RSS Feeds

Translate

5.31.2013

Perkongsian Maklumat Berkenaan al-Syawahid wa al-Mutaba'at

huruf pertama Cetak Halaman


PERANAN  AL-SHAWAHID WA AL-MUTABA‘AT
DALAM PENILAIAN HADITH: PENGENALAN
DAN GARIS PANDUAN


Dr Fadlan Mohd Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University



Abstrak


Kajian ini membincangkan usaha ulamak Hadith (Ahl al-Hadith atau al-Muhaddithun) dalam menilai sesuatu hadith yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Ulamak Hadith telah merumuskan pelbagai formula untuk menjaga kesucian sunnah Rasulullah s.a.w. Di antara usaha yang mereka tekankan ialah al-I‘tibar iaitu pencarian al-Shawahid wa al-Mutaba‘at. Usaha ini penting dalam menjelaskan kedudukan sesuatu hadith yang mungkin  dianggap sahih atau da‘if jika dilihat sendirian tetapi sebenarnya bukan demikian. Kajian ini menjelaskan secara ringkas berkenaan definisi al-I‘tibar, al-Shawahid dan al-Mutaba‘at. Seterusnya perbincangan diteruskan dengan penjelasan garis panduan perlaksanan usaha murni ini. Kajian mendapati usaha ini merupakan satu bidang ilmu yang perlu dikuasai oleh pengkaji dalam bidang hadith.

 
Pengenalan Ringkas Berkenaan Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At Dan Al-I‘Tibar


Sebagai pendahuluan, eloklah jika diperhatikan erti ketiga-tiga perkataan ini iaitu al-Shawahid, al-Mutaba‘at dan al-I‘tibar. Setiap perbincangan hanya akan membuahkan hasil yang memuaskan apabila definisi perkara yang dibincangkan itu dapat difahami sebelum diterokai  dengan lebih lanjut.

Definisi Al-Shawahid

Al-Shahid atau al-Shawahid ialah seorang periwayat menyertai periwayat lain dalam periwayatan hadith daripada sahabiy yang lain samada dari sudut lafaz atau erti (al-Qudah1424H-2003, 93).

Definisi Al-Mutaba‘At

Al-Mutaba‘ah atau al-Mutaba‘at ialah seorang periwayat menyertai periwayat lain dalam periwayatan hadith daripada sahabiy yang sama dari sudut lafaz atau erti (al-Qudah1424H-2003, 93).

Al-Mutaba‘ah atau al-Mutaba‘at terbahagi dua iaitu:

1.      Mutaba‘ah Tammah: Penyertaan itu bermula daripada peringkat shaykhnya sehinggalah ke penghujung sanad.

2.      Mutaba‘ah Qasirah: Penyertaan itu bermula daripada peringkat selepas shaykhnya sehinggalah ke penghujung sanad (al-Qudah1424H-2003, 93).

Berikut ialah satu gambarajah yang menerangkan tentang kedudukan al-Mutaba‘ah al-Tammah, al-Mutaba ‘ah al-Qasirah dan al-Shahid (lihat: al-Qudah1424H-2003, 94):

Hadith asal
Mutaba‘ah Tammah
Mutaba‘ah Qasirah
Shahid
الشهر تسع وعشرون...فإن غم عليكم فأكملوا العدة ثلاثين               
فإن غم عليكم فأكملوا العدة ثلاثين
...فكملوا ثلاثين
إذا رأيتموا الهلال فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا فإن غم عليكم فأكملوا العدة ثلاثين
Rasulullah
Rasulullah
Rasulullah
Rasulullah

Abdullah bin Umar

Abdullah bin Umar

Abdullah bin Umar

Abdullah bin Abbas

Abdullah bin Dinar

Abdullah bin Dinar

Muhammad bin Zaid

Muhammad bin Hunain

Malik

Malik

‘Asim bin Muhammad

‘Amr bin Dinar

Al-Shafiiy

Abdullah bin Maslamah

Ibn Khuzaymah

Sufyan
-

Al-Bukhari
-
Muhammad bin Abdullah bin Zaid
-
-
-

Al-Nasai
Definisi Al-I‘Tibar

Al-I‘tibar pula ialah usaha dan kajian menyeluruh terhadap jalur-jalur hadith untuk mengenalpasti al-Shawahid dan al-Mutaba‘at (Ibn Kathir 1417H-1997, 69).  

Peranan Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At Dalam Penilaian Hadith

Di dalam menilai sesuatu hadith, para ulamak telah menggariskan pelbagai dasar dan garis panduan yang teliti dan mendalam. Antara lain, mereka menekankan pengumpulan jalur-jalur hadith supaya dikaji khususnya dari sudut penelitian sanad. Hadith tidak boleh dihukum sahih  atau da‘if  hanya dengan melihat satu jalur sahaja.

Kemungkinan jalur sesuatu hadith itu sahih akan tetapi disebabkan beberapa perkara tertentu, ianya akan dikira sebagai da‘if. Di antara perkara yang menjadikan sesuatu hadith sahih itu da‘if ialah jika hadith sahih itu mengandungi tambahan yang menyalahi hadith sahih lain yang lebih kuat, samada dari sudut dabt (keteguhan), bilangan atau lain-lain. Hadith yang pertama adalah da‘if dan dinamakan shadh  manakala hadith yang kedua adalah sahih dan dinamakan mahfuz  (Al-‘Asqalani t.th., 28).

Dari sudut lain pula, kemungkinan juga jalur sesuatu hadith itu da‘if, akan tetapi apabila ada jalur lain yang menguatkannya, maka hadith pertama itu bertukar kepada hasan li ghairih  (Al-‘Asqalani t.th., 55). Hadith hasan li dhatih  juga dapat dinaik tarafkan kepada sahih li ghairih  dengan al-shawahid wa al-mutaba‘at (Al-‘Asqalani t.th., 25)

Al-Shawahid Wal Mutaba‘At Boleh Menguatkan Hadith

Seperti yang telah dijelaskan, di antara peranan al-shawahid wa al-mutaba‘at ialah menguatkan hadith. Hadith da‘if boleh ditukarkan kepada hasan li ghairih manakala hadith hasan li dhatih pula boleh ditukarkan kepada sahih li ghairih. Berikut adalah garis panduan perbincangan ini.

Garis Panduan Menguatkan Hadith Dengan Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At

1.      Hadith Da‘If Khafif Al-Da‘F Kepada Hasan Li Ghairih

Sekiranya sesuatu hadith itu khafif al-da‘f  (lemah secara ringan), ianya dapat dinaiktarafkan kepada hasan li ghairih dengan bantuan shawahid dan mutaba‘at yang berbilang-bilang. Kathrah al-turuq (jalur yang banyak) dalam keadaan ini berperanan mengenepikan sifat al-da‘f daripada hadith tersebut. Berkata Ibn Hajar Al-‘Asqalani (t.th., 55):

ومتى توبع السيء الحفظ بمعتبر، وكذا المستور، والمرسل، والمدلس: صار حديثهم حسنا لا لذاته بل بالمجموع.

Maksudnya: Dan bila periwayat yang lemah hafalannya diiringi oleh hadith yang muktabar, juga periwayat yang mastur (tidak dikenali keadaannya), hadith mursal dan hadith mudallas; hadith mereka akan bertukar menjadi hasan bukan dengan dirinya sendiri akan tetapi secara berkumpulan.

Berkata Dr. Muhammad ‘Ijaj al-Khatib (1405H-1985, 156-157):

فكل حديث ضعيف لقدح في العدالة، كالكذب على رسول الله صلى الله عليه وسلم، أو التهمة به، أو للكذب في أحاديث الناس، والفسق في القول أو العمل، والابتداع بكفر، ونحو هذا، لا يرتقي عن درجة الضعف، ولو كثرت طرقه، لشدة سوء أسباب هذا الضعف، وتقاعد الجابر عن جبر ضعف الراوي، وقد يرتقي بمجموع طرقه عن كونه منكرا أو لا أصل له، إلى درجة المستور السيء الحفظ.

والحديث الضعيف لسبب قادح في الحفظ والضبط، مما لم تـُثـْلـَم عدالة رواته، إذا كثرت طرقه ارتقى من الضعيف إلى الحسن لغيره، لأن مجيئه من طريق مقبول، أو طرق أخرى يجبر ضعفه، ويتبين للدارس أن حفظ راوي الضعيف بالطريق الأول لم يختل ضبطه فيه، لذا ارتقى عن الضعيف.

وكذلك كل ما كان ضعفه لأرسال أو تدليس، أو لجهالة بعض رواته، فإن هذا الضعف يزول بمجيئه من وجه آخر، ويصير الحديث حسنا لغيره، للعاضد الذي عضده.

Maksudnya: Setiap hadith yang da‘if kerana tohmahan dalam al-‘adalah (keadilan) seperti penipuan ke atas Rasulullah s.a.w., atau tohmahan melakukan penipuan ini, atau penipuan dalam kata-kata manusia, atau kefasikan dalam percakapan atau amalan, dan melakukan bid‘ah yang kufur, dan yang seumpamanya; hadith itu tidak akan naik dari tahap da‘if walaupun jika jalurnya banyak. Ini kerana punca-punca da‘f (kelemahan) ini amat kritikal dan kelemahan periwayat di sini tidak dapat diperbaiki. Akan tetapi, dengan jalur yang banyak, hadith itu dapat berubah daripada hadith munkar atau la asla lah (tiada asal baginya) kepada tahap periwayat mastur (yang tidak dikenali) dan sayyi’ al-hifz  (yang lemah hafalannya).

Hadith yang da‘if disebabkan kelemahan dalam hafalan dan kekuatan ingatan yang tidak terkesan dengannya keadilan periwayat-periwayat, jika jalurnya banyak, hadith itu akan bertukar daripada da‘if kepada hasan li ghairih. Ini kerana kedatangan hadith itu dari jalur yang diterima atau dari jalur-jalur lain dapat memperbaiki kelemahannya. Jelaslah di sini bagi pengkaji bahawa hafalan periwayat hadith yang da‘if melalui jalur pertama tidak rosak dabt (keteguhannya). Dengan itu hadith itu meninggalkan peringkat da‘if.

Begitu jugalah halnya dengan hadith da‘if kerana irsal atau tadlis atau periwayat majhul (tidak dikenali), kelemahan itu akan terhakis dengan kedatangan jalur lain. Hadith itu bertukar kepada hasan di ghairih dengan jalur yang menguatkannya.

Dapatlah dirumuskan di sini bahawa antara kriteria hadith khafif al-da‘f (lemah secara ringan) ialah sifat al-da‘f tidak berpunca daripada kelemahan tahap sidq (kebenaran) salah seorang periwayatnya dan tidak juga berpunca daripada kelemahan tahap din (keagamaan) salah seorang periwayatnya. Hadith da‘if yang dapat dinaiktarafkan kepada hasan li gahirih adalah empat iaitu periwayat yang sayyi’ al-hifz, periwayat yang majhul al-hal / mastur, hadith mursal dan hadith mudallas.
     
Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 378-379):

روى البزار من طريق عبد الله بن يزيد ثنا عبد الرحمن بن زياد عن راشد بن عبد الله المعافري عن عبد الله بن يزيد عن عبد الله بن عمرو أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال [أفضل الصدقة إصلاح ذات البين].

Hadith ini da‘if kerana Abdul Rahman bin Ziyad berada pada tahap da’if. Akan tetapi hadith ini naik taraf kepada hasan li ghairih dengan hadith mutaba‘ah berikut yang bertaraf sahih:

قال الإمام الترمذي حدثنا هناد حدثنا أبو معاوية عن الأعمش عن عمرو بن مرة عن سالم بن أبي الجعد عن أم الدرداء عن أبي الدرداء قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم [ألا أخبركم بأفضل من درجة الصيام والصلاة والصدقة؟] قالوا بلى قال [صلاح ذات البين فإن فساد ذات البين هي الحالقة].

 قال أبو عيسى هذا حديث صحيح ويروى عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال [هي الحالقة لا أقول تحلق الشعر ولكن تحلق الدين]. (سنن الترمذي، كتاب صفة القيامة والرقائق والورع، باب منه، رقم 2433).

2.      Hadith Hasan Li Dhatih Kepada Sahih Li Ghairih

Sekiranya hadith hasan li dhatih datang melalui jalur yang banyak, ianya akan naik ke tahap sahih li ghairih. Berkata Muhammad Jamal al-Din al-Qasimi (1425H-2004, 144):

اعلم أن الحسن إذا روي من وجه آخر، ترقى من الحسن إلى الصحيح، لقوته من الجهتين، فيعتضد أحدهما بالآخر، وذلك لأن الراوي في الحسن متأخر عن درجة الحافظ الضابط مع كونه مشهورا بالصدق والستر، فإذا روي حديثه من غير وجه، ولو وجها واحدا قوي بالمتابعة وزال ما كان يخشى عليه من جهة سوء حفظ راويه، فارتفع حديثه من درجة الحسن إلى الصحيح.
                                               
Ketahuilah bahawa sekiranya hadith hasan diriwayatkan daripada jalur lain, ianya akan naik daripada peringkat hasan kepada sahih kerana kekuataannya dari dua sudut, lalu setiap satu akan menguatkan yang lain. Periwayat hadith hasan dikira rendah sedikit daripada peringkat periwayat yang menghafal dengan teguh walaupun dia dikenali dengan kebenaran dan kebaikan. Jadi jika hadithnya datang dari jalur lain, walaupun satu jalur, ianya akan menjadi kuat dengan mutaba‘ah (kewujudan mutabi‘) dan terhakislah keraguan terhadapnya dari sudut kelemahan hafalan periwayatnya. Dengan ini hadith itu naik daripada peringkat hasan kepada sahih.

Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 62-65):

قال الإمام الترمذي حدثنا علي بن حجر أخبرنا حرملة بن عبد العزيز بن الربيع بن سبرة الجهني عن عمه عبد الملك بن الربيع بن سبرة عن أبيه عن جده قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم [علموا الصبي الصلاة ابن سبع سنين واضربوه عليها ابن عشر.]
 قال وفي الباب عن عبد الله بن عمرو. قال أبو عيسى حديث سبرة بن معبد الجهني حديث حسن صحيح. (سنن الترمذي، كتاب الصلاة، باب ما جاء متى يؤمرالصبي بالصلاة، رقم 372).

Hadith ini bertaraf Hasan li dhatih kerana Abdul Malik bin al-Rabi‘ berada pada tahap hasan. Hadith ini naik taraf kepada Sahih li ghairih dengan hadith Shahid berikut yang juga bertaraf Hasan li dhatih kerana Sawwar Abu Hamzah al-Sayrafiy berada pada tahap hasan:

قال الإمام أبو داود حدثنا مؤمل بن هشام يعني اليشكري حدثنا إسمعيل عن سوار أبي حمزة قال أبو داود وهو سوار بن داود أبو حمزة المزني الصيرفي عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم [ مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا بينهم في المضاجع.]
حدثنا زهير بن حرب حدثنا وكيع حدثني داود بن سوار المزني بإسناده ومعناه وزاد [وإذا زوج أحدكم خادمه عبده أو أجيره فلا ينظر إلى ما دون السرة وفوق الركبة.] قال أبو داود وهم وكيع في اسمه وروى عنه أبو داود الطيالسي هذا الحديث فقال حدثنا أبو حمزة سوار الصيرفي. (سنن أبي داود، كتاب الصلاة، باب متى يؤمر الغلام بالصلاة، رقم 418).

Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At Boleh Melemahkan Hadith

Dari sudut yang lain, di antara peranan al-shawahid wa al-mutaba‘at ialah menekankan penolakan terhadap sesuatu hadith. Hadith da‘if shadid al-da‘f dan hadith maudu‘tidak sekali-kali dapat diselamatkan. Berikut adalah garis panduan perbincangan ini.

Garis Panduan Melemahkan Hadith Dengan Al-Shawahid Wal Mutaba‘At

1.      Hadith Da‘If Shadid Al-Da‘F Kekal Bahkan Bertambah Da‘if

Sekiranya sesuatu hadith itu shadid al-da‘f (lemah secara serius), ianya tidak akan dapat dinaik tarafkan kepada hasan li ghairih walaupun mempunyai shawahid dan mutaba‘at yang berbilang-bilang. Kathrah al-turuq (jalur yang banyak) dalam keadaan ini hanya akan menambahkan sifat al-da‘f pada hadith tersebut. Berkata Muhammad Nasir al-Din al-Albani (1422H-2001, 31):
     
Antara perkara masyhur di kalangan ulamak ialah jika sesuatu hadith itu datang daripada jalur-jalur yang banyak, hadith itu akan menjadi kuat dan hujjah walaupun setiap jalur itu secara tersendirinya adalah da‘if. Akan tetapi kenyataan ini bukan secara umum. Sebaliknya, di sisi ulamak yang teliti, ini bergantung kepada sifat al-da‘f dari sudut kelemahan hafalan periwayat dan bukannya dari sudut tuduhan terhadap tahap kebenaran periwayat mahupun keagamaannya. Jika tidak, hadith itu tidak akan menjadi kuat walaupun jalurnya banyak.

Berkata Abdul Qadir al-Arnaut (al-Qasimi 1425H-2004, 154):

وبناء على ما  تقدم: ليس كل حديث ضعيف يرتقي بمجموع طرقه. بل قد تزيده كثرة الطرق ضعفا على ضعفه.
                       
Berdasarkan perbincangan ini, bukan semua hadith da’if boleh naik taraf dengan jalur yang banyak. Bahkan mungkin jalur yang banyak itu menambahkan da‘f (kelemahan) di samping da‘f (kelemahan) yang sedia ada.

Dengan itu dapatlah disimpulkan bahawa kriteria hadith shadid al-da‘f (lemah secara serius) ialah sifat al-da‘f berpunca daripada kelemahan tahap sidq (kebenaran) atau kelemahan tahap din (keagamaan) salah seorang periwayatnya seperti berikut (al-Khayrabadiy 1423H-2003, 289):
1-      Salah seorang daripada periwayatnya pembohong atau pemalsu.
2-      Salah seorang daripada periwayatnya dituduh pembohong atau dituduh pemalsu.
3-      Salah seorang daripada periwayatnya fasiq.
4-      Hadith itu bersifat shadh atau munkar.
5-      Hadith itu bersifat ma‘lul.

Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 94-109):

من حفظ على أمتي أربعين حديثا من أمر دينها بعثه الله يوم القيامة في زمرة الفقهاء والعلماء

Maksudnya: Sesiapa yang menghafal untuk umatku empat puluh hadith berkenaan urusan agama mereka, Allah akan bangkitkannya pada hari Kiamat kelak bersama golongan fuqaha’ dan ulamak.           

Berkata al-Imam Yahya bin Sharaf al-Nawawi (Nazim, 1410H, 14):
واتفق الحفاظ على أنه حديث ضعيف وإن كثرت طرقه
Maksudnya: Para huffaz telah bersepakat mengatakan ini hadith da‘if walaupun jalurnya banyak.
                       
Walaupun hadith ini mempunyai dua puluh lima jalur daripada tiga belas para sahabat, namun hadith ini tidak naik taraf kepada hadith hasan li ghairih kerana da‘f (kelemahannya) adalah serius seperti berikut:

1-      Enam belas jalur-jalurnya mengandungi periwayat yang pemalsu, dituduh dengan pemalsuan, pembohong dan dituduh dengan pembohongan.

2-      Tiga jalur-jalurnya yang lain mengandungi periwayat yang dihukum matruk al-hadith (ditinggalkan hadithnya).

3-      Lima jalur-jalurnya yang lain mu‘allaq (tergantung), di samping wujudnya periwayat majhul (tidak dikenali), atau dua orang majhul atau periwayat da‘if.

4-      Satu jalurnya yang lain mengandungi dua periwayat majhul dan wujud inqita‘ (sanad terputus).

2.      Hadith Maudu‘ Kekal Bahkan Bertambah Maudu‘

Berkenaan dengan hadith maudu‘[1] pula, ianya tidak akan sekali-kali dikuatkan oleh apa-apa sekalipun dari sudut ilmu hadith. Perkara ini amat jelas kerana hadith maudu‘  sebenarnya bukanlah hadith yang boleh disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bahkan para ulamak hadith mengharamkan periwayatannya kecuali untuk menjelaskan perihal sifat wad‘ (kepalsuannya) (al-Qudah 1424-2003,183). Justeru kathrah al-turuq (jalur yang banyak) tidak memberi apa-apa kesan langsung kepada hadith maudu‘.

Hadith maudu‘ juga tidak boleh disifatkan sebagai mutawatir kerana sifat tawatur itu hanyalah untuk hadith yang sahih sahaja[2]. Menyifatkan satu hadith maudu‘ sebagai mutawatir hanyalah menyerlahkan lagi kecetekan intelektual dan kelemahan penguasaan disiplin ilmu hadith.


PERHATIAN!

1.      Hukum Terhadap Sanad Tidak Semestinya Hukum Terhadap Matan

Di dalam mengeluarkan sesuatu hukum terhadap sanad sesuatu hadith sebagai dacif atau dacif shadid al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc  disebabkan kelemahan sifat salah seorang periwayatnya seperti dacif, munkar al-hadith mahupun kadhdhab, sebenarnya yang dihukum ialah hadith tersebut secara spesifik; iaitu sanad dan matannya. Justeru, jika ditemui matan yang mirip dengan hadith pertama itu, daripada sanad yang sahih atau hasan, hadith yang kedua itu diterima. Dengan ini, pelaksanaan adalah berdasarkan hadith yang kedua dan bukannya hadith yang pertama. Dalam kes ini juga hadith yang pertama itu statusnya bertukar hasan lighayrih jika asalnya dacif (khafif al-dacf), kekal dacif jika asalnya dacif jiddan atau dan kekal juga mawduc jika asalnya mawduc. Dapatlah perkara ini digambarkan dalam gambarajah berikut:

Hukum hadith pertama
Hukum hadith kedua (shahid @ mutabacah)
Natijah hukum hadith pertama
Status penerimaan atau penolakan
Dacif
Hasan atau Sahih
Bertukar jadi Hasan lighayrih
Hadith pertama dan kedua diterima
Dacif jiddan
Hasan atau Sahih
Kekal Dacif Jiddan
Hadith pertama ditolak, hadith kedua diterima
Mawduc
Hasan atau Sahih
Kekal Mawduc
Hadith pertama ditolak, hadith kedua diterima

2.      Tidak Semua Kenyataan Yang Benar Itu Hadith

Apabila seseorang itu mengeluarkan kenyataan yang benar, kenyataannya hendaklah diterima sebagai kenyataan yang benar. Itulah yang adil baginya. Akan tetapi perlulah ditekankan bahawa kenyataan itu tidak boleh disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. semata-mata kerana ianya adalah kenyataan yang benar. Untuk menyandarkannya kepada Rasulullah s.a.w., perlulah dinyatakan dalil iaitu sanad yang sahih atau hasan. Jika wujud satu sanad yang bersambungan terus kepada Rasulullah s.a.w. dengan menepati syarat sahih atau hasan, barulah kenyataan itu boleh disandarkan kepada Baginda s.a.w.

Dengan ini, dapatlah ditetapkan bahawa erti matan yang sahih dari sesuatu hadith yang mawduc masih boleh diterima sebagai kenyataan yang benar tetapi ianya haram disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.!

Kesimpulan

1-      Para ulamak hadith atau ahli al-hadith atau al-muhaddithun memberikan penekanan yang besar terhadap peranan al-shawahid wa al-mutaba‘at.

2-      Di dalam usaha untuk menilai kekuatan atau kelemahan sesuatu hadith, pengkaji hendaklah mendalami atau setidak-tidaknya memberi perhatian kepada peranan al-Shawahid wal-Mutaba‘at.

3-      Hadith da‘if khafif al-da‘f boleh dikuatkan oleh al-Shawahid wal-Mutaba‘at manakala hadith da‘if shadid al-da‘f dan juga hadith maudu‘ tidak boleh dikuatkan oleh al-Shawahid wal-Mutaba‘at.

4-      Kelemahan dalam bidang ini boleh menyebabkan kesilapan dalam menguatkan hadith atau melemahkan hadith.

5-      Keperluan merujuk kepada penilaian para ulamak yang pakar dalam bidang hadith dalam usaha untuk menyatakan kesahihan atau kelemahan hadith.

6-      Sekiranya terdapat satu hadith yang mempunyai pelbagai sanad di mana sanad pertama dacif shadid al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc  manakala sanad yang lain sahih atau hasan, hadith ini boleh diamalkan berdasarkan hadith yang sahih atau hasan itu. Hadith pertrama yang dacif shadid al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc   itu tetap tidak boleh diterima walaupun matannya telah sabit dengan hadith kedua. Dalam ertikata lain, perlulah diambil matan hadith ini daripada hadith yang kedua dan bukannya hadith yang pertama.



RUJUKAN
Al-Quran al-Karim.

Al-‘Asqalani, Ibn Hajar. t.th. Nuzhah al-Nazar Bi Sharh Nukhbah al-Fikar Fi Mustalah Hadith Ahl al-Athar. Ta‘liq Abu ‘Abd al-Rahim Muhammad Kamal al-Din al-Adhamiy. Al-Qahirah: Maktabah al-Turath al-Islamiy.

Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din. 1422H-2001. Tamam al-Minnah Fi al-Taliq Ala Fiqh al-Sunnah. al-Riyadh: Dar al-Rayah.

Al-Qudah, Dr. Sharaf Mahmud. 1424H-2003. al-Minhaj al-Hadith Fi Mustalah al-Hadith. Kuala Lumpur, Albayan Corporation Sdn. Bhd.

Al-Tahhan, Dr. Mahmud, 1407H-1987. Taysir Mustalah al-Hadith. Al-Riyad: Maktabah al-Ma‘arif.

Al-Qasimi, Muhammad Jamal al-Din. 1425H-2004. Qawa ‘id al-Tahdith Min Funun Mustalah al-Hadith. Tahqiq al-Shaykh ‘Abd al-Qadir al-Arnaut. Bayrut: Muassasah al-Risalah.

Nazim Muhammad Sultan. 1410H. Qawa‘id Wa Fawaid Min al-Arba ‘in al-Nawawiyyah. Al-Riyad: Dar al-Hijrah.

Al-Khatib, Muhammad ‘Ijaj. 1421H-2001. Usul al-Hadith ‘Ulumuh Wa Mustalahuh. Bayrut: Dar al-Fikr.

Al-Khatib, Muhammad ‘Ijaj. 1405H-1985. al-Mukhtasar al-Wajiz Fi ‘Ulumu al-Hadith.Bayrut: Muassasah al-Risalah.

Al-Qattan, Manna‘. 1412H-`992. Mabahith Fi ‘Ulum al-Hadith. Al-Qahirah: Maktabah Wahbah.

Ahmad Muhammad Shakir. 1417H-1997. al-Ba ‘ith al-Hathith Sharh Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith Li al-Hafiz Ibn Kathir. Tahqiq Dr. Badi‘ al-Sayyid al-Lahham. Dimishq: Dar al-Fayha’ dan al-Riyad: Dar al-Salam.

Dr. al-Murtada al-Zayn Ahmad. 1415H-1994. Manahij al-Muhaddithin Fi Taqwiyah al-Ahadith al-Hasanah Wa al-Da‘ifah. Al-Riyad: Maktabah al-Rushd.

Al-Khayrabadiy, Dr. Muhammad Abu al-Layth. 1423H-2003. ‘Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu ‘asiruha. Selangor: Dar al-Shakir.












Nota hujung:

[1]  Hadith Maudu‘ ialah: Apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. secara rekaan dan pendustaan yang mana Baginda tidak sebut, buat atau perakui (al-Khatib 1421H-2001, 275).

[2]  Hadith Mutawatir ialah: Apa yang diriwayatkan oleh bilangan yang banyak di mana mengikut kebiasaan, adalah mustahil bagi mereka bersepakat untuk berdusta; dari permulaan sanad hinggalah ke penghujung, dengan perantaraan pancaindera (al-Qattan 1412H-1992, 95).

Hadith Mutawatir tergolong dalam bahagian al-maqbul (yang diterima) dan merupakan tahap tertinggi di kalangan hadith yang diterima sehinggakan para ulamak mengkafirkan orang yang menolaknya tidak kira samada mutawatir lafziy atau mutawatir ma‘nawiy (al-Qudah 1424H-2003, 97).

Hadith Maudu‘ pula tergolong dalam bahagian al-mardud (yang ditolak) bahkan ianya merupakan tahap tertinggi juga di kalangan hadith yang  ditolak sehinggakan para ulamak mengharamkan periwayatannya kecuali untuk tujuan menjelaskan kepalsuannya (al-Tahhan 1407H-1987, 89-90).


 

0 comments:

Related Posts with Thumbnails