RSS Feeds

Translate


8.21.2019

Hadis Mauduk

BAB 4: KEPERLUAN MINIMUM DALAM TAKHRIJ HADIS (Fadlan Mohd Othman et all (2010), Metod Rujukan Hadith Dalam Rujukan Ilmiah, Hlm. 315-317.)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam telah bersabda:
 كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
 Maksudnya: Cukuplah penipuan seseorang itu, apabila dia menyebut semua yang dia dengar. (Muslim, Muqaddimah, al-Nahy ‘An al-Hadith Bi Kull Ma Sami‘, hadith 5, daripada Abu Hurayrah.) 

Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam telah meletakkan satu tugas bagi setiap individu yang hidup di atas muka bumi ini. Setiap individu akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan terhadap tugasnya itu. Di antara tugas individu apabila mendengar sesuatu khabar ialah memastikan kesahihannya. Sekiranya individu itu tidak memberi perhatian terhadap perkara ini, dia berisiko tinggi terjerumus dalam meriwayatkan hadis mauduk (palsu).

Hadis mauduk (palsu) ialah: Sesuatu yang dicipta dan direka, dan merupakan tingkatan yang paling buruk daripada tingkatan-tingkatan hadis da‘if. (al-Nawawi, al-Taqrib, dalam al-Suyuti (1423H), Tadrib al-Rawi Fi Sharh Taqrib al-Nawawi, al-Riyad: Dar Taybah Li al-Nashr wa al-Tawzi‘, Hlm. 323.) Iaitu apa yang disandarkan kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam secara rekaan dan pendustaan, di mana Baginda tidak sebut, buat atau perakui. Menurut al-Imam al-Nawawi rahimahullah, hadis mauduk (palsu) adalah tergolong dalam kelompok hadis da‘if (al-Nawawi, al-Taqrib, dalam al-Suyuti (1423H), Tadrib al-Rawi Fi Sharh Taqrib al-Nawawi, Hlm. 199.), bahkan hadis mauduk (palsu) merupakan tingkatan paling buruk bagi hadis da‘if dan para ulama mengharamkan semua bentuk periwayatannya bagi orang yang tahu tentang kepalsuannya kecuali untuk tujuan menjelaskan kepalsuannya. (al-Nawawi, al-Taqrib, dalam al-Suyuti (1423H), Tadrib al-Rawi Fi Sharh Taqrib al-Nawawi, Hlm. 323. Lihat juga: al-Tahhan, Mahmud. (1999), Usul al-Takhrij wa Dirasat al-Asanid, Al-Riyad: Maktabat al-Macarif. Hlm. 89-90)

Hukum periwayatan hadis mauduk (palsu) adalah amat serius. Periwayatan hadis mauduk (palsu) dapatlah dibahagikan kepada tiga bahagian seperti berikut (Sila lihat Syaraf Mahmud al-Qudhah, al-Minhaj al-Hadith fi ‘Ulum al-Hadith, hlm. 183.):

4.1. HUKUM MERIWAYATKAN HADIS MAUDUK (PALSU) SECARA SENGAJA

Para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa hukum meriwayatkan hadis mauduk (palsu) adalah haram berdasarkan kepada hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam:
 إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
Maksudnya: Sesungguhnya penipuan ke atasku tidak seperti penipuan ke atas orang lain. Sesiapa yang menipu ke atasku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka.
(al-Bukhari, al-Jana’iz, Ma Yukrah Fi al-Niyahah ‘Ala al-Mayyit, hadith 1209, daripada al-Mughirah bin Shu‘bah. Juga: Muslim, Muqaddimah, Fi al-Tahdhir Min al-Kadhib ‘Ala Rasul Allah Salla Allah ‘Alayh Wa Sallam, hadith 3 & 4, daripada al-Mughirah bin Shu‘bah.)

4.2. HUKUM MERIWAYATKAN HADIS MAUDUK (PALSU) SECARA TIDAK SENGAJA

Orang yang melakukan perkara ini iaitu meriwayatkan hadis mauduk (palsu) secara tidak sengaja pula, dia dimaafkan dan tidak mendapat apa-apa dosa berdasarkan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam:
 إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa.
(Ibn Majah, al-Talaq, Talaq al-Mukrah Wa al-Nasi, hadith 2033, daripada Abu Dharr al-Ghifari. al-Albani berkata: Sahih.)

4.3. HUKUM MERIWAYATKAN HADIS MAUDUK (PALSU) SECARA JAHIL ATAU SAMBIL LEWA

Orang yang meriwayatkan hadis mauduk (palsu) secara jahil atau sambil lewa pula, dia tidak dimaafkan dan tetap akan mendapat dosa menyebarkan hadis mauduk (palsu) walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui tentang kepalsuan hadis itu. Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut:

a. Firman Allah Ta’ala (Surah al-Isra’ 17:36): Maksudnya: {Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya.}

b. Hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam:
 مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيثٍ يُرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِينَ
Maksudnya : Sesiapa yang meriwayatkan hadis daripadaku sedang ianya diketahui sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu .
(Muslim, al-Muqaddimah, Wujub al-Riwayah ‘An al-Thiqat Wa Tark al-Kadhdhabin, hadith _, daripada Samurah bin Jundub dan al-Mughirah bin Shu‘bah.)
(Keterangan : lafaz ‘yura’/dilihat ; ertinya para ulama mengetahui hadith itu palsu. Lafaz ‘yara’/melihat ; pula ertinya dia yang meriwayatkan hadith itu mengetahui tentang kepalsuannya.)

c. Hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam:
 الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ وَاثْنَانِ فِي النَّارِ فَأَمَّا الَّذِي فِي الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ فَهُوَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ
Maksudnya: Para kadi terbahagi tiga; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia dalam neraka.
(Abu Dawud, al-Aqdiyah, Fi al-Qadi Yukhti’, No. 3573, daripada Buraydah bin al-Husayb al-Aslami. al-Albani berkata: Sahih.)

Petikan daripada buku: Praktikal Takhrij Hadis Via IT
Karangan: Dr Fadlan Mohd Othman

Cetak Halaman

0 comments:

Related Posts with Thumbnails