RSS Feeds

Translate


5.31.2013

Perkongsian Maklumat Berkenaan al-Syawahid wa al-Mutaba'at

huruf pertama Cetak Halaman


PERANAN  AL-SHAWAHID WA AL-MUTABA‘AT
DALAM PENILAIAN HADITH: PENGENALAN
DAN GARIS PANDUAN


Dr Fadlan Mohd Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University



Abstrak


Kajian ini membincangkan usaha ulamak Hadith (Ahl al-Hadith atau al-Muhaddithun) dalam menilai sesuatu hadith yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Ulamak Hadith telah merumuskan pelbagai formula untuk menjaga kesucian sunnah Rasulullah s.a.w. Di antara usaha yang mereka tekankan ialah al-I‘tibar iaitu pencarian al-Shawahid wa al-Mutaba‘at. Usaha ini penting dalam menjelaskan kedudukan sesuatu hadith yang mungkin  dianggap sahih atau da‘if jika dilihat sendirian tetapi sebenarnya bukan demikian. Kajian ini menjelaskan secara ringkas berkenaan definisi al-I‘tibar, al-Shawahid dan al-Mutaba‘at. Seterusnya perbincangan diteruskan dengan penjelasan garis panduan perlaksanan usaha murni ini. Kajian mendapati usaha ini merupakan satu bidang ilmu yang perlu dikuasai oleh pengkaji dalam bidang hadith.

 
Pengenalan Ringkas Berkenaan Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At Dan Al-I‘Tibar


Sebagai pendahuluan, eloklah jika diperhatikan erti ketiga-tiga perkataan ini iaitu al-Shawahid, al-Mutaba‘at dan al-I‘tibar. Setiap perbincangan hanya akan membuahkan hasil yang memuaskan apabila definisi perkara yang dibincangkan itu dapat difahami sebelum diterokai  dengan lebih lanjut.

Definisi Al-Shawahid

Al-Shahid atau al-Shawahid ialah seorang periwayat menyertai periwayat lain dalam periwayatan hadith daripada sahabiy yang lain samada dari sudut lafaz atau erti (al-Qudah1424H-2003, 93).

Definisi Al-Mutaba‘At

Al-Mutaba‘ah atau al-Mutaba‘at ialah seorang periwayat menyertai periwayat lain dalam periwayatan hadith daripada sahabiy yang sama dari sudut lafaz atau erti (al-Qudah1424H-2003, 93).

Al-Mutaba‘ah atau al-Mutaba‘at terbahagi dua iaitu:

1.      Mutaba‘ah Tammah: Penyertaan itu bermula daripada peringkat shaykhnya sehinggalah ke penghujung sanad.

2.      Mutaba‘ah Qasirah: Penyertaan itu bermula daripada peringkat selepas shaykhnya sehinggalah ke penghujung sanad (al-Qudah1424H-2003, 93).

Berikut ialah satu gambarajah yang menerangkan tentang kedudukan al-Mutaba‘ah al-Tammah, al-Mutaba ‘ah al-Qasirah dan al-Shahid (lihat: al-Qudah1424H-2003, 94):

Hadith asal
Mutaba‘ah Tammah
Mutaba‘ah Qasirah
Shahid
الشهر تسع وعشرون...فإن غم عليكم فأكملوا العدة ثلاثين               
فإن غم عليكم فأكملوا العدة ثلاثين
...فكملوا ثلاثين
إذا رأيتموا الهلال فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا فإن غم عليكم فأكملوا العدة ثلاثين
Rasulullah
Rasulullah
Rasulullah
Rasulullah

Abdullah bin Umar

Abdullah bin Umar

Abdullah bin Umar

Abdullah bin Abbas

Abdullah bin Dinar

Abdullah bin Dinar

Muhammad bin Zaid

Muhammad bin Hunain

Malik

Malik

‘Asim bin Muhammad

‘Amr bin Dinar

Al-Shafiiy

Abdullah bin Maslamah

Ibn Khuzaymah

Sufyan
-

Al-Bukhari
-
Muhammad bin Abdullah bin Zaid
-
-
-

Al-Nasai
Definisi Al-I‘Tibar

Al-I‘tibar pula ialah usaha dan kajian menyeluruh terhadap jalur-jalur hadith untuk mengenalpasti al-Shawahid dan al-Mutaba‘at (Ibn Kathir 1417H-1997, 69).  

Peranan Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At Dalam Penilaian Hadith

Di dalam menilai sesuatu hadith, para ulamak telah menggariskan pelbagai dasar dan garis panduan yang teliti dan mendalam. Antara lain, mereka menekankan pengumpulan jalur-jalur hadith supaya dikaji khususnya dari sudut penelitian sanad. Hadith tidak boleh dihukum sahih  atau da‘if  hanya dengan melihat satu jalur sahaja.

Kemungkinan jalur sesuatu hadith itu sahih akan tetapi disebabkan beberapa perkara tertentu, ianya akan dikira sebagai da‘if. Di antara perkara yang menjadikan sesuatu hadith sahih itu da‘if ialah jika hadith sahih itu mengandungi tambahan yang menyalahi hadith sahih lain yang lebih kuat, samada dari sudut dabt (keteguhan), bilangan atau lain-lain. Hadith yang pertama adalah da‘if dan dinamakan shadh  manakala hadith yang kedua adalah sahih dan dinamakan mahfuz  (Al-‘Asqalani t.th., 28).

Dari sudut lain pula, kemungkinan juga jalur sesuatu hadith itu da‘if, akan tetapi apabila ada jalur lain yang menguatkannya, maka hadith pertama itu bertukar kepada hasan li ghairih  (Al-‘Asqalani t.th., 55). Hadith hasan li dhatih  juga dapat dinaik tarafkan kepada sahih li ghairih  dengan al-shawahid wa al-mutaba‘at (Al-‘Asqalani t.th., 25)

Al-Shawahid Wal Mutaba‘At Boleh Menguatkan Hadith

Seperti yang telah dijelaskan, di antara peranan al-shawahid wa al-mutaba‘at ialah menguatkan hadith. Hadith da‘if boleh ditukarkan kepada hasan li ghairih manakala hadith hasan li dhatih pula boleh ditukarkan kepada sahih li ghairih. Berikut adalah garis panduan perbincangan ini.

Garis Panduan Menguatkan Hadith Dengan Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At

1.      Hadith Da‘If Khafif Al-Da‘F Kepada Hasan Li Ghairih

Sekiranya sesuatu hadith itu khafif al-da‘f  (lemah secara ringan), ianya dapat dinaiktarafkan kepada hasan li ghairih dengan bantuan shawahid dan mutaba‘at yang berbilang-bilang. Kathrah al-turuq (jalur yang banyak) dalam keadaan ini berperanan mengenepikan sifat al-da‘f daripada hadith tersebut. Berkata Ibn Hajar Al-‘Asqalani (t.th., 55):

ومتى توبع السيء الحفظ بمعتبر، وكذا المستور، والمرسل، والمدلس: صار حديثهم حسنا لا لذاته بل بالمجموع.

Maksudnya: Dan bila periwayat yang lemah hafalannya diiringi oleh hadith yang muktabar, juga periwayat yang mastur (tidak dikenali keadaannya), hadith mursal dan hadith mudallas; hadith mereka akan bertukar menjadi hasan bukan dengan dirinya sendiri akan tetapi secara berkumpulan.

Berkata Dr. Muhammad ‘Ijaj al-Khatib (1405H-1985, 156-157):

فكل حديث ضعيف لقدح في العدالة، كالكذب على رسول الله صلى الله عليه وسلم، أو التهمة به، أو للكذب في أحاديث الناس، والفسق في القول أو العمل، والابتداع بكفر، ونحو هذا، لا يرتقي عن درجة الضعف، ولو كثرت طرقه، لشدة سوء أسباب هذا الضعف، وتقاعد الجابر عن جبر ضعف الراوي، وقد يرتقي بمجموع طرقه عن كونه منكرا أو لا أصل له، إلى درجة المستور السيء الحفظ.

والحديث الضعيف لسبب قادح في الحفظ والضبط، مما لم تـُثـْلـَم عدالة رواته، إذا كثرت طرقه ارتقى من الضعيف إلى الحسن لغيره، لأن مجيئه من طريق مقبول، أو طرق أخرى يجبر ضعفه، ويتبين للدارس أن حفظ راوي الضعيف بالطريق الأول لم يختل ضبطه فيه، لذا ارتقى عن الضعيف.

وكذلك كل ما كان ضعفه لأرسال أو تدليس، أو لجهالة بعض رواته، فإن هذا الضعف يزول بمجيئه من وجه آخر، ويصير الحديث حسنا لغيره، للعاضد الذي عضده.

Maksudnya: Setiap hadith yang da‘if kerana tohmahan dalam al-‘adalah (keadilan) seperti penipuan ke atas Rasulullah s.a.w., atau tohmahan melakukan penipuan ini, atau penipuan dalam kata-kata manusia, atau kefasikan dalam percakapan atau amalan, dan melakukan bid‘ah yang kufur, dan yang seumpamanya; hadith itu tidak akan naik dari tahap da‘if walaupun jika jalurnya banyak. Ini kerana punca-punca da‘f (kelemahan) ini amat kritikal dan kelemahan periwayat di sini tidak dapat diperbaiki. Akan tetapi, dengan jalur yang banyak, hadith itu dapat berubah daripada hadith munkar atau la asla lah (tiada asal baginya) kepada tahap periwayat mastur (yang tidak dikenali) dan sayyi’ al-hifz  (yang lemah hafalannya).

Hadith yang da‘if disebabkan kelemahan dalam hafalan dan kekuatan ingatan yang tidak terkesan dengannya keadilan periwayat-periwayat, jika jalurnya banyak, hadith itu akan bertukar daripada da‘if kepada hasan li ghairih. Ini kerana kedatangan hadith itu dari jalur yang diterima atau dari jalur-jalur lain dapat memperbaiki kelemahannya. Jelaslah di sini bagi pengkaji bahawa hafalan periwayat hadith yang da‘if melalui jalur pertama tidak rosak dabt (keteguhannya). Dengan itu hadith itu meninggalkan peringkat da‘if.

Begitu jugalah halnya dengan hadith da‘if kerana irsal atau tadlis atau periwayat majhul (tidak dikenali), kelemahan itu akan terhakis dengan kedatangan jalur lain. Hadith itu bertukar kepada hasan di ghairih dengan jalur yang menguatkannya.

Dapatlah dirumuskan di sini bahawa antara kriteria hadith khafif al-da‘f (lemah secara ringan) ialah sifat al-da‘f tidak berpunca daripada kelemahan tahap sidq (kebenaran) salah seorang periwayatnya dan tidak juga berpunca daripada kelemahan tahap din (keagamaan) salah seorang periwayatnya. Hadith da‘if yang dapat dinaiktarafkan kepada hasan li gahirih adalah empat iaitu periwayat yang sayyi’ al-hifz, periwayat yang majhul al-hal / mastur, hadith mursal dan hadith mudallas.
     
Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 378-379):

روى البزار من طريق عبد الله بن يزيد ثنا عبد الرحمن بن زياد عن راشد بن عبد الله المعافري عن عبد الله بن يزيد عن عبد الله بن عمرو أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال [أفضل الصدقة إصلاح ذات البين].

Hadith ini da‘if kerana Abdul Rahman bin Ziyad berada pada tahap da’if. Akan tetapi hadith ini naik taraf kepada hasan li ghairih dengan hadith mutaba‘ah berikut yang bertaraf sahih:

قال الإمام الترمذي حدثنا هناد حدثنا أبو معاوية عن الأعمش عن عمرو بن مرة عن سالم بن أبي الجعد عن أم الدرداء عن أبي الدرداء قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم [ألا أخبركم بأفضل من درجة الصيام والصلاة والصدقة؟] قالوا بلى قال [صلاح ذات البين فإن فساد ذات البين هي الحالقة].

 قال أبو عيسى هذا حديث صحيح ويروى عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال [هي الحالقة لا أقول تحلق الشعر ولكن تحلق الدين]. (سنن الترمذي، كتاب صفة القيامة والرقائق والورع، باب منه، رقم 2433).

2.      Hadith Hasan Li Dhatih Kepada Sahih Li Ghairih

Sekiranya hadith hasan li dhatih datang melalui jalur yang banyak, ianya akan naik ke tahap sahih li ghairih. Berkata Muhammad Jamal al-Din al-Qasimi (1425H-2004, 144):

اعلم أن الحسن إذا روي من وجه آخر، ترقى من الحسن إلى الصحيح، لقوته من الجهتين، فيعتضد أحدهما بالآخر، وذلك لأن الراوي في الحسن متأخر عن درجة الحافظ الضابط مع كونه مشهورا بالصدق والستر، فإذا روي حديثه من غير وجه، ولو وجها واحدا قوي بالمتابعة وزال ما كان يخشى عليه من جهة سوء حفظ راويه، فارتفع حديثه من درجة الحسن إلى الصحيح.
                                               
Ketahuilah bahawa sekiranya hadith hasan diriwayatkan daripada jalur lain, ianya akan naik daripada peringkat hasan kepada sahih kerana kekuataannya dari dua sudut, lalu setiap satu akan menguatkan yang lain. Periwayat hadith hasan dikira rendah sedikit daripada peringkat periwayat yang menghafal dengan teguh walaupun dia dikenali dengan kebenaran dan kebaikan. Jadi jika hadithnya datang dari jalur lain, walaupun satu jalur, ianya akan menjadi kuat dengan mutaba‘ah (kewujudan mutabi‘) dan terhakislah keraguan terhadapnya dari sudut kelemahan hafalan periwayatnya. Dengan ini hadith itu naik daripada peringkat hasan kepada sahih.

Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 62-65):

قال الإمام الترمذي حدثنا علي بن حجر أخبرنا حرملة بن عبد العزيز بن الربيع بن سبرة الجهني عن عمه عبد الملك بن الربيع بن سبرة عن أبيه عن جده قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم [علموا الصبي الصلاة ابن سبع سنين واضربوه عليها ابن عشر.]
 قال وفي الباب عن عبد الله بن عمرو. قال أبو عيسى حديث سبرة بن معبد الجهني حديث حسن صحيح. (سنن الترمذي، كتاب الصلاة، باب ما جاء متى يؤمرالصبي بالصلاة، رقم 372).

Hadith ini bertaraf Hasan li dhatih kerana Abdul Malik bin al-Rabi‘ berada pada tahap hasan. Hadith ini naik taraf kepada Sahih li ghairih dengan hadith Shahid berikut yang juga bertaraf Hasan li dhatih kerana Sawwar Abu Hamzah al-Sayrafiy berada pada tahap hasan:

قال الإمام أبو داود حدثنا مؤمل بن هشام يعني اليشكري حدثنا إسمعيل عن سوار أبي حمزة قال أبو داود وهو سوار بن داود أبو حمزة المزني الصيرفي عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم [ مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا بينهم في المضاجع.]
حدثنا زهير بن حرب حدثنا وكيع حدثني داود بن سوار المزني بإسناده ومعناه وزاد [وإذا زوج أحدكم خادمه عبده أو أجيره فلا ينظر إلى ما دون السرة وفوق الركبة.] قال أبو داود وهم وكيع في اسمه وروى عنه أبو داود الطيالسي هذا الحديث فقال حدثنا أبو حمزة سوار الصيرفي. (سنن أبي داود، كتاب الصلاة، باب متى يؤمر الغلام بالصلاة، رقم 418).

Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At Boleh Melemahkan Hadith

Dari sudut yang lain, di antara peranan al-shawahid wa al-mutaba‘at ialah menekankan penolakan terhadap sesuatu hadith. Hadith da‘if shadid al-da‘f dan hadith maudu‘tidak sekali-kali dapat diselamatkan. Berikut adalah garis panduan perbincangan ini.

Garis Panduan Melemahkan Hadith Dengan Al-Shawahid Wal Mutaba‘At

1.      Hadith Da‘If Shadid Al-Da‘F Kekal Bahkan Bertambah Da‘if

Sekiranya sesuatu hadith itu shadid al-da‘f (lemah secara serius), ianya tidak akan dapat dinaik tarafkan kepada hasan li ghairih walaupun mempunyai shawahid dan mutaba‘at yang berbilang-bilang. Kathrah al-turuq (jalur yang banyak) dalam keadaan ini hanya akan menambahkan sifat al-da‘f pada hadith tersebut. Berkata Muhammad Nasir al-Din al-Albani (1422H-2001, 31):
     
Antara perkara masyhur di kalangan ulamak ialah jika sesuatu hadith itu datang daripada jalur-jalur yang banyak, hadith itu akan menjadi kuat dan hujjah walaupun setiap jalur itu secara tersendirinya adalah da‘if. Akan tetapi kenyataan ini bukan secara umum. Sebaliknya, di sisi ulamak yang teliti, ini bergantung kepada sifat al-da‘f dari sudut kelemahan hafalan periwayat dan bukannya dari sudut tuduhan terhadap tahap kebenaran periwayat mahupun keagamaannya. Jika tidak, hadith itu tidak akan menjadi kuat walaupun jalurnya banyak.

Berkata Abdul Qadir al-Arnaut (al-Qasimi 1425H-2004, 154):

وبناء على ما  تقدم: ليس كل حديث ضعيف يرتقي بمجموع طرقه. بل قد تزيده كثرة الطرق ضعفا على ضعفه.
                       
Berdasarkan perbincangan ini, bukan semua hadith da’if boleh naik taraf dengan jalur yang banyak. Bahkan mungkin jalur yang banyak itu menambahkan da‘f (kelemahan) di samping da‘f (kelemahan) yang sedia ada.

Dengan itu dapatlah disimpulkan bahawa kriteria hadith shadid al-da‘f (lemah secara serius) ialah sifat al-da‘f berpunca daripada kelemahan tahap sidq (kebenaran) atau kelemahan tahap din (keagamaan) salah seorang periwayatnya seperti berikut (al-Khayrabadiy 1423H-2003, 289):
1-      Salah seorang daripada periwayatnya pembohong atau pemalsu.
2-      Salah seorang daripada periwayatnya dituduh pembohong atau dituduh pemalsu.
3-      Salah seorang daripada periwayatnya fasiq.
4-      Hadith itu bersifat shadh atau munkar.
5-      Hadith itu bersifat ma‘lul.

Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 94-109):

من حفظ على أمتي أربعين حديثا من أمر دينها بعثه الله يوم القيامة في زمرة الفقهاء والعلماء

Maksudnya: Sesiapa yang menghafal untuk umatku empat puluh hadith berkenaan urusan agama mereka, Allah akan bangkitkannya pada hari Kiamat kelak bersama golongan fuqaha’ dan ulamak.           

Berkata al-Imam Yahya bin Sharaf al-Nawawi (Nazim, 1410H, 14):
واتفق الحفاظ على أنه حديث ضعيف وإن كثرت طرقه
Maksudnya: Para huffaz telah bersepakat mengatakan ini hadith da‘if walaupun jalurnya banyak.
                       
Walaupun hadith ini mempunyai dua puluh lima jalur daripada tiga belas para sahabat, namun hadith ini tidak naik taraf kepada hadith hasan li ghairih kerana da‘f (kelemahannya) adalah serius seperti berikut:

1-      Enam belas jalur-jalurnya mengandungi periwayat yang pemalsu, dituduh dengan pemalsuan, pembohong dan dituduh dengan pembohongan.

2-      Tiga jalur-jalurnya yang lain mengandungi periwayat yang dihukum matruk al-hadith (ditinggalkan hadithnya).

3-      Lima jalur-jalurnya yang lain mu‘allaq (tergantung), di samping wujudnya periwayat majhul (tidak dikenali), atau dua orang majhul atau periwayat da‘if.

4-      Satu jalurnya yang lain mengandungi dua periwayat majhul dan wujud inqita‘ (sanad terputus).

2.      Hadith Maudu‘ Kekal Bahkan Bertambah Maudu‘

Berkenaan dengan hadith maudu‘[1] pula, ianya tidak akan sekali-kali dikuatkan oleh apa-apa sekalipun dari sudut ilmu hadith. Perkara ini amat jelas kerana hadith maudu‘  sebenarnya bukanlah hadith yang boleh disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bahkan para ulamak hadith mengharamkan periwayatannya kecuali untuk menjelaskan perihal sifat wad‘ (kepalsuannya) (al-Qudah 1424-2003,183). Justeru kathrah al-turuq (jalur yang banyak) tidak memberi apa-apa kesan langsung kepada hadith maudu‘.

Hadith maudu‘ juga tidak boleh disifatkan sebagai mutawatir kerana sifat tawatur itu hanyalah untuk hadith yang sahih sahaja[2]. Menyifatkan satu hadith maudu‘ sebagai mutawatir hanyalah menyerlahkan lagi kecetekan intelektual dan kelemahan penguasaan disiplin ilmu hadith.


PERHATIAN!

1.      Hukum Terhadap Sanad Tidak Semestinya Hukum Terhadap Matan

Di dalam mengeluarkan sesuatu hukum terhadap sanad sesuatu hadith sebagai dacif atau dacif shadid al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc  disebabkan kelemahan sifat salah seorang periwayatnya seperti dacif, munkar al-hadith mahupun kadhdhab, sebenarnya yang dihukum ialah hadith tersebut secara spesifik; iaitu sanad dan matannya. Justeru, jika ditemui matan yang mirip dengan hadith pertama itu, daripada sanad yang sahih atau hasan, hadith yang kedua itu diterima. Dengan ini, pelaksanaan adalah berdasarkan hadith yang kedua dan bukannya hadith yang pertama. Dalam kes ini juga hadith yang pertama itu statusnya bertukar hasan lighayrih jika asalnya dacif (khafif al-dacf), kekal dacif jika asalnya dacif jiddan atau dan kekal juga mawduc jika asalnya mawduc. Dapatlah perkara ini digambarkan dalam gambarajah berikut:

Hukum hadith pertama
Hukum hadith kedua (shahid @ mutabacah)
Natijah hukum hadith pertama
Status penerimaan atau penolakan
Dacif
Hasan atau Sahih
Bertukar jadi Hasan lighayrih
Hadith pertama dan kedua diterima
Dacif jiddan
Hasan atau Sahih
Kekal Dacif Jiddan
Hadith pertama ditolak, hadith kedua diterima
Mawduc
Hasan atau Sahih
Kekal Mawduc
Hadith pertama ditolak, hadith kedua diterima

2.      Tidak Semua Kenyataan Yang Benar Itu Hadith

Apabila seseorang itu mengeluarkan kenyataan yang benar, kenyataannya hendaklah diterima sebagai kenyataan yang benar. Itulah yang adil baginya. Akan tetapi perlulah ditekankan bahawa kenyataan itu tidak boleh disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. semata-mata kerana ianya adalah kenyataan yang benar. Untuk menyandarkannya kepada Rasulullah s.a.w., perlulah dinyatakan dalil iaitu sanad yang sahih atau hasan. Jika wujud satu sanad yang bersambungan terus kepada Rasulullah s.a.w. dengan menepati syarat sahih atau hasan, barulah kenyataan itu boleh disandarkan kepada Baginda s.a.w.

Dengan ini, dapatlah ditetapkan bahawa erti matan yang sahih dari sesuatu hadith yang mawduc masih boleh diterima sebagai kenyataan yang benar tetapi ianya haram disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.!

Kesimpulan

1-      Para ulamak hadith atau ahli al-hadith atau al-muhaddithun memberikan penekanan yang besar terhadap peranan al-shawahid wa al-mutaba‘at.

2-      Di dalam usaha untuk menilai kekuatan atau kelemahan sesuatu hadith, pengkaji hendaklah mendalami atau setidak-tidaknya memberi perhatian kepada peranan al-Shawahid wal-Mutaba‘at.

3-      Hadith da‘if khafif al-da‘f boleh dikuatkan oleh al-Shawahid wal-Mutaba‘at manakala hadith da‘if shadid al-da‘f dan juga hadith maudu‘ tidak boleh dikuatkan oleh al-Shawahid wal-Mutaba‘at.

4-      Kelemahan dalam bidang ini boleh menyebabkan kesilapan dalam menguatkan hadith atau melemahkan hadith.

5-      Keperluan merujuk kepada penilaian para ulamak yang pakar dalam bidang hadith dalam usaha untuk menyatakan kesahihan atau kelemahan hadith.

6-      Sekiranya terdapat satu hadith yang mempunyai pelbagai sanad di mana sanad pertama dacif shadid al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc  manakala sanad yang lain sahih atau hasan, hadith ini boleh diamalkan berdasarkan hadith yang sahih atau hasan itu. Hadith pertrama yang dacif shadid al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc   itu tetap tidak boleh diterima walaupun matannya telah sabit dengan hadith kedua. Dalam ertikata lain, perlulah diambil matan hadith ini daripada hadith yang kedua dan bukannya hadith yang pertama.



RUJUKAN
Al-Quran al-Karim.

Al-‘Asqalani, Ibn Hajar. t.th. Nuzhah al-Nazar Bi Sharh Nukhbah al-Fikar Fi Mustalah Hadith Ahl al-Athar. Ta‘liq Abu ‘Abd al-Rahim Muhammad Kamal al-Din al-Adhamiy. Al-Qahirah: Maktabah al-Turath al-Islamiy.

Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din. 1422H-2001. Tamam al-Minnah Fi al-Taliq Ala Fiqh al-Sunnah. al-Riyadh: Dar al-Rayah.

Al-Qudah, Dr. Sharaf Mahmud. 1424H-2003. al-Minhaj al-Hadith Fi Mustalah al-Hadith. Kuala Lumpur, Albayan Corporation Sdn. Bhd.

Al-Tahhan, Dr. Mahmud, 1407H-1987. Taysir Mustalah al-Hadith. Al-Riyad: Maktabah al-Ma‘arif.

Al-Qasimi, Muhammad Jamal al-Din. 1425H-2004. Qawa ‘id al-Tahdith Min Funun Mustalah al-Hadith. Tahqiq al-Shaykh ‘Abd al-Qadir al-Arnaut. Bayrut: Muassasah al-Risalah.

Nazim Muhammad Sultan. 1410H. Qawa‘id Wa Fawaid Min al-Arba ‘in al-Nawawiyyah. Al-Riyad: Dar al-Hijrah.

Al-Khatib, Muhammad ‘Ijaj. 1421H-2001. Usul al-Hadith ‘Ulumuh Wa Mustalahuh. Bayrut: Dar al-Fikr.

Al-Khatib, Muhammad ‘Ijaj. 1405H-1985. al-Mukhtasar al-Wajiz Fi ‘Ulumu al-Hadith.Bayrut: Muassasah al-Risalah.

Al-Qattan, Manna‘. 1412H-`992. Mabahith Fi ‘Ulum al-Hadith. Al-Qahirah: Maktabah Wahbah.

Ahmad Muhammad Shakir. 1417H-1997. al-Ba ‘ith al-Hathith Sharh Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith Li al-Hafiz Ibn Kathir. Tahqiq Dr. Badi‘ al-Sayyid al-Lahham. Dimishq: Dar al-Fayha’ dan al-Riyad: Dar al-Salam.

Dr. al-Murtada al-Zayn Ahmad. 1415H-1994. Manahij al-Muhaddithin Fi Taqwiyah al-Ahadith al-Hasanah Wa al-Da‘ifah. Al-Riyad: Maktabah al-Rushd.

Al-Khayrabadiy, Dr. Muhammad Abu al-Layth. 1423H-2003. ‘Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu ‘asiruha. Selangor: Dar al-Shakir.












Nota hujung:

[1]  Hadith Maudu‘ ialah: Apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. secara rekaan dan pendustaan yang mana Baginda tidak sebut, buat atau perakui (al-Khatib 1421H-2001, 275).

[2]  Hadith Mutawatir ialah: Apa yang diriwayatkan oleh bilangan yang banyak di mana mengikut kebiasaan, adalah mustahil bagi mereka bersepakat untuk berdusta; dari permulaan sanad hinggalah ke penghujung, dengan perantaraan pancaindera (al-Qattan 1412H-1992, 95).

Hadith Mutawatir tergolong dalam bahagian al-maqbul (yang diterima) dan merupakan tahap tertinggi di kalangan hadith yang diterima sehinggakan para ulamak mengkafirkan orang yang menolaknya tidak kira samada mutawatir lafziy atau mutawatir ma‘nawiy (al-Qudah 1424H-2003, 97).

Hadith Maudu‘ pula tergolong dalam bahagian al-mardud (yang ditolak) bahkan ianya merupakan tahap tertinggi juga di kalangan hadith yang  ditolak sehinggakan para ulamak mengharamkan periwayatannya kecuali untuk tujuan menjelaskan kepalsuannya (al-Tahhan 1407H-1987, 89-90).


 

4.04.2013

Kerajaan Masih Ada (perkongsian maklumat dpd sahabat)

KUASA SEBUAH KERAJAAN PASCA PEMBUBARAN PARLIMEN: BENARKAH TIADA KHAWARIJ?
Perdana Menteri kita Dato’ Sri Najib Tun Razak telah pun mengumumkan pembubaran parlimen pada 3 April 2013 setelah mendapat perkenan dari Yang Dipertuan Agong. Dengan terbubarnya parlimen, maka mengikut undang-undang pilihanraya, Pilihanraya Umum ke-13 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari sekarang.
Rakyat sesungguhnya memang sudah muak dengan perang politik yang tidak berkesudahan semenjak 8 Mac 2008, yang mana menyaksikan pihak pembangkang buat pertama kalinya dapat menafikan majoriti dua pertiga yang dinikmati oleh kerajaan Barisan Nasional buat sekian lama.
Apabila Perdana Menteri mengumumkan pembubaran parlimen, timbul pula syubhat baru. Maka berkokoklah tokoh-tokoh pembangkang yang mengatakan kini sudah tidak ada lagi kerajaan yang sah, kerajaan ini sudah luput tarikhnya dan sebagainya. Adalah cukup mengecewakan apabila terdapat beberapa orang ustaz popular yang sibuk mengatakan bahawa dengan terbubarnya parlimen, maka sudah tidak ada lagi kerajaan, tidak ada lagi pembangkang dan dengan itu tidak ada lagi khawarij dan rakyat bebas menjatuhkan pemerintah sedia ada.
Tidak kurang juga ada yang tanpa segan silu mengatakan bahawa Dato’ Sri Najib bukan lagi Perdana Menteri yang sah dan mendesak beliau supaya keluar dari kediaman rasmi dan tidak menggunakan lagi kemudahan-kemudahan rasmi yang telah diperuntukkan kepada beliau. Sesungguhnya, seruan ini adalah seruan yang jahil dari mereka yang berkepentingan dan merupakan seruan yang bertentangan bukan sahaja dengan perlembagaan negara tetapi juga dari aspek sunnah.
Khawarij adalah masalah aqidah yang kekal dan tidak akan hilang. Malah adalah syubhat untuk menyatakan bahawa dengan “hilangnya kuasa” pemerintah, maka tiadalah ketaatan rakyat pada pemerintah tersebut. Ini terbukti melalui sirah, apabila gerakan khawarij telah mendapat bentuknya selepas berlakunya konfrontasi antara Saidina Ali RA dan Saidina Muawiyyah RA. Setelah berakhirnya peperangan Siffin, konflik ini cuba diselesaikan melalui perundingan Majlis Tahkim. Majlis Tahkim melalui rundingan diplomasi antara Abu Musa Al-Asy’ari RA di pihak Saidina Ali dan Amru Al-As RA di pihak Saidina Muawiyyah tidak mencapai persepakatan dalam hal siapakah yang patut memimpin ummah seperti yang tercatat dalam Tarikh At -Tabari.
Lantas, sekumpulan penyokong Saidina Ali RA telah keluar dari barisan ketenteraan beliau. Mereka ini telah bertindak mengkafirkan Saidina Ali kerana beliau memilih untuk bersetuju dengan keputusan Majlis Tahkim. Mereka berkata bahawa Ali sudah berhukum selain dari hukum Allah, dan tidak ada hukum selain hukum Allah. Lalu mereka berkata, memandangkan Ali bukan lagi Amirul Mukminin, maka dia adalah Amirul Kafirin. Gerakan khawarij mengambil kesempatan atas keadaan kucar-kacir dalam kepimpinan ummat tatkala itu!
Maka, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa khawarij hanya boleh wujud dengan adanya pemerintah yang cukup sifat dan sempurna semata-mata. Ini kerana munculnya pertama kali gerakan khawarij yang sempurna dari istilah syarak berlaku ketika tiada kesepakatan dalam isu siapakah khalifah yang berkuasa penuh ke atas wilayah-wilayah Islam. Yang wujud ketika itu hanyalah kerajaan sementara pimpinan Saidina Ali dan juga pentadbiran Saidina Muawiyyah di Syam.
Hakikatnya, hayat Saidina Ali RA berakhir dengan pembunuhan beliau oleh sang Abdul Rahman bin Muljam yang telah dicela oleh jumhur ulama ahlul sunnah wal jamaah. Lihatlah, sungguhpun Saidina Ali bukan lagi seorang pemerintah negara yang berkuasa penuh seperti yang difahami oleh sesetengah pihak jika dibandingkan dengan khalifah-khalifah sebelum beliau, tidak ada ulamak ahli sunnah wal jamaah yang muktabar yang akan mengangkat Abdul Rahman Muljam dan gerombolannya sebagai wira adijagat yang menentang pemerintah yang zalim dan tidak berhukum dengan hukum Allah. Ini adalah merupakan bukti bahawa khawarij ini adalah masalah ideologi dan aqidah yang tidak ada kaitan dengan naik atau turunnya sesebuah kerajaan.
Namun, kenapakah wujud fahaman songsang dari kalangan agamawan ini yang beranggapan bahawa dengan terbubarnya parlimen, maka negara tidak ada pemerintah? Dengan itu, mereka telah melakukan stipulasi bahawa dengan terbubarnya parlimen tidak ada lagi khawarij walaupun terbukti sejarah Islam telah menolak idea ini secara total dan tuntas sejak dari tunasnya lagi.
Berbalik kepada isu pembubaran parlimen dan kerajaan sementara semasa pilihanraya, agamawan popularis ini cuba mengatakan bahawa setelah parlimen dibubarkan maka tidak ada kerajaan yang sempurna yang dengan itu menghalalkan rakyat menjatuhkan pemerintah sedia ada dan memilih yang lain.
Penulis ingin mengajak semua untuk meneliti semula realiti perlembagaan dan undang-undang Malaysia. Mengikut perlembagaan kita, tidak ada konsep ‘Caretaker Government’ seperti di Australia dan New Zealand yang melantik kakitangan kerajaan sebagai ‘penjaga sementara negara’.
Ini diakui sendiri oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman di dalam jawapan bertulisnya kepada Lim Kit Siang pada 17 Januari 2008.
“Sukacita dimaklumkan bahawa dalam kerangka undang-undang pilihanraya Negara kita termasuk Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan adanya ‘Caretaker Government’. Oleh yang demikian, apabila pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berlaku, maka kerajaan yang memerintah sebelum pembubaran tersebut akan terus menerajui kerajaan sehinggalah sebuah kerajaan baru ditubuhkan selepas keputusan pilihanraya diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.”
Oleh itu, dalam realiti politik negara kita, tidak ada caretaker government dan kerajaan yang memerintah adalah terus menerajui pemerintahan sehinggalah kerajaan baru ditubuhkan! Ini bermakna , tidak cacat sedikit pun sifat ulil amri bagi pemerintah sepanjang tempoh pembubaran parlimen sehinggalah diumumkan keputusan pilihanraya . Perlembagaan Malaysia Perkara 43(2)(b) juga secara jelas telah menerangkan konsep ini.
“Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:
…tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.”
Malah, ini turut disahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 3 April 2013 bila mana beliau berkata kerajaan sedia ada akan terus berkhidmat mentadbir negara dan padanya tidak berlaku kecacatan termasuklah dalam bidang ekonomi dan politik. “Fungsi untuk mentadbir negara masih sama, tetapi tidak sebagai ahli Dewan Rakyat apabila fungsi di dalam Parlimen tidak ada lagi, dan perundangan tidak boleh dibuat,” katanya. Beliau juga turut mengesahkan bahawa tidak ada istilah kerajaan sementara di dalam Perlembagaan Malaysia.
Oleh itu, pendapat yang mengatakan kerajaan dalam tempoh pasca pembubaran parlimen bukan lagi ulil amri dan tidak perlu diberikan ketaatan adalah suatu kesimpulan yang salah, tidak jujur dan bersifat nakal apabila dirujuk kepada sunnah dan sejarah Islam serta dikuatkan lagi dengan hujah-hujah bersumberkan perlembagaan dan perundangan negara.
Adalah menghairankan sang agamawan popularis bermati-matian mahu menhidup dan merayakan demokrasi tulen. Ketahuilah demokrasi tulen hanya akan diperakui oleh Barat seandainya Negara menghalalkan murtad dan amalan songsang LGBT. Renunglah dimanakah para perjuang murtad dan LGBT berada. Apakah di sebelah kerajaan UMNO/Barisan Nasional atau di pihak Pakatan Pembangkang. Apakah anda masih mahu memperjudikan nasib Negara?
DR ABU UZMA ABDUL RAHMAN

2.14.2013

Al-Madinah International University

Al-Madinah International University

Sila klik untuk melihat peluang pengajian anda!

1.16.2013

محاضرة أسبوعية في شرح العقيدة الواسطية

أيها الإخوة الكرام! ندعوكم إلى الدرس الأسبوعي:

شرح العقيدة الواسطية

لسماحة الشيخ الأستاذ الدكتور محمد بن خليفة التميمي حفظه الله

المكان: دور ١٤، جامعة المدينة العالمية،
بلازا ماسلام، شاه عالم.

الوقت: الساعة الثانية إلى الساعة الثالثة مساءً

اليوم: السبت (بدءاً من ٧ ربيع الأول ١٤٣٤هـ الموافق ١٩ يناير ٢٠١٣م)

الدعوة عامة!

11.10.2012

Kerja di Mediu

Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala jua, bermula 1 November 2012 hingga 31 Oktober 2013, saya dipinjamkan untuk berkhidmat sebagai Deputy CEO for Student Affairs di Al-Madinah International University, Shah Alam. Doa daripada sahabat-sahabat sekelian dipohon agar Allah Ta'ala memudahkan segala urusan.

7.16.2012

Petikan Artikel Harian Metro 13 Julai 2012 Jumaat


Menghayati inspirasi Syaaban
Oleh Dr Fadlan Mohd Othman

MEMANG diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa kebanyakan hari dalam bulan Syaaban. Apabila ditanya kenapa, Baginda menjawab: “Ia bulan yang dilupai kebanyakan manusia, di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah satu bulan yang diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Justeru aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.” (Hadis riwayat al-Nasa’i, Kitab al-Siyam, Bab Saum al-Nabi s.a.w. No. 2357. Dinilai hasan oleh al-Albani.)

Hadis ini adalah satu daripada hadis sahih dan hasan yang membicarakan perihal kelebihan bulan Syaaban. Hadis ini juga adalah galakan agar umat Islam memperbanyakkan puasa pada bulan ini. Bagaimanapun perlulah diketahui bahawa ibadah dalam Islam adalah satu perkara sesuai dengan naluri suci manusia. Rasulullah mengajar kita agar beribadah kepada Allah s.w.t setinggi yang kita mampu.


Baginda juga memberi garis panduan agar mengimbangi praktikal ibadah kita. Nilai murni ini dapat digarap daripada perakuan Nabi terhadap kenyataan Salman al-Farisi kepada Abu al-Darda: “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab terhadap Tuhanmu, tanggungjawab terhadap badanmu, tanggungajawab terhadap keluargamu; jadi hendaklah kamu melaksanakan tanggungjawab kamu kepada mereka semua.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Man Aqsama ‘ala akhihi liyuftir, No. 1832.) Berdasarkan kepada perkara inilah kita dapati Rasulullah melarang umatnya daripada melakukan ibadah puasa bermula daripada pertengahan Syaaban.

Sabda Baginda: “Apabila datangnya pertengahan Syaaban maka janganlah kamu semua berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab Fi Karahiyah Zalik, No. 1994. Dinilai sahih oleh al-Albani).


Al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif (cetakan Dar Ibn al-Haitham, halaman 169) menerangkan maksud hadis ini dengan menyatakan bahawa terdapat perselisihan ulama dalam beramal dengan hadis ini.


Pandangan pertama hadis ini tidak diamalkan kerana bercanggah dengan hadis lain yang menunjukkan Rasulullah berpuasa pada bulan ini. Pandangan kedua hadis ini diterima dan diamalkan dengan kefahaman bahawa dilarang memulakan puasa sunat bagi mereka yang tidak biasa berpuasa sunat sebelum waktu ini. Pandangan kedua ini adalah pandangan al-Imam al-Syafi’i rahimahullah bersama beberapa ulama lain. Di dalam satu hadis lain, Rasulullah melarang umatnya daripada berpuasa sunat sehari atau dua hari sebelum masuknya bulan Ramadan. Baginda bersabda: “Janganlah ada di kalangan kamu orang yang mendahului bulan Ramadan dengan berpuasa sehari atau dua hari, kecuali orang yang biasa puasa pada hari tertentu maka dibenarkan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini jelas menganjurkan umat Islam agar menjauhi sifat was-was dalam melaksanakan ibadah. Islam mementingkan keyakinan dan kepastian dan bukannya was-was dan terlalu berjaga-jaga. Jika anak bulan Ramadan dapat dilihat atau sempurna kiraan tiga puluh bulan Syaaban maka hendaklah dimulakan puasa Ramadan. Satu perkara penting yang ingin dibincangkan ialah berkenaan dengan hadis pertama yang saya nyatakan di atas. Secara khusus lagi, ungkapan yang saya maksudkan ialah sabda Rasulullah: “…yang dilupai…” Ungkapan ini sebenarnya membawa satu inspirasi amat hebat iaitu pahala sesuatu amal salih akan berganda bila dilakukan pada waktu yang dilupai atau tidak dihiraukan orang ramai.


Kenapakah beramal di waktu yang tidak dihiraukan orang ramai dijanjikan pahala berganda? Jawapannya dihuraikan al-Imam Ibn Rajab dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif (cetakan Dar Ibn al-Haitham, halaman 162) seperti berikut. Pertama, kerana amalan dilakukan ketika orang tidak hirau adalah satu amalan tersembunyi. Sudah tentu amalan yang dilakukan secara tersembunyi adalah lebih terselamat daripada dicemari riak yang akan merosakkan amalan itu. Kedua, kerana melakukan amal salih ketika orang tidak hirau adalah suatu usaha yang payah dan susah. Apabila kebanyakan masyarakat membuat kebaikan, adalah mudah untuk kita mengikuti mereka. Tetapi, jika kebanyakan masyarakat tidak hiraukan kebaikan, sering membuat keburukan, sudah tentu ini memerlukan semangat dan kesungguhan tinggi untuk kita melawan arus.

Ini kerana semakin jauh umat Islam daripada zaman Rasulullah, semakin lemahlah pegangan mereka terhadap ajaran Islam.


Di sinilah kita dapati Rasulullah menjanjikan pahala besar bagi mereka berpegang teguh dengan sunnah Baginda di akhir zaman.


Janji Rasulullah itu berbunyi: “Bagi orang yang beramal salih di kalangan mereka pahala lima puluh orang daripada kalangan kamu.” (Hadis Hasan Gharib riwayat al-Tirmizi, Kitab Tafsir al-Quran, Bab Wa min Surah al-Maidah, No. 3004.) Inspirasi inilah yang dibawa Rasulullah di dalam Syaaban. Inspirasi ini jugalah yang wajar kita warisi daripada baginda. Di mana saja kita berada, di saat mana juapun, bila orang mula lalai dan tidak menghiraukan ajaran Islam, di situlah kita harus bangkit mengamalkan dan menyebarkan dengan penuh hikmah dan konsisten.


Hayatilah inspirasi Syaaban agar ibadah kita kekal menepati amalan Rasulullah.






4.10.2012

Makluman dpd FB Persatuan Al-Islah Perlis

Tentatif Lawatan Dr Fadlan Mohd Othman Ke Perlis

Siri Pertama/2012 : 14-17 April 2012



Assalamualaikum Warahmatullah



Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah sekalian



Sahibul Fadilah Dr. Fadlan Mohd Othman adalah ahli Panel Kajian Hadith Jabatan Mufti Perlis. Beliau juga seorang Pensyarah Kanan bidang Tafsir serta Hadith di Jabatan Al-Qur’an dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM Bangi. Dr. Fadlan juga seorang pengarang dan penterjemah buku-buku agama; giat memberikan kuliah di beberapa rancangan televisyen serta aktif dalam pelbagai lapangan dakwah dan kemasyarakatan.

Lawatan dakwah siri pertama beliau dalam tahun 2012 ini dijayakan dengan kerjasama Jabatan Mufti Perlis, Pertubuhan Kebajikan IKRAM Malaysia, Persatuan Al-Islah Perlis serta Jawatankuasa-jawatankuasa Kariah Masjid yang terpilih. Berpandukan maklumat sehingga 7 April 2012, diperturunkan tentatif rihlah ‘ilmiyyah oleh Sahibul Fadilah Dr. Fadlan Mohd Othman ke Negeri Perlis seperti berikut (**):

Sabtu, 14 April 2012:

Kuliah maghrib “IMAM MAHDI DALAM AKIDAH AHLIS SUNNAH WAL JAMA’AH” di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh,Kangar
Ahad, 15 April 2012:

Kuliah subuh “TUA ITU BERHARGA: USIA EMAS YANG DIREDHAI ALLAH” di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh,Kangar

Kuliah ahad “MEMBELI” SYURGA DENGAN HARTA” di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis, Jalan Mata Ayer jam 10.00 pagi

Kuliah maghrib “PENGERTIAN SYAHADAH MUHAMMAD RASULULLAH” di Masjid Nurul Hikmah, Wang Bintong, Kangar

Isnin, 16 April 2012:

Kuliah subuh “INDAHNYA APABILA AMALAN SOLEH SELARAS DENGAN PERKATAAN DAN PERBUATAN” di Masjid Alwi, Kangar

Diskusi ilmiah “BAGAIMANA BERINTERAKSI DENGAN AL-QUR’AN?” anjuran Jabatan Mufti Perlis di Dewan Faizuddin Putra, Kompleks Islam Perlis jam 2.30 petang

Forum Perdana Ehwal Islam “BAGAIMANA BERINTERAKSI DENGAN AL-SUNNAH?” bersama ahli panel Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Sattar anjuran Jabatan Mufti Perlis di Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri

Selasa, 17 April 2012:

Kuliah subuh “AMALAN SEDIKIT PAHALA BANYAK” di Masjid Putra, Simpang Empat
Pulang ke Kuala Lumpur

Demikian untuk makluman

(** Tertakluk kepada pindaan)

Wallahu A’lam

4.05.2012

Ceramah di Perlis

Makluman Ceramah di Perlis

Assalamu alaikum ikhwah yang dihormati sekelian, untuk makluman anda semua, insya Allah saya akan berada di Perlis daripada 13 hb April hingga 17 hb April. Berikut adalah jadual ceramah saya di Perlis:

1- Diskusi Ilmiah: Bagaimana Berinteraksi dengan Al-Qur'an.
Tarikh: 16 April 2012 (Isnin)
Masa: 2 petang - 5 petang
Tempat: Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kompleks Islam Perlis
Penceramah: Dr. Fadlan bin Mohd Othman (Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia)

2- Forum Perdana: Bagaimana Berinteraksi dengan As-Sunnah
Tarikh: 16 April 2012 (Isnin)
Masa: Selepas Solat Maghrib
Panel: 1) Sahibus Samahah Dr. Juanda bin Jaya (Mufti Kerajaan Negeri Perlis)
Panel: 2) Sahibul Fadhilah Dr. Fadlan bin Mohd Othman (Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia)
Moderator: Sahibul Fadhilah Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak (Pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis)
Tempat: Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kompleks Islam Perlis

Semoga program ini mendapat keberkatan daripada Allah Ta'ala. Jika ada sebarang 'update', saya akan maklumkan kemudian insya Allah.

Akhukum,
Fadlan Mohd Othman.

Related Posts with Thumbnails