RSS Feeds

Translate

3.03.2010

Keimanan ibu bapa Rasulullah s.a.w.

Cetak Halaman

Pada suatu pagi, saya membelek-belek surat khabar semalam yang tak sempat dibaca. Tiba-tiba saya terbaca suatu artikel yang mengatakan bahawa ibu bapa Rasulullah s.a.w. adalah di kalangan Ahli Fatrah yang beriman dan tidak kafir. Tidak lama selepas itu sayapun membuat sedikit pencarian di dalam alam maya dan saya dapati memang ada di kalangan umat manusia yang berkepercayaan demikian iaitulah golongan al-Syi'ah di samping sebahagian ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah. Teringat saya kepada beberapa hadith yang sahih membincangkan perkara ini, lalu saya membuat carian lagi dan saya mendapati pendapat JUMHUR (di antaranya ialah al-Imam al-Nawawi) ialah ibu bapa Rasulullah s.a.w. bukan di kalangan Ahli Fatrah dan mereka tidak beriman. Saya terpanggil di sini untuk mengemukakan soal jawab tersebut yang telah pun saya terjemahkan agar dapat dimanfaatkan bersama:
(Sumber dirujuk dahulu dan juga pada 3 Mac 2010: http://www.islamqa.com/ar/ref/47170):
(Terjemahan soalan:) Adakah ibu bapa Rasulullah s.a.w. di dalam syurga atau neraka? Kami mohon jawapan berdasarkan hadith yang menunjukkan perkara tersebut.
(Terjemahan jawapan:) Segala puji bagi Allah jua.
Terdapat hadith daripada Nabi s.a.w. yang menunjukkan kedua ibu bapanya berada dalam neraka.
1. Muslim (203) meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas r.a. bahawa seorang lelaki bertanya, "Wahai Rasulullah, di manakah ayahku?" Jawab Nabi, "Di dalam neraka." Apabila lelaki itu berpusing untuk pergi, Baginda memanggilnya lalu berkata, "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka."
Berkata al-Imam al-Nawawi r.a.:
"Petunjuk dalam hadith ini: bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan kafir maka dia di dalam neraka dan dia tidak dapat disyafaatkan oleh hubungan kekeluargaan ahli keluarganya yang dekat. Petunjuk lain: bahawa sesiapa yang mati dalam tempoh 'fatrah' berdasarkan amalan masyarakat Arab yang menyembah berhala maka dia adalah di kalangan ahli neraka; ini bukan merupakan hukuman sebelum tibanya dakwah kerana sesungguhnya mereka itu telahpun sampai dakwah Nabi Ibrahim dan nabi-nabi lain kepada mereka a.s. "

2. Muslim (976) meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku telah meminta izin Tuhanku agar aku boleh meminta ampun untuk ibuku tetapi Dia tidak mengizinkan untukku. Aku juga telah meminta izinNya agar aku dapat menziarahi kuburnya lalu Dia mengizinkan untukku."
Berkata Pengarang 'Awn al-Ma'bud:
"tetapi Dia tidak mengizinkan untukku" kerana ibunya adalah kafir dan meminta ampun untuk orang kafir adalah dilarang."

Berkata al-Imam al-Nawawi:
"Petunjuk dalam hadith ini: larangan meminta ampun untuk orang-orang kafir."

Berkata Shaykh Bin Baz r.a.:
"Apabila Nabi s.a.w. berkata "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka," baginda menyebutnya berdasarkan ilmu, kerana baginda s.a.w. tidak menuturkan sesuatu berdasarkan hawa nafsu, seperti yang disifatkan Allah tentangnya dalam firmanNya {1. Demi bintang semasa ia menjunam, -2. rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). 3. dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. 4. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadaNya.} (Surah al-Najm 53:1-4). Jika tidak kerana Abdullah bin Abdul Muttalib yang merupakan ayah Nabi s.a.w. telah tertegak hujah ke atasnya, pasti Nabi s.a.w. tidak akan mengatakan tentangnya seperti itu. Maka kemungkinan telah sampai kepadanya perkara yang menegakkan hujah daripada agama Nabi Ibrahim s.a.w. Ini kerana mereka iaitu masyarakat Arab dahulunya mereka berada di atas agama Nabi Ibrahim sehingga mereka membuat amalan baru yang dipelopori oleh Amr bin Luhayy al-Khuza'i. Amalan Amr telah berleluasa dalam masyarakat; iaitu penyebaran patung-patung dan berdoa kepadanya bukan kepada Allah. Kemungkinan yang ada ialah Abdullah (Ayah Rasulullah) telah sampai kepadanya maklumat bahawa apa yang diamalkan Quraish iaitu penyembahan patung-patung adalah batil akan tetapi dia tetap mengikuti mereka; dengan ini telah tertegaklah hujah ke atasnya. Begitu jugalah keadaanya dengan hadith yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah meminta izin untuk meminta ampun untuk ibunya tetapi tidak diizinkan Allah, kemudian Baginda meminta izin untuk menziarahi kubur ibunya lalu diizinkan Allah; tidak dibenarkan Baginda meminta ampun untuk ibunya, berkemungkinan kerana telah sampai kepada ibunya penjelasan yang tertegak dengannya hujah. Ataupun kerana urusan orang-orang jahiliyyah adalah seperti urusan orang kafir pada hukum-hukum dunia di mana tidak didoa untuk mereka dan tidak juga diminta ampun untuk mereka kerana pada zahirnya mereka adalah kafir dan mereka pada zahirnya bersama orang-orang kafir lalu urusan mereka adalah urusan orang kafir, dan kesudahan mereka di akhirat nanti diserahkan kepada Allah jua." Fatawa Nur 'ala al-Darb.

Al-Imam al-Suyuti r.a. berpendapat bahawa kedua ibu bapa Rasulullah s.a.w. selamat daripada kebinasaan di mana Allah Ta'ala telah menghidupkan mereka selepas mereka wafat dan mereka telah beriman dengannya.

Pendapat ini adalah pendapat yang disanggah oleh kebanyakan ahli ilmu. Mereka menghukum hadith-hadith yang mengatakan demikian sebagai samada hadith yang palsu atau amat lemah.

Berkata Pengarang 'Awn al-Ma'bud:
"Semua hadith yang berkenaan penghidupan semula ibu bapa Rasulullah s.a.w. dan keimanan mereka berdua serta keselamatan mereka kebanyakannya adalah palsu, bohong lagi direka dan sebahagiannya pula adalah sangat da'if. Ianya tidak sahih sama sekali dengan kesepakatan imam-imam hadith ke atas pemalsuannya, seperti al-Daraqutni, Ibn Shahin, al-Khatib, Ibn 'Asakir, Ibn Nasir, Ibn al-Jauzi, al-Suhayli, al-Qurtubi, al-Muhib al-Tabari, Fath al-Din bin Sayyid al-Nas, Ibrahim al-Halibi dan banyak lagi. Al-'Allamah Ibrahim al-Halabi telah menjelaskan secara terperinci berkenaan ketidak selamatan ibu bapa Nabi s.a.w. dalam satu risalah khas. Ketepatan pegangan ini disokong oleh hadith sahih ini: "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka." Al-Shaykh Jalal al-Din al-Suyuti telah menyalahi para Huffaz dan para ulama yang teliti di mana dia telah menetapkan bari ibu bapa Nabi s.a.w. keimanan dan keselamatan dengan mengarang beberapa risalah berkenaannya, antaranya ialah 'Risalah al-Ta'zim wa al-Minnah fi anna abaway Rasulillah s.a.w. fi al-Jannah'. "

Shaykhul Islam r.a. telah ditanya: “Adakah sahih riwayat daripada Nabi s.a.w. bahawa Allah Tabaraka wa Ta’ala telah menghidupkan ibubapa Nabi dan mereka beriman di tangannya kemudian mereka mati semula?” Lalu beliau menjawab, “Tidak sah riwayat itu daripada sesiapapun di kalangan pakar hadith. Bahkan para ulama bersepakat bahawa perkara itu adalah bohong dan rekaan… Tiada khilaf di kalangan para ulama bahawa itu amat jelas kepalsuannya seperti yang dinyatakan oleh para ulama. Riwayat itu tidak terdapat dalam kitab-kitab muktabar dalam hadith; tidak dalam kitab sahih, sunan, musnad mahupun apa sahaja kitab-kitab hadith yang masyhur. Ianya tidak juga dinyatakan oleh pengarang-pengarang kitab sejarah dan tafsir walaupun mereka ada juga meriwayatkan hadith da’if di samping sahih. Ini kerana kejelasan pembohongan riwayat itu tidak tersembunyi langsung ke atas mana-mana orang yang beragama. Perkara begini sekiranya berlaku, pasti ianya akan menjadi satu perkara yang amat diberi perhatian dan usaha untuk disebarkan kerana ia merupakan antara perkara yang amat jelas menyalahi adat kebiasaan dari dua sudut iaitu dari sudut menghidupkan orang mati dan dari sudut keimanan selepas kematian. Justeru pasti penyebaran berita sebegini lebih utama daripada penyebaran berita lain. Apabila tiada seorangpun di kalangan orang-orang yang terpecaya meriwayatkannya, ini menunjukkan perkara ini adalah bohong… Seterusnya, perkara ini adalah bercanggahan dengan al-Kitab dan al-Sunnah yang sahih serta Ijma’. Firman Allah Ta’ala (al-Nisa’ 4:17-18): {17. Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. 18. dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya}. Di dalam ayat tadi, Allah telah menjelaskan bahawa tiada taubat bagi orang yang mati dalam keadaan kafir. Firman Allah Ta’ala lagi (Ghafir 40:85): {85. maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hambanya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar}. Di dalam ayat ini, Allah telah menjelaskan bahawa sunnahNya dalam hamba-hambaNya ialah Iman tidak bermanfaat selepas dilihat al-ba’s (azab), apatah lagi dengan maut. Dan banyak lagi nas-nas seumpamanya…” Kemudian beliau ada juga membawa dua hadith seperti di atas. (Diringkaskan daripada Majmu’ al-Fatawa. 4/325-327).

(Selesai Terjemahan.)

Sekian semoga kita mendapat manfaat daripada hadith-hadith Nabi s.a.w. menurut kefahaman para ulama yang muktabar.

1 comments:

Anonymous said...

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Isu yang tak patut di perbincangkan langsung.

Related Posts with Thumbnails