RSS Feeds

Translate


10.01.2019

Cetak Halaman

Kesan Hadith Mauduk terhadap umat

Kesan Terhadap Umat Istijabah/Orang Islam:

Kemunculan hadith mauduk di alam ini semestinya meninggalkan kesan terhadap manusia sejagat. Di antara mereka yang terkesan dengan keburukan hadith mauduk ini ialah orang Islam sendiri.

Dapatlah dijelaskan kesan-kesan hadith mauduk terhadap orang Islam seperti berikut :

1- Merosakkan aqidah umat Islam.
Hadith Mauduk yang berkaitan dengan aqidah pastinya akan merosakkan aqidah umat Islam. Dengan membaca atau mendengar hadith-hadith mauduk dalam bidang ini, pastinya pendengar yang tidak peka terhadap kepalsuannya akan terpedaya lalu mempercayai sedikit-sebanyak isi kandungan hadith tersebut. Dengan ini kepercayaannya atau aqidahnya akan terseleweng sedikit demi sedikit. Tanpa disedari, tercetuslah satu bentuk aqidah dalam dirinya yang menyalahi ajaran sebenar Islam.

2- Merosakkan amalan syariah umat Islam.
Berkenaan amalan syariat pula, hadith mauduk juga memberi kesan buruk yang tidak kurang dahsyatnya. Amalan-amalan dalam agama Islam yang pada asalnya begitu mudah untuk diamalkan oleh sesiapa sahaja, akhirnya bertukar menjadi satu amalan yang ditakuti oleh penganutnya sendiri. Perselisihan dalam mazhab dan kekerasan dalam hukum kerana sifat fanatik yang disemaikan oleh hadith mauduk menyebabkan amalan syariah atau fiqh umat Islam lari jauh dari ajaran asal Nabi Muhammad s.a.w.

3- Merosakkan akhlak umat Islam.
Di dalam akhlak pula, hadith-hadith mauduk berkenaan bangsa, bahasa dan negara pastinya meninggalkan impak besar dalam jiwa pendengar yang mempercayai hadith-hadith mauduk berkenaan. Dengan ini timbullah rasa tinggi diri yang dicela oleh agama. Ukhuwwah Islamiyyah juga dipinggirkan akibat dari gejala hadith mauduk itu.

4- Merosakkan pendirian umat Islam.
Berhadapan dengan janji pahala yang lumayan di samping amalan yang ringkas boleh menimbulkan perasaan berpada-pada di kalangan umat Islam. Akibatnya pendirian dan pegangan umat Islam akan menjadi lemah. Amalan yang murni mungkin ditinggalkan kerana terdapat amalan lain yang lebih berbaloi dan menguntungkan menurut hadith mauduk itu. Di penghujung jalan wujudlah umat yang tidak tegas dan tidak bersemangat mengamalkan ajaran Islam.

5- Mengabaikan hadith sahih.

Satu perkara lain yang pasti muncul akibat penyebaran hadith mauduk ialah pengabaian hadith sahih. Secara otomatik sekiranya ditekankan hadith mauduk dalam sesuatu majlis, hadith sahih akan tersisih dan tidak mendapat tempat yang sepatutnya. Akhirnya orang ramai akan senang apabila mendengar hadith mauduk dan merasa janggal apabila mendengar hadith sahih. Ini adalah di antara musibah yang terbesar dalam perbincangan ini.

Kesan Terhadap Umat Dakwah/Orang Kafir:

Di samping orang Islam, orang kafir juga tidak ketinggalan dalam menerima tempias kesan buruk hadith mauduk. Penyebaran agama Islam yang menggembirakan sanubari setiap orang Islam pastinya menarik orang kafir untuk membaca tulisan-tulisan dan artikel-artikel berkenaan agama Islam ini yang disebutkan sebagai ‘agama yang paling cepat berkembang’. Apakah yang dapat difikirkan sekiranya orang kafir memilih bahan-bahan bacaan yang memuatkan hadith-hadith mauduk sebagai dalil? Bukankah ini hanya akan mengundang kesan yang negatif dalam pemikiran mereka? Antara kesan hadith mauduk yang dapat dirumuskan ialah seperti berikut:

1- Merosakkan pandangan orang kafir terhadap Islam.
Orang kafir yang membaca bahan bacaan tentang Islam yang mengandungi hadith mauduk dalam keadaan dia tidak mengetahui sejarah pemalsuan hadith dalam umat Islam, pastinya akan beranggapan bahawa agama Islam adalah agama yang penuh dengan kekarutan dan khayalan serta jauh dari kesucian Tauhid dan kemurnian akhlak. 

2- Menyukarkan orang kafir masuk Islam.
Selepas membaca hadith-hadith mauduk ini, antara kemungkinan yang muncul ialah orang kafir itu merasakan sukar untuk dia menganut agama Islam. Di dalam akalnya terbayang satu agama yang bermasalah, menyalahi berbagai-bagai ketetapan logik yang dipegangnya. Walaupun bukan semua logik orang kafir itu logik, akan tetapi penyebaran hadith mauduk ini akan mengeruhkan lagi keadaan dan menyempitkan lagi peluang mereka untuk terbuka hati memeluk satu-satunya agama suci di alam ini.


0 comments:

Related Posts with Thumbnails