Ya, saya yang suruh buat macam itu,” maka di sini perlulah individu itu dinasihati. Tetapi jika jawapannya ialah, “Saya tidak tahu tentang itu, tanya pengarah program, dia yang uruskan semua itu,” maka amat tidak wajar individu itu dipersalahkan.

3- UFB ada berpantun memuji Presiden dan Timbalan Presiden.

Respon saya: Jika pujian itu melampau dan tidak benar maka sememangnya pantun dan pujian itu maksiat. Akan tetapi saya dapati pantun itu tidak mengandungi apa-apa unsur melampau atau zalim atau maksiat, justeru saya tidak rasa perkara itu perlu diselar.

4- UFB ada mencadangkan penubuhan Majlis Ulama UMNO.

Respon saya: Alhamdulillah, kami memang amat mengharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan UMNO, dan disokong oleh semua termasuklah parti pembangkang.

Akhir kata, respon saya ini bukanlah tujuannya untuk mempertahankan UFB sebagai Jurucakap iLMU, akan tetapi saya berharap dapat menjelaskan persoalan yang timbul daripada perbahasan beliau tempoh hari.

Saya menyeru semua pihak agar sentiasa mencari keredaan Allah Ta‘ala dan sentiasa melihat kepada aspek yang positif dalam sebarang ucapan dan perbahasan. Jika kita sentiasa melihat yang negatif, ketahuilah bahawa tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini.

Pada masa yang sama, kita tetap berkewajipan menasihati samada menyokong mahupun menegur pemimpin dan juga masyarakat dengan cara pendekatan dan penyampaian yang terbaik untuk ‘mad‘uw’ (orang yang didakwah dan dinasihat) dan bukannya menurut selera kita sebagai ‘da‘iy’ (pendakwah dan penasihat).

Sekian, semoga bermanfaat.

10.24.2010

Sekitar IFF

Cetak Halaman

Sekitar IFF

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad, seterusnya:

Pulang dari negara jiran pada malam Jumaat setelah 3 hari berkunjungan, kemudian pada hari Jumaat meneruskan kerja di pejabat untuk menjayakan seminar pada hari Isnin nanti; menjadikan saya agak terasing dari perkembangan semasa. Baru hari ini (pagi Ahad), saya sempat melihat FB dan mendapati ada permintaan agar diberi pandangan berkaitan IFF (Islamic Fashion Festival) kerana DR MAZA dan UZAR telahpun memberi respon. Ada dua jenis cara meminta respon daripada saya, satu beretika dan satu lagi durjana; apapun saya tetap berterima kasih kepada kedua-dua peminta respon tanpa prejudis!

Setelah melihat dua pandangan tokoh agamawan iaitu DR MAZA (Dr Mohd Asri Zainul Abidin) dan UZAR (Ustaz Zahrudin Abdul Rahman) serta melihat beberapa maklumat berkaitan, dengan rendah dirinya saya menyatakan kenyataan ringkas berikut:

Berkenaan dengan mengadakan festival fesyen Islamik;

1- Secara umumnya, saya amat setuju dengan teguran DR MAZA dan UZAR dalam perkara ini.
2- Perkataan ‘Islamik’ perlu diteliti penggunaannya oleh semua pihak agar tidak menimbulkan kekeliruan apatah lagi penghinaan terhadap agama Islam.
3- Amat wajar cadangan yang meminta agar diwujudkan badan agama yang meneliti kewajaran penggunaan ‘Islamik’ untuk festival tersebut, sebagaimana telah wujudnya badan agama untuk produk-produk perbankan Islam, contohnya.
4- Menurut pandangan saya, semua ‘ulama’ mahupun ‘ulama muda’ pastinya tidak bersetuju dengan IFF ini, walaupun mungkin tidak menyuarakan demikian.

Berkenaan dengan etika pemakaian dalam Islam;

Untuk tambahan dan renungan, saya ingin menyuarakan di sini bahawa tahap pemakaian dalam Islam dapatlah dikategorikan kepada dua iaitu:

Pertama: bagi orang yang baru memeluk Islam dan yang baru kembali kepada ajaran Islam, dibolehkan memakai pakaian yang masih bercorak dan tidak cukup sifat Islamiknya. Ini dilihat dari sudut dakwah di mana mungkin banyak perkara dasar yang masih belum diketahui oleh individu yang berada di peringkat ini, yang saya boleh namakan sebagai peringkat ‘peralihan’. Di peringkat ini, kebiasaannya individu itu masih mencuba pakai tudung dan mencuba pakaian menutup aurat walaupun ketat serta masih takut-takut dengan kata-kata sinis rakan lama. Justeru dibenarkan, agar proses ‘peralihan’ tidak berlaku dengan begitu drastik yang mungkin menjerumuskannya semula ke kancah lama. Akan tetapi, persoalan susulan ialah adakah kita ingin berada di peringkat ‘peralihan’ selama-lamanya?

Kedua: bagi orang yang sudah lama berpegang kepada ajaran Islam, adalah tidak wajar baginya berada di tahap ‘peralihan’ sedangkan dia sepatutnya sudahpun sampai ke peringkat ‘menengah’ ataupun ‘tinggi’ bahkan ‘profesional’. Jika kita inginkan peningkatan berterusan dalam dunia, maka begitu jugalah kita sewajarnya berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan penghayatan agama Islam secara berterusan. Mungkin satu masa dulu kita hanya ingin mencuba dan masih mempunyai perasaan takut-takut. Tetapi sekarang, setelah tiadanya keinginan dan perasaan itu, wajarlah kita beridentiti Islamik dalam pemakaian. Ciri Islamik pakaian itu mestilah ditentukan oleh nas al-Qur’an dan al-Sunnah dan bukannya adat semata-mata. Akhir kata, amat tidak wajar seorang tua berlagak muda, begitu juga adalah tidak wajar seorang muslim dan muslimah sejati berlagak seperti muallaf yang baru mengenali.

Sekian, semoga bermanfaat.
Related Posts with Thumbnails