RSS Feeds

Translate


6.12.2013

Solat Sebagai Asas Wasatiyyah

huruf pertama Cetak Halaman



Solat Sebagai Asas Wasatiyyah

Dr Fadlan Mohd Othman


Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)



Rasulullah s.a.w. dikurniakan Ibadah Solat semasa peristiwa al-Isra’ wal-Mi’raj. Khabar pengembaran di waktu malam dan pengangkatan ke tujuh petala langit sudah cukup untuk menyerlahkan hikmah pensyariatan Solat. Solat adalah satu-satunya ibadah yang difardukan di atas langit. Tiada sebarang syak bahawa Solat adalah ibadah paling utama dalam Islam. Solat membezakan antara keimanan dan kekufuran. Rasulullah s.a.w. telahpun menegaskan perkara ini dengan hadithnya yang bermaksud: “Perbezaan antara kita dan mereka ialah Solat; maka siapa yang meninggalkannya sesungguhnya dia kafir.” (Hadith riwayat al-Imam al-Tirmizi, No. 2545. Al-Tirmizi menyatakan status hadith ini sebagai Hasan Sahih Gharib).

Menghubungkaitkan perbincangan dengan ciri Wasatiyyah, kita dapat memahami bahawa Solat adalah asas utama Wasatiyyah. Rasulullah s.a.w. yang merupakan ikutan dan inspirasi gagasan Wasatiyyah dilihat sebagai insan yang amat mementingkan solat. Bahkan Baginda s.a.w. memberitahu para sahabatnya bahawa ketenangan dirinya dapat dikecapi melalui pelaksanaan Solat. Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: “Dan dijadikan penyejuk mataku di dalam Solat.” (Hadith riwayat al-Imam al-Nasa’i, No. 3950. Al-Albani menyatakan status hadith ini sebagai Sahih). Tidak kira sihat mahupun sakit, bermukim mahupun mengembara, Solat tetap menjadi keutamaan Baginda s.a.w.

Begitulah istimewanya Solat pada jiwa Rasulullah s.a.w. Justeru, sebagai umatnya, kita wajar berusaha sedaya upaya mengikuti jejak langkah Baginda s.a.w. khususnya berkenaan dengan Solat. Kita harus memberi perhatian terhadap firman Allah Ta’ala dalam Surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud: “Katakanlah, ‘Inilah jalan agamaku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik’.” Di dalam mentafsirkan ayat ini, al-Imam al-Syaukani telah berkata, “Ayat ini menjadi dalil bahawa semua orang yang mengikuti Rasulullah s.a.w., adalah wajib baginya untuk meneladani Baginda s.a.w. dalam berdakwah kepada Allah iaitu dengan mengajak kepada keimanan terhadap Allah dan mentauhidkan Allah serta melaksanakan apa yang disyariatkan oleh Allah ke atas hamba-hambaNya.” (Lihat Fathul Qadir, cetakan Dar Ibn Hazm, halaman 873).

Menyentuh kembali perihal Solat, kita dapati Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan agar umatnya melaksanakan Solat berdasarkan praktikal Solat Baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Solatlah sebagaimana kamu telah melihat aku solat.” (Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 631). Praktikal Solat Rasulullah s.a.w. telahpun dihimpunkan oleh para ulama dengan menekankan hadith-hadith yang sahih. Praktikal Solat Rasulullah s.a.w. adalah satu perbincangan yang memerlukan kursus khas dan tidak dapat dicatat dalam tulisan ini. Namun begitu, amatlah penting untuk diingatkan bahawa hujjah yang nyata menjadi dasar  utama dalam usaha kita mengenali, memahami dan melaksanakan praktikal Solat Rasulullah s.a.w.

Allah Ta’ala menjelaskan kepada kita betapa Solat berperanan besar dalam kesejahteraan peradaban manusia. Insan mukmin yang benar-benar melaksanakan solat pasti akan terhindar daripada perbuatan keji dan mungkar. Allah Ta’ala berfirman dalam Surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: “Dan dirikanlah Solat, sesungguhnya Solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.” Namun, persoalan yang timbul, mengapakah masih wujud orang Islam yang solat tetapi tetap melakukan perbuatan keji dan mungkar? Jawapan bagi persoalan ini telahpun dijawab oleh Rasulullah s.a.w. dalam beberapa hadith Baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang muslimpun yang apabila masuk waktu solat fardu lalu dia menyempurnakan wuduk, khusyuk dan rukuk solat itu kecuali semua itu menjadi penghapus dosa-dosanya yang lalu selain dosa besar.” (Hadith riwayat al-Imam Muslim, No. 228). Perhatikanlah bagaimana Solat membuahkan hasilnya apabila dilakukan dengan penuh tertib dan penghayatan, atau dengan bahawa lain; Tama’ninah yang merupakan ciri luaran dan Khusyuk yang merupakan ciri dalaman. Justeru, tanpa kedua-dua ciri luaran dan dalaman ini tidak mustahillah jika seorang muslim itu dilihat tegar dalam melakukan perbuatan keji dan mungkar, walaupun dia solat. Keadaan ini telahpun digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat dariapda puasanya kecuali kelaparan. Boleh jadi juga orang yang bangun solat itu tidak mendapat daripada bangunnya itu kecuali letih berjaga.” (Hadith riwayat al-Imam Ibnu Majah, No. 1380. Al-Albani menyatakan status hadith ini sebagai Hasan Sahih).

Dengan penjelasan serba ringkas ini, kita telahpun dapat melihat bagaimana praktikal Solat itu akan ketandusan dan kekeringan jika tidak disirami dengan kefahaman dan penghayatan. Setiap patah perkataan yang dituturkan dalam Solat sepatutnya difahami oleh sang muslim yang sedang bersolat. Sebagai langkah permulaan, kita perlu sedar bahawa kita mendapat perhatian Allah Ta’ala seawal bacaan al-Fatihah di dalam Solat. Perhatikanlah hadith berikut dengan penuh fokus:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah Ta‘ala telah berfirman: “Aku telah membahagikan solat kepada dua bahagian antaraKu dan hambaKu. HambaKu akan dapat apa yang dia minta.” Jika hamba itu berkata, ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam’, Allah Ta‘ala menjawab: “HambaKu telah memujiKu.” Jika hamba itu berkata, ‘Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’, Allah Ta‘ala menjawab: “HambaKu telah menyanjungiKu.” Jika hamba itu berkata, ‘Yang menguasai hari pembalasan’, Allah Ta‘ala menjawab: “HambaKu telah mengagungiKu.” (dalam satu riwayat) “HambaKu telah menyerahkan urusannya kepadaKu.” Jika hamba itu berkata, ‘Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan’, Allah Ta‘ala menjawab: “Ini adalah antaraKu dan hambaKu. Hambaku akan dapat apa yang dia minta.” Jika hamba itu berkata, ‘Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan jalan mereka yang dimurkai (Yahudi), dan bukan pula jalan mereka yang sesat (Nasrani)’, Allah Ta‘ala menjawab: “Ini adalah untuk hambaKu dan hambaKu akan dapat apa yang dia minta.” (Hadith riwayat Muslim, No. 598).

Semoga hadith ini memberi inspirasi dan motivasi kepada kita untuk meneruskan usaha penghayatan Solat. Begitulah keistimewaan Umat Islam yang bersifat Wasatiyyah; kedua-dua aspek fizikal dan kerohanian sentiasa dilakukan secara beriringan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails