RSS Feeds

Translate


7.02.2010

Siri Etika dan Adab Semasa Berselisih Pendapat

Cetak Halaman

Siri 1: Bersatulah walaupun berselisihan: Mukadimah
(petikan dan coretan semula...)

Walaupun jelas kepada kita, orang-orang yang beriman, bahawa antara kewajipan utama kita ialah bersatu di bawah misi yang jelas iaitu penghambaan kepada Allah Ta‘ala berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah; tetapi secara fitrahnya juga Allah Ta‘ala telah menjadikan manusia itu berbeza-beza dalam kejadian dan penciptaan. Firman Allah Ta‘ala (al-Hujurat 49:13):

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Memandangkan kenyataan ini, sudah tentulah manusia sentiasa akan mempunyai kepelbagaian dalam setiap urusan mereka samada duniawi mahupun ukhrawi. Pastinya juga perbezaan ini adalah natijah kepada kepelbagaian mereka dalam pendidikan, pemikiran, adat dan alam sekeliling. Aspek-aspek ini telah disentuh oleh Allah Ta‘ala dalam ayat tadi dengan menekankan tujuan kejadian itu iaitu supaya mereka dapat kenal-mengenali antara satu sama lain, dan bukan sekali-kali supaya mereka kecam-mengecam antara sesama manusia.

Dalam satu ayat lain Allah Ta‘ala telah menjelaskan walaupun perbezaan itu berlaku dan berterusan, akan tetapi orang-orang yang Allah rahmati ialah yang tidak berselisihan dan tidak pula berpecah-belah. FirmanNya (Hud 11:118-119):

Maksudnya: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)".

Adab-adab perbezaan pendapat.

Setelah mendapat gambaran umum tentang sunnatullah dalam perpaduan dan perbezaan, wajarlah juga kita memerhatikan petunjuk-petunjuk al-Quran dan al-Sunnah untuk menghadapi perbezaan-perbezaan ini. Wajarlah ditekankan di sini bahawa perbincangan ini adalah berkenaan perkara-perkara yang menerima perbezaan pendapat atau dalam erti kata lain masalah-masalah yang berunsur cabang atau zanniyyat dan bukannya yang berunsur dasar atau qat‘iyyat. Perkara juz’i (cabang) atau zanni (tidak muktamad) ialah perkara yang boleh menerima perbezaan pendapat manakala perkara kulli (dasar) atau qat‘i (muktamad) tidak sekali-kali boleh dipertikaikan. Perbezaan dalam perkara dasar atau muktamad inilah yang menghasilkan kumpulan-kumpulan pecahan (al-firaq) dalam Islam.

Perbezaan dalam perkara cabang atau tidak muktamad pula, pada asalnya tidak sepatutnya menghasilkan perpecahan, namun jika diiringi dengan sikap fanatik, pertengkaran, permusuhan dan hawa nafsu; maka di sini situasi akan bertukar daripada perbezaan pendapat yang dimaafkan dan dibenarkan Syarak kepada perbezaan pendapat yang dikeji Syarak kerana ianya menghasilkan perpecahan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails