RSS Feeds

Translate


3.07.2012

Petikan Artikel Berita Harian 6/3/2012



Solat Asas Utama Wasatiyah

Dr Fadlan Mohd Othman, Pengerusi iLMU.

Beza antara keimanan, kekufuran

RASULULLAH SAW dikurniakan ibadat solat ketika peristiwa al-Isra’ wal-Mikraj. Khabar pengembaraan pada waktu malam dan pengangkatan ke tujuh petala langit sudah cukup menyerlahkan hikmah pensyariatan solat. Solat ialah satu-satunya ibadat difardukan di atas langit. Tiada sebarang syak bahawa solat ialah ibadat paling utama dalam Islam. Solat membezakan antara keimanan dan kekufuran. Rasulullah SAW sudah pun menegaskan perkara ini dengan hadis bermaksud:

“Perbezaan antara kita dan mereka ialah solat, maka siapa yang meninggalkannya sesungguhnya dia kafir.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Menghubungkaitkan perbincangan dengan ciri wasatiyyah, kita dapat memahami bahawa solat ialah asas utama wasatiyyah. Rasulullah SAW yang menjadi ikutan dan inspirasi gagasan Wasatiyyah dilihat sebagai insan yang amat mementingkan solat. Bahkan Baginda SAW memberitahu sahabatnya bahawa ketenangan dirinya dapat dikecapi melalui pelaksanaan solat. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Dan dijadikan penyejuk mataku dalam solat.” (Hadis riwayat al-Nasa’i).

Tidak kira sihat mahupun sakit, bermukim mahupun mengembara, solat tetap menjadi keutamaan Baginda SAW. Begitu istimewanya solat pada jiwa Rasulullah. Justeru, sebagai umatnya, kita wajar berusaha sedaya upaya mengikuti jejak langkah Baginda SAW khususnya berkenaan dengan solat. Kita harus memberi perhatian terhadap firman Allah Taala dalam Surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud:

“Katakanlah, ‘Inilah jalan agamaku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang yang musyrik’.”

Dalam mentafsirkan ayat ini, al-Syaukani berkata, ayat ini menjadi dalil bahawa semua orang yang mengikuti Rasulullah SAW adalah wajib baginya meneladani Baginda dalam berdakwah kepada Allah iaitu dengan mengajak kepada keimanan terhadap Allah dan mentauhidkan Allah serta melaksanakan apa disyariatkan Allah ke atas hamba-Nya.” (Lihat Fathul Qadir, cetakan Dar Ibn Hazm, halaman 873). Menyentuh kembali perihal solat, kita dapati Rasulullah SAW sudah mengarahkan agar umatnya melaksanakan solat berdasarkan praktikal solat Baginda. Rasulullah SAW bersabda:

“Solatlah seperti kamu sudah melihat aku solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Praktikal solat Rasulullah SAW sudah pun dihimpunkan ulama dengan menekankan hadis sahih. Praktikal solat Rasulullah adalah satu perbincangan yang memerlukan kursus khas dan tidak dapat dicatat dalam tulisan ini. Amat penting diingatkan hujah yang nyata menjadi dasar utama dalam usaha kita mengenali, memahami dan melaksanakan praktikal solat Rasulullah. Allah Taala menjelaskan kepada kita betapa solat berperanan besar dalam kesejahteraan peradaban manusia. Insan mukmin yang benar-benar melaksanakan solat pasti akan terhindar daripada perbuatan keji dan mungkar. Allah berfirman dalam Surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:

“Dan dirikan solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”

Persoalan yang timbul, mengapakah masih wujud orang Islam yang solat tetapi tetap melakukan perbuatan keji dan mungkar? Jawapan bagi persoalan ini sudah pun dijawab Rasulullah dalam beberapa hadis Baginda. Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada seorang Muslim pun yang apabila masuk waktu solat fardu lalu dia menyempurnakan wuduk, khusyuk dan rukuk solat itu kecuali semua itu menjadi penghapus dosanya yang lalu selain dosa besar.” (Hadis riwayat Muslim)

Perhatikan bagaimana solat membuahkan hasilnya apabila dilakukan dengan penuh tertib dan penghayatan atau dengan kata lain; Tama’ninahyang menjadi ciri luaran dan khusyuk menjadi ciri dalaman. Justeru, tanpa kedua-dua ciri luaran dan dalaman ini tidak mustahil jika seorang Muslim itu dilihat tegar dalam melakukan perbuatan keji dan mungkar, walaupun dia solat. Keadaan ini sudah pun digambarkan Rasulullah dengan sabdanya bermaksud:

“Boleh jadi orang berpuasa itu tidak mendapat daripada puasanya kecuali kelaparan. Boleh jadi juga orang yang bangun solat itu tidak mendapat daripada bangunnya itu kecuali letih berjaga.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dengan penjelasan serba ringkas ini, kita sudah pun dapat melihat bagaimana praktikal solat itu akan ketandusan dan kekeringan jika tidak disirami dengan kefahaman dan penghayatan. Setiap patah perkataan yang dituturkan dalam solat sepatutnya difahami oleh Muslim yang sedang bersolat. Sebagai langkah permulaan, kita perlu sedar bahawa kita mendapat perhatian Allah seawal bacaan al-Fatihah di dalam solat. Perhatikan hadis berikut dengan penuh fokus:

Rasulullah SAW bersabda: “Allah berfirman: “Aku sudah membahagikan solat kepada dua bahagian antara-Ku dan hamba-Ku. HambaKu akan dapat apa yang dia minta.” Jika hamba itu berkata, “segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,” Allah Ta‘ala menjawab: “Hamba-Ku sudah memuji-Ku.” Jika hamba itu berkata, “Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,” Allah Taala menjawab: “Hamba-Ku telah menyanjungi-Ku.” Jika hamba itu berkata, “Yang menguasai hari pembalasan,” Allah Taala menjawab: “Hamba-Ku sudah mengagungi-Ku.” (dalam satu riwayat) “Hamba-Ku sudah menyerahkan urusannya kepada-Ku.” Jika hamba itu berkata, “Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan,” Allah Taala menjawab: “Ini adalah antara-Ku dan hamba-Ku. Hamba-Ku akan dapat apa yang dia minta.” Jika hamba itu berkata, ‘Tunjukilah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan jalan mereka yang dimurkai (Yahudi), dan bukan pula jalan mereka yang sesat (Nasrani),” Allah Taala menjawab: “Ini adalah untuk hamba-Ku dan hamba-Ku akan dapat apa yang dia minta.” (Hadis riwayat Muslim)


0 comments:

Related Posts with Thumbnails