Cetak Halaman
Berikut adalah satu kertas kerja yang pernah saya bentangkan di Perlis:
AQIDAH DAN MASA DEPAN UMMAH
Fadlan Mohd. Othman
Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pendahuluan: Teras Aqidah Islamiyyah
1- Definasi Aqidah :
1-1- Aqidah adalah kata asas bagi;
عَقَدَ يَعْقِدُ عَقْداً وَعُقْدَةً وَعَقِيْدَةً
Dari sudut bahasa ia bererti satu ikatan yang kuat dan teguh.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Taha (20:27):
{وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِّسَانِيْ يَفْقَهُوْا قَوْلِيْ}
Maksudnya: Dan lepaskanlah kekakuan (simpulan) dari lidahku supaya mereka mengerti perkataanku.
FirmanNya lagi di dalam surah Al-Falaq (113:4):
{وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِيْ الْعُقَدِ}
Maksudnya: Dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhulan-buhulan.(simpulan-simpulan tali).
1-2- Di dalam istilah syara’ pula aqidah ialah: kepercayaan yang teguh di dalam hati yang membawa kepada keyakinan dan seterusnya membuahkan ketenangan jiwa. Oleh itu syak dan was-was bukanlah aqidah.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Hujurat (49:15):
{إِنَّـمَا الْـمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا بِاللهِ وَرَسُوْلِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوْا…}
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanayalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu …
1-3- Aqidah Islam berteraskan TAUHID:
Aqidah yang berteraskan Tauhid amat penting kerana inilah aqidah yang sahihah yang didokong oleh Nabi Adam dan seluruh nabi-nabi selepasnya sehinggalah ke Nabi Muhammad. Aqidah ini tetap dan tidak berubah sehinggalah ke akhir zaman nanti.
Firman Allah Ta’ala dalam surah An-Nahl (16:36):
{وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِيْ كُلِّ أُمَّةٍ رَسُوْلاً أَنِ اعْبُدُوْا اللهَ وَاجْتَنِبُوْا الطَّاغُوْت}
Maksudnya: Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyeru): “Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah thagut itu.”
Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Anbiya’ (21:25):
{وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَّسُوْلٍ إِلاَّ نُوْحِيْ إِلَيْهِ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنَا فَاعْبُدُوْنِ}
Maksudnya: Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya, “Bahawasanya tiada tuhan yang berhak diabdikan diri kepadanya melainkan Aku, maka beribadahlah kamu sekelian kepadaKu.”
Lihatlah juga surah Hud (11:25-26) & (11:50) & (11:61) & (11:84), dan surah Al-A’raf (7:85) & (7:73) & (7:65)
Tidak dibenarkan bertolak ansur di dalam Aqidah. Di dalam sebuah hadith, seorang lelaki telah berkata:
مَا شَاءَ اللهُ وَشِئْتَ.
Yang bermaksud: Apa yang Allah kehendaki dan juga kamu.
Lalu Baginda telah menjawab dengan bersabda:
[ أَجَعَلْتَنِيْ مَعَ اللهِ عَدْلاً (وَفِيْ لَفْظٍ: نِدًّا )؟! لاَ، بَلْ مَا شَاءَ اللهُ وَحْدَهُ. ] رواه أحمد والبيهقي.
Maksudnya: Adakah kamu menjadikan aku sekutu bagi Allah! Tidak, bahkan apa yang Allah kehendaki, Dia satu sahaja.
Para nabi mempunyai aqidah yang serupa tetapi syariah mereka berbeza-beza bersesuaian dengan masa, tempat dan kaum mereka.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Maidah (5:48):
{لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجاً}
Maksudnya: Untuk tiap-tiap umat telah kami jadikan syariah dan cara perjalanan yang jelas.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
[ اَلأَنْبِيَاءُ إِخْوَةٌ لِّعَلاَّتٍ، أُمَّهَاتُـهُمْ شَتَّى وَدِيْنُهُمْ وَاحِدٌ.] رواه أحمد وابن حبان والحاكم.
Maksudnya: Para nabi merupakan adik-beradik sebapa dan berlainan ibu, ibu-ibu mereka berlainan tetapi agama mereka satu.
Adapun furu’ (cabang) iaitu syariah islamiyah, ia mempunyai beberapa sudut penting;
1- Syariah adalah sesuai untuk semua masa, tempat dan kaum kerana Al-Quran telah merangkumi semua nilai-nilai murni naluri (fitrah) kemanusiaan dan yang terdapat di dalam kitab-kitab yang diturunkan Allah Ta’ala sebelum ini. Perkara-perkara ini diterangkan secara terperinci.
Seperti: hukum membunuh, mencuri, riba, perkara haram dsb.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Maidah (5:48):
{وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْـحَقِّ مُصَدِّقاً لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِناً عَلَيْهِ}
Maksudnya: Dan Kami telah turunkan al-Quran kepadamu dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan penghukum terhadap kitab-kitab tersebut.
2- Berkenaan perkara-perkara yang berbangkit mengikut peredaran zaman ke arah kemajuan duniawi, syariah ini mempunyai asas-asas yang mana dengannya seseorang mujtahid atau alim itu dapat mengeluarkan hukum Allah Ta'ala dalam perkara tersebut.
Seperti: tabung uji, klon dsb.
3- Berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dengan adat resam satu-satu kaum dan bangsa, Al-Quran telah meletakkan asas-asas yang mesti dipatuhi dan ia dapat menyesuaikan adat tersebut dengan ajaran Islam.
Seperti: menutup aurat dengan sebarang pakaian, makanan dan minuman yang halal dsb.
4- Di dalam syariah, umat Islam diberi kelonggaran untuk bertolak ansur. Asalkan sesuatu pendapat itu mempunyai dalil yang sahih dan mengandungi sudut-sudut kefahaman berlainan yang boleh diterima.
Antara peristiwa-peristiwa yang menetapkan perkara ini ialah:
4-1 Kisah solat asar di Bani Quraizah:
Maksudnya: Diriwayatkan dari Ibnu Umar, beliau telah berkata: Nabi telah bersabda pada hari Ahzab: Janganlah seorangpun mengerjakan solat asar kecuali di perkampungan Bani Quraizah. Maka di dalam perjalanan, apabila masuk waktu asar, telah berkata satu kumpulan: Kita tidak boleh solat kecuali selepas tiba di kawasan mereka. Dan berkata satu kumpulan lagi: Kita mesti solat segera, bukan itu erti arahan Baginda. Kemudian perkara itu diberitakan kepada Nabi tetapi Baginda tidak memarahi seorangpun dari mereka.
4-2 Kisah puasa di dalam pengembaraan:
Maksudnya: Diriwayatkan dari Anas Bin Malik, beliau berkata: Kami pernah bermusafir / mengembara bersama Nabi , dan orang yang berpuasa tidak memperlekehkan orang yang berbuka, dan tidak pula orang yang berbuka memperlekehkan orang yang berpuasa.
4-3 Kisah bacaan / qiraat:
Maksudnya: Diriwayatkan dari Abdullah Ibnu Mas’ud: bahawa beliau telah mendengar seorang lelaki (Ubai Bin Ka’b) membaca sepotong ayat di mana beliau mendengar nabi membacanya dengan cara yang lain. Katanya: Maka aku segera memegang tangannya dan bergegas bertemu Nabi lalu Baginda bersabda: Kedua-dua kami telah berlaku baik. Bacalah (mengikut apa yang aku ajarkan kepadamu). Sesungguhnya umat sebelum kamu telah berselisihan dan ini telah membinasakan mereka.
Aqidah Sebagai Jati Diri Ummah
2- Limitasi Aqidah
Seringkali aqidah dibataskan kepada kepercayaan berkenaan pengesaan Allah cAzza wa Jalla. Apabila dikatakan bahawa kelas ini adalah kelas Aqidah, terbayang di minda, "Kelas tentang Tauhid, iaitu tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma' wa Sifat…" Akan tetapi, sekiranya diperhatikan dengan pandangan yang lebih meluas dan merangkumi, sebenarnya perbahasan Aqidah jauh lebih daripada itu. Ya, tiada sebarang syak bahawa perbincangan tentang Tauhid merupakan akar tunjang kepada permasalahan Aqidah, akan tetapi menghadkan atau meletakkan limitasi Aqidah kepadanya adalah suatu kesilapan ilmiah.
Aqidah Islamiyyah yang berteraskan Tauhid merangkumi perbincangan berkenaan pelbagai aspek kepercayaan dan pegangan. Perkara ini dapat diperlihatkan seperti berikut :
2.1- Pegangan berkenaan Tauhid.
Ini merangkumi:
a. Keesaan Allah Tacala dalam penciptaan.
b. Keesaan Allah Tacala dalam keunggulan nama dan sifat.
c. Keesaan Allah Tacala dalam hak penghambaan.
2.2- Pegangan berkenaan Iman.
Ini merangkumi:
a. Rukun-rukun Iman.
b. Permasalahan Iman.
i. Definisi Iman.
ii. Keterlibatan amalan dalam Iman.
iii. Penambahan dan pengurangan Iman.
iv. Istihna' dalam Iman.
v. Pembatal Iman.
vi. Menghukum Islam, kufur, maksiat, fasiq, zalim dan sebagainya.
2.3- Pegangan berkenaan sumber agama.
Ini merangkumi:
i. Perbincangan tentang Al-Quran.
ii. Perbincangan tentang Al-Sunnah.
iii. Perbincangan tentang Al-Ijmac.
2.4- Pegangan berkenaan metodologi para Salaf dalam pemahaman nas.
Ini merangkumi:
i. Metodologi pemahaman al-Quran dan pelaksanaannya.
ii. Metodologi penerimaan al-Sunnah dan pelaksanaannya.
2.5- Pegangan berkenaan pendalilan nas, penetapan kepercayaan dan istinbat hukum.
Ini merangkumi:
i. Cara pendalilan nas al-Quran dan al-Sunnah.
ii. Cara penetapan dasar agama dan cabangnya.
iii. Cara istinbat hukum dari al-Quran dan al-Sunnah.
2.6- Pegangan berkenaan metodologi berurusan.
Ini merangkumi:
i. Berurusan dengan individu-individu:
- Berurusan dengan muslimin.
- Berurusan dengan non muslimin.
- Berurusan dengan penentu polisi dan pemimpin
- Berurusan dengan masyarakat.
ii. Berurusan dengan keadaan dan situasi yang berkaitan dengan maslahat ummah.
- Peperangan.
- Keamanan.
iii. Berurusan dengan perkara-perkara tertentu:
- Syiar Islam.
- Amar makruf Nahi munkar.
Dengan ini jelaslah bahawa Aqidah Islamiyyah adalah satu pegangan yang jitu dalam sanubari muslimin dan menghasilkan penghayatan, perlaksanaan dan pengurusan yang berkesinambungan.
Peranan Aqidah Dalam Mencerahkan Masa Depan Ummah
3- Situasi Akhir Zaman
Sudah diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. telah meramalkan bahkan menjelaskan kepada kita tentang pelbagai cubaan dan tribulasi yang bakal mencengkam umat Islam di akhir zaman. Di dalam menghadapi kesemua ini, kesejahteraan masa depan umat Islam amat tertakluk kepada kekuatan aqidah mereka. Sekiranya aqidah yang tersemai di dalam sanubari mereka sahih dan kuat, pastinya mereka akan kebal dalam menghadapi apa sahaja hentaman dan gegaran. Kekebalan aqidah ini amat-amat diperlukan kerana akhir zaman bukanlah masa untuk bersenang-senang dan bersantai. Sebaliknya, telah tiba masa untuk mengerahkan segala kekuatan dan menggembleng segala tenaga dalam misi penyebaran agama yang suci murni dan pembendungan kepercayaan yang dicemari.
Hanya aqidah yang mantap; sahih dan kuat, sahaja yang dapat bertahan dalam arena serangan-serangan terhadap Islam dan kemanusian yang pelbagai. Perhatikanlah bagaimana aqidah yang disinari cahaya keimanan dapat melaksanakan fungsi dalam menghadapi cabaran-cabaran berikut :
3.1- Aqidah sesat dan buruk sangka
Apabila jiwa seseorang muslim itu dipenuhi dengan maklumat yang absah yang diambil daripada al-Quran dan al-Sunnah serta disinari dengan kefahaman generasi terawal berkenaan pegangan yang hak dan kepercayaan yang benar, pastinya dia dapat mengatasi segala bentuk penyelewengan dalam aqidah. Firman Allah Tacala (al-Maidah 5:16):
Maksudnya: Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.
3.2- Kesan buruk maksiat
Maksiat akan meninggal kesan yang buruk pada seseorang individu. Dia akan menjadi jauh daripada Allah Tacala, hatinya menjadi hitam dan jiwanya akan dipenuhi dengan kekejian. Hanya aqidah yang mantap sahaja yang dapat mengatasi dan memulihkan keadaan ini. Aqidah yang mantap akan menjadikan seseorang muslim itu dekat dengan Allah Tacala dan menghapuskan segala kesan-kesan buruk maksiat tersebut melalui perlaksanaan Tauhid dan disusuli dengan segala amal ibadah yang merupakan intipati Tauhid dan berfungsi sebagai mukaffirat. Firman Allah Tacala (al-Furqan 25:68-70):
Maksudnya: 68. Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), 69. (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina,
70. kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
3.3- Keinginan terhadap keburukan
Keinginan terhadap keburukan merangkumi keinginan menyembah selain Allah, keinginan terhadap hawa nafsu yang tidak dibenarkan dan juga perasaan hasad dan dengki.
Aqidah yang mantap dapat mengatasi kemelut pertama dengan meyakini kehebatan Allah Tacala dalam segenap aspek. Ini akan menyebabkannya mencintai Allah Tacala dan membulatkan penyembahan itu kepadaNya sahaja. Firman Allah Tacala (al-Baqarah:165):
Maksudnya: Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu (yang menyembah selain Allah) mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal).
Kecintaan dan ketakutan terhadap Allah Tacala pula akan menjamin seseorang muslim itu daripada keinginan terhadap hawa nafsu yang diharamkan. Firman Allah Tacala (al-Nazi'at 79:37-41):
Maksudnya: 37. Adapun orang yang melampaui batas, 38. dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, 39. maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal (nya). 40. Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, 41. maka sesungguhnya surgalah tempat tinggal (nya).
Kecintaan terhadap sesama muslim pula akan mewujudkan masyarakat yang suci daripada perselisihan yang berpunca daripada perasaan hasad dan dengki. Firman Allah Tacala (al-Anfal 8:46):
Maksudnya: Dan ta’atlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
3.4- Perasaan tidak menentu (al-Qalaq)
Perasaan tidak menentu yang boleh menyebabkan seseorang itu berpaling daripada kebenaran kepada kesesatan ialah yang berkaitan dengan perasaan begitu mengingini maklumat dan perasaan yang muncul disebabkan amalan menyalahi naluri iaitu syirik dan maksiat. Aqidah yang mantap akan menimbulkan ketenangan dalam hati seseorang muslim kerana dia mengetahui bahawa ajaran Allah Tacala sahajalah yang akan membawa kepada kesempurnaan dalam segala sesuatu termasuklah dalam menghilangkan tekanan. Firman Allah Tacala (al-Isra' 17:9):
Maksudnya: Sesungguhnya Al Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi kabar gembira kepada orang-orang Mu’min yang mengerjakan amal saleh bahwa bagi mereka ada pahala yang besar
Firman Allah Tacala (al-Racd 13:28):
Maksudnya: (yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.
3.5- Kegelapan dan kehairanan
Aqidah yang mantap akan membuahkan cahaya keimanan dan kemampuan untuk membezakan kebenaran dan keburukan. Firman Allah Tacala (al-Hadid 57:28):
Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
Firman Allah Tacala (al-Anfal :29):
Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai karunia yang besar.
Kesimpulan
Di akhir perbincangan ini, dapatlah dibuat rumusan seperti berikut:
1- Aqidah adalah suatu perkara yang tidak dapat ditoleransikan dalam penghayatan muslim terhadap agamanya.
2- Syariah pula adalah suatu perkara yang mesti ditoleransikan dalam perlaksanaan agama menurut syarat-syaratnya.
3- Perlu dilakukan sinergi antara pemerintah dan masyarakat dalam memartabatkan Aqidah Islamiyyah.
4- Aqidah yang mantap ialah aqidah yang mempunyai dua ciri iaitu sahih dan kuat.
5- Aqidah yang mantap akan menjamin masa depan ummah Islam samada dalam menghadapi cabaran akhir zaman mahupun dalam mengharungi liku-liku hari kebangkitan.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.
Bibliografi
القرآن الكريم
الألباني، محمد ناصر الدين. سلسلة الأحاديث الصحيحة. 1425هـ-2004. الرياض: مكتبة المعارف.
بن باز، عبد العزيز بن عبد الله. بيان عقيدة أهل السنة والجماعة ولزوم اتباعها. 1419هـ. الرياض: مؤسسة الجريسي للتوزيع والإعلان.
الجربوع، عبد الله بن عبد الرحمن. أثر الإيمان في تحصين الأمة الإسلامية ضد الأفكار الهدامة. 1420هـ-2000م. الرياض: مكتبة أضواء السلف.
عبد الواحد، أبو إسلام صالح بن طه. العقيدة أولا لو كانوا يعلمون. 1425هـ. عمان: مكتبة الغرباء.
العقل، ناصر بن عبد الكريم العلي. وقفات مع عقيدة السلف. 1414هـ. الرياض: دار الصميعي للنشر والتوزيع.
مصحف المدينة النبوية للنشر الحاسوبي، مجمع الملك فهد لطباعة المصحف الشريف.
موسوعة الحديث الشريف، شركة حرف.
http://www.qurancomplex.com/default.asp?l=ind
skip to main |
skip to sidebar
RSS Feeds
Pensyarah Kanan / Senior Lecturer Jabatan Pengajian Al-Quran Dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Translate
Carian Al-Quran/Al-Hadith
Search in the Hadith |
Label
bernama TV
Ceramah Shaikh Salim al-Hilali di KGPA
Fiqhul Waqi'
Iman
Isu Semasa
Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah
Kelas agama
Manhaj ASWJ
Pendirian Muslim
Pengajaran Hidup
pengumuman
Permasalahan Dakwah
Permasalahan Fiqh
Permasalahan Hadith
Permasalahan Tafsir
Rakaman
Salam Pengenalan
Siaran langsung
Siasah
Solat
Sunnah
Taqwa
Tuntutan al-Sunnah dalam bulan-bulan Islam
Statistik
Copyright 2009
Ustaz Dr Fadlan Mohd Othman. Powered by Blogger
Blogger Showcase - Submit Your Blog Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress theme by Site5
Blogger Showcase - Submit Your Blog Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress theme by Site5
0 comments:
Post a Comment