RSS Feeds

Translate


6.02.2008

Hukum hadith tentang 'tulisan agung'

Hukum hadith tentang ‘tulisan agung’:
بسم الله الرحمن الرحيم
Hadith tentang pendinding (atau tangkal atau azimat) ‘tulisan agung’ telah dinyatakan oleh beberapa orang ulamak dan dikomen oleh mereka seperti berikut:

1- al-Imam al-Baihaqi dalam ‘Dalail al-Nubuwwah’ no 3050 di bawah tajuk “Jima’ Abwab Kaifiyyah Nuzul al-Wahy ‘ala Rasulillah Sallallahu ‘alaih wa sallam” dan beliau telah berkata:
وقد روي في حرز أبي دجانة حديث طويل ، وهو موضوع لا تحل روايته
Ertinya: ‘Dan telah diriwayatkan berkenaan pendinding Abu Dujanah sebuah hadith yang panjang. Ianya palsu dan tidak halal untuk diriwayatkan.’

2- al-Imam Ibn al-Jauzi dalam “al-Maudhu’at al-Kubra” no 1583 di bawah tajuk “Kitab al-Zikr: Bab Hirz Abi Dujanah” dan beliau telah berkata:
هذا حديث موضوع بلا شك ، وإسناده مقطوع ، وليس في الصحابة من اسمه موسى أصلا ، وأكثر رجاله مجاهيل لا يعرفون

Ertinya: ‘Ini adalah hadith palsu tanpa syak. Sanadnya terputus. Tidak terdapat sama sekali di kalangan para sahabat orang yang bernama Musa. Kebanyakan para periwayatnya majhul dan tidak dikenali.’

3- al-Imam al-Suyuti dalam “al-Laali al-Masnu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah” di bawah tajuk “Kitab al-Zikr wa al-Du’a” dan beliau telah berkata:
موضوع ، وإسناده مقطوع ، وأكثر رجاله مجاهيل ، وليس في الصحابة من اسمه موسى أصلا

Ertinya: ‘Palsu dan sanadnya terputus. Kebanyakan para periwayatnya majhul. Tidak terdapat langsung di kalangan para sahabat orang yang bernama Musa.’

4- al-Imam al-Fatani dalam “Tazkirah al-Maudhu’at” no 1734 di bawah tajuk “Kitab al-‘Ilm: Bab al-Maradh min al-Humma wa al-Ramad wa al-‘Ama wa al-Zukam wa al-Juzam wa Isabah al-‘Ain wa Dawaih” dan beliau telah berkata:موضوع وإسناده مقطوع وأكثر رجاله مجهولون وليس في الصحابة من يسمى بموسى أصلا

Ertinya: ‘Palsu dan sanadnya terputus. Kebanyakan para periwayatnya majhul dan tidak terdapat sama sekali di kalangan para sahabat orang yang bernama Musa.’

5- al-Imam al-Kanani dalam “Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah ‘an al-Akhbar al-Syani’ah al-Maudhu’ah” no 15 di bawah tajuk “Kitab al-Zikr wa al-Du’a: al-Fasl al-Thani” dan beliau telah membawa kata-kata al-Imam Ibn al-Jauzi dan al-Imam al-Baihaqi yang menghukum riwayat ini sebagai maudhu’.

Sekian dahulu, semoga kita dipelihara Allah Ta’ala daripada menyebar dan mengamalkan hadith yang palsu.

Fadlan Mohd Othman
Jabatan al-Quran dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam
U.K.M.
Bangi, Malaysia. 3 Jumadil Awwal 1427H - 31/5/2006.

Cetak Halaman

3 comments:

Fadlan-Mohd-Othman said...

Berikut adalah terjemahan Tulisan Agung, (maaf saya tak dapat nak masukkan teks Arabnya, insyaAllah lain kali saya cuba masukkan):

Peristiwa Tulisan Agung
Daripada hadith yang diriwayatkan oleh Baihaqi, seorang sahabat Nabi SAW bernama Abu Dajanah berkata, "aku telah mengadu kepada Rasulullah SAW dengan berkata", Wahai Rasulullah, sedang aku berbaring, tiba-tiba aku mendengar desiran suara seperti bunyi kisaran gandum dan berdengung seperti suara lebah. Dan aku terlihat pancaran seperti pancaran kilat. Lalu aku mengangkat kepala kerana terkejut dan takut. Tiba-tiba aku nampak bayangan hitam berdiri tegak memanjang memenuhi ruangan rumahku. Lalu aku mendekati bayangan itu, aku terasa kulitnya seperti bulu landak. Bayang itu menyemburkan cahaya seperti semburan bunga api ke arah mukaku sehingga aku menyangka badan dan rumahku terbakar."
Lalu Rasulullah SAW menerangkan, "Itu adalah syaitan yang mahu mengganggu dan membuat keburukan di rumahmu, wahai abu Dajanah."
Kemudian Rasulullah SAW menyuruh Ali bin Abi Talib menulis tulisan ini. Maka Saidina Ali pun menulisnya seperti berikut:


Maksudnya;
"Inilah perutusan dari Muhammad Rasul sekian alam. Kepada mereka yang datang mengerjakan umrah dan berziarah. Amma ba’du. Sesungguhnya kebenaran itu adalah perlindungan bagi kita. Jika engkau terlalu baik, jahat, pemimpin yang sebenar ataupun yang bathil. Inilah kitab Allah yang membicarakan dengan sebenar-benarnya kepada kita, sesungguhnya Kami mencatatkan apa yang kamu lakukan dan malaikat kami menulis segala apa yang engkau sembunyikan. Tinggalkanlah pembawa utusan ini dan pergilah kepada penyembah berhala dan mereka yang menyangka bahawa ada tuhan lain selain Allah. Katakanlah tiada tuhan melainkan Dia. Segala sesuatu akan hancur melainkan Dia. Baginyalah segala ketentuan dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. Haa Miiim, mereka tidak akan diberi pertolongan, Haa Miim, Ain Siiin Qaaf. Berpecah belahlah musuh-musuh Allah, Hujah Allah itu amat jelas, Tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah. Allah akan memberikan kecukupan kepadamu, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Maha benarlah Allah Yang Maha Besar."
Aku membawa tulisan tersebut balik ke rumah dan aku letakkan di kepala dan tidur. Tidak lama kemudian, aku mendengar jeritan dan tangisan berkata, "Wahai Abu Dajanah, engkau telah membakar kami dengan perkataan/tulisan tersebut." Demi kebenaran sahabat Mu, tolonglah buangkan tulisan tersebut. Aku berjanji tidak akan datang mengganggumu lagi. Abu Dajanah menjawab, "Aku tidak akan membuangkannya sehingga Rasulullah menyuruh aku membuangnya."
Abu Dajanah menyambung ceritanya, sepanjang malam tersebut aku mendengar jeritan dan suara mengerang kesakitan sehinggalah menjelang subuh. Ketika aku sembahyang subuh bersama Rasulullah, aku pun menceritakan kepada baginda hal tersebut. Demi Allah yang telah mengutusku sebagai Rasul, sesungguhnya mereka (syaitan-syaitan) itu telah merasakan kesakitan dan akan menerima azab siksa hingga ke hari kiamat.

Sakinah Saptu said...

terima kasih ustaz di atas perkongsian hadith ini.

Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

aslm wbt

rajin2lah update ustaz.

Related Posts with Thumbnails