RSS Feeds

Translate


6.12.2013

LELAKI TIDAK SAMA DENGAN WANITA

huruf pertama Cetak Halaman



LELAKI TIDAK SAMA DENGAN WANITA

 Dr Fadlan Mohd Othman

Student Affairs Division
Al-Madinah International University
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)


Allah Ta’ala telah mencipta manusia daripada lelaki dan wanita dan menjadikan mereka sebagai pemimpin di atas muka bumi ini. Setiap satu daripada dua gender ini mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. Melihat kepada fizikal sahaja kita telah dapat membezakan antara lelaki dan wanita. Allah Ta’ala telahpun menetapkan perkara ini di dalam Surah Ali Imran ayat 36 yang bermaksud: “Dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan.
Agama Islam telah mengarahkan setiap satu daripada dua gender ini untuk tugas-tugas dan tanggungjawab yang sesuai. Sebagai contoh, kaum lelaki dididik ke arah menjadi pemimpin dan penjaga kepada kaum wanita. Allah Ta’ala telah berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.
Akan tetapi, kita perlu sentiasa ingat bahawa usaha Syaitan tidak akan berhenti. Syaitan amat bersungguh-sungguh merosakkan ciptaan Allah Ta’ala. Usahanya cukup halus dan licik. Perkara ini telahpun digambarkan oleh Allah Ta’ala dalam Surah al-Nisa’ ayat 119 yang bermaskud: Dan demi sesungguhnya, Aku (Syaitan) akan menyesatkan mereka dari kebenaran, dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka mencacatkan binatang-binatang ternak, lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.
Memfokuskan perbincangan kepada isu gender, kita dapati Allah Ta’ala telah memberikan pelbagai garis panduan yang jelas. Antara lain, isu perkahwian di mana perkahwinan seharusnya berlaku antara lelaki dan wanita dan bukannya sesama gender. Bahkan perkahwinan sesama gender adalah sesuatu yang dilaknati oleh Allah Ta’ala. Perkara ini telahpun dijelaskan oleh Allah Ta’ala dalam Surah al-A’raf ayat 81 yang bermaksud: Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.
Lihatlah bagaimana Allah Ta’ala menyifatkan orang yang songsang amalan gendernya sebagai melampaui batas. Begitu juga golongan songsang ini telah disifatkan sebagai kaum yang jahil seperti dalam ayat 55 Surah al-Naml. Justeru, untuk membendung kesongsangan ini, terdapat beberapa garis panduan yang telah diletakkan oleh agama Islam. Antaranya, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Allah melaknati lelaki yang meniru gaya wanita dan wanita yang meniru gaya lelaki.” (HR Ahmad 5/56, dalam Musnad dan sanadnya dihukum sahih oleh Ahmad Syakir.)
Menurut hadith ini, lelaki dilarang meniru gaya perempuan dan begitu jugalah wanita dilarang meniru gaya lelaki. Perkara ini dilaknat oleh Allah Ta’ala. Ini merupakan satu tanggungjawab yang menjadi bebanan setiap manusia sesuai dengan kapasitinya. Perkara inilah yang akan menjamin kesejahteran manusia. Apabila setiap pihak melaksanakan tanggung jawab yang sesuai dengan jati dirinya, maka terhasillah kesejahteraan sejagat.
Lebih terperinci lagi, seorang pemerintah pastinya menanggung beban membuat islah terhadap rakyatnya. Seorang pemimpin daerah pula mesti memastikan penduduk kawasannya. Seorang ayah wajib memastikan kesejahteraan agama dan dunia isteri dan anak-anaknya. Ini bersesuaian dengan hadith Nabi s.a.w. di mana Baginda bersabda yang bermaksud: “Kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pihak yang dipimpinnya. Pemerintah sesuatu masyarakat adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi isi rumah suaminya serta anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Justeru, kamu semua  adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap pihak yang dipimpin.” (HR al-Bukhari No 2554.)
            Apapun hakikatnya, sebagai seorang manusia pastinya akan ada kelemahan dan kekurangan. Jika pemerintah, masyarakat dan keluarga tidak dapat membentuk jati diri gender seseorang individu itu, maka benteng terakhir adalah diri individu itu sendiri. Masih belum terlambat bagi setiap seorang yang mempunyai kekeliruan gender untuk kembali ke pangkal jalan. Ini kerana taubat itu terbuka pintunya sehingga ke hembusan nafas yang terakhir sesuai dengan hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menerima taubat hambaNya selagimana dia belum nazak.” (HR al-Tirmizi No 3537 dan dihukum Hasan oleh al-Albani.)
            Saya sudahi dengan satu doa Nabi s.a.w.: “Wahai Tuhan kami perbaikilah hubungan antara kami, tunjukkanlah kepada kami jalan-jalan kesejahteraan, selamatkanlah kami daripada kegelapan kepada cahaya, hindarilah kami daripada perkara-perkara keji samada yang zahir mahupun yang tersembunyi. Berkatilah kami pada pendengaran, penglihatan, hati, pasangan dan zuriat kami. Terimalah taubat kami kerana Engkaulah Yang Maha Penerima taubat dan Maha Mengasihani. Jadikanlah kami mensyukuri nikmat-nikmatMu, memuji dan menyebutnya, serta sempurnakanlah nikmat-nikmatMu ke atas kami…(HR al-Bukhari dalam al-Adab al-mufrad dan dihukum sanadnya Sahih oleh al-Albani.)
Yakinlah, masih belum terlambat untuk bertaubat…








0 comments:

Related Posts with Thumbnails