RSS Feeds

Translate


6.12.2013

Ancaman keras ke atas penyebar Hadis Palsu

huruf pertama Cetak Halaman



Ancaman keras ke atas penyebar Hadis Palsu

Dr Fadlan bin Mohd Othman 
 Student Affairs Division

Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)


Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menurunkan al-Quran kepada hamba-hambaNya sebagai petunjuk sepanjang jalan untuk mereka di muka bumi ini menuju kepadaNya kembali di akhirat nanti. Al-Quran mengandungi segala sesuatu yang diperlukan oleh hamba-hamba Allah untuk menyelamatkan mereka di dunia dan di akhirat daripada segala bentuk kesengsaraan baik yang sementara mahupun yang kekal.

Di antara perkara utama yang ditekankan dan diarahkan oleh al-Quran ialah menjadikan Muhammad bin Abdullah, Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan kita di alam ini. Kepercayaan kita kepada al-Quran sebagai kitab petunjuk sejati tidak sempurna jika tidak disulami dengan kepercayaan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah wakil Allah Ta’ala kepada kita. Sebagai wakil Allah Ta’ala, bagindalah yang paling mengetahui kehendak Allah Ta’ala dalam al-Quran. Justeru apa sahaja kefahaman kita terhadap mana-mana sahaja ayat al-Quran tidak boleh diterima sekiranya tidak melalui pengesahan kefahaman Rasulullah s.a.w.

Di dalam satu riwayat, Ibnu Mas’ud telah berkata, “Allah melaknati pembuat tattoo, orang  yang meminta tattoo, orang yang mencabut bulu badan dan juga orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah.” Kenyataan ini telah sampai ke telinga seorang wanita daripada Bani Asad yang bernama Ummu Ya’qub lalu dia datang seraya berkata, “Saya dengar kamu melaknat sekian dan sekian!” Ibnu Mas’ud menjawab, “Apa salahnya saya melaknat orang yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dan juga yang terdapat dalam kitab Allah?” Wanita itu berkata, “Saya telah membaca keseluruhan al-Quran dan saya tidak menjumpai apa yang kamu sebutkan itu.” Ibnu Mas’ud menjawab, “Jikalau engkau benar-benar membacanya pasti engkau akan menjumpainya. Tidakkah engkau membaca (ayat 7 Surah al-Hasyr) yang bermaksud: “Dan apa yang dibawa oleh Rasul maka hendaklah kamu semua ambil dan apa yang ditegah olehnya maka hendaklah kamu tinggalkan?” Wanita itu menjawab, “Sudah tentu.” Ibnu Mas’ud berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menegah perbuatan itu.” (HR al-Bukhari, No. 4886).

Setelah diketahui bahawa tiada perbezaan dari sudut penghujahan antara ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w., perlulah diketahui bahawa al-Quran tidak dapat diselewengkan dengan sewenang-wenangnya dari sudut ‘thubut’ iaitu ketetapan. Ini berbeza dengan hadis yang tidak mengalami proses penulisan seperti al-Quran. Dengan itu, masih ada ruang bagi musuh-musuh Islam untuk membuat penyelewengan dalam hadis dengan memalsukan kenyataan-kenyataan dan menyandarkannya kepada Rasulullah s.a.w.

Walaupun begitu, Allah Ta’ala telah menjanjikan bahawa agamaNya akan kekal terpelihara. Kewujudan para ulama yang pakar dan mahir dengan selok-belok hadis dapat mengatasi kemelut pemalsuan ini. Dr Subhi al-Salih daalm kitabnya Ulum al-Hadis wa Mustalahuh telah menyatakan bahawa apabila al-Imam Abdullah bin al-Mubarak ditanya, “Bagaimana dengan hadis-hadis palsu?” Beliau menjawab, “Akan muncul pakar-pakar yang membanterasnya. Allah Ta’ala telah berfirman (dalam Surah al-Hijr ayat 9) yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan peringatan dan pasti Kami akan menjaganya.”

Secara umumnya membezakan lalu membanteras hadis palsu adalah satu-satunya jalan untuk menjaga kemurnian agama Islam daripada diselewengkan dari sudut ini. Semoga Allah Ta’ala memperbanyakkan individu muslim yang kritis dan cergas dalam mempertahankan agama Islam dengan mempertahankan hadis Rasulullah s.a.w.

Kerosakan sesuatu perkara hanya akan diketahui dengan tahap dosa yang dikaitkan dengannya. Di sini kita akan menyingkap tahap dosa yang dikaitkan dengan mereka yang menyebarkan hadis palsu. Dr. Syaraf Mahmud al-Qudhah dalam kitabnya al-Minhaj al-Hadis fi ‘Ulum al-Hadis halaman 183, telah mengkategorikan periwayatan hadis palsu ini kepada tiga bahagian seperti berikut:

Pertama, meriwayatkan hadis palsu secara sengaja. Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa hukum meriwayatkan hadis palsu adalah haram berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang menipu ke atasku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka.”  (HR al-Bukhari, No. 6197)

Kedua, meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja. Orang yang meriwayatkan hadis palsud secara tidak sengaja pula, dia dimaafkan dan tidak mendapat apa-apa dosa berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa.(HR Ibnu Majah, Kitab al-Thalaq, Bab Thalaq al-Mukrah wa al-Nasi, No. 2033. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibnu Majah No. 1675).

Ketiga, meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa. Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa pula, dia tidak dimaafkan dan tetap akan mendapat dosa menyebarkan hadis palsu walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui tentang kepalsuan hadis itu. Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut; pertama, Firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya.” Dalil kedua, hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Sesiapa yang meriwayatkan hadis daripadaku sedang ianya diketahui oleh para ulama sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu.” (HR Muslim dalam Muqaddimah Sahih Muslim). Dalil ketiga, hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Para qadhi terbahagi tiga golongan; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Qadhi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Qadhi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Qadhi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka.” (HR Abu Daud, Kitab al-Aqdiyah, Bab fi al-Qadi Yukhti’, No. 3573. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud No. 3573.)

Jelaslah bahawa ancaman dalam dalil-dalil ini amat keras, justeru hendaklah kita sebagai umat Islam berwaspada dalam penyampaian hadis. Telitilah terlebih dahulu hadis-hadis yang ingin disampaikan kepada masyarakat. Jika kita pernah menyampaikan hadis palsu, segeralah kita bertaubat. Bacalah doa ini, “Ya Allah, aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak. Tiada siapapun yang dapat mengampunkan dosa kecuali Engkau. Ampunkanlah dosaku dengan pengampunan dariMu dan rahmatilah daku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Setelah itu, janganlah diulangi kesilapan yang sama iaitu menyebar hadis palsu…

0 comments:

Related Posts with Thumbnails