RSS Feeds

Translate


7.23.2013

Hikmah Ramadan_1



Mencari Hikmah Ramadan

Bulan Ramadan seringkali dikaitkan dengan Bulan Puasa. Mencari hikmah Ramadan bukanlah suatu perkara yang rumit. Ini kerana Allah Ta'ala telah menurunkan beberapa ayat di dalam al-Quran berkaitan dengan Bulan Ramadan. Dikhususkan kepada puasa yang merupakan suatu amalan fardhu yang utama di dalam bulan ini, Allah Ta’ala telah turunkan ayat berikut kepada kita (al-Baqarah 2:183):
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Daripada pengamatan terhadap ayat ini sahaja kita sudah boleh menggarap hikmah utama Bulan Ramadan iaitu penjanaan Taqwa. Sebelum diterokai dengan lebih mendalam perihal uslub penjanaan Taqwa dalam Bulan Ramadan, ada baiknya kita mengamati erti Taqwa itu sendiri.

1.         Definisi Taqwa telah dihuraikan oleh para ulamak seperti berikut[1]:

·           Meletakkan penghalang dan penghadang di antaramu dan apa yang diharamkan oleh Allah.
أن تجعل بينك وبين ما حرم الله حاجبا وحاجزا
·           Melaksanakan perintah Allah dan menghindari laranganNya.
امتثال أوامر الله واجتناب النواهي
·           Takutkan Allah, beramal dengan wahyu, reda dengan sedikit serta bersedia untuk hari pembalasan.
الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل
·           Melaksanakan amalan taat dan meninggalkan amalan maksiat.
فعل طاعته واجتناب معاصيه.
·           Umar pernah bertanya Ubay bin Ka‘b, ‘Apakah itu taqwa?’ Ubay menjawab, ‘Wahai Amir al-mukminin, tidakkah engkau pernah memasuki jalan yang penuh berduri?’ Umar menjawab, ‘Ya.’ Ubay berkata, ‘Apakah yang engkau lakukan?’ Umar menjawab, ‘Aku menyingsingkan seluarku dan memerhatikan kakiku. Aku meletak satu langkah demi satu langkah dengan cermat kerana takut terkena duri.’ Ubay berkata, ‘Itulah taqwa!’
وقد سأل عمر رضي الله عنه أبي بن كعب فقال له: ما التقوى؟ فقال أبي: يا أمير المؤمنين أما سلكت طريقا فيه شوك؟ قال: نعم .. قال: فما ذا فعلت؟ قال عمر: أشمر عن ساقي وأنظر إلى مواضع قدمي وأقدم قدما وأؤخر أخرى مخافة أن تصيبني شوكة. فقال أبي بن كعب: تلك التقوى!

2.                   Dengan ini dapatlah dikategorikan taqwa itu kepada dua sudut iaitu:
·           Pertama, dari sudut praktikal (amalan): Taqwa ialah pelaksanaan perkara  yang diperintahkan oleh Allah Ta'ala dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah Ta'ala. Dari sudut ini, taqwa ialah pelaksanaan agama Islam yang merangkumi wajib, sunat, harus, makruh dan haram.
·           Kedua, dari sudut kerohanian (pendirian): Taqwa ialah kewaspadaan dalam mengorak setiap langkah dalam kehidupan beragama di dunia ini.  Dari sudut ini, taqwa ialah penilaian hati yang suci terhadap setiap perkara yang dihadapi oleh muslim. Dengan lafaz lain, taqwa dari sudut ini ialah timbang rasa atau berhati-hati.

Konsep Umum Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan

Bagi mendapatkan taqwa, Rasulullah s.a.w. telah meletakkan garis panduannya yang dapat dirangkumkan dalam dua ungkapan mudah iaitu mempergiatkan amalan baik dan menghentikan amalan buruk. Sabda Rasulullah s.a.w.:
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ   [2]
            Maksudnya: “Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satu pun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satu pun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam.



[1]  Lihat al-Munajjid, Muhammad bin Salih. Silsilah A‘mal al-Qulub (dalam al-Maktabah al-Shamilah). Jilid 3, Hlm. 65.
[2]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Fadl Shahr Ramadhan, No. 618. Dihukum Sahih oleh al-Albani.

7.22.2013

Pandangan Al-Imam Al-Syafi'i...

Pandangan Al-Imam Al-Syafi'i berkenaan menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada si mati.

تفسير ابن كثير، سورة النجم (53)، الآية (39):

وَمِنْ وَهَذِهِ الْآيَة الْكَرِيمَة اِسْتَنْبَطَ الشَّافِعِيّ رَحِمَهُ اللَّه وَمَنْ اِتَّبَعَهُ أَنَّ الْقِرَاءَة لَا يَصِل إِهْدَاء ثَوَابهَا إِلَى الْمَوْتَى لِأَنَّهُ لَيْسَ مِنْ عَمَلهمْ وَلَا كَسْبهمْ وَلِهَذَا لَمْ يَنْدُب إِلَيْهِ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُمَّته وَلَا حَثَّهُمْ عَلَيْهِ وَلَا أَرْشَدَهُمْ إِلَيْهِ بِنَصٍّ وَلَا إِيمَاء وَلَمْ يُنْقَل ذَلِكَ عَنْ أَحَد مِنْ الصَّحَابَة رَضِيَ اللَّه عَنْهُمْ وَلَوْ كَانَ خَيْرًا لَسَبَقُونَا إِلَيْهِ

وَبَاب الْقُرُبَات يُقْتَصَر فِيهِ عَلَى النُّصُوص وَلَا يُتَصَرَّف فِيهِ بِأَنْوَاعِ الْأَقْيِسَة وَالْآرَاء

فَأَمَّا الدُّعَاء وَالصَّدَقَة فَذَاكَ مُجْمَع عَلَى وُصُولهمَا وَمَنْصُوص مِنْ الشَّارِع عَلَيْهِمَا

وَأَمَّا الْحَدِيث الَّذِي رَوَاهُ مُسْلِم فِي صَحِيحه عَنْ أَبِي هُرَيْرَة قَالَ : قَالَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " إِذَا مَاتَ الْإِنْسَان اِنْقَطَعَ عَمَله إِلَّا مِنْ ثَلَاث : مِنْ وَلَد صَالِح يَدْعُو لَهُ أَوْ صَدَقَة جَارِيَة مِنْ بَعْده أَوْ عِلْم يُنْتَفَع بِهِ " فَهَذِهِ الثَّلَاثَة فِي الْحَقِيقَة هِيَ مِنْ سَعْيه وَكَدِّهِ وَعَمَله كَمَا جَاءَ فِي الْحَدِيث " إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُل مِنْ كَسْبِهِ وَإِنَّ وَلَدَهُ مِنْ كَسْبه"

وَالصَّدَقَة الْجَارِيَة كَالْوَقْفِ وَنَحْوه هِيَ مِنْ آثَار عَمَله وَوَقْفه وَقَدْ قَالَ تَعَالَى " إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُب مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ " الْآيَة

وَالْعِلْم الَّذِي نَشَرَهُ فِي النَّاس فَاقْتَدَى بِهِ النَّاس بَعْدَهُ هُوَ أَيْضًا مِنْ سَعْيِهِ وَعَمَلِهِ وَثَبَتَ فِي الصَّحِيح " مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْر مِثْل أُجُور مَنْ اِتَّبَعَهُ مِنْ غَيْر أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورهمْ شَيْئًا".

Tafsir Ibnu Kathir, Surah al-Najm 53, ayat 39:

Dan daripada ayat yang mulia ini, al-Imam al-Syafi’i rahimahullah dan orang yang mengikutinya telah beristinbat bahawa bacaan itu tidak sampai hadiah pahalanya kepada orang-orang yang mati kerana ianya bukan daripada amalan mereka dan bukan juga daripada usaha mereka. Disebabkan inilah Rasulullah s.a.w. tidak mensunatkannya ke atas umatnya dan tidak pula menggalakkan mereka kepadanya atau menunjukkan mereka kepadanya samada dengan nas mahupun isyarat. Perkara ini tidak pula dinukilkan daripada seorangpun para sahabat r.a. Jika perkara ini baik pasti mereka akan mendahului kita kepadanya.

Perbincangan tentang al-qurubat (perkara yang mendekatkan kepada Allah) adalah perkara yang dibataskan kepada nas-nas dan tidak sekali-kali boleh diuruskan oleh jenis-jenis qiyas mahupun pendapat.

Berkenaan doa dan sedekah, kedua perkara ini telah disepakati sampai pahalanya dan dinyatakan berkenaannya dalam syarak.

Berkenaan hadith yang diriwayatkan Muslim dalam sahihnya daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda “Sekiranya mati seorang insan, amalannya terputus kecuali daripada tiga: daripada anak salih yang mendoakannya, atau sedekah berterusan selepasnya, atau ilmu yang dimanfaatkan.” Tiga perkara ini sebenarnya adalah daripada usahanya, titik peluhnya dan amalannya, seperti mana terdapat dalam hadith: “Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang lelaki ialah daripada usahanya. Dan sesungguhnya anaknya adalah daripada usahanya.”

Sedekah yang berterusan seperti waqaf dan sebagainya adalah daripada kesan amalannya dan waqafnya. Allah Ta’ala telah berfirman (Yasin: 12): “Sesungguhnya kami yang menghidupkan orang yang mati dan kami catatkan apa yang mereka dahulukan dan juga kesan-kesan mereka.”

Ilmu yang disebarkannya kepada manusia lalu diteladani oleh manusia selepasnya juga adalah daripada usahanya dan amalannya. Telah terdapat dalam hadith sahih: “Sesiapa yang mengajak kepada hidayat, dia akan dapat pahalanya seperti pahala-pahala orang yang meneladaninya tanpa dikurangi pahala mereka sedikitpun.”

7.20.2013

Bersatu tolak Syiah








7.19.2013

Menyucikan Jiwa Dalam Bulan Mulia



Petikan daripada Bicara Agama, Utusan Malaysia 18/07/2013:

Menyucikan jiwa dalam bulan mulia

Oleh DR. FADLAN MOHD. OTHMAN
PENULIS ialah Timbalan Rektor/Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Pelajar) Al-Madinah International University (MEDIU)

ALLAH SWT berfirman yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah 2:183)
Daripada ayat ini kita sudah boleh mengetahui bahawa hikmah utama bulan Ramadan ialah untuk membina takwa. Daripada sudut praktikal pula takwa ialah melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.
Daripada sudut spiritual takwa ialah perasaan takut dan waspada dalam mengorak setiap langkah dalam kehidupan beragama di dunia ini.
Bulan Ramadan adalah tempat dan masa terbaik untuk menyucikan jiwa.
Rasulullah SAW telah pun memberikan pelbagai tips untuk menyucikan jiwa di bulan mulia ini.

1Menghayati amalan ibadah pada bulan ini dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala.
Beberapa hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa siapa puasa dan solat malam di bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.
Hadis ini mendidik jiwa Muslim agar sentiasa menekankan sudut keimanan dalam melakukan sesuatu amalan. Jiwa Muslim juga wajar sentiasa mengharapkan pahala daripada Allah SWT sahaja.

2Bersabar dalam menghadapi segala cabaran.
Sabda Rasulullah SAW: Puasa adalah perisai… Jika ada orang yang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia sebut: Saya berpuasa. (riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1904)
Perhatikanlah bagaimana puasa mendidik jiwa Muslim agar menahan dirinya daripada pergaduhan. Dengan ini puasa mendidik sifat mulia iaitu sifat sabar dalam jiwa Muslim.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (al-Zumar:10)
Jiwa yang suci pasti akan dapat bersabar dalam mengamalkan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat dan sabar dalam menghadapi musibah.

3Mengaitkan kegembiraan dengan ketaatan terhadap Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; semasa dia berbuka dia akan gembira dan semasa dia berjumpa dengan Tuhannya dia akan bergembira dengan puasanya." (riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1904)
Hadis ini mendidik jiwa agar bergembira dengan ketaatan dan bukannya bergembira semasa membuat maksiat.

4Sentiasa berdoa dan meminta daripada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: "Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara." (riwayat al-Uqaili dan Ibnu Asakir; disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah, no. 1797)
Hadis ini mendidik jiwa Muslim agar merendah diri kepada Allah SWT dengan berdoa sepanjang masa tatkala berpuasa.
Inilah intisari ibadah yang sebenar. Ia juga menunjukkan jiwa Muslim berjaya disucikan di dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

7.07.2013

Musibah Jerebu / Solat Istisqa'


BICARA AGAMA
Utusan Malaysia

ARKIB : 28/06/2013

Musibah jerebu

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
YA Allah, turunkan hujan kepada kami dengan hujan yang menolong, menyenangkan, menyuburkan, bermanfaat, tidak membahayakan, segera dan tidak ditunda lagi."

Demikian petikan doa Nabi Muhammad SAW untuk memohon kepada Allah SWT supaya diturunkan hujan seperti yang diriwayatkan dalam hadis Abu Daud.

Musim kemarau yang berlaku di tanah air sejak kebelakangan ini merupakan satu musibah kepada seluruh rakyat dengan terjadinya kejadian jerebu akibat pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia, baru-baru ini.

Situasi jerebu bukan sahaja mendatangkan keadaan cemas apabila kualiti udara di beberapa kawasan khususnya ibu negara menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan bacaan berbahaya tetapi memberi kesan kepada kesihatan manusia.

Kejadian berkenaan telah menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat di Muar dan Ledang. Termasuk bertindak menutup sekolah dan tadika di kawasan-kawasan yang mencatat jumlah IPU mencecah 300.

Namun, di sebalik musibah itu jelas menunjukkan bahawa walau sehebat mana seseorang manusia itu, mereka perlu menginsafi sebagai golongan yang lemah dan tidak terdaya jika ditimpa bencana dalam apa keadaan sekalipun.

Perlu diingati bencana itu berlaku melainkan untuk mengajak manusia khususnya umat Islam bagi mengingati Allah sebagai tuhan penyelesai segala masalah.

Sebab itu agama Islam mensyariatkan solat Istiqa atau dalam bahasa Melayu diterjemahkan sebagai sembahyang memohon hujan.

Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, jika dilihat kembali objektif pensyariatan solat Istiqa, amalan itu bertujuan untuk mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah di saat musibah melanda.

Ujar beliau, manusia sebagai hamba yang lemah, golongan itu amat memerlukan bantuan khususnya daripada Allah sebagai tuhan sekalian alam agar diizinkan untuk diturunkan hujan bagi menyiram tanah yang kering-kontang.

Tambah Fadlan, mesej tersirat itu dilihat mengajak manusia supaya bertaubat terhadap dosa lalu kerana kemungkinan musibah yang melanda itu terjadi akibat kesilapan lalu.

"Maka dengan sebab itu umat Islam disunatkan melakukan sedekah, berpuasa, berpuasa sunat dan sebagainya sebelum menunaikan solat Istiqa agar sebelum menadah tangan kepada Allah, jiwa seseorang manusia itu sentiasa bersih.

"Bahkan selepas selepas solat Istiqa, imam akan membaca khutbah yang mengandungi peringatan agar umat Islam menjauhi maksiat, dosa dan sebagainya," katanya.

Menterbalikkan selendang

Mengikut riwayat, Nabi Muhammad SAW ketika berdoa kepada Allah untuk memohon diturunkan hujan, baginda akan menterbalikkan selendang di kepalanya.

Tindakan itu berpandukan hadis riwayat Abu Hurairah yang berkata: "Nabi Muhammad SAW keluar pada suatu hari untuk mengerjakan solat Istiqa, lalu bersolat bersama kami dua rakaat tanpa azan atau iqamah. Kemudian baginda menyampaikan khutbah serta berdoa kepada Allah, lalu berpaling ke arah kiblat sambil mengangkat kedua tangannya. Selanjutnya dibalikkan selendang di kanan lalu diletakkan di kiri dan yang kiri di kanan."

Ketika ditanyakan apakah simbolik sebalik tindakan itu, Fadlan berkata, para ulama menterjemahkan perbuatan tersebut dengan permintaan baginda yang bersungguh-sungguh dan penuh pengharapan supaya Allah menurun hujan dengan segera.

Menurut Fadlan, sehubungan itu umat Islam disunatkan menterbalikkan pakaian yang berada di tubuh badan sebagai tanda pengharapan.

"Di saat suasana kering-kontang, kita amat memerlukan hujan dan selain berdoa, usaha itu diterjemahkan melalui tindakan menterbalikkan pakaian," kata Fadlan.



Related Posts with Thumbnails