RSS Feeds

Translate

2.26.2012

Petikan Artikel Berita Minggu 26 Februari 2012

Amaran balasan dosa bagi penyebar hadis palsu
Oleh Dr Fadlan Mohd Othman

2012/02/26

Kewujudan ulama banteras cubaan seleweng sabda Rasulullah dapat pulihara kesucian Islam

SESUNGGUHNYA Allah Taala menurunkan al-Quran kepada hamba-Nya sebagai petunjuk sepanjang jalan untuk mereka di muka bumi ini kembali kepada-Nya di akhirat nanti. Al-Quran mengandungi segala sesuatu yang diperlukan oleh hamba Allah untuk menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat daripada segala bentuk kesengsaraan baik yang sementara mahupun yang kekal.
Antara perkara utama yang ditekankan dan diarahkan oleh al-Quran ialah menjadikan Muhammad bin Abdullah, Rasulullah SAW sebagai ikutan kita di alam ini. Kepercayaan kita kepada al-Quran sebagai kitab petunjuk sejati tidak sempurna jika tidak disulami dengan kepercayaan bahawa Rasulullah SAW adalah wakil Allah kepada kita.
Sebagai wakil Allah, Bagindalah yang paling mengetahui kehendak Allah dalam al-Quran. Justeru, apa saja kefahaman kita terhadap mana-mana saja ayat al-Quran tidak boleh diterima sekiranya tidak melalui pengesahan kefahaman Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat, Ibnu Mas’ud berkata: “Allah melaknati pembuat tatu, orang yang meminta tatu, orang yang mencabut bulu badan dan juga orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah.”

Kenyataan ini sampai ke telinga seorang wanita daripada Bani Asad yang bernama Ummu Ya’qub lalu dia datang lalu berkata: “Saya dengar kamu melaknat sekian dan sekian!” Ibnu Mas’ud menjawab: “Apa salahnya saya melaknat orang yang dilaknat oleh Rasulullah SAW dan juga yang terdapat dalam kitab Allah?” Wanita itu berkata: “Saya sudah membaca keseluruhan al-Quran dan saya tidak menjumpai apa yang kamu sebutkan itu.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Jikalau engkau benar-benar membacanya pasti engkau akan menjumpainya. Tidakkah engkau membaca (ayat 7 Surah al-Hasyr) yang bermaksud: “Dan apa yang dibawa oleh Rasul maka hendaklah kamu semua ambil dan apa yang ditegah olehnya maka hendaklah kamu tinggalkan?” Wanita itu menjawab: “Sudah tentu.” Ibnu Mas’ud berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menegah perbuatan itu.” (HR al-Bukhari, No. 4886).

Selepas diketahui bahawa tiada perbezaan dari sudut penghujahan antara ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, perlulah diketahui bahawa al-Quran tidak dapat diselewengkan dengan sewenang-wenangnya dari sudut ‘thubut’ iaitu ketetapan. Ini berbeza dengan hadis yang tidak mengalami proses penulisan seperti al-Quran. Dengan itu, masih ada ruang bagi musuh Islam untuk membuat penyelewengan dalam hadis dengan memalsukan kenyataan dan menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.
Walaupun begitu, Allah sudah menjanjikan bahawa agama-Nya akan kekal terpelihara. Kewujudan ulama yang pakar dan mahir dengan selok-belok hadis dapat mengatasi kemelut pemalsuan ini. Dr Subhi al-Salih dalam kitabnya Ulum al-Hadis wa Mustalahuh menyatakan bahawa apabila al-Imam Abdullah bin al-Mubarak ditanya: “Bagaimana dengan hadis palsu?” Beliau menjawab: “Akan muncul pakar yang membanterasnya. Allah telah berfirman (dalam Surah al-Hijr ayat 9) yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan peringatan dan pasti Kami akan menjaganya.”

Secara umumnya membezakan lalu membanteras hadis palsu adalah satu-satunya jalan untuk menjaga kemurnian agama Islam daripada diselewengkan dari sudut ini. Semoga Allah memperbanyakkan individu Muslim yang kritis dan cergas dalam mempertahankan agama Islam dengan mempertahankan hadis Rasulullah SAW.

Kerosakan sesuatu perkara hanya akan diketahui dengan tahap dosa yang dikaitkan dengannya. Di sini kita akan menyingkap tahap dosa yang dikaitkan dengan mereka yang menyebarkan hadis palsu. Dr. Syaraf Mahmud al-Qudhah dalam kitabnya al-Minhaj al-Hadis fi ‘Ulum al-Hadis halaman 183, mengkategorikan periwayatan hadis palsu ini kepada tiga bahagian seperti berikut:

Pertama, meriwayatkan hadis palsu secara sengaja. Ulama bersepakat mengatakan bahawa hukum meriwayatkan hadis palsu adalah haram berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menipu ke atas-Ku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka.” (HR al-Bukhari, No. 6197)

Kedua, meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja. Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja pula, dia dimaafkan dan tidak mendapat apa-apa dosa berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa.” (HR Ibnu Majah, Kitab al-Thalaq, Bab Thalaq al-Mukrah wa al-Nasi, No. 2033. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibnu Majah No. 1675).

Ketiga, meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa. Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa pula, dia tidak dimaafkan dan tetapi akan mendapat dosa menyebarkan hadis palsu walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui mengenai kepalsuan hadis itu.

Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut; pertama, Firman Allah dalam surah al-Isra ayat 36 bermaksud: “Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu mengenainya.”

Dalil kedua, hadis Nabi yang bermaksud: “Sesiapa yang meriwayatkan hadis daripadaku sedang ia diketahui oleh para ulama sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu.” (HR Muslim dalam Muqaddimah Sahih Muslim).

Dalil ketiga, hadis Nabi SAW yang bermaksud:,“Kadi terbahagi tiga golongan; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka.” (HR Abu Daud, Kitab al-Aqdiyah, Bab fi al-Qadi Yukhti’, No. 3573. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud No. 3573.)

Penulis ialah Pengerusi iLMU.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails