RSS Feeds

Translate


2.26.2012

Artikel Petikan Berita Harian 22 Februari 2012

Kekeliruan Gender Belum Terlambat Untuk Bertaubat

oleh : Dr Fadlan Mohd Othman

Berita Harian Rabu 22 Februari 2012

ALLAH SWT mencipta manusia daripada lelaki dan wanita serta menjadikan mereka sebagai pemimpin di atas muka bumi ini. Kedua-dua gender ini mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. Melihat kepada fizikal saja kita dapat membezakan antara lelaki dan wanita.

Perkara ini ditetapkan Allah SWT dalam Surah al-Imran ayat ke-36 bermaksud:

“Dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan.”

Agama Islam mengarahkan setiap satu daripada dua gender ini untuk tugas dan tanggungjawab yang sesuai. Sebagai contoh, kaum lelaki dididik ke arah menjadi pemimpin dan penjaga kepada kaum wanita seperti firman Allah dalam surah an-Nisa ayat ke-34 bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Akan tetapi, kita perlu sentiasa ingat bahawa usaha syaitan tidak akan berhenti. Syaitan amat bersungguh-sungguh merosakkan ciptaan Allah. Usahanya cukup halus dan licik. Perkara ini digambarkan Allah dalam surah an-Nisa ayat 119 bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya, aku (syaitan) akan menyesatkan mereka dari kebenaran, dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka mencacatkan binatang-binatang ternak, lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”

Memfokuskan perbincangan kepada isu jantina, kita dapati Allah SWT memberikan pelbagai garis panduan yang jelas antara lain, isu perkahwinan yang mana perkahwinan seharusnya berlaku antara lelaki dan wanita dan bukannya sesama jantina.

Bahkan perkahwinan sesama jantina sesuatu yang dilaknat Allah. Perkara ini dijelaskan Allah dalam surah al-A’raf ayat 81 yang bermaksud:

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

Lihatlah bagaimana Allah menyifatkan orang yang songsang amalan gendernya sebagai melampaui batas. Begitu juga golongan songsang ini disifatkan sebagai kaum jahil seperti dalam ayat 55 Surah al-Naml.

Justeru, untuk membendung perkara songsang ini, terdapat beberapa garis panduan yang diletakkan oleh agama Islam. Antaranya, sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Allah melaknati lelaki yang meniru gaya wanita dan wanita yang meniru gaya lelaki.” (Riwayat Ahmad)

Menurut hadis ini, lelaki dilarang meniru gaya perempuan dan begitu jugalah wanita dilarang meniru gaya lelaki. Perkara ini dilaknat Allah. Perkara inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia. Apabila setiap pihak melaksanakan tanggung jawab yang sesuai dengan jati dirinya, maka terhasillah kesejahteraan sejagat.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pihak yang dipimpinnya. Pemerintah sesuatu masyarakat adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi isi rumah suaminya serta anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Justeru, kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap pihak yang dipimpin.” (Riwayat Bukhari)

Apapun hakikatnya, sebagai seorang manusia pastinya akan ada kelemahan dan kekurangan. Jika pemerintah, masyarakat dan keluarga tidak dapat membentuk jati diri jantina seseorang individu itu, maka benteng terakhir adalah individu itu sendiri.

Masih belum terlambat bagi setiap seorang yang mempunyai kekeliruan gender untuk kembali ke pangkal jalan. Ini kerana taubat itu terbuka pintunya sehingga ke hembusan nafas yang terakhir sesuai dengan hadis Nabi SAW bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-Nya selagi dia belum nazak.” (Riwayat al-Tirmizi)

Justeru, bagi memastikan kita tetap kekal berada di jalan lurus dan diredhai Allah, kita wajar membaca doa Nabi SAW bermaksud:

“Wahai Tuhan kami, perbaikilah hubungan antara kami, tunjukkanlah kepada kami jalan-jalan kesejahteraan, selamatkan kami daripada kegelapan kepada cahaya, hindarilah kami daripada perkara keji sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi. Berkatilah kami pada pendengaran, penglihatan, hati, pasangan dan zuriat kami. Terimalah taubat kami kerana Engkaulah Yang Maha Penerima taubat dan Maha Mengasihani. Jadikanlah kami mensyukuri nikmat-nikmat-Mu, memuji dan menyebutnya, serta sempurnakanlah nikmat-nikmatMu ke atas kami.”

Penulis ialah Pengerusi iLMU.

Ralat : Akhbar Berita Harian menuliskan “Ahmad Tajudin Idris, Ketua Biro Belia dan Cinta Rakyat (CITRA), ilMU”

0 comments:

Related Posts with Thumbnails