WASATIYYAH KUNCI KEJAYAAN
Dr Fadlan Mohd Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)
Segala puji dan puja hanyalah milik Allah
Ta‘ala, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.
Sedar ataupun tidak, kita telahpun berada semakin
jauh daripada zaman Rasulullah s.a.w. Seribu empat ratus tiga puluh tiga tahun
telah berlalu sejak peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. ke kota suci al-Madinah
al-Munawwarah. Di dalam tempoh ini, Umat Islam telah mengecapi pelbagai
kegemilangan, merasai pelbagai kesakitan dan tidak kurang juga menyaksikan
begitu banyak penyelewengan. Fenomena ini menghasilkan tiga aliran utama, iaitu
satu aliran asal dan dua aliran baru, hasil tindak balas. Aliran asal itu ialah
aliran Wasat iaitu yang menepati kebaikan dan keadilan, manakala dua aliran
baru itu pula ialah aliran Ifrat iaitu berlebihan dan aliran Tafrit iaitu pengabaian.
Al-Imam Ibnu al-Qayyim telah berkata dalam kitabnya Madarij al-Salikin (jil. 2/
hlm. 108), “Sebahagian Ulama Salaf telah berkata, “Apa yang diperintahkan oleh
Allah, pasti Syaitan akan mengganggu dengan dua tarikan; samada ke arah
pengabaian ataupun ke arah berlebihan. Syaitan menganggap mana-mana daripada
dua perkara ini sebagai kejayaan; iaitu pertambahan atau pengurangan.”
Kesucian dakwah Rasulullah s.a.w. adalah
berlandaskan Basirah iaitu hujah yang nyata. Hakikat ini digambarkan oleh Allah
Ta‘ala dalam pelbagai ayat di dalam Al-Quran Al-Karim. Antara lain ialah firman
Allah Ta‘ala (Yusuf 12:108) yang bermaksud {Katakanlah: "Inilah
jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada
Allah dengan hujjah yang nyata. Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk
orang-orang yang musyrik"}.
Di saat manusia berada dalam
kesempitan minda dan kehilangan fakta sehingga menyembah sesama makhluk, Rasulullah
s.a.w. menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan
iaitu menyembah Tuhan segala makhluk. Di saat manusia memandang rendah kepada
wanita dan memperhambakan mereka, Baginda s.a.w. menyelamatkan mereka dengan
membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu memberi hak yang tinggi
kepada wanita yang menjamin kelangsungan umat manusia jua. Wahyu daripada Allah
telah menjadikan dakwah Rasulullah s.a.w. gemilang.
Kebaikan dan keadilan inilah yang telah
dinyatakan oleh Allah Ta‘ala antara lain dalam ayat berikut (Al-Baqarah 2:143) yang bermaksud {Dan demikianlah (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam),
umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia
dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu}.
Begitulah umat
Islam ini disifatkan dengan sifat Wasatiyyah yang membawa maksud al-Khairiyyah
iaitu kebaikan dan al-‘Adalah iaitu keadilan serta al-Tawassut
bayn al-Ifrat wa al-Tafrit iaitu pertengahan antara melampau dalam
berlebihan dan melampau dalam berkurangan seperti yang dirumuskan oleh Dr
Muhammad Ba Karim dalam kitabnya Wasatiyyah Ahlis Sunnah. Inilah juga yang
ditekankan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Madarij al-Salikin (jilid
2/ hlm. 496), seperti yang dinukilkan oleh YAB Perdana Menteri beberapa minggu
lepas bahawa, “wasatiyyah, iaitu kesederhanaan atau
keseimbangan bermakna tidak terlalu berlembut dan tidak terlalu ekstrem adalah
seperti sebuah oasis di antara dua gunung”.
Umat Islam yang
bersifat Wasatiyyah ialah umat yang berpegang kuat kepada kebaikan yang dibawa
oleh Rasulullah s.a.w. Perkara ini juga telah dijelaskan oleh Allah Ta‘ala
dalam firmanNya (Ali Imran 3:110) yang bermaksud {Kamu (wahai umat Muhammad) adalah
sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu
menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara
yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan
sebenar-benar iman)}.
Ayat ini
menunjukkan bahawa kebaikan yang ada pada umat yang sederhana ini ialah apabila
adanya perintah kepada kebaikan dan larangan daripada kemungkaran. Ini adalah
satu amanah iaitu mengajak kepada makruf iaitu perkara baik yang diketahui oleh
Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat. Seterusnya menghindari daripada munkar
iaitu perkara buruk yang bukan menjadi kebiasaan Baginda s.a.w. dan para
Sahabat dalam urusan agama.
Wasatiyyah memerlukan
keikhlasan. Wasatiyyah juga menuntut agar Umat Islam menepati kebenaran yang
dijunjung oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat radiallahu ‘anhum. Rasulullah
s.a.w. telah menyatakan perkara ini dengan sabdanya, “Kumpulan yang unggul
adalah yang menepati peganganku dan pegangan para Sahabatku” (Hadis riwayat al-Tirmizi
(no. 2641) dan dihukum Hasan oleh al-Albani). Kebenaran yang dijunjung dan
diamalkan ini mestilah disampaikan walaupun pahit, sesuai dengan perintah
Rasulullah s.a.w., “Ucaplah yang benar walaupun pahit” (Hadis riwayat al-Baihaqi dalam
al-Targhib wa al-Tarhib (no. 2233) dan dihukum Sahih Li Ghairih oleh al-Albani).
Justeru, Wasatiyyah bukanlah menyesuaikan Islam dengan suasana, sebaliknya
menyesuaikan suasana dengan Islam.
Sifat Wasatiyyah inilah yang menjadikan umat
Nabi Muhammad s.a.w. dipanggil menjadi saksi terhadap sengketa antara para
rasul dan umat-umat mereka di hadapan Allah Ta‘ala kelak. Di dalam sebuah
hadith, apabila Umat Islam ditanya,“Apa hujah kamu bagi kenyataan itu?”
Mereka menjawab, “Nabi kami datang kepada kami dan memberitahu bahawa semua
para rasul telah menyampaikan wahyu, lalu kami membenarkannya.” Maka itulah
firman Allah, {Dan demikianlah (pula) Kami telah
menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi
saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas
(perbuatan) kamu} (Hadith direkod oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir dan dihukum
Sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ al-Saghir (no. 8033).
Perhatikanlah bagaimana Umat Nabi Muhammad
s.a.w. dipanggil menjadi saksi terhadap kes yang tidak pernah mereka saksikan
atau lihat secara langsung, akan tetapi Umat ini tetap dipanggil hanya kerana membenarkan
wahyu yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Inilah dia landasan keadilan sejagat
dan kebaikan global yang diredai oleh Ilahi. Inilah landasan Wasatiyyah; keadilan
dan kebaikan yang menepati keredaan Allah Ta‘ala.
Konklusinya, usaha mengenengahkan semula konsep
Wasatiyyah memang merupakan satu usaha terpuji dan seharusnya disokong oleh
segenap lapisan masyarakat; setiap seorang dengan kapasitinya. Sinergi
keikhlasan dan kepakaran semua pihak digembleng agar Umat Islam kembali ke
landasan asal yang dipelopori oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat serta
dijunjung oleh para ulama muktabar yang mengikuti jejak mereka. Al-Imam
al-Syatibi telah berkata dalam kitabnya al-Muwafaqat (jil. 4/ hlm. 610), “…telah
jelas bahawa meletakkan sesuatu secara pertengahan adalah menepati intipati
agama; dan perkara inilah yang dilaksanakan oleh al-Salaf al-Salih iaitu
generasi terawal yang salih…” Ya Allah bantulah kami dalam mengingatiMu,
mensyukuriMu dan merealisasikan Ibadah kepadaMu.
0 comments:
Post a Comment