Metod Dakwah Kepada Kumpulan Sufiyyah Pelampau
Menurut Perspektif Syariah
Disediakan Oleh:
Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim (Jabatan Syariah UKM)
&
Fadlan bin Mohd Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran
& al-Sunnah UKM)
1-
MENGENALI
TASAWUF SECARA UMUM
1.1
Pendahuluan
Di dalam badan manusia,hati merupakan di antara organ yang paling
penting sebagai ejen pembentukan syakhsiyyah seseorang muslim. Hati juga
memainkan peranan besar di dalam melahirkan jiwa-jiwa yang suci dan anggota
yang taat dan patuh kepada Allah SWT.
Lantaran itu, hati
hendaklah sentiasa digilap dengan cahaya keimanan dan taqwa kepada Allah
menerusi amal ibadah dan akhlak yang mulia. Perkara seperti ini tidak dapat
tidak mesti mengamalkan tarekat atau yang dikenali ilmu tasauf seperti mana
yang diamalkan oleh Rasul dan Sahabatnya serta para ulama yang terkenal seperti
Imam al-Ghazali, Dr. Soleh al-Farfur dan sebagainya. Mereka ini merealisasikan
ilmu yang mereka pelajari dengan bantuan tarekat dan tasawuf.
Akan tetapi, ilmu
dan amalan ini telah disalahertikan oleh para pengikut yang tergolong dari
kalangan orang awam yang tidak mempunyai asas agama Islam yang kukuh serta
jahil tentang hakikat ilmu tasauf. Mereka hanya mengamalkan amalan itu tanpa
merujuk kepada orang yang arif mengenai hal ini. Rentetan daripada salah faham
inilah berlakunya penyelewengan terhadap ilmu tasauf dan tarekat itu sendiri.
Oleh yang demikian,
gejala seperti ini harus dibanteras dengan secepat mungkin, kerana ia
melibatkan aqidah dan syariat seseorang mukmin serta menjatuhkan reputasi agama
Islam itu sendiri di mata dunia.
Maka dengan itu, terkandung
di dalam kertas kerja ini penerangan dan gambaran umum mengenai ilmu tasauf
serta amalan tarekat yang sebenar. Seterusnya penulis membincangkan mengenai
penyelewengan yang berlaku dalam amalan tarekat dan ilmu tasawuf. Penulis juga merumuskan
cara dan metodologi dakwah menurut syariat, kepada golongan tarekat yang sesat
ini dengan strategi yang sesuai serta mengikut peredaran zaman.
1.2
Definisi
Tasawuf
Apabila diteliti pada ilmu tasawuf, akan terdapat di sana
berbagai-bagai definisi yang telah diberikan oleh para ulama samada dari segi
bahasa mahupun dari segi istilah. Definisinya adalah seperti berikut: [1]
1.2.1
Dari segi
bahasa, perkataan tasawuf berasal daripada perkataan Şofā yang memberi
erti suci bersih. Ini kerana sesiapa yang memberi perhatian kepada ilmu tasawuf
yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, sesungguhnya perbuatan, percakapan
dan pendengarannya akan sentiasa suci bersih dari perkara-perkara yang dimurkai
Allah. Begitu juga dengan hatinya, sentiasa bersih dari kekotoran dosa.[2]
Ada juga
pendapat mengatakan perkataan tasawuf ini daripada perkataan Şufah yang
bererti bulu binatang. Ini kerana mereka yang masuk di dalam golongan ini akan
memakai pakaian keras dan enggan memakai pakaian yang indah.[3]
1.2.2
Dari segi
istilah, terdapat juga beberapa pendapat mengenai definisi tasawuf. Antaranya adalah seperti berikut:
1)
Al-Ghazali : Tasawuf adalah memakan makanan yang halal mengikuti akhlak, perbuatan
dan perintah Rasulullah s.a.w. yang terdapat di dalam hadis-hadis Baginda.
Barang siapa yang tidak mengetahui isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah, maka
janganlah dia ikuti ajaran tasawuf kerana ajaran ini hendaklah berdasarkan dua
perkara asas tersebut[4].
2)
Ibn
al-Khaldun : Matlamat asas kaum sufi ialah
muhasabah diri sehingga ia benar-benar melaksanakan perintah Allah dan RasulNya
sepertimana termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah.[5]
3)
Abu al-A‘la
al-Maududi : Tasawuf dalam erti kata yang sebenar
ialah mencintai Allah dan RasulNya dengan mentaati suruhanNya dan menjauhi
laranganNya sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah.[6]
Daripada definisi-definisi yang dipaparkan di atas,
jelaslah bahawa ilmu tasawuf adalah sebahagian daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Sekiranya seseorang itu tidak benar-benar memahami isi kandungan al-Quran dan
al-Sunnah sesungguhnya mereka tidak layak untuk mendekati ilmu ini.
Sebagai contoh, ulama-ulama tasawuf yang terkenal, mereka
ini bukan sahaja alim dalam ilmu tasawuf, akan tetapi mereka juga alim dalam
ilmu tafsir, hadis, fiqah, usul al-fiqh dan sebagainya yang merupakan
asas penting sebelum mendalami ilmu Tasawuf.
Ketiadaan ilmu-ilmu asas seperti yang disebut di atas
itulah merupakan punca kepada kemunculan ajaran-ajaran sesat yang berasaskan
ilmu tasawuf yang tidak berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
Maka untuk lebih jelas dan memudahkan strategi dakwah
kita kepada golongan tarekat pelampau ini kita harus mengetahui sedikit
sebanyak mengenai kaitan ilmu tasawuf dengan amalan tarekat.
1.3
Konsep
Tarekat
1.3.1
Pengertian
Tarekat[7]:
Tarekat adalah satu istilah dalam tasawuf yang lahir selepas zaman
permulaan Islam. Walaupun istilahnya tidak secara langsung merupakan istilah
al-Quran namun kelahirannya atau penciptaannya bukanlah satu jenayah selama ia
tidak mengandung maksud yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Tarekat dalam pengertiannya adalah sebagai “perjalanan
kepada Allah SWT atau perjalanan menuju keredhaan Allah”
Firman Allah S.W.T :
Bermaksud:
Memimpin kepada
jalan kebenaran dan kepada jalan yang lurus[8]
Firman Allah S.W.T:
Bermaksud:
Dan sekiranya orang-orang yang beriman itu berjalan lurus di atas
jalan yang ditetapkan oleh Islam dengan
sebenar-benarnya, kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki
yang banyak) [9]
Penggunaan kalimat-kalimat
seperti sabīl , sirāj , al-sābiqun selain dari kalimah al-tarīq
atau al-tariqah jelas menyarankan kandungan makna tarekat dalam
pengertiannya yang asas dan umum atau perjalanan menuju kepada Allah.
Perjalanan menuju Allah s.w.t. harus
memastikan adanya jalan yang menjamin untuk sampai ke destinasi seperti yang
dikehendaki oleh Allah s.w.t.. Jalan yang sedemikian adalah jalan yang lurus, dan
jalan yang lurus adalah jalan yang hak, manakala jalan yang hak itu adalah
jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. di dunia dan akhirat. Hanya jalan inilah
yang akan membawa kita ke syurga Ilahi. Rasul s.a.w. dan sahabatnya adalah
orang pertama yang mengikuti jalan ini sekaligus menjadikan al-Quran sebahagian
dari hidup mereka.
Umat Islam
akhir-akhir ini sudah semakin jauh dari jalan kebenaran yang dahulunya menjadi lumrah dan keagungan
kehidupan umat Islam di zaman permulaan. Umat Islam kini sudah dipengaruhi oleh
cara hidup yang mementingkan keduniaan semata-mata, sehinggakan mereka lupa
tujuan mereka dicipta dan tanggungjawab mereka kepada Allah s.w.t.. Justeru, lahirlah
pelbagai golongan di kalangan umat Islam yang ingin membezakan antara mereka
dan orang-orang yang mementingkan keduniaan.
Di antara golongan itu ialah ahli Sufi dan ahli Tasawuf
yang lebih dikenali umum sebagai golongan yang mencontohi perjalanan hidup
Rasul s.w.t. dan para sahabatnya dalam menuju ke jalan yang diredhai Allah S.W.T.
Mereka ini mengaku sebagai golongan yang
bertanggungjawab untuk menyambung perjalanan menuju Allah s.w.t. seperti yang
dipercontohkan oleh Rasul s.a.w. dan dijalani oleh keseluruhan para sahabatnya.
Mereka juga berpendapat bahawa perjalanan menuju Allah merupakan satu
perlayaran yang jauh dan penuh kesukaran yang perlu diharungi oleh setiap insan
yang taat kepada Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w..
Tabiat perjalanan yang penuh dengan kerumitan dan
pancaroba untuk menuju Allah adalah salah satu punca lahirnya Tarekat, dengan
pengertian yang lebih khusus seperti yang ditakrifkan oleh al-Jurjani:
الطريقة هي السيرة المختصة بالسالكين الى الله مع قطع المعازل. والترقي في
المقامات
Bermaksud:
Tarekat adalah perjalanan yang khusus bagi para salikin menuju Allah
dengan melalui beberapa peringkat dan menaiki beberapa maqam
Tarekat dalam erti perjalanan menuju Allah s.w.t. dengan
caranya yang lebih spesifik memerlukan penumpuan usaha yang lebih khusus. Usaha
ini diistilahkan dalam tasawuf dengan riyadhah dan mujahadah. Riyadhah
adalah latihan-latihan yang bertujuan menyucikan jiwa dari dosa yang telah
dilakukan dan juga menjadi pendinding dari melakukan perkara-perkara yang
dibenci oleh Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w.
Manakala Mujahadah pula ialah perjuangan untuk
menghiasi hati dengan sifat-sifat yang mulia dan mahmudah. Dari Mujahadah
inilah seseorang salik ke jalan
Allah s.w.t. itu akan dapat menghiaskan dirinya dengan sifat-sifat yang
dipanggil sebagai al-maqāmāt secara berperingkat-peringkat. Maqam
tersebut ialah seperti berikut:[10]
1.Iradah 2.Ikhlas 3.Taubah
4.Muqarabah 5.Taqwa 6.Warac 7.Zuhud
8.Sabar 9.Khawf 10.Raja’ 11.Syukur
12.Tawakal 13.Redha 14.Mahabbah 15.Yakin
16.Tama’ninah 17.Macrifat 18.Tawhid.
Mereka mengharungi jalan-jalan menuju Allah ini bukan
sahaja secara individu, akan tetapi secara jemaah atau kumpulan di bawah
bimbingan syeikh sufi. Pada kurun ketiga mereka ini mula dikenali dengan
kumpulan Tarekat. Seterusnya mereka terus berkembang terutama pada kurun
keenam dan ketujuh. Sejak itulah perkataan Tarekat lebih dikenali dan
difahami oleh umum sebagai kumpulan murid-murid yang menjalani perjalanan
menuju Allah (al-tariq ila Allah ) yang mengikut aliran-aliran tarekat
tertentu yang mu‘tabar di bawah panduan dan didikan seorang syeikh yang
mursyid.
1.3.2
Kedudukan Tarekat
Dalam Tasawuf
Apabila dilihat secara mendalam kepada takrif tasawuf, tarekat
merupakan satu wasilah atau jalan dalam kehidupan tasawuf yang pasti dilalui
oleh setiap mereka yang menjalani hidup sebagai seoarang sufi.
Dari sudut sejarah
pula, tarekat tidak dapat dipisahkan dari kehidupan seorang sufi. Ini merupakan
satu bukti yang begitu kukuh yang menunjukan bahawa tarekat adalah sebahagian
dari unsur asas dalam tasawuf.
1.3.3 Hubungan Tarekat
Dengan Syariat
Walau bagaimanapun ilmu tarekat atau tasawuf tidak boleh lari dari
landasan syariat, kerana syariatlah yang mengukur kesahihannya. Tanpa syariat
sudah pasti tarekat itu tidak benar bahkan sesat lagi menyesatkan. Ini
bertepatan dengan kata-kata al-Imam Malik yang berbunyi:
من تفقه ولم يتصوف فقد تفسق ومن تصوف ولم يتفقه فقد تزندق ومن جمع
بينهما فقد تحقق
Bermaksud:
Barang siapa yang bersyariat tetapi tidak bertasawuf sesungguhnya
dia telahpun fasiq, dan barang siapa yang bertasawuf tetapi tidak bersyariat
sesungguhnya dia telahpun zindiq, dan barang siapa yang bersyariat sekaligus
bertasawuf sesungguhnya dia telah mendapat hakikat yang sebenar (tawhid). [11]
Dari sini dapat kita simpulkan bahawa tasawuf mengandungi dua sudut iaitu tarekat
dan hakikat. Tarekat sebagai perjalanan menuju hakikat. Maka lazimnya perjalanan
itu memerlukan “jalan”, dan jalan itu haruslah yang berlandaskan syariat iaitu
al-Quran dan al-Sunnah.
2-
PENYELEWENGAN
DALAM TAREKAT
2.1
Faktor-faktor
Penyelewengan Dalam Tarekat
Sebagaimana bidang-bidang lain seperti politik dan lain-lain, ilmu tarekat
tasawuf tidak sunyi dan terkecuali daripada penyelewengan dan penyesatan. Islam
yang sedemikian jelas masih ingin diselewengkan dan disesatkan oleh musuh-musuh
Islam.
Jika dibuat perbandingan, bidang tasawuf adalah lebih
terdedah kepada penyesatan dan penyelewengan. Sejarah telah membuktikan bahawa tasawuf
sentiasa menjadi tumpuan para musuh Islam untuk menyesatkan dan menyelewengkan
kesucian aqidah dan syariat Islam.
Selain dari fakta
sejarah itu tadi, penyelewengan dan penyesatan yang berlaku dalam tarekat telah
diperakui oleh semua tokoh-tokoh sufi dan ulama-ulama terdahulu dan semasa.
Mereka sentiasa menasihati umat Islam agar berwaspada daripada terjebak ke
kancah kesesatan tarekat. Oleh kerana itulah para ulama bertungkus lumus
menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan penting dalam tasawuf agar ianya dapat
memberi penjelasan yang lengkap mengenai konsep tasawuf yang sebenar
sepertimana yang diajar dan diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan
sahabat-sahabatnya. [12]
Terdapat beberapa faktor yang membuatkan umat Islam
terpedaya dengan tarekat yang menyeleweng. Ianya adalah seperti berikut:[13]
a.
Kejahilan
masyarakat Islam terhadap hakikat agamanya lebih-lebih lagi dalam bidang tasawuf,
serta kurang keimanan dan keyakinan mereka kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Sebagai contoh, terdapat masyarakat Islam terutamanya di tanah air ini yang
mengaku dirinya ahli tarekat atau tasawuf, mengatakan bahawa sembahyang hanya cukup
dengan niat dan tidak perlu kepada perbuatan solat. Manakala dalam bab nikah,
berkahwin dengan guru tarekat akan melahirkan anak yang soleh dan banyak lagi
kepercayaan-kepercayaan yang bercanggah dengan fiqah dan syariat. Sepatutnya
kepercayaan seperti ini tidak wujud dalam masyarakat Islam jika mereka
mendalami ilmu fiqah dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan syariat.
b.
Sikap
tidak mahu menerima dan mengakui tasawuf sebagai satu bidang penting dalam
Islam oleh para intelek dan cerdik pandai Islam.
c.
Keghairahan
segelintir masyarakat Islam untuk mengetahui rahsia alam ghaib atau terlalu
ghairah untuk mendapat rahsia alam ghaib.
d.
Kekeramatan
atau mendapat sesuatu yang luar biasa boleh juga dianggap sebagai salah satu faktor
yang membuka pintu penyesatan dan penyelewengan tanpa menyedari tentang hakikat
keramat menurut pandangan tasawuf dan juga tanpa menyedari tentang kedudukan keramat
yang dianggap oleh ahli sufi tidak penting dalam tasawuf.
e.
Kelemahan
penguatkuasaan dalam menangani gejala ajaran sesat terutamanya tarekat pelampau.
Maka dengan kedudukan inilah semakin banyak golongan yang
bersungguh-sungguh mengaku bahawa diri mereka adalah yang termulia dari orang
lain sehinggakan ke peringkat kemuliaan Rasulullah s.a.w dan para sahabat.
Tabiat dan kedudukan tasawuf sedemikian ini menyebabkan tasawuf menjadi perlindungan
kepada golongan dajjālīn dan mulhidin untuk menjalankan kegiatan
penyesatan dan penyelewengan di kalangan umat Islam.
Oleh itu para ulama dari dulu hingga sekarang masih
berusaha untuk menyedarkan mereka ini dari kesesatan dengan pelbagai metodologi
dakwah mengikut perkembangan semasa. Jika hal ini tidak dibendung, ia akan
memberi kesan buruk yang amat besar buat umat Islam terutama sekali di masa
akan datang.
Sebelum dibincangkan metod dakwah yang sesuai untuk
golongan sesat ini, haruslah kita mengenali dahulu peringkat-peringkat
penyesatan dan penyelewengan di dalam tarekat.
2.2
Peringkat-peringkat
Penyelewengan
Di sana terdapat tiga peringkat penyelewengan di dalam tarekat tasawuf.
Ianya adalah seperti berikut:
1)
Penyelewengan
atau kesalahan dalam perkara yang asasi dan pokok yang berpunca dari ketidak
teguhan serta kejahilan mereka pada asas-asas syariat dan kurang kukuhnya
keimanan serta keikhlasan mereka dalam melakukan suruhan Allah dan RasulNya.
2)
Penyelewengan
atau kesalahan dalam perkara-perkara al-furuc al-muhimmah,
seperti adab, akhlak, konsep tawakal, maqam-maqam yang ditetapkan oleh Allah, ketentuan
Allah dalam menaikkan martabat makhlukNya dan sebagainya. Kesalahan ini
berpunca dari kejahilan mereka terhadap ilmu dan pengetahuan asas-asas agama
Islam sekaligus mereka ini bertindak mengikut hawa nafsu mereka yang
berlandaskan kejahilan.
3)
Kesalahan
yang berpunca dari kegelinciran dan kesilapan yang tidak disengajakan. Mereka
yang seperti ini akan segera tunduk kepada kebenaran dan sedia menebus dosa
mereka dengan penuh keinsafan.[14]
3-
METODOLOGI
DAKWAH KEPADA GOLONGAN TAREKAT MUTATARRIFAH
3.1
Metodologi
Dakwah Kepada Ahli Tarekat Mutatarrifah
Untuk mendakwah mereka ini agar kembali ke pangkal jalan bukanlah
satu perkara yang mudah. Ini kerana ketaasuban mereka kepada jemaah amatlah
kuat sekali. Jadi untuk berhadapan dengan golongan ini kita harus mempunyai
metod dan cara yang terbaik dan yang boleh meyakinkan mereka untuk kembali ke pangkal
jalan. Antara metod yang boleh direalisasikan dalam dakwah ini adalah seperti
berikut:
3.1.1
Berhujah dengan
dalil-dalil yang muctabar seperti berikut:[15]
1)
Al-Quran.
Di dalam al-Quran terkandung banyak ayat-ayat yang boleh mematahkan hujah dan
dalil-dalil yang digunakan oleh golongan tarekat pelampau.
2)
Al-Sunnah.
Di dalam sunnah terdapat banyak cara-cara dan dalil yang terbaik untuk
mematahkan hujah-hujah tarekat pelampau. Ini kerana mereka sudah pasti akan sedar
apabila mendapati apa yang mereka buat dan amalkan itu bukannya datang dari
sunnah Rasul s.a.w., bahkan ianya datang daripada musuh-musuh Islam yang
menjadikan tarekat tasawuf sebagai wasilah untuk menyesatkan umat Islam.
3)
Fakta-fakta
sejarah al-salaf al-salih.
Sejarah-sejarah para sahabat, tabicin dan
tabic-tabicin adalah salah satu hujah yang kuat untuk
menunjukkan apa yang mereka lakukan itu tidak pernah diamal oleh al-salaf
al-salih selaku orang yang paling dekat dengan zaman Rasulullah s.a.w.. Sekiranya
al-salaf al-salih tidak pernah beramal dengan tarekat-tarekat yang
melampau itu bagaimana pula dengan golongan yang terlalu jauh dari zaman Rasulullah
s.a.w. pada hari ini boleh menerima dan menganggapnya sebagai suatu amalan
Rasulullah s.a.w.? Maka, ini menjelaskan segala amalan yang diamalkan itu tidak
berasas dan tidak bersanad daripada amalan Rasulullah s.a.w. sama ada berbentuk
perbuatan ataupun percakapan Baginda s.a.w.. Justeru, amalan-amalan yang tidak
berasas ini haruslah ditolak.
4)
Fatwa-fatwa
para ulama dan fuqaha. Para fuqaha tidak akan melarang atau
menyuruh kepada sesuatu perkara kecuali perkara tersebut telah dikaji dan diselidik
dengan teliti. Jika para ulama telah mendapati ada sesetengah tarekat yang
menyeleweng, maka wajib bagi umat Islam menjauhinya.
3.1.2
Mengenali penyakit
dan penawar bagi golongan yang akan didakwah
Para ulama telah menetapkan dua perkara penting yang perlu dikenali
oleh seorang pendakwah sebelum masuk ke medan dakwah. Dua perkara itu ialah
penyakit dan ubatnya.
Penyakit : apa yang dimaksudkan dengan penyakit ialah, kejahilan
mereka dalam ilmu-ilmu agama seperti (syariat) fiqah dan akidah. Kejahilan
adalah punca yang paling bahaya, kerana dengannya akan berlakunya kerosakan dan
perpecahan di kalangan umat Islam.
Penawar : penawar bagi penyakit tersebut haruslah diketahui
dengan baik. Maka penawarnya tidak lain dan tidak bukan ialah ilmu yang berkaitan
dengan syariat dan akidah.
Penjelasan terhadap
kepentingan ilmu dan kebesaran darjatnya di sisi Allah s.w.t. kepada golongan ini amat penting. Firman
Allah dalam al-Quran:
Bermaksud:
Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu,
dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) -
beberapa darjat[16]
Ayat ini menunjukan bahawa Allah s.w.t. amat memuliakan
makhlukNya yang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Ini bermakna, sekadar beramal
dengan bermacam-macam tarekat secara al-taqlid al-acma tanpa
sebarang ilmu akan menyebabkan kesesatan dan penyelewengan dalam pengamalan tarekat
atau ilmu tasawuf.
3.1.3
Membersihkan
kefahaman mereka daripada segala syubuhat dan syirik
Sekiranya dilihat dengan teliti, apa yang berlaku terhadap golongan tarekat
yang menyeleweng ini adalah disebabkan keraguan-keraguan yang mereka hadapi
disebabkan kejahilan dalam ilmu syariat dan akidah. Oleh itu, segala syubahat
dan keraguan di dalam diri mereka harus dibersihkan.
Yang dimaksudkan dengan syubuhat ialah, segala
syakwasangka yang membuatkan seseorang itu payah untuk menerima hakikat
kenyataan atau melambatkan mereka itu menerimanya dengan sepenuh hati.[17]
Masalah seperti ini sudah lama berlaku di kalangan umat
manusia. Setiap Nabi diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk menghapuskan kesemua syubuhat
dan kesesatan yang ada pada umat manusia. Namun begitu, para Nabi dan Rasul
menjadi mangsa cemuhan dan kejian kerana usaha mereka dalam memerangi kebatilan
dan kejahilan.
Firman Allah s.w.t.:
Bermaksud:
Tidak ada seorang Rasul
pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang
berkata: "Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila[18].
Justeru, untuk menghadapi mereka yang fanatik terhadap tarekat
sesat, haruslah dibersihkan terlebih dahulu pemikiran-pemikiran yang menyeleweng
dengan hujah-hujah yang kuat agar ianya
menjadi penawar yang mujarab.
3.1.4
Al-Tarhgib
Wa al-Tarhib
Apa yang dimaksudkan dengan al-Targhib ialah meyakinkan
mereka yang sesat itu dengan hujah-hujah yang kukuh serta menarik perhatian
mereka dengan cara yang hikmah tanpa mencaci atau mengutuk mereka dengan
kata-kata kesat atau yang boleh menyinggung perasaan mereka sehinggakan mereka
menjauhkan diri daripada mendengar kebenaran.
Manakala al-Tarhib
pula bermaksud menakutkan mereka itu dengan amaran dan azab Allah s.w.t. kepada
mereka yang ingkar dengan suruhan dan laranganNya serta mereka yang menyeleweng
daripada hukum dan syariat Allah S.W.T.
Cara ini telah diamalkan oleh para Rasul sejak zaman
berzaman lagi. Para Rasul berdakwah menggunakan metod ini untuk memikat hati
orang-orang yang akan didakwahnya dengan harapan mereka itu dapat menerima
hukum dan ajaran Islam dengan sempurna tanpa ada penyelewengan.
Firman Allah S.W.T dalam menerangkan hal ini pada zaman Rasul s.w.t:
Bermaksud:
Kerana kebiasaan aman
tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah), (laitu) kebiasaan aman tenteram
perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman),
dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan
Yang Menguasai Rumah (Kaabah) ini, Tuhan Yang memberi mereka penghidupan:
menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan[19].
Ayat ini jelas
menunjukkan kepada kita bahawa Rasul S.A.W. telah diwahyukan dengan ayat ini
untuk dijadikan satu cara dan metod dakwah baginda kepada orang kafir Quraisy.
Ini adalah satu contoh al-Targhib dalam dakwah Rasul S.A.W..
3.1.5 al-Tarbiyyah Wa
al-Taclīm
Apa yang dimaksudkan dengan al-tarbiyyah wa al-taclīm
ialah mengajar dan mendidik mereka itu dengan ilmu-ilmu syariat dan akidah
secara terperinci. Cara ini akan membantu mereka kembali ke pangkal jalan dan
menyedari kesilapan mereka sekaligus menghapuskan kejahilan dan keraguan yang
mereka alami selama ini.[20]
Rasul s.a.w amat
meggalakkan para sahabatnya untuk menimba ilmu:
ومن سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة
Bermaksud:
Dan barangsiapa yang memasuki satu jalan untuk mencari ilmu, Allah
akan mudahkan untuknya jalan menuju ke Syurga.[21]
Baginda juga
mengarahkan agar ilmu yang dipelajari itu hendaklah di sampaikan kepada mereka
yang tidak mengetahuinya, walaupun jumlahnya hanyalah sepotong ayat:
بلغوا عني و لو آية
Bermaksud:
Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat.[22]
Hadis ini menjelaskan betapa perihatinnya Rasul s.a.w dalam
membimbing sahabat-sahabatnya yang jahil mengenai Islam. Ia juga menunjukkan
kepentingan dan keharusan pendakwah mendidik dan mengajar orang-orang yang baru
memeluk Islam dan juga mereka-mereka yang sesat dalam memahami agama mereka
sendiri.
Ilmu-ilmu yang perlu didahulukan dalam al-tarbiyyah wa al-taclim
Mengikut pengamatan penulis, berikut adalah ilmu-ilmu yang perlu
didahulukan dalam al-tarbiyyah wa al-taclim kepada golongan tasawuf
pelampau:
1)
Ilmu Aqidah
: Aqidah adalah ilmu yang paling penting dalam agama Islam. Kerana dengan aqidahlah
terdapat perbezaan yang jauh di antara mukmin dan kafir, dan dengan aqidah
jugalah yang membezakan antara mukmin yang berada di jalan yang benar dengan
mereka yang sesat.
Oleh kerana itu lah Rasul s.a.w. telah diajar oleh
Jibril agar mendahulukan dakwahnya dengan ilmu akidah iaitu mengucap dua
kalimah syahadah. Ini berdalilkan sabdanya semasa Jibril menanyakan soalan kepadanya
yang berbunyi:
عن عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ
عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ
شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لاَ يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ
وَلاَ يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم-
فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ
يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِى عَنِ الإِسْلاَمِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه
وسلم- « الإِسْلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا
رَسُولُ اللَّهِ وَتُقِيمَ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِىَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ
الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلاً. قَالَ صَدَقْتَ. قَالَ فَعَجِبْنَا
لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ. قَالَ فَأَخْبِرْنِى عَنِ الإِيمَانِ. قَالَ « أَنْ
تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ
بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ ». قَالَ صَدَقْتَ. قَالَ فَأَخْبِرْنِى عَنِ الإِحْسَانِ.
قَالَ « أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ
يَرَاكَ »
Bermaksud:
Daripada Umar ibn al-Khattab
r.a berkata, pada suatu hari telah datang seorang lelaki yang memakai baju
serba putih, rambutnya yang sungguh hitam dan teratur, tidak Nampak daripadanya
kesan seorang musafir, seorang dari kamipun tidak mengenalinya sehinggalah
beliau mendekati Rasulullah s.a.w kemudian beliau duduk dekat dengan Rasulluah
s.a.w dengan lutut berlaga lutut manakala tangannya pula diletakkan di atas peha
Nabi s.a.w dan seraya berkata: Wahai Muhammad, apakah yang dimaksudkan dengan
Islam? Bagindapun menjawab: Hendaklah kamu naik
saksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad
adalah pensuruh Allah, dan hendaklah kamu menunaikan solat, membayar zakat,
puasa di bulan Ramadhan dan menunaikan Haji ke Baitullah al-Haram bila kamu
mampu. Lelaki itupun berkata: benar kata kamu. Umar berkata: kami pelik!!dia
bertanya dan dia juga yang mengiakan!!Kemuadian orang itu bertanya lagi: apakah
itu Iman? Iman ialah beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitabnya,
rasul-rasulnya, hari kiamat dan beriman dengan kada’ kadar baik dan buruknya. Lelaki
itupun berkata: benar kata kamu. Apakah pula itu Ikhsan? Bagindan menjawab:
untuk mendapat ikhsan, kamu harus beribadah kepada Allah S.W.T seakan-akan kamu
nampak Allah, walau pun kamu tidak nampakNya sesunggunya Allah Nampak kamu. [23]
Daripada hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa
mendidik mereka yang jahil tentang agama atau sesat dalam agama haruslah
didahulukan dengan ilmu tauhid kepada Allah dan ittibac
kepada RasulNya. Kerana jika dilihat, kebanyakan golongan tarekat yang sesat
itu berpunca daripada jahilnya mereka tentang ilmu tauhid dan disamping itu
mereka lebih mempercayai khurafat-khurafat yang direka oleh guru-guru mereka,
seperti percaya bahawa dengan adanya tarekat,
maqamnya boleh sampai ke peringkat maqam Nabi s.a.w..
Ini semua berpunca daripada kecetekan ilmu mereka dalam
tauhid kepada Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w..
2)
Syariat (Fiqah)
: Selepas mereka diterapkan dengan ilmu akidah, mereka juga harus diajar
hukum-hukum fiqah. Ini kerana dengan adanya ilmu fiqah akan membantu mereka
mengamalkan suruhan dan larangan Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w. dengan sebaik
yang mungkin sepertimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Hal
ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w.:
من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
Bermaksud:
Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan untuknya, Allah akan
memberinya kefahaman tentang agama Islam.[24]
3)
Akhlak :
Ilmu yang berkaitan dengan akhlak Nabi s.a.w juga memainkan peranan penting dalam mendidik
golongan tarekat yang sesat itu. Ini kerana dengan pengetahuan mereka tentang
akhlak Rasulullah s.a.w akan lebih meyakinkan mereka tentang agama Islam yang sebenar
sekaligus membatalkan kesemua kesesatan yang mereka amalkan selama ini daripada
amalan tarekat al-mutatarrifah.
إنما بعثت لأتمم مكارم
الأخلاق
Bermaksud:
Sesungguhnya
aku telah diutuskan untuk melengkapkan kemuliaan
akhlak[25].
4)
Hadith dan
tafsir serta memahami ayat-ayat al-mutasyabihat yang terdapat di dalam
al-Quran: Ilmu ini juga amat penting untuk mengembalikan mereka ke pangkal
jalan. Kerana dengan menerangkan kepada mereka ayat-ayat al-mutasyabihat
akan lebih meyakinkan mereka bahawa apa yang mereka fahami sebelum ini adalah
salah dan batil. Sebagai contoh, sesetengah golongan tarekat yang sesat
berpendapat bahawa ayat yang berbunyi[26]:
ßt «!$# s-öqsù öNÍkÉ÷r& 4
Sesetengah ajaran sesat mentafsirkannya
seperti berikut:
“Kuasa
Allah itu diberikan kepada guru-guru mereka”
Maksudnya yang betul ialah:
Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu (Muhamad), sesungguhnya
mereka juga telah berjanji setia kepada Allah dan tangan Allah (keredhaan dan
rahmatNya) akan sentiasa berada bersama mereka yang beriman dengan Rasul s.a.w.[27]
Daripada tafsir yang diberikan oleh golongan sesat itu
tadi, jelas menunjukkan yang mereka ini langsung tidak memahami dan arif
tentang tafsir ayat-ayat al-mutasyabihat. Maka ia merupakan penyebab
mereka mudah ditipu.
5)
Fiqh
al-Sirah al-Nabawiyyah : Ilmu ini akan memantapkan lagi ilmu
pengetahuan seseorang itu tentang perjalanan hidup Nabi
dan sahabat Baginda. Di samping itu juga, mereka akan terdedah dengan hukum dan
hikmat yang terdapat di dalam Sirah Rasulullah s.a.w .Maka dengan adanya ilmu
ini dalam jiwa mereka, akan memudahkan mereka untuk membezakan antara kebenaran
dan kebatilan di dalam mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T.
3.1.6 Dakwah melalui seminar
dan ceramah
Dakwah dengan cara ini banyak digunakan di masa kini. Badan yang
akan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini ialah Jabatan Agama
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri.
Dengan cara ini, mereka
akan kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah S.W.T. Ini kerana
mereka dapat menghisab diri mereka hasil daripada pengajaran serta nasihat yang
bernas daripada penceramah-penceramah yang berwibawa dan berdidikasi. Nabi s.a.w.
adalah contoh tradisi yang tidak jemu didengar, di mana Baginda adalah seorang
pemidato dan penceramah yang hebat, dengan kata-katanya Baginda mampu menarik
orang-orang kafir ke dalam Islam di waktu itu. Maka dalam berdakwah kepada ahli
tarekat sesat, pendakwah perlulah mempunyai himpunan hujah dan dalil yang kukuh
di samping mempunyai gaya dan toleransi yang memikat.
Apa yang dimaksudkan dengan dakwah melalui penulisan ialah menjelas
serta membuat satu garis panduan kepada
masyarakat Islam mengenai syarat-syarat untuk mengamalkan tarekat serta
penjelasan mengenai ilmu tasauf yang dibenarkan oleh syarak.
Di samping itu juga, para ulama dan pemimpin harus menyebar dan
mengumumkan kesemua penyelewengan yang terdapat di dalam amalan tarekat samada
ianya berbentuk buku atau pun akhbar-akhbar dan sebagainya.
3.1.8
Dakwah
dengan menetapkan hukuman yang berat kepada mereka yang melakukan kesesatan
Badan kehakiman dan kerajaanlah yang akan memainkan peranan dalam
menetapkan satu hukuman yang berat
terhadap mereka yang menyeleweng dalam amalan dan ilmu agama. Penetapan hukuman
yang berat kepada mereka ini bertujuan untuk menakutkan-nakutkan umat Islam
daripada melakukan amalan-amalan sesat sepertimana yang banyak berlaku dalam amalan
tarekat. Ini juga termasuk di dalam hukuman al-taczir yang
boleh dilakukan oleh pemimpin atau imam sekiranya ia memberi maslahat
yang besar untuk masyarakat, sepertimana yang termaktub di dalam buku-buku fiqah.
4-
PENUTUP
Daripada kajian yang dibuat, dapat disimpulkan bahawa amalan tarekat
amat penting untuk mendidik diri seorang muslim. Dengannya jugalah seseorang itu
akan dapat menghayati dan mengenali erti mukmin yang sejati. Cuma untuk
menyelamatkan umat Islam daripada tertipu dengan dakyah-dakyah yang songsang
mengenai agama terutamanya dalam ilmu tarekat, aqidah dan syariat, para ulama
dan pemimpin harus mengambil berat tentang pendidikan asas-asas agama kepada generasi
muda di kalangan umat Islam.
Ini adalah
bertujuan untuk mencegah umat Islam daripada terjebak ke alam sufi yang
menyeleweng lagi menyesatkan. Di samping itu juga, mereka harus didedahkan
mengenai perbezaan yang berlaku di antara ilmu tasauf yang berlandaskan
al-Quran dan al-Sunnah atau sebaliknya, kerana dengan adanya pengetahuan
mengenai ilmu ini akan menyukarkan lagi berlakunya penyesatan di kalangan umat
Islam.
Bibliografi
1- Al-Quran
2- Jamaah min kibar al-Luhgawiyin.Mukjam
Arabi al-Asasiy.al-Munazamah al-
Arabiyyah.
3- Ibnu Idrus al-Qari.1999.Rahsia Alam Sufi.Jasmin
Enterprise.Kuala Lumpur.
4- Ibnu al-khldun.Abd rahman bin mohd.1959.Şifā
al-sā’il Li al-Thadhib al-Masail.al-
Maktabah
al-Khutalukiyyah.Beirut.
5- Sulaiman Yasin.1978.Tarekat Tasawuf:Satu
Pengenalan dan
Permasalahannya.UKM,Bangi.
6- al-Qasiy,Mohd Jamaluddin.1990.Mauizat
al-Mu’minin Syarah Ihya’Ulumuddin.
Dar al-Nafais.Jorden.
7- al-Syarqamiy.1976.al-Syaricah
Wa al- al-Haqiqah al-Hai’ah al-Āmmah li al-Kitab.
8- al-Tusiy.Abu Nasr al-Sarraj .TT. al-Lumac.Dar
al-Tawfiqiyyah Kaherah.
9- Zaidan,Abd Karim.2001.Usul al-Dakwah.Muassat
al-Risalah.Beirut.
10- Abadiy,Fairuz.1996.al-Qamus
al-Mukhit.Muassat al-Risalah,Beirut.
11- Ibnu
Hisham.Sirah Ibni Hisham.Dar al-Fikr Dimasq,
12-
Al-Asyqar,Mohd Sulaiman.1996.Zubdat al-Tafasir.Dar al-Muayyad,Dimasq.
13- Mustafa
Masyhur.1995.Min Fiqh al-Dakwah. Dar al-Tauzik Wa al-Nasyar al-
Islamiy,Dimasq.
14- JAKIM.Mengenal Ajaran Sesat Di Malaysia.
15- Harun.Abd Fatah.1985.Ajaran Sesat.DBP
Kuala Lumpur.
16- Al-Zuhaily.Wahbah.Tafser al-Munir.Dar
al-Fikr.Dimasq
17- Muslim ibn Hajjaj. 1994. Sohih
muslim. Bab ma’rifat al-iman wa al-islam.Beirut: Dar al-Khair.
19- ww.islamweb.net/ver2/Fatwa/ShowFatwa.php?Option=FatwaId&lang=A&Id=59757
20- Abdul Rahman
ibn Rajab. 1998. Lataif al-Maarif. Kaherah: Maktabah al-Tawfiqiyyah.
21- Al-Ghazali,
Muhammad ibn Muhammad. 2000. Ihya’ ulum al-din. Kaherah: Dar al-Tawzi’.
[1] Abd Fatah. 1985. Ajaran Sesat. DBP Kuala Lumpur. hlm v.
[2] Jamaah min kibar al-Luhgawiyin. Mukjam Arabi al-Asasiy. al-Munazamah
al-Arabiyyah. hlm 750.
[3] Ibnu Idris al-Qari. 1999. Rahsia Alam Sufi. Jasmin Enterprise. Kuala
Lumpur. hlm5.
[4] Al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 2000. Ihya’ ulum al-din.
Kaherah: Dar al-Tawzi’. hlm. 82.
[5] Ibnu al-khldun. Abd rahman bin mohd.1959. Şifā al-sā’il Li
al-Thadhib al-Masail. Beirut: al-Maktabah al-Khutalukiyyah. hlm. 221.
[6] Ibnu Idris al-Qari.1999.Rahsia Alam Sufi.Jasmin
Enterprise.Kuala Lumpur. hlm 5, 6.
[7] Sulaiman Yasin.1978.Tarekat Tasawuf: Satu Pengenalan dan
Permasalahannya.UKM, Bangi. hlm 19.
[8] Al-Quran.al-Ahqaf. (46):30.
[9] Al-Quran. al-Jin. (72):16.
[10]Al-Qasimy, Mohd Jamaluddin.1990. Mauizat al-Mu’minin Syarah
Ihya’Ulumuddin. Jorden: Dar al-Nafais. hlm 326.
[11] Al-Syarqamiy. 1976. al-Syaricah
Wa al- al-Haqiqah al-Hai’ah al-Āmmah. Beirut: Dar al-Kutb al-Ilmiyyah. hlm
85.
Perhatian: Kenyataan ini disandarkan kepada
al-Imam Malik oleh al-‘Adawi dalam Hasyiah ‘ala Syarh al-Zarqani. Ada pula yang
menyandarkannya kepada Ibrahim al-Dasuqi, seorang tokoh tasawuf. Sila lihat:
(http://www.islamweb.net/ver2/Fatwa/ShowFatwa.php?Option=FatwaId&lang=A&Id=59757)
[12] Abd Fatah Haron. 1985. Ajaran Sesat. Dewan Bahasa dan
Pustaka. Kuala Lumpur. hlm v.
[13] al-Tusiy, Abu Nasr al-Sarraj .tt. al-Lumac. Dar
al-Tawfiqiyyah Kaherah. hlm 512-555.
[14] Al-Tusiy. Abu Nasr al-Sarraj .tt. al-Lumac.
Kaherah: Dar al-Tawfiqiyyah. hlm 512-555.
[15] Zaidan, Abd Karim. 2001. Usul al-Dakwah.Muassat Beirut:
al-Risalah. hlm :413.
[16] Al-Quran.al-Mujadalah.(58):11
[17] Abadiy,Fairuz.1996. al-Qamus al-Mukhit. Beirut: Muassat
al-Risalah. hlm 1610
[18] al-Quran. al-Zariyyat.(51):52
[19] Al-Quran. al-Quraisy (106):1-4
[20] Zaidan, Abd Karim. 2001.Usul al-Dakwah. Beirut : Muassat
al-Risalah..hlm 442
[21] Sahih Muslim, No 2699.
[22] Sahih Sunan al-Tirmizi, No 2669.
[23]Muslim ibn Hajjaj. 1994. Sohih muslim. Bab ma’rifat al-iman
wa al-islam. Beirut: Dar al-Khair. Hadith sahih. Jil.1. hlm 114
[24] Sahih al-Bukahri, No 3116.
[25] Sohih. Abdurrahman ibn Rajab. 1998. Lataif al-Maarif. Kaherah: Maktabah al-Tawfiqiyyah. hlm. 246.
[26] Al-Quran.al-Fath. (48):10.
[27] Al-Asyqar, Mohd Sulaiman.1996. Zubdat al-Tafasir. Dar
al-Muayyad, Dimasq. hlm 679.
0 comments:
Post a Comment