RSS Feeds

Translate


7.19.2013

Menyucikan Jiwa Dalam Bulan Mulia



Petikan daripada Bicara Agama, Utusan Malaysia 18/07/2013:

Menyucikan jiwa dalam bulan mulia

Oleh DR. FADLAN MOHD. OTHMAN
PENULIS ialah Timbalan Rektor/Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Pelajar) Al-Madinah International University (MEDIU)

ALLAH SWT berfirman yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah 2:183)
Daripada ayat ini kita sudah boleh mengetahui bahawa hikmah utama bulan Ramadan ialah untuk membina takwa. Daripada sudut praktikal pula takwa ialah melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.
Daripada sudut spiritual takwa ialah perasaan takut dan waspada dalam mengorak setiap langkah dalam kehidupan beragama di dunia ini.
Bulan Ramadan adalah tempat dan masa terbaik untuk menyucikan jiwa.
Rasulullah SAW telah pun memberikan pelbagai tips untuk menyucikan jiwa di bulan mulia ini.

1Menghayati amalan ibadah pada bulan ini dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala.
Beberapa hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa siapa puasa dan solat malam di bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.
Hadis ini mendidik jiwa Muslim agar sentiasa menekankan sudut keimanan dalam melakukan sesuatu amalan. Jiwa Muslim juga wajar sentiasa mengharapkan pahala daripada Allah SWT sahaja.

2Bersabar dalam menghadapi segala cabaran.
Sabda Rasulullah SAW: Puasa adalah perisai… Jika ada orang yang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia sebut: Saya berpuasa. (riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1904)
Perhatikanlah bagaimana puasa mendidik jiwa Muslim agar menahan dirinya daripada pergaduhan. Dengan ini puasa mendidik sifat mulia iaitu sifat sabar dalam jiwa Muslim.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (al-Zumar:10)
Jiwa yang suci pasti akan dapat bersabar dalam mengamalkan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat dan sabar dalam menghadapi musibah.

3Mengaitkan kegembiraan dengan ketaatan terhadap Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; semasa dia berbuka dia akan gembira dan semasa dia berjumpa dengan Tuhannya dia akan bergembira dengan puasanya." (riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1904)
Hadis ini mendidik jiwa agar bergembira dengan ketaatan dan bukannya bergembira semasa membuat maksiat.

4Sentiasa berdoa dan meminta daripada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: "Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara." (riwayat al-Uqaili dan Ibnu Asakir; disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah, no. 1797)
Hadis ini mendidik jiwa Muslim agar merendah diri kepada Allah SWT dengan berdoa sepanjang masa tatkala berpuasa.
Inilah intisari ibadah yang sebenar. Ia juga menunjukkan jiwa Muslim berjaya disucikan di dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails