Kehebatan Islam Terserlah Dengan Kepakaran Umat Yang Pelbagai
Dr Fadlan Mohd Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)
Sudah beberapa kali saya diajukan soalan yang menunjukkan
ketidakpuasan terhadap kemahiran dan kelebihan yang dikurniakan Allah Ta’ala kepada
seseorang hamba. Guru merasakan dia jauh daripada Allah Ta’ala kerana dia hanya
mengajar bahasa Inggeris atau ilmu Sains. Doktor tertekan dengan kepadatan
jadualnya lalu tiada masa untuk Allah dan agama. Bahkan, perempuan merasa tidak
senang kerana perlu memikul pelbagai kesusahan menguruskan anak-anak. Ini belum
lagi ditambah dengan tugas di pejabat yang menekan dan membebankan. Lalu saya
cuba meneliti situasi yang mungkin sampai ke tahap fenomena ini. Adakah benar
jurusan agama sahaja yang mendapat pahala? Atau adakah benar profesion yang
lain kurang pahala atau tiada pahala.
Setelah membuat pencarian dan penelitian, saya dapati di sana
terdapat dalil-dalil yang dapat merungkai permasalahan ini. Pertama sekali,
Nabi s.a.w. telahpun mengkhabarkan kepada kita bahawa tiada hasad kecuali pada
dua perkara iaitu harta yang diinfaqkan ke jalan yang diredai oleh Allah Ta’ala
dan ilmu yang dimanfaatkan oleh seseorang individu itu dan disebarkan kepada
orang ramai. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tiada
hasad kecuali pada dua perkara; seorang lelaki yang dikurniakan harta oleh
Allah, maka dia menggunakan harta itu untuk kebenaran. Kedua, seorang lelaki
yang dikurniakan hikmah oleh Allah, lalu dia memanfaatkannya dan mengajarnya.”
(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1409). Erti hasad dalam hadis ini ialah
mengharap dapat mencapai dua amalan murni tersebut.
Seterusnya, apabila kita melihat kepada kepakaran para sahabat r.a., kita akan dapati
kepakaran mereka adalah pelbagai dan berbeza. Dalam ilmu agama, terdapat hadis
yang menunjukkan perbezaan kepakaran mereka. Sabda Nabi s.a.w.: “Di
kalangan umatku, orang yang paling merahmati umatku ialah Abu Bakr. Orang yang
paling tegas melaksanakan urusan Allah ialah Umar. Orang yang paling pemalu dan
lemah lembut ialah Uthman. Orang yang paling mahir membaca kitab Allah ialah
Ubay bin Ka’b. Orang yang paling mahir perihal harta pusaka ialah Zaid bin
Thabit. Orang yang paling berilmu tentang halal dan haram ialah Muaz bin Jabal.
Ketahuilah bahawa setiap umat mempunyai pemegang amanah. Dan sesungguhnya
pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (Hadis
riwayat al-Tirmizi dan beliau menyatakan status hadis ini ialah Hasan Sahih).
Perhatikanlah
bagaimana Rasulullah s.a.w. mengiktiraf kepakaran sahabat-sahabatnya. Tiada
pula Nabi s.a.w. mengarahkan agar mereka menumpukan perhatian kepada satu
bidang keilmuan sahaja. Sebaliknya Rasulullah s.a.w. sentiasa melihat kepada
kepakaran para sahabatnya di dalam skop yang lebih besar. Selagimana kepakaran
itu dapat menyerlahkan kehebatan Islam, selagi itulah kepakaran itu akan
dimanfaatkan. Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w. sering melantik Khalid bin
al-Walid r.a. untuk mengepalai gerakan ketenteraan. Rasulullah s.a.w. tidak
mengenepikan Khalid r.a. semata-mata kerana kekurangan beliau dalam periwayatan
hadis jika dibandingkan dengan Abu Hurairah r.a. Setiap seorang perlu dihargai
kerana setiap seorang berperanan dalam menyerlahkan kehebatan Islam.
Di dalam sebuah hadis, ‘Aishah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling awal wafat dan menyusuliku
di kalangan kamu semua (iaitu isteri-isteri Baginda s.a.w.) ialah yang paling
panjang tangannya”. ‘Aishah berkata, ‘Lalu kami mengukur tangan kami.
Kemudian kami dapati Zainab yang paling panjang tangannya di antara kami kerana
dia menjahit baju dan bersedekah dengan hasil kerjanya itu.’ (Hadis riwayat
al-Imam Muslim, No. 2452). Di dalam mensyarah hadis ini, al-Imam al-Nawawi
mengatakan bahawa hadith ini jelas menunjukkan keistimewaan Zainab binti Jahsh
r.a. Ini kerana Zainab r.a. bekerja dan bersedekah daripada hasil jualan
jahitannya. Justeru, dapatlah kita fahami bahawa Rasulullah s.a.w. mengiktiraf
usaha murni Zainab r.a. dalam menyerlahkan kehebatan Islam melalui usahanya meringankan
beban fakir miskin.
Satu
lagi peristiwa yang menunjukkan bahawa kepakaran perlu dipelbagaikan demi menjaga kehebatan
Islam ialah hadis Zaib bin Thabit r.a. Di dalam satu riwayat, Zaib bin Thabit
berkata yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan saya untuk belajar
Bahasa Yahudi. Lalu saya pun belajar persuratan Yahudi. Baginda telah berkata:
“Demi Allah, aku tidak percaya dengan bangsa Yahudi dalam persuratanku”.
Maka saya pun mempelajarinya dan tidak sampai setengah bulan, saya telahpun
dapat menguasai bahasa Yahudi. Justeru, sayalah yang menulis surat Rasulullah
s.a.w. kepada orang-orang Yahudi dan membaca surat mereka kepada Baginda.”
(Hadis riwayat al-Imam Abu Daud, No. 3645 dan dinyatakan statusnya sebagai
Hasan Sahih oleh al-Albani). Hadis ini sewajarnya menjadi inspirasi dan
motivasi kepada mereka yang menceburi bidang linguistik agar berusaha sedaya
upaya sehingga dapat menguasai bahasa yang dipelajari. Bukankah dengan
mengetahui bahasa asing, ajaran Islam dapat disebar luaskan? Bukankah dengannya
juga dapat dikesan perancangan jahat musuh terhadap kelangsungan Islam?
Sebelum mengakhiri coretan ini, saya ingin membawa
kata-kata tuan guru kepada al-Imam al-Shafi’i rahimahullah, iaitulah al-Imam
Malik rahimahullah yang menjelaskan kepada kita sikap sebenar seorang muslim
terhadap kemahiran dan kecenderungan. Al-Imam Malik rahimahullah telah diajak
oleh seorang abid untuk mempergiatkan amalan salih dan meninggalkan pengajaran
ilmu, lalu beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah telah membahagikan amalan
sebagaimana Dia membahagikan rezeki. Justeru, mungkin seorang lelaki itu
dipermudahkan untuk solat tetapi tidak dipermudahkan untuk puasa. Seorang lagi
dipermudahkan untuk bersedekah tetapi tidak dipermudahkan untuk puasa. Seorang
yang lain pula dipermudahkan untuk berjihad. Maka menyebarkan amalan adalah di
antara amalan kebajikan yang terbaik. Saya reda dengan amalan ini yang telah
dipermudahkan untukku. Saya tidak merasakan apa yang saya buat ini kurang
daripada apa yang anda buat. Saya berharap kita berdua berada di atas landasan
kebaikan dan kebajikan.” (Dinukilkan oleh al-Zahabi dalam Siyar A’lam
al-Nubala’).
Begitulah sewajarnya pendirian kita terhadap
kecenderungan, kemahiran dan kerjaya. Janganlah kita mensia-siakan kepakaran
kita, sebaliknya salurkanlah kepakaran itu untuk mencapai kerjasama dalam
kebajikan dan ketaqwaan. Jika kita tidak mampu melakukan kebajikan, kita masih
lagi mampu untuk mengajar orang lain untuk melakukannya. Rasulullah s.a.w.
telah bersabda: “Sesungguhnya orang yang menunjukkan kepada kebaikan
adalah seperti orang yang melakukan kebaikan itu.” (Hadis riwayat
al-Tirmizi dan dinyatakan statusnya sebagai Hasan Sahih oleh al-Albani).Ingatlah
bahawa setiap kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas dan menepati garis panduan
agama pasti akan direkodkan oleh Allah Ta’ala sebagai amal salih. Begitu juga
sebaliknya. Kedua-dua ilmu fardu ain dan fardu kifayah wajar bergerak
seiringan. Allah Ta’ala berfirman dalam Surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8 yang
bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan
dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah,
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”
0 comments:
Post a Comment