PERSEPSI DAN PENGHUJAHAN ISLAM LIBERAL TERHADAP
KEDUDUKAN AL-HADITH[1]
Dr Fadlan Mohd. Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)
Latifah
Abdul Majid[6], ,
Aizuddin Hakim Mohd Yusof
&
Siti Yuhanaza
Hasbullah
ABSTRAK
Islam Liberal
mempunyai pandangan dan persepsi tersendiri terhadap al-Quran dan Hadith dalam
penghujahan. Penulisan tentang penghujahan Islam Liberal terhadap al-Quran
telah banyak dilakukan oleh ilmuan, namun aspek penghujahan Hadith masih kurang
diperkatakan. Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan menganalisis pandangan dan
penghujahan golongan Islam Liberal tehadap Hadith. Kajian ini menggunakan
pendekatan analisis dokumen setelah data dikumpulkan daripada kajian
kepustakaan. Dapatan kajian menunjukkan pegangan Golongan Islam Liberal
bertentangan dengan Ahli al-Sunnah; pertama, Baginda s.a.w. adalah seorang
tokoh sejarah yang mempunyai banyak kekurangan. Kedua, hadith Rasulullah s.a.w.
tidak sesuai dengan masyarakat semasa dan hanya sesuai untuk masyarakat Arab
zamannya sahaja.
Pendahuluan
Pemikiran Islam sebagai sebuah realiti bersifat
dinamik. Ia bermaksud, pemikiran sentiasa tumbuh dan berkembang sejajar dengan
perkembangan manusia dan zaman. Hal ini adalah sebahagian dari fitrah. Ini
kerana pemikiran Islam ialah sebuah jelmaan dari proses tindakbalas akal insan
Muslim terhadap pelbagai bentuk cabaran persekitarannya yang sentiasa mengisi
ruang kehidupan yang sentiasa berubah. Dalam ertikata lain, dinamika pemikiran
Islam terjadi kerana tindak balas berterusannya terhadap realiti perubahan yang
merupakan unsur terpenting dalam realiti alam dan kehidupan.
Tindakbalas akal insan Muslim
terhadap perubahan yang terjadi disekeliling
mereka terjadi dalam kadar yang berbeza-beza. Peningkatan kadar tindakbalas
ini boleh dibahagikan kepada tahap rendah, sederhana dan tinggi atau sempit,
sederhana dan luas. Tingkatan kadar tindakbalas ini berbeza tahapnya kerana ia
diukur dari jauh dan dekatnya pemikiran yang terhasil dari tindakbalas tersebut
dari asas-asas pemikiran yang bercorak tradisi yang telah disepakati oleh
kebanyakan kalangan dari masyarakat Islam.
Berasaskan kerangka kefahaman ini, kita akan menemui beberapa ‘label’ di
dalam diskusi pemikiran Islam yang berfungsi sebagai petunjuk tentang kepelbagaian
kadar tindakbalas pemikiran umat Islam terhadap pelbagai persoalan di dalam
kehidupan dan zamannya.
Dalam menilai tahap kualiti
sesuatu pemikiran, diskusi semasa hari ini sering merujuk pemikiran bercorak
tradisi sebagai pemikiran yang amat menekankan unsur-unsur yang bersifat klasik
dan semangat konservatif dalam pemikiran Islam. Pemikiran bercorak reform, moden
dalam Islam pula menekankan aspek perubahan dan pembaharuan terhadap
unsur-unsur tradisional tetapi dalam kadar yang sederhana dan terkawal.
Manakala pemikiran bercorak liberal juga mengandungi penekanan terhadap
terhadap aspek perubahan dan pembaharuan tetapi kadarnya dilihat bersifat
radikal atau revolusi terhadap unsur-unsur tradisional dalam pemikiran Islam.
Tindakbalas pemikiran Islam
terhadap persoalan kehidupan meliputi pelbagai aspek ketamadunan manusia
sejajar dengan kafahaman makna Islam sebagai satu yang bersifat ‘civilizational
force’ atau pendorong kehidupan bertamadun. Oleh kerana itu, kita akan
menemui pelbagai tema dan isu yang dibincangkan oleh pelbagai tokoh dan sarjana
sepanjang sejarah pemikiran Islam. Kepelbagaian tindakbalas atau reaksi
pemikiran yang disumbangkan oleh para sarjana Muslim ini dengan perbezaan kadar
penekanannya menjadikan pemikiran Islam bersifat dinamik dan rencam.
Rentetan daripada peredaran
dan peningkatan inilah wujudnya reaksi dan pemikiran dari pelbagai sudut dan
pandangan yang mahu mencari kebenaran dalam memahami agama yang mahu
disesuaikan mengikut keadaan masa dan peredaran zaman. Jika kita merujuk dalam
pepatah para ulama, ada dinyatakan. “al-hukm ‛ala al-shay’ far’ ‛an tasawwurih”
yang membawa erti “Menghukum sesuatu adalah cabang daripada mengetahui
tentangnya’. Justeru, sebagai pendahuluan ringkas, amatlah penting kita melihat
apakah yang dimaksudkan dengan Islam liberal. Dengan merujuk kepada lama
sesawang yang mendokong aliran Islam liberal, dapatlah dinulilkan bahawa erti
Islam Liberal menurut penyokong ialah seperti berikut:
Nama Islam Liberal
mengambarkab prinsip-prinsip yang kami anuti, iaitu Islam yang menekankan
kebebasan pribadi dan pembebasan dari stuktur sosial politik yang menindas.
Liberal disini membawa dua maksud, iaitu kebebasan dan pembebasan. Kami percaya
bahawa Islam selalu ditempel dengan kata dan sifat, sebab pada hakikatnya Islam
ditafsirkan secara berbeza-beza sesuai dengan keinginan penafsirnya. Kami
memilih satu jenis tafsiran dan dengan demikian satu kata sifat diberikan
terhadap Islam iaitu Liberal[8].
Natijah dari penjelasan diatas,
maka lahirlah penjelasan yang perlu kita nyatakan bahawa pada hakikatnya
pemikiran Islam liberal bukan pemikiran Islam yang sebenarnya, malah lebih
tepat untuk dikatakan bahawa pemikiran Islam liberal adalah pemikiran liberal
yang ditujukan kepada Islam. Oleh itu tidak patut nama pemikiran Islam itu
disandarkan padanya. Namun sebagai bahan perbincangan kita, tidak ada salahnya
kita gunakan juga frasa ‘pemikiran Islam liberal’ untuk memudahkan wacana dan
syarahnya. Sama seperti al-Qur’an menggunakan perkataan ‘tuhan’ secara kiasan
(majazi) untuk sesuatu yang disembah oleh kaum musyrikin, padahal al-Qur’an
pada masa yang sama menyatakan bahawa ‘tidak ada tuhan melainkan Allah’.
Bagaimanapun, wajah pemikiran
Islam liberal yang sedang dikembangkan pada masa kini nampaknya lebih radikal
dari pemikiran modenisme Islam. Justeru, idea-idea kontroversi dalam
perkara-perkara asas Islam sengaja dilontarkan ke khalayak masyarakat Islam. seterusnya
ia amat jelas daripada apa yang terpapar bahawa Islam Liberal merupakan aliran
fahaman terhadap agama Islam yang tidak tertakluk kepada kefahaman mana-mana
ulama muktabar Islam bermula daripada zaman Rasulullah SAW hinggalah ke zaman
ini. Di dalam makalah yang terhad ini penulis akan membincangkan tentang
perspesi dan penghujahan Islam Liberal terhadap kediduak al-Hadith serta
persepsi Islam Liberal terhadap kedudukan al-Sunnah, terhadap Rasulullah dan
terhadap hadith-hadith Rasulullah SAW.
Mengenali Islam Liberal
Untuk meneruskan perbincangan
ini, kita sama-sama mengenali dan
memahami Islam Liberal adalah menjadi yang aspek utama untuk memahami
istilah Islam Liberal tersebut, antara istilah “Islam Liberal” pertama kali
digunakan oleh para penulis Barat seperti Leonard Binder dan Charles Kurzman. Binder menggunakan istilah ‘Islamic
Liberalism’, sementara Kurzman memakai istilah ‘Liberal Islam’. Secara tersirat
kedua-duanya mempercayai bahawa Islam itu banyak; ‘Islam Liberal’ adalah salah
satunya. Namun sebelum kita melanjutkan perbincangan ini, pertamanya kita mesti
nyatakan dahulu bahawa Islam itu satu dan tidak banyak. Yang nampak banyak
sebenarnya adalah ‘mazhab’ dalam Islam, bukan Islam itu sendiri. Jadi istilah
‘Islam Liberal’ yang kita maksudkan disini adalah “Pemikiran Islam Liberal”
yang merupakan satu aliran berfikir baru dikalangan umat Islam[9].
Kemudian perkara yang kedua
yang kita perlu jelaskan juga adalah, pemikiran Islam liberal ini tidak
termasuk dalam mazhab Islam. Mengapa? Kerana mazhab-mazhab dalam Islam tetap
merujuk pada induk yang sama, yang disepakati, yang satu, yang mapan, yang
dipersetujui oleh seluruh umat Islam dari dahulu sehingga kini, di berbagai
negeri dan lokaliti. Adapun pemikiran Islam liberal, ia adalah suatu pemikiran
yang berupaya membebaskan dan ‘meliberalkan’ umat Islam dari Islam yang satu,
yang disepakati, dan Islam yang sudah mapan (established) itu. Secara
ringkasnya pemikiran Islam liberal tidak dapat dikatakan sebagai mazhab Islam
kerana pemikiran ini bertujuan ‘meliberalkan’ dan merongkai takrif Islam yang
telah dipersetujui oleh seluruh umat Islam tadi.
Persepsi Islam Liberal Terhadap Kedudukan
al-Sunnah
Aliran Islam Liberal yang lebih senang dipanggil
jaringan Islam Liberal, mempunyai pendirian sendiri berkaitan kedudukan Sunnah
Rasullullah SAW. Inilah yang terhasil daripada pendirian mereka terhadap
empunya sunnah itu sendiri iaitu Rasulullah SAW. Justeru itu bagi pemikiran
aliran Islam Liberal ini dapat terdapat dalam pelbagai peringkat tetapi dalam
makalah ini, penulis mengklasifikasikan pebincangan ini kepada dua iaitu;
persepsi terhadap keperibadian Rasulullah SAW dan persepi terhadap
hadith-hadith Rasulullah SAW.
i.
Persepsi Islam Liberal terhadap Rasulullah SAW.
Persepsi aliran Islam Liberal
terhadap keperibadian Rasulullah SAW iaitu
sifat Nubuwah yang dimiliki oleh Rasulullah SAW tidak lain hanyalah
kemampuan seorang manusia untuk memimpin manusia yang lain (leadership
values). Oleh itu siapa sahaja yang boleh memimpin boleh mengambil alih
sifat nubuwah seumpama Rasulullah SAW dalam memimpin manusia ke arah ciri-ciri
yang baik. Demikian dakwa aliran Islam Liberal[10].
Namun begitu dalam persepsi islam Liberal dapatlah dirumuskan bahawa baginda
hanyalah manusia biasa; sila dan benar, dipuji dan dikritik.
Ulil Abshar telah berkata:
Bagaimana meletakkan
kedudukan Rasul Muhammad SAW dalam konteks pemikiran semacam ini? Menurut saya,
Rasul Muhammad SAW adalah tokoh historis yang harus dikaji dengan kritis,
(sehingga tidak hanya menjadi mitos yang dirangkumi saja, tanpa memandang
aspek-aspek beliau sebagai manusia yang juga banyak kekurangan), sekaligus
panutan yang harus diikuti (Qudwah Hasanah)[11].
Rasulullah SAW lanjut
aliran Islam Liberal hanyalah manusia biasa yang lazimnya berbuat silap dan
benar. Namun umat Islam selama ini berpura-pura bahawa baginda adalah manusia
yang sempurna, sehingga mereka juga. Selain daripada menyembah teks al-Qur’an
dan juga menyembah Nabi sebelumnya. Yang benar peribadi Rasulullah SAW tidak
lebih hanyalah sebagai manusia biasa yang boleh dipuji dan dikritik. Justeru
umat dituntut bersikap kritis untuk menimbang kelebihan dan kekurangan baginda.
Oleh kerana itulah kita dapati
tokoh-tokoh aliran Islam Liberal termasuk di Malaysia tidak segan-segan untuk
mengkritik Rasulullah SAW. Di antara mereka ada yang menuduh baginda bernafsu
seks yang kuat dan memiliki banyak perempuan simpanan (gundik). Ada juga yang
menuduh baginda bukanlah pemimpin negara Islam tetapi hanyalah sekadar pegawai
daerah (DO – District officer) semata-mata.
Adapun sunnah-sunnah
Rasulullah SAW, maka tanpa ragu aliran Islam Liberal berpendapat ia hanya
releven untuk masyarakat arab zaman baginda, ketinggalan untuk dipraktikkan
pada zaman kini. Justeru aliran Islam Liberal memandang orang yang berjanggut,
bersiwak, memakai serban, jubah dan sebagainya sebagai orang yang ketinggalan
zaman lagi tertutup mindanya. Apabila minda mereka tertutup, sudah tentu
tertutup juga pintu-pintu kejayaan sehingga bila-bila.
Merujuk kepada beberapa
peristiwa kemukjizatan Rasulullah SAW aliran Islam Liberal berpendapat ia hanya
kisah-kisah yang direka cipta dan dibesar-besarkan (exaggeration) oleh
orang-orang selepas kewafatan baginda. Contohnya ialah peristiwa Isra’ dan
Mikraj, ia hanyalah mimpi Rasulullah SAW yang dibenarkan ke alam realiti oleh
orang-orang yang taksub terhadap baginda.
Begitu pendirian salah seorang
pendokong aliran Islam Liberal yang jelas meletakkan Rasulullah SAW hanya
sebagai seorang tokoh sejarah yang mempunyai banyak kekurangan. Menurut ahli
Sunnah wa al-Jama‘ah, Rasulullah SAW adalah sentiasa ma‘sum iaitu dipelihara
oleh Allah SWT. Justeru ketaatan terhadap Rasulullah SAW adalah sesuatu yang
tidak berkondisi. Al-Imam al-shafi‘i telah berkata[12]:
Maka Allah telah
memberitahu kepada manusia dalam ayat ini bahawa apabila mereka diseru kepada
Rasulullah SAW agar baginda menghukum diantara mereka, pada hakikatnya ia
adalah seruan kepada hukum Allah. Ini kerana orang yang menghukum di antara mereka
adalah Rasulullah SAW, dan jika mereka menerima hukumm Nabi SAW maka sebenarnya
mereka menerimanya dengan penetapan Allah dan pemberitahuan Allah bahawa hukum
Nabi juga berdasarkan Ilmu Allah SWT berkenaan kesejahteraan baginda dengan
perlindungan Allah dan TaufiqNya. Allah juga memperakui bahawa Nabi mendapat
hidayat dan mengikuti perintah Allah. Justeru, Allah menekankan penetapanNya
dengan memerintahkan hamba-hambanya agar mentaati rasulnya, bahawa ia adalah
ketaatan kepadaNya jua...[13].
Jelaslah pada ayat yang telah
difirmankan oleh Allah itu, dapatlah kita fahami bahawa kewajipan mentaati
Rasulullah SAW terpelihara daripada kesilapan dalam penyampaian agama Islam.
ii.
Persepsi Islam Liberal terhadap Sunnah Rasulullah
SAW.
Aliran Islam Liberal memiliki beberapa persepsi terhadap
hadis-hadis Rasulullah SAW, sekalipun yang termuat di dalam kitab Shahih
al-Bukhari dan Shahih Muslim. Antaranya:
- Hadis-hadis tersebut tidak berasal daripada Rasulullah SAW melainkan hanya ciptaan orang-orang yang ingin menjaga dan memanfaatkan kepentingan diri mereka.
- Hadis-hadis yang benar hanyalah yang bersifat mutawatir manakala hadis ahad bersifat samar-samar dan tidak menjadi tuntutan ke atas umat untuk berpegang kepadanya.
- Hadis-hadis yang mutawatir sekalipun, kebenarannya hanya dalam konteks kehidupan masyarakat Arab pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Ia tidak lagi releven untuk zaman kini kecuali sebagai kajian sejarah peradaban pada zaman baginda.
- Hadis-hadis tentang azab kubur, suasana hari akhirat (Padang Masyar, Titian Sirat, Pengadilan dsbgnya), Isra’ dan Mikraj, Dajjal, Penurunan Nabi Isa, fitnah-fitnah akhir zaman dan sebagainya hanyalah cerita rekaan para perawi hadis untuk memberi pengaruh kepada orang ramai pada zaman mereka. Sekalipun hadis-hadis ini tercatit di dalam kitab-kitab hadis sahih, pada hakikatnya ia hanyalah cerita-cerita tahayul semata-mata.
- Kesilapan paling besar yang dilakukan oleh para imam hadis adalah mereka hanya memberi tumpuan kepada para perawi hadis dan tidak kepada matan hadis. Seandainya mereka memerhati dan memberi kritik ke atas matan hadis, nescaya cerita-cerita tahayul sepertimana di atas tidak akan mereka masukkan dalam kitab-kitab mereka.
Demikianlah beberapa persepsi aliran Islam Liberal ke atas hadis-hadis dan
para imam yang meriwayatkannya. Persepsi aliran Islam Liberal terhadap sunnah
Rasulullah SAW dapatlah dirumuskan bahawa ianya masih boleh dipertikaikan dan
tidak sesuai untuk setiap zaman, justeru tidak semestinya menjadi pegangan umat
Islam. Dari perbincangan ini dapatlah
ditinjau daripada aspek-aspek berikut:
a. Ajaran Rasulullah
hanya untuk konteks masyarakat Arab.
Ulil Abshar telah berkata:
Rasul memang berhasil
menerjemahkan cita-cita
sosial dan spiritual Islam di Madinah, tetapi Islam sebagaimana diwujudkan
disana adalah islam historis, parttikular, dan kontekstual. Kita tidak
diwajibkan mengikuti Rasul secara harfiah, sebab apa yang dilakukan olehnya di
Madinah adalah upaya menegosiasikan antara nilai-nilai unversal Islam dengan
situasi sosial disana dengan seluruh kendala yang ada[14].
Dr Mustafa al-Siba‘i[15]
menegaskan bahawa kefahaman sebenar berkenaan ketaatan terhadap Rasulullah SAW
ialah ianya wajib ke atas para Sahabat r.a semasa hayat baginda dan juga wajib
keatas semua generasi yang mendatang. Ini kerana nas-nas yang mewajibkan
ketaatan terhadap Rasulullah SAW adalah bersifat umum dan tidak dikhususkan
pada tempoh hidup baginda.
b. Wahyu masih lagi
berterusan, iaitu dalam bentuk akal manusia yang berijtihad.
Aliran Islam Liberal membahagi wahyu kepada dua
ketagori: wahyu bertulis dan wahyu tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah
al-Qur’an dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal
manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Qur’an berdasarkan
tujuan, konteks dan suasana zaman. Maka dengan itu al-Qur’an adalah sesuatu
yang hanya bersifat menerangkan tujuan-tujuan agama manakala akal manusialah
yang menyesuaikannya selari dengan konteks zaman.
Sebagai contoh, terhadap firman Allah SWT:
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan
yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan
dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman
pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana[16].
Tujuan yang sebenarnya dituntut oleh al-Qur’an adalah
menjatuhkan hukuman kepada pencuri. Bentuk hukuman boleh berubah-ubah selari
dengan peradaban manusia. Di zaman Rasulullah SAW, bentuk hukuman adalah
memotong tangan. Namun pada zaman kini bentuk hukuman boleh berubah kepada
hukuman penjara selari dengan peradaban manusia.
Demikian persepsi ‘membuka dan
membebaskan’ tafsiran al-Qur’an yang dipegang oleh aliran Islam Liberal atas
alasan untuk memajukan umat Islam. Persepsi ini juga mereka guna pakai terhadap semua
hukum-hukum al-Qur’an termasuk perkara ibadah, sehingga apa yang dipraktikkan
pada zaman Rasulullah SAW tidak semestinya dipraktikkan dalam bentuk yang sama
pada zaman kini. Terhadap umat Islam seluruhnya yang tetap beristiqamah kepada
ayat-ayat al-Qur’an, aliran Islam Liberal menyindir mereka sebagai “para
penyembah teks” semata-mata.
Selain itu aliran Islam
Liberal juga memiliki takwilan tersendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran
yang jauh berbeza daripada pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Mereka menggariskan formula membaca
al-Qur’an dengan metodologi yang baru. Hasilnya, aliran Islam Liberal
berpendapat bahawa malaikat dan syaitan tidak wujud sebagai makhluk yang tersendiri
melainkan ia adalah sikap baik dan buruk yang wujud saling bertentangan dalam
setiap jiwa manusia (the good and evil sides of man). Syurga dan neraka
tidak wujud melainkan ia adalah kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan
manusia. Hari akhirat juga tidak wujud melainkan ia adalah fasa manusia untuk
berubah dari satu tingkatan ke tingkatan lain yang lebih matang dan sempurna.
Cerita-cerita al-Qur’an tentang para Rasul, Nabi dan umat terdahulu sebenarnya
hanyalah strategi demi keberkesanan dakwah. Para Rasul, Nabi dan umat terdahulu
ini sebenarnya tidak wujud secara realiti. Sementara keimanan kepada Qadar dan
Qada’ serta takdir tidak wujud, ia hanyalah salah tafsir umat terdahulu
terhadap teks-teks al-Qur’an.
Mempercayai malaikat, syaitan,
syurga, neraka, hari akhirat, cerita umat terdahulu serta takdir secara zahir
hanyalah tahayul yang menghalang kemajuan umat. Selagi mana umat percayakan
unsur-unsur tahayul tersebut, selagi itulah mereka akan terhalang daripada
mencapai kejayaan yang bersifat hakiki. Demikianlah beberapa takwilan dan
manhaj sesat aliran Islam Liberal yang mereka bangunkan atas formula Re-reading
the Qur’an.
Ulil Abshar telah berkata:
Bagi saya, wahyu tidak
berhenti pada zaman Nabi; wahyu terus bekerja dan turun kepada manusia. Wahyu
verbal memang telah selesai dalam Quran tetapi wahyu nonverbal dalam bentu
ijtihad akal manusia terus berlangsung[17].
Kenyataan ini amat jelas bertentangan dengan
begitu banyak ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi SAW yang menjelaskan bahawa
tiada nabi selepas baginda dan tiada wahyu selepasnya. Firman Allah yang
bermaksud:
Muhammad itu sekali-kali
bukanlah dari bapak dari seorang laki-laki di antara kamu,tetapi dia adalah
Rasulullah SAW dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala
sesuatu[18].
Adapun ijtihad akal manusia, disisi Ahli al-Sunnah
Ijtihad tidak berlawanan dengan kehendak al-Qur’an dan al-Sunnah. Mana-mana
ijtihad yang tidak menepati kedua-dua sumber ini adalah tertolak. Bahkan ianya
termasuk dalam perbuatan melakukan bid‘ah dalam agama. Sabda Rasulullah SAW:
عن عائشة رضي الله عنها قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من
أحدث في أمرنا هذا ما ليس فيه فهو رد[19]
Maksudnya: Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam
urusan agama kami ini, yang tiada daripadanya, maka yang diada-adakan itu
tertolak.
Kesimpulan
Setelah meninjau perbezaan di antara Islam Liberal
melalui kenyataan salah seorang tokoh mereka dan pendirian Ahli al-Sunnah wa
al-Jamaa’ah, diharapkan para pembaca yang budiman dapat meneliti dan cuba
sedaya upaya memahami maklumat yang ada agar dapat sampai ke destinasi murni;
iaitu ikutan terhadap Kitab Allah SWT dan Sunnah Nabi SAW menurut kefahaman
generasi perintis iaitu genarasi para sahabat, Tabi‘in dan tabi‘ al-Tabi‘in.
Biblografi
al-Qur’an.
al-Bukhari, al-Imam
al-Hafiz ‘Abd ‘Abdulah Muhammad bin Ismail al-Bukhari. 1991. Sahih al-Bukhari. Bayrut: Lubnan.
al-Siba‘I,
Dr. Mustafa. al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tashri al-Islamiyy. 1985.
Bayrut: al-Maktab al-Islami.
al-Shafi‛i. 2001. Muhammad bin Idris. al-Risalah.
al-Mansurah: Dar al-Wafa’.
Charles kurzman. 1998. Liberal
Islam: A sourcebook. New York: Oxfard University.
Hafiz Firdaus Abdullah. 2007. Membongkar
Aliran Islam Liberal. Johor Bahru: Jahabersa.
http://islamlib.com/id/halaman/ tentang-jil. 16 Februari 2011.
http://www.arsip-milis.s5.com/agama16.htm. 16 Februari
2011.
[1] Kertas kerja ini disediakan
oleh Kumpulan Penyelidik UKM-PP-05-FRGS0063-2010 dan dibentangkan dalam “Seminar
Antarabangsa Sunnah Nabawiah: Realiti Dan Cabaran Semasa (MUSNAD)”, 12-13
Julai 2011 bersamaan 10-11 Syaaban 1432H, di Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
[2] Profesor Madya bidang Tafsir di Jabatan Pengajian al-Qur’an dan
al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
[3] Profesor Madya bidang Tafsir di Jabatan Pengajian al-Qur’an dan
al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
[4] Profesor Madya bidang Sosiologi dan Pemikiran Islam di Jabatan
Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
[5] Profesor Madya bidang Tafsir di Nusantara di Jabatan Usuluddin dan
Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
[6] Pensyarah Kanan bidang Kajian Hadith di Nusantara di Jabatan
Pengajian al-Qur’an dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangsaan Malaysia.
[7] Pensyarah bidang Hadith dan Ulum al-Hadith di Jabatan Pengajian
al-Qur’an dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
[8] http://islamlib.com/id/halaman/ tentang-jil. 16 Februari 2011.
[9]Charles kurzman, Liberal Islam: A sourcebook, New York: Oxfard
University. 1998.
[10]Hafiz Firdaus Abdullah, Membongkar Aliran Islam Liberal,
johor Bahru: Jahabersa, 2007.
[13] al-Qur’an, al-Nur 24: 48-52.
[15] al-Siba‘I, Dr. Mustafa, al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tashri al-Islamiyy.
Bayrut: al-Maktab al-Islami, 1985.
[16] al-Maidah 5:38.
[18]al-Quran, al-Ahzab 33: 40.
0 comments:
Post a Comment