Pedoman
Islam Semasa Senang Dan Susah
Dr
Fadlan Mohd Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)
Tujuan
manusia dicipta
Matlamat
hidup manusia dan jin dalam Islam amat jelas. Allah Ta’ala telah menyatakan bahawa
tujuan dua makhluk ini dicipta adalah untuk semata-mata
untuk merealisasikan ibadah kepada Allah Ta’ala. Kenyataan ini ditegaskan dalam
firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Zariyat ayat 56 yang bermaksud: “Dan
tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadat kepadaKu.”
Namun begitu, observasi menunjukkan bagaimana kenyataan yang jelas lagi
bersuluh ini gagal difahami oleh kebanyakan masyarakat manusia, termasuklah di
kalangan umat Islam.
Islam
adalah agama yang paling hebat. Allah Ta’ala telah meredai Islam sebagai
satu-satunya agama yang menyelamatkan umat manusia di dunia dan di akhirat. Sesiapa
yang mencari kesejahteraan dan kerohanian daripada selain Islam, maka usahanya
tidak akan diterima oleh Allah Ta’ala. Perkara ini telahpun diterangkan oleh
Allah Ta’ala dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari
agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada
hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”
Kehebatan agama Islam terserlah dengan
keprihatinan ajarannya terhadap keseluruhan aspek kehidupan umat manusia. Ini
adalah kerana ajaran Islam adalah merupakan wahyu daripada Tuhan semesta alam
yang mempunyai ilmu yang maha menyeluruh terhadap kemaslahatan umat manusia. Apa
yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. sama ada al-Quran mahupun Sunnah
Baginda s.a.w. adalah wahyu daripada Allah Ta’ala.
Berdasarkan kepada fakta inilah kita
diarahkan agar menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan dan teladan unggul
kita dalam kehidupan. Apa sahaja yang dibawa oleh Baginda s.a.w. adalah
merupakan contoh terbaik bagi umat Islam khususnya dan bagi umat manusia amnya.
Allah Ta’ala telah mengarahkan
demikian dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Dan apa jua perintah
yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang
Baginda larang kamu daripada melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan
bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya.”
Suatu perkara yang perlu ditekankan ialah bahawa ajaran Rasulullah s.a.w.
mencakupi kedua-dua aspek praktikal dan spiritual.
Dalam
erti kata lain, tujuan manusia dicipta adalah untuk diuji siapakah yang lebih
baik amalannya dari sudut praktikal dan spiritual. Dalilnya adalah firman Allah
Ta’ala dalam Surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu,
siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Dengan ini, kita dapat memahami bahawa melafazkan keimanan tidak cukup, sebaliknya manusia akan diuji untuk dibezakan
siapakah yang benar dan siapakah yang bohong. Maka ia
merupakan satu mesej yang jelas kepada umat Islam agar mempersiapkan diri untuk
menghadapi segala Mehnah dan tribulasi dalam kehidupan duniawi ini.
Hidup
adalah medan ujian
Melihat
kepada kehidupan manusia, kita dapati umat manusia tidak dapat lari daripada menghadapi
ujian keburukan dan kebaikan.
Dapat
dilihat ramai di kalangan manusia gagal dalam berinteraksi dengan ujian
keburukan dan ujian kebaikan. Apabila ditimpa keburukan, seringkali ada di
kalangan manusia yang menganggapnya sebagai satu ujian. Akan tetapi, apabila
dikurniakan kebaikan, mereka tidak pula menganggapnya sebagai satu ujian.
Hasilnya
ialah bila ditimpa keburukan, ada insan yang akan kembali kepada Allah Ta’ala.
Sebaliknya, bila dikurniakan kebaikan, ramai yang akan lupa diri dan menganggap
diri mereka bebas dari garis panduan Islam. Persoalannya ialah, bukankah Islam
itu satu agama yang paling sempurna? Tidakkah wujud garis panduan berinteraksi
dengan keburukan dan kebaikan dalam ajaran Islam? Jika ada, mengapa masih ramai
insan yang seakan-akan hilang pedoman bila berhadapan dengan ujian keburukan
dan kebaikan?
Marilah
kita meneliti dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah yang merupakan panduan yang
terbaik dalam menghadapi tribulasi kehidupan. Di dalam menghadapi kebaikan,
manusia diperintahkan agar bersyukur. Jika dia bersyukur dia akan memperoleh pahala
untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Naml ayat 40
yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mensyukuri
nikmat maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya dan sesiapa yang mengkufuri
nikmat maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.” Allah
Ta’ala tidak akan terkesan walau sekelumit dengan hamba-hambaNya yang kufur
nikmat.
Umat Islam perlu sentiasa ingat bahawa orang yang bersyukur
terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepadanya akan diberikan
tambahan nikmat. Orang yang mengingkari nikmat pula adalah
berisiko tinggi untuk mendapat azab yang pedih daripada Allah Ta’ala.
Lihatlah
firman Allah Ta’ala dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika
kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu
mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.” Orang yang beriman juga perlu sentiasa ingat bahawa Allah
Ta’ala boleh sahaja menarik balik nikmat orang yang tidak bersyukur.
Tindak
balas manusia menjadi penentu
Kesenangan
itu tidak semestinya baik untuk manusia sebagaimana kesusahan itu tidak
semestinya buruk untuknya. Indikator yang menentukan kesenangan atau kesusahan
itu baik atau buruk telahpun dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya
yang bermaksud: “Amat ajaib keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua
keadaannya adalah baik belaka. Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin.
Sekiranya dia dikurniakan kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya.
Sekiranya dia ditimpa kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik
untuknya.” (Hadis riwayat al-Imam Muslim, No. 5318). Daripada hadis ini
dapatlah difahami bahawa tindak balas mukmin adalah amat dominan dalam menghadapi
ujian kesenangan dan kesusahan.
Oleh
itu, semasa ditimpa kesusahan, jika dia dapat menerima dan bertindak menepati
kesabaran dan keredaan, maka di situlah dia akan mendapat balasan baik yang setimpal;
dia akan diredai oleh Allah Ta’ala. Akan tetapi jika dia tidak reda dan sering memarahi,
maka dia hanya akan mendapat kemurkaan daripada Allah Ta’ala.
Rasulullah
s.a.w. menegaskan hakikat ini dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya
ketinggian pahala itu setimpal dengan kegetiran ujian. Sesungguhnya Allah
Ta’ala, sekiranya Dia cinta kepada sesuatu kaum Dia akan menguji mereka. Maka
sesiapa yang reda akan mendapat keredaan dan sesiapa yang marah akan mendapat
kemurkaan.” (Hadith riwayat al-Imam Ibn Majah, No. 3272 dan dinilai Hasan
oleh al-Albani).
Jika
salah seorang daripada kita ditimpa ujian, di antara perkara yang perlu diingati
ialah dosanya akan dihapuskan. Apabila seorang sahabat Nabi s.a.w. yang bernama
Sa‘d bin Abi Waqqas bertanya kepada Nabi s.a.w. “Wahai Rasulullah siapakah di
kalangan manusia yang paling teruk cubaannya?” Baginda telah menjawab, “Para
nabi kemudian yang kuat imannya kemudian yang seterusnya. Seseorang lelaki itu
diuji mengikut tahap keagamaannya. Sekiranya tahap keagamaannya kuat maka
kuatlah cubaannya. Sekiranya tahap keagamaannya nipis maka dia diuji mengikut
tahap keagamaannya. Ujian itu akan sentiasa bersama seseorang hamba itu
sehinggalah dia dibiarkan berjalan di atas muka bumi ini tanpa sebarang dosa.”
(Hadis riwayat al-Imam al-Tirmizi, No. 2398 dan dinilai Hasan Sahih oleh
al-Albani).
Rasulullah s.a.w. juga telah mengajarkan zikir dan doa apabila kita
mendepani musibah. Zikir dan doa itu ialah: “Inna lillahi wa inna ilaihi
raji’un. Allahuma’jurni fi musibati. Wa akhlif li khairan minha” yang bermaksud
“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepadaNyalah kami
akan kembali. Ya Allah berilah pahala padaku dalam musibahku ini dan
gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya.” Bagi orang
yang menyebut ucapan ini, Allah Ta’ala akan memberi pahala kepadanya dan
menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. (Hadis riwayat al-Imam Muslim,
No. 918).
Kesabaran
yang dikira dalam menghadapi musibah ialah bila mana dilakukan seawal musibah
menimpa. Ini bertepatan dengan satu lagi hadis Nabi s.a.w. iaitu yang
diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. katanya: Nabi telah berjalan di sebelah seorang
wanita yang menangis di sisi satu kubur.
Baginda
berkata: “Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah.” Jawab wanita
itu: “Pergilah, engkau tidak ditimpa seperti musibahku ini.” Dia tidak
mengetahui bahawa itu ialah Rasulullah s.a.w. Kemudian ada orang berkata kepada
wanita itu: “Lelaki itu adalah Nabi s.a.w.” Wanita itu pun bergegas menuju ke
pintu rumah Nabi yang didapatinya tidak dijaga oleh sesiapa. Kemudian dia berkata
kepada Nabi s.a.w.: “Aku tidak mengenalimu sebentar tadi.” Rasulullah s.a.w.
hanya menjawab: “Sesungguhnya sabar itu pada kejutan yang pertama.”
(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1203).
Sesungguhnya
pahala yang besar di sisi Allah adalah bersabar ketika sesuatu musibah menimpa
pada saat itu juga.
Perkara
inilah yang perlu dilakukan sepertimana diajarkan oleh agama kita apabila
berhadapan dengan sesuatu ujian dari Allah samada ujian yang buruk mahupun ujian yang
baik.janganlah kita meniru kaedah orang kafir dan jahiliyah yang meratap ketika
ditimpa musibah dan berfoya-foya ketika diberi kesenangan.
0 comments:
Post a Comment