RSS Feeds

Translate


10.21.2019

Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [Bahagian 6]  Cetak Halaman

Bukan hadis tapi disebut oleh sebahagian sebagai hadis [6] :

الإنسان سري وأنا سره
Manusia adalah rahsiaKu dan Aku adalah rahsianya.

Dr Asim Ibrahim al-Kayyali al-Husain al-Shazili al-Darqawi berkata dalam tahkiknya terhadap kitab al-Futuhat al-Rabbaniyyah fi Sharh al-Tadbirat al-Islahiyyah fi Islah al-Mamlakah al-Insaniyyah li Al-Shaikh al-Akbar Muhyi al-Din Ibn Arabi, karangan Al-Shaikh al-Arif billah Husain bin Ta'mah al-Baitamani al-Dimashqi al-Midani (1175h):
كما قال جدنا وأستاذنا الشيخ عبد القادر الكيلاني قدس الله سره في غوثيته: قال لي ربي عز وجل: يا غوث الأعظم الإنسان سري وأنا سره، ولو علم الإنسان منزلته عندي لقال في كل نفس من الأنفاس {لمن الملك اليوم لله الواحد القهار} (غافر الآية ١٦)
Jilid 1, Halaman 455. Beirut: Kitab Nashirun.

Pesan DFO:
Kenyataan ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Ianya disandarkan kepada al-Shaikh Abdul Qadir al-Kilani.

Justeru menyandarkan kenyataan ini kepada Nabi Sallallahu alaihi wasallam akan menjadikannya hadis maudu'.

21-10-2019


Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [Bahagian 5]  Cetak Halaman

Bukan hadis tapi disebut oleh sebahagian sebagai hadis [5]:

الشريعة بلا الحقيقة عاطلة والحقيقة بلا الشريعة باطلة
Syariat tanpa hakikat itu hampa (kosong) dan hakikat tanpa syariat itu batil.

Lafaz berdekatan ditemui seperti berikut:
حتى قالوا: شريعة بلا حقيقة عاطلة وحقيقة بلا شريعة باطلة
Rujukan:
تفسير روح المعاني
Karangan:
أبي الفضل شهاب الدين السيد محمود الألوسي البغدادي (1270).
Jilid 6, Halaman 571. Beirut: Dar Ihya Al-Turath al-Arabi

Pesan DFO:
Kenyataan ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Ianya disandarkan kepada ulama oleh Al-Alusi.

Justeru menyandarkan kenyataan ini kepada Nabi Sallallahu alaihi wasallam akan menjadikannya hadis maudu'.

21-10-2019
Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [Bahagian 4] Cetak Halaman

Bukan hadis tapi disebut oleh sebahagian sebagai hadis [4]:

كن مع الله فإن لم تكن مع الله فكن مع من مع الله
Jadilah diri kamu beserta Allah. Jika tidak, jadilah beserta dengan orang yang beserta dengan Allah.

Lafaz berdekatan ditemui seperti berikut:
وقال العارفون: كن مع الله فإن لم تستطع فكن مع من كان مع الله.
Rujukan:
تنوير القلوب في معاملة علام الغيوب
Karangan:
الشيخ محمد أمين الكردي الإربلي ابن الشيخ فتح الله زاده (1322).
Halaman 571.

Pesan DFO:
Kenyataan ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Ianya disandarkan kepada al-Arifun (Ahli Makrifat) oleh Al-Shaikh Muhammad Amin al-Kurdi.

Justeru menyandarkan kenyataan ini kepada Nabi Sallallahu alaihi wasallam akan menjadikannya hadis maudu'.

21-10-2019

Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [Bahagian 3] Cetak Halaman

Bukan hadis tapi disebut oleh sebahagian sebagai hadis [3]:

من لا شيخ له يرشده فمرشده الشيطان
Siapa yang tidak mempunyai guru mursyid yang membimbingnya maka mursyidnya adalah syaitan.

Rujukan:
تنوير القلوب في معاملة علام الغيوب
Karangan:
الشيخ محمد أمين الكردي الإربلي ابن الشيخ فتح الله زاده (1322).
Halaman 583.

Pesan DFO:
Kenyataan ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Ianya merupakan kalam Al-Shaikh Muhammad Amin al-Kurdi.

Justeru menyandarkan kenyataan ini kepada Nabi Sallallahu alaihi wasallam akan menjadikannya hadis maudu'.

21-10-2019
Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [Bahagian 2] Cetak Halaman

Bukan hadis tapi disebut oleh sebahagian sebagai hadis [2]:

من لا أدب له لا علم له
Siapa yang tidak beradab dia tidak berilmu.

Kenyataan ini dijumpai seperti berikut:
وعن الحسن البصري رضي الله عنه: من لا أدب له لا علم له
Rujukan:
نصائح العباد في بيان ألفاظ منبهات على الاستعداد ليوم المعاد لشهاب الدين أحمد بن حجر العسقلاني (852).
Karangan:
العلامة الشيخ محمد بن عمر نووي الجاوي (1316).
Halaman 24. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah

Pesan DFO:
Kenyataan ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Ianya disandarkan kepada al-Hasan al-Basri.

Justeru menyandarkan kenyataan ini kepada Nabi Sallallahu alaihi wasallam akan menjadikannya hadis maudu'.

21-10-2019
Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [Bahagian 1] Cetak Halaman

Bukan hadis tapi disebut oleh sebahagian sebagai hadis [1]:

الشيخ في قومه كالنبي في أمته
Syeikh di antara kaum ya itu seperti Nabi di antara umatnya.

Lafaz ini dijumpai dalam:
قلادة الجواهر في ذكر الغوث الرفاعي وأتباعه الأكابر
Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah
Karangan:
العالم العلامة السيد أبي الهدى محمد بن حسن الرفاعي (1328).
Halaman 170.

Pesan DFO:
Kenyataan ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Ianya disandarkan kepada al-Ghauth al-Rifa'i.

Justeru menyandarkan kenyataan ini kepada Nabi Sallallahu alaihi wasallam akan menjadikannya hadis maudu'.

21-10-2019

10.01.2019

Cetak Halaman

Kesan Hadith Mauduk terhadap umat

Kesan Terhadap Umat Istijabah/Orang Islam:

Kemunculan hadith mauduk di alam ini semestinya meninggalkan kesan terhadap manusia sejagat. Di antara mereka yang terkesan dengan keburukan hadith mauduk ini ialah orang Islam sendiri.

Dapatlah dijelaskan kesan-kesan hadith mauduk terhadap orang Islam seperti berikut :

1- Merosakkan aqidah umat Islam.
Hadith Mauduk yang berkaitan dengan aqidah pastinya akan merosakkan aqidah umat Islam. Dengan membaca atau mendengar hadith-hadith mauduk dalam bidang ini, pastinya pendengar yang tidak peka terhadap kepalsuannya akan terpedaya lalu mempercayai sedikit-sebanyak isi kandungan hadith tersebut. Dengan ini kepercayaannya atau aqidahnya akan terseleweng sedikit demi sedikit. Tanpa disedari, tercetuslah satu bentuk aqidah dalam dirinya yang menyalahi ajaran sebenar Islam.

2- Merosakkan amalan syariah umat Islam.
Berkenaan amalan syariat pula, hadith mauduk juga memberi kesan buruk yang tidak kurang dahsyatnya. Amalan-amalan dalam agama Islam yang pada asalnya begitu mudah untuk diamalkan oleh sesiapa sahaja, akhirnya bertukar menjadi satu amalan yang ditakuti oleh penganutnya sendiri. Perselisihan dalam mazhab dan kekerasan dalam hukum kerana sifat fanatik yang disemaikan oleh hadith mauduk menyebabkan amalan syariah atau fiqh umat Islam lari jauh dari ajaran asal Nabi Muhammad s.a.w.

3- Merosakkan akhlak umat Islam.
Di dalam akhlak pula, hadith-hadith mauduk berkenaan bangsa, bahasa dan negara pastinya meninggalkan impak besar dalam jiwa pendengar yang mempercayai hadith-hadith mauduk berkenaan. Dengan ini timbullah rasa tinggi diri yang dicela oleh agama. Ukhuwwah Islamiyyah juga dipinggirkan akibat dari gejala hadith mauduk itu.

4- Merosakkan pendirian umat Islam.
Berhadapan dengan janji pahala yang lumayan di samping amalan yang ringkas boleh menimbulkan perasaan berpada-pada di kalangan umat Islam. Akibatnya pendirian dan pegangan umat Islam akan menjadi lemah. Amalan yang murni mungkin ditinggalkan kerana terdapat amalan lain yang lebih berbaloi dan menguntungkan menurut hadith mauduk itu. Di penghujung jalan wujudlah umat yang tidak tegas dan tidak bersemangat mengamalkan ajaran Islam.

5- Mengabaikan hadith sahih.

Satu perkara lain yang pasti muncul akibat penyebaran hadith mauduk ialah pengabaian hadith sahih. Secara otomatik sekiranya ditekankan hadith mauduk dalam sesuatu majlis, hadith sahih akan tersisih dan tidak mendapat tempat yang sepatutnya. Akhirnya orang ramai akan senang apabila mendengar hadith mauduk dan merasa janggal apabila mendengar hadith sahih. Ini adalah di antara musibah yang terbesar dalam perbincangan ini.

Kesan Terhadap Umat Dakwah/Orang Kafir:

Di samping orang Islam, orang kafir juga tidak ketinggalan dalam menerima tempias kesan buruk hadith mauduk. Penyebaran agama Islam yang menggembirakan sanubari setiap orang Islam pastinya menarik orang kafir untuk membaca tulisan-tulisan dan artikel-artikel berkenaan agama Islam ini yang disebutkan sebagai ‘agama yang paling cepat berkembang’. Apakah yang dapat difikirkan sekiranya orang kafir memilih bahan-bahan bacaan yang memuatkan hadith-hadith mauduk sebagai dalil? Bukankah ini hanya akan mengundang kesan yang negatif dalam pemikiran mereka? Antara kesan hadith mauduk yang dapat dirumuskan ialah seperti berikut:

1- Merosakkan pandangan orang kafir terhadap Islam.
Orang kafir yang membaca bahan bacaan tentang Islam yang mengandungi hadith mauduk dalam keadaan dia tidak mengetahui sejarah pemalsuan hadith dalam umat Islam, pastinya akan beranggapan bahawa agama Islam adalah agama yang penuh dengan kekarutan dan khayalan serta jauh dari kesucian Tauhid dan kemurnian akhlak. 

2- Menyukarkan orang kafir masuk Islam.
Selepas membaca hadith-hadith mauduk ini, antara kemungkinan yang muncul ialah orang kafir itu merasakan sukar untuk dia menganut agama Islam. Di dalam akalnya terbayang satu agama yang bermasalah, menyalahi berbagai-bagai ketetapan logik yang dipegangnya. Walaupun bukan semua logik orang kafir itu logik, akan tetapi penyebaran hadith mauduk ini akan mengeruhkan lagi keadaan dan menyempitkan lagi peluang mereka untuk terbuka hati memeluk satu-satunya agama suci di alam ini.


Cetak Halaman

Tanda-tanda Hadith Mauduk :
Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan bahawa sesuatu hadith itu adalah mauduk. Di antaranya ialah seperti berikut :

Dalam sanad :
1. Pengakuan pemalsu hadith.
2. Petanda-petanda.
3. Periwayat yang dikenali sebagai penipu.

Dalam matan :
1. Menyalahi fakta.
a. Menyalahi fakta agama.
b. Menyalahi fakta saintifik.
c. Menyalahi fakta sejarah.
2. Kelemahan bahasa.
a. Kelemahan lafaz.
b. Kelemahan erti.
3. Tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadith.
4. Bersesuaian dengan mazhab periwayat.
5. Menyatakan pahala yang amat besar bagi amalan yang biasa.

Di samping itu, para ulama yang pakar dalam bidang hadith dengan kurniaan Allah Taala telah dapat membezakan antara hadith yang boleh diterima dengan hadith yang mauduk. Kehebatan ini tidak dapat dinafikan. Dengan mendengar tentang sanad atau matan sesuatu hadith mauduk, mereka dapat merasakan secara yakin bahawa hadith itu tidak mungkin disebut atau dilakukan atau diperakui oleh Rasulullah s.a.w. Al-Rabi’ bin Khuthaim di kalangan tabi’in telah berkata,
إن من الحديث حديثا له ضوء كضوء النهار نعرفه به. وإن من الحديث حديثا له ظلمة كظلمة الليل نعرفه به.
Maksudnya: Sesungguhnya ada hadith yang mempunyai cahaya seperti cahaya siang, kami dapat mengetahuinya dengan cahaya itu. Ada juga hadith yang mempunyai kegelapan seperti kegelapan malam, kami dapat mengetahuinya dengan kegelapan itu.

Ibnu al-Jauzi pula telah berkata,
ما أحسن قول القائل إذا رأيت الحديث يباين المعقول أو يخالف المنقول أو يناقض الأصول فاعلم أنه موضوع.

Maksudnya: Alangkah cantiknya kata-kata ini, “Sekiranya engkau lihat hadith yang menyalahi logik atau bercanggahan dengan nas atau merobohkan dasar agama, maka ketahuilah bahawa hadith itu maudhu’ ”.

(Sila lihat al-Qudhah, al-Minhaj al-Hadith, hlm. 180, dan Al-Salih, ’Ulum al-Hadith, hlm. 264, dan Al-Khatib, Usul al-Hadith, hlm. 286.)
Cetak Halaman

Definisi Hadith Mauduk:
Sebelum diteruskan perbincangan ini secara lebih lanjut, wajarlah kita mengetahui apa yang sedang kita bincangkan ini.

Dari Sudut Bahasa Arab:
Hadith ialah perkara baru atau percakapan.
Mauduk ialah sesuatu yang diletakkan atau ditinggalkan atau direka. (Al-Khatib, Dr. Muhammad ’Ijaj, Usul al-Hadith, Beirut: Dar al-Fikr, 1421-2001, hlm. 275.)

Dari Sudut Ilmu Hadith:
Hadith Mauduk dari sudut definisi ilmu Hadith ialah:
Apa sahaja yang disandarkan secara rekaan dan bohong kepada Rasulullah s.a.w. bahawa Baginda berkata, membuat atau memperakuinya. (Al-Khatib, Dr. Muhammad ’Ijaj, Usul al-Hadith, Beirut: Dar al-Fikr, 1421-2001, hlm. 275.)


Punca Kemunculan Hadith Maudhu’ :

Punca kemunculan hadith maudhu’ boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti
berikut:

1. Memenangkan pegangan :
a. Fanatik kepada individu yang lebih layak menjadi pemimpin iaitu dari sudut
politik.
Disebabkan fanatik, ada golongan yang memalsukan hadith untuk pemimpin
mereka. Perbuatan ini merangkumi semua kumpulan khususnya Syi’ah,
Nasibah dan Sunnah yang jahil.

Contoh : (Abu Bakar memerintah umatku selepasku), (Ali sebaik-baik manusia,
sesiapa yang meraguinya maka dia kafir), (Orang yang amanah tiga iaitu aku,
Jibril dan Muawiyah), (Tidak ada satupun daun di syurga kecuali termaktub
padanya ‘Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, Muhammad adalah
pesuruh Allah, Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Faruq dan Uthman Zu al-
Nurain’)
(أبو بكر يلي أمتي بعدي)
(علي خير البشر من شك فيه فقد كفر)
(األمناء ثالثة أنا وجبريل ومعاوية)
(ما في الجنة شجرة إال مكتوب على كل ورقة منها ال إله إال هللا محمد رسول هللا أبو بكر الصديق وعمر
الفاروق وعثمان ذو النورين)

b. Fanatik kepada Aqidah.
Disebabkan kekurangan ilmu tentang hadith dan kekurangan dalil dalam
menetapkan sesuatu pegangan dan kepercayaan, ada di kalangan kumpulan-
kumpulan Aqidah yang telah memalsukan hadith untuk memenangkan diri
mereka.

Contoh : (al-Quran bukan mahkluk), (Tidak akan bangkit hari kiamat
sehinggalah manusia berkata-kata berdasarkan hawa nafsu)
(القرآن غير مخلوق)
(ال تقوم الساعة حتى يقولوا بآرائهم)

c. Fanatik kepada Mazhab Fiqh.
Kepelbagaian dalam pendapat fiqh yang sepatutnya dapat ditoleransikan telah
menimbulkan pergaduhan sengit dalam umat Islam. Ada di kalangan mereka
yang tidak segan silu memalsukan hadith untuk mengangkat imam dan
pendapat mereka.

(Sila lihat al-Qudhah, al-Minhaj al-Hadith, halaman 178, dan Fauzi Deraman, Pengantar Usul al-Hadith, Sepang: Penerbitan Salafi, Cetakan kedua 2005, hlm. 131, dan Al-Khatib, Dr. Muhammad ’Ijaj, Usul al-Hadith, Beirut: Dar al-Fikr, 1421-2001, hlm. 276, dan juga Arifin Omar dan Mohd Akil Muhammad Ali, Hadith Mauduk dan Perhatian Ulamak Terhadapnya, dalam al-Quran Dan al-Sunnah Di Era Globalisasi, Prosiding Seminar al-Quran dan Isu-isu Semasa Peringkat Kebangsaan Kali Ketiga, Jabatan al-Quran dan al-Sunnah Fakulti, Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm.187)


8.21.2019

Hadis Mauduk

BAB 4: KEPERLUAN MINIMUM DALAM TAKHRIJ HADIS (Fadlan Mohd Othman et all (2010), Metod Rujukan Hadith Dalam Rujukan Ilmiah, Hlm. 315-317.)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam telah bersabda:
 كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
 Maksudnya: Cukuplah penipuan seseorang itu, apabila dia menyebut semua yang dia dengar. (Muslim, Muqaddimah, al-Nahy ‘An al-Hadith Bi Kull Ma Sami‘, hadith 5, daripada Abu Hurayrah.) 

Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam telah meletakkan satu tugas bagi setiap individu yang hidup di atas muka bumi ini. Setiap individu akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan terhadap tugasnya itu. Di antara tugas individu apabila mendengar sesuatu khabar ialah memastikan kesahihannya. Sekiranya individu itu tidak memberi perhatian terhadap perkara ini, dia berisiko tinggi terjerumus dalam meriwayatkan hadis mauduk (palsu).

Hadis mauduk (palsu) ialah: Sesuatu yang dicipta dan direka, dan merupakan tingkatan yang paling buruk daripada tingkatan-tingkatan hadis da‘if. (al-Nawawi, al-Taqrib, dalam al-Suyuti (1423H), Tadrib al-Rawi Fi Sharh Taqrib al-Nawawi, al-Riyad: Dar Taybah Li al-Nashr wa al-Tawzi‘, Hlm. 323.) Iaitu apa yang disandarkan kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam secara rekaan dan pendustaan, di mana Baginda tidak sebut, buat atau perakui. Menurut al-Imam al-Nawawi rahimahullah, hadis mauduk (palsu) adalah tergolong dalam kelompok hadis da‘if (al-Nawawi, al-Taqrib, dalam al-Suyuti (1423H), Tadrib al-Rawi Fi Sharh Taqrib al-Nawawi, Hlm. 199.), bahkan hadis mauduk (palsu) merupakan tingkatan paling buruk bagi hadis da‘if dan para ulama mengharamkan semua bentuk periwayatannya bagi orang yang tahu tentang kepalsuannya kecuali untuk tujuan menjelaskan kepalsuannya. (al-Nawawi, al-Taqrib, dalam al-Suyuti (1423H), Tadrib al-Rawi Fi Sharh Taqrib al-Nawawi, Hlm. 323. Lihat juga: al-Tahhan, Mahmud. (1999), Usul al-Takhrij wa Dirasat al-Asanid, Al-Riyad: Maktabat al-Macarif. Hlm. 89-90)

Hukum periwayatan hadis mauduk (palsu) adalah amat serius. Periwayatan hadis mauduk (palsu) dapatlah dibahagikan kepada tiga bahagian seperti berikut (Sila lihat Syaraf Mahmud al-Qudhah, al-Minhaj al-Hadith fi ‘Ulum al-Hadith, hlm. 183.):

4.1. HUKUM MERIWAYATKAN HADIS MAUDUK (PALSU) SECARA SENGAJA

Para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa hukum meriwayatkan hadis mauduk (palsu) adalah haram berdasarkan kepada hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam:
 إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
Maksudnya: Sesungguhnya penipuan ke atasku tidak seperti penipuan ke atas orang lain. Sesiapa yang menipu ke atasku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka.
(al-Bukhari, al-Jana’iz, Ma Yukrah Fi al-Niyahah ‘Ala al-Mayyit, hadith 1209, daripada al-Mughirah bin Shu‘bah. Juga: Muslim, Muqaddimah, Fi al-Tahdhir Min al-Kadhib ‘Ala Rasul Allah Salla Allah ‘Alayh Wa Sallam, hadith 3 & 4, daripada al-Mughirah bin Shu‘bah.)

4.2. HUKUM MERIWAYATKAN HADIS MAUDUK (PALSU) SECARA TIDAK SENGAJA

Orang yang melakukan perkara ini iaitu meriwayatkan hadis mauduk (palsu) secara tidak sengaja pula, dia dimaafkan dan tidak mendapat apa-apa dosa berdasarkan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam:
 إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa.
(Ibn Majah, al-Talaq, Talaq al-Mukrah Wa al-Nasi, hadith 2033, daripada Abu Dharr al-Ghifari. al-Albani berkata: Sahih.)

4.3. HUKUM MERIWAYATKAN HADIS MAUDUK (PALSU) SECARA JAHIL ATAU SAMBIL LEWA

Orang yang meriwayatkan hadis mauduk (palsu) secara jahil atau sambil lewa pula, dia tidak dimaafkan dan tetap akan mendapat dosa menyebarkan hadis mauduk (palsu) walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui tentang kepalsuan hadis itu. Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut:

a. Firman Allah Ta’ala (Surah al-Isra’ 17:36): Maksudnya: {Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya.}

b. Hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam:
 مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيثٍ يُرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِينَ
Maksudnya : Sesiapa yang meriwayatkan hadis daripadaku sedang ianya diketahui sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu .
(Muslim, al-Muqaddimah, Wujub al-Riwayah ‘An al-Thiqat Wa Tark al-Kadhdhabin, hadith _, daripada Samurah bin Jundub dan al-Mughirah bin Shu‘bah.)
(Keterangan : lafaz ‘yura’/dilihat ; ertinya para ulama mengetahui hadith itu palsu. Lafaz ‘yara’/melihat ; pula ertinya dia yang meriwayatkan hadith itu mengetahui tentang kepalsuannya.)

c. Hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam:
 الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ وَاثْنَانِ فِي النَّارِ فَأَمَّا الَّذِي فِي الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ فَهُوَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ
Maksudnya: Para kadi terbahagi tiga; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia dalam neraka.
(Abu Dawud, al-Aqdiyah, Fi al-Qadi Yukhti’, No. 3573, daripada Buraydah bin al-Husayb al-Aslami. al-Albani berkata: Sahih.)

Petikan daripada buku: Praktikal Takhrij Hadis Via IT
Karangan: Dr Fadlan Mohd Othman

Cetak Halaman

Related Posts with Thumbnails