PERANAN AL-SHAWAHID WA AL-MUTABA‘AT
DALAM PENILAIAN HADITH: PENGENALAN
DAN GARIS PANDUAN
Dr Fadlan Mohd Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University
Abstrak
Kajian ini membincangkan usaha ulamak Hadith
(Ahl al-Hadith atau al-Muhaddithun) dalam menilai sesuatu hadith yang
diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Ulamak Hadith telah merumuskan pelbagai
formula untuk menjaga kesucian sunnah Rasulullah s.a.w. Di antara usaha yang
mereka tekankan ialah al-I‘tibar iaitu pencarian al-Shawahid wa al-Mutaba‘at.
Usaha ini penting dalam menjelaskan kedudukan sesuatu hadith yang mungkin dianggap sahih atau da‘if jika dilihat
sendirian tetapi sebenarnya bukan demikian. Kajian ini menjelaskan secara
ringkas berkenaan definisi al-I‘tibar, al-Shawahid dan al-Mutaba‘at. Seterusnya
perbincangan diteruskan dengan penjelasan garis panduan perlaksanan usaha murni
ini. Kajian mendapati usaha ini merupakan satu bidang ilmu yang perlu dikuasai
oleh pengkaji dalam bidang hadith.
Pengenalan Ringkas Berkenaan Al-Shawahid Wa
Al-Mutaba‘At Dan Al-I‘Tibar
Sebagai pendahuluan, eloklah jika diperhatikan
erti ketiga-tiga perkataan ini iaitu al-Shawahid, al-Mutaba‘at
dan al-I‘tibar. Setiap perbincangan hanya akan membuahkan hasil yang
memuaskan apabila definisi perkara yang dibincangkan itu dapat difahami sebelum
diterokai dengan lebih lanjut.
Definisi Al-Shawahid
Al-Shahid atau al-Shawahid ialah seorang
periwayat menyertai periwayat lain dalam periwayatan hadith daripada sahabiy
yang lain samada dari sudut lafaz atau erti (al-Qudah1424H-2003, 93).
Definisi Al-Mutaba‘At
Al-Mutaba‘ah atau al-Mutaba‘at ialah seorang
periwayat menyertai periwayat lain dalam periwayatan hadith daripada sahabiy
yang sama dari sudut lafaz atau erti (al-Qudah1424H-2003, 93).
Al-Mutaba‘ah atau al-Mutaba‘at terbahagi dua iaitu:
1. Mutaba‘ah
Tammah: Penyertaan itu bermula daripada peringkat shaykhnya sehinggalah ke
penghujung sanad.
2. Mutaba‘ah
Qasirah: Penyertaan itu bermula daripada peringkat selepas shaykhnya
sehinggalah ke penghujung sanad (al-Qudah1424H-2003, 93).
Berikut ialah satu gambarajah yang menerangkan
tentang kedudukan al-Mutaba‘ah al-Tammah, al-Mutaba ‘ah al-Qasirah dan
al-Shahid (lihat: al-Qudah1424H-2003, 94):
Hadith asal
|
Mutaba‘ah Tammah
|
Mutaba‘ah
Qasirah
|
Shahid
|
الشهر تسع وعشرون...فإن غم عليكم فأكملوا العدة ثلاثين
|
فإن غم عليكم فأكملوا العدة ثلاثين
|
...فكملوا ثلاثين
|
إذا رأيتموا الهلال فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا فإن
غم عليكم فأكملوا العدة ثلاثين
|
Rasulullah
|
Rasulullah
|
Rasulullah
|
Rasulullah
|
Abdullah bin Umar
|
Abdullah bin
Umar
|
Abdullah bin
Umar
|
Abdullah bin
Abbas
|
Abdullah bin Dinar
|
Abdullah bin
Dinar
|
Muhammad bin
Zaid
|
Muhammad bin Hunain
|
Malik
|
Malik
|
‘Asim bin
Muhammad
|
‘Amr bin Dinar
|
Al-Shafi’iy
|
Abdullah bin Maslamah
|
Ibn Khuzaymah
|
Sufyan
|
-
|
Al-Bukhari
|
-
|
Muhammad bin Abdullah bin Zaid
|
-
|
-
|
-
|
Al-Nasai
|
Definisi Al-I‘Tibar
Al-I‘tibar pula ialah usaha dan kajian menyeluruh
terhadap jalur-jalur hadith untuk mengenalpasti al-Shawahid dan al-Mutaba‘at
(Ibn Kathir 1417H-1997, 69).
Peranan Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At Dalam
Penilaian Hadith
Di dalam menilai sesuatu hadith, para ulamak
telah menggariskan pelbagai dasar dan garis panduan yang teliti dan mendalam.
Antara lain, mereka menekankan pengumpulan jalur-jalur hadith supaya dikaji
khususnya dari sudut penelitian sanad. Hadith tidak boleh dihukum sahih atau da‘if hanya dengan melihat satu jalur sahaja.
Kemungkinan jalur sesuatu hadith itu
sahih akan tetapi disebabkan beberapa perkara tertentu, ianya akan dikira
sebagai da‘if. Di antara perkara yang menjadikan sesuatu hadith sahih
itu da‘if ialah jika hadith sahih itu mengandungi tambahan yang
menyalahi hadith sahih lain yang lebih kuat, samada dari sudut dabt
(keteguhan), bilangan atau lain-lain. Hadith yang pertama adalah da‘if
dan dinamakan shadh manakala
hadith yang kedua adalah sahih dan dinamakan mahfuz (Al-‘Asqalani t.th., 28).
Dari sudut lain pula, kemungkinan
juga jalur sesuatu hadith itu da‘if, akan tetapi apabila ada jalur lain
yang menguatkannya, maka hadith pertama itu bertukar kepada hasan li ghairih
(Al-‘Asqalani t.th., 55). Hadith hasan
li dhatih juga dapat dinaik tarafkan
kepada sahih li ghairih dengan al-shawahid
wa al-mutaba‘at (Al-‘Asqalani t.th., 25)
Al-Shawahid Wal Mutaba‘At Boleh Menguatkan
Hadith
Seperti yang telah dijelaskan, di antara
peranan al-shawahid wa al-mutaba‘at ialah menguatkan hadith. Hadith da‘if boleh
ditukarkan kepada hasan li ghairih manakala hadith hasan li dhatih
pula boleh ditukarkan kepada sahih li ghairih. Berikut adalah garis
panduan perbincangan ini.
Garis Panduan Menguatkan Hadith Dengan
Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At
1.
Hadith
Da‘If Khafif Al-Da‘F Kepada Hasan Li Ghairih
Sekiranya sesuatu hadith itu khafif al-da‘f
(lemah secara ringan), ianya dapat
dinaiktarafkan kepada hasan li ghairih dengan bantuan shawahid
dan mutaba‘at yang berbilang-bilang. Kathrah al-turuq (jalur yang
banyak) dalam keadaan ini berperanan mengenepikan sifat al-da‘f daripada
hadith tersebut. Berkata Ibn Hajar Al-‘Asqalani (t.th., 55):
ومتى توبع السيء الحفظ بمعتبر، وكذا المستور، والمرسل، والمدلس: صار حديثهم
حسنا لا لذاته بل بالمجموع.
Maksudnya: Dan bila
periwayat yang lemah hafalannya diiringi oleh hadith yang muktabar, juga
periwayat yang mastur (tidak dikenali keadaannya), hadith mursal
dan hadith mudallas; hadith mereka akan bertukar menjadi hasan bukan
dengan dirinya sendiri akan tetapi secara berkumpulan.
Berkata Dr. Muhammad ‘Ijaj al-Khatib
(1405H-1985, 156-157):
فكل حديث ضعيف لقدح في العدالة، كالكذب على رسول الله صلى الله عليه وسلم،
أو التهمة به، أو للكذب في أحاديث الناس، والفسق في القول أو العمل، والابتداع
بكفر، ونحو هذا، لا يرتقي عن درجة الضعف، ولو كثرت طرقه، لشدة سوء أسباب هذا
الضعف، وتقاعد الجابر عن جبر ضعف الراوي، وقد يرتقي بمجموع طرقه عن كونه منكرا أو
لا أصل له، إلى درجة المستور السيء الحفظ.
والحديث الضعيف لسبب قادح في الحفظ والضبط، مما لم تـُثـْلـَم عدالة رواته،
إذا كثرت طرقه ارتقى من الضعيف إلى الحسن لغيره، لأن مجيئه من طريق مقبول، أو طرق
أخرى يجبر ضعفه، ويتبين للدارس أن حفظ راوي الضعيف بالطريق الأول لم يختل ضبطه
فيه، لذا ارتقى عن الضعيف.
وكذلك كل ما كان ضعفه لأرسال أو تدليس، أو لجهالة بعض رواته، فإن هذا الضعف
يزول بمجيئه من وجه آخر، ويصير الحديث حسنا لغيره، للعاضد الذي عضده.
Maksudnya: Setiap
hadith yang da‘if kerana tohmahan dalam al-‘adalah (keadilan)
seperti penipuan ke atas Rasulullah s.a.w., atau tohmahan melakukan penipuan ini,
atau penipuan dalam kata-kata manusia, atau kefasikan dalam percakapan atau
amalan, dan melakukan bid‘ah yang kufur, dan yang seumpamanya; hadith itu tidak
akan naik dari tahap da‘if walaupun jika jalurnya banyak. Ini kerana punca-punca
da‘f (kelemahan) ini amat kritikal dan kelemahan periwayat di sini tidak
dapat diperbaiki. Akan tetapi, dengan jalur yang banyak, hadith itu dapat
berubah daripada hadith munkar atau la asla lah (tiada asal baginya)
kepada tahap periwayat mastur (yang tidak dikenali) dan sayyi’
al-hifz (yang lemah hafalannya).
Hadith yang da‘if
disebabkan kelemahan dalam hafalan dan kekuatan ingatan yang tidak terkesan
dengannya keadilan periwayat-periwayat, jika jalurnya banyak, hadith itu akan
bertukar daripada da‘if kepada hasan li ghairih. Ini kerana kedatangan
hadith itu dari jalur yang diterima atau dari jalur-jalur lain dapat
memperbaiki kelemahannya. Jelaslah di sini bagi pengkaji bahawa hafalan
periwayat hadith yang da‘if melalui jalur pertama tidak rosak dabt
(keteguhannya). Dengan itu hadith itu meninggalkan peringkat da‘if.
Begitu jugalah
halnya dengan hadith da‘if kerana irsal atau tadlis atau
periwayat majhul (tidak dikenali), kelemahan itu akan terhakis dengan
kedatangan jalur lain. Hadith itu bertukar kepada hasan di ghairih
dengan jalur yang menguatkannya.
Dapatlah dirumuskan di sini bahawa antara kriteria
hadith khafif al-da‘f (lemah secara ringan) ialah sifat al-da‘f tidak
berpunca daripada kelemahan tahap sidq (kebenaran) salah seorang
periwayatnya dan tidak juga berpunca daripada kelemahan tahap din
(keagamaan) salah seorang periwayatnya. Hadith da‘if yang dapat
dinaiktarafkan kepada hasan li gahirih adalah empat iaitu periwayat yang
sayyi’ al-hifz, periwayat yang majhul al-hal / mastur, hadith mursal
dan hadith mudallas.
Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 378-379):
روى البزار من طريق عبد الله بن يزيد ثنا عبد الرحمن بن
زياد عن راشد بن عبد الله المعافري عن عبد الله بن يزيد عن عبد الله بن عمرو أن
رسول الله صلى الله عليه وسلم قال [أفضل الصدقة إصلاح ذات البين].
Hadith ini da‘if kerana Abdul Rahman bin
Ziyad berada pada tahap da’if. Akan tetapi hadith ini naik taraf kepada hasan
li ghairih dengan hadith mutaba‘ah berikut yang bertaraf sahih:
قال
الإمام الترمذي حدثنا هناد حدثنا أبو معاوية عن الأعمش عن عمرو بن مرة عن سالم بن
أبي الجعد عن أم الدرداء عن أبي الدرداء قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم [ألا
أخبركم بأفضل من درجة الصيام والصلاة والصدقة؟] قالوا بلى قال [صلاح ذات البين فإن
فساد ذات البين هي الحالقة].
قال أبو عيسى هذا حديث صحيح ويروى عن النبي صلى
الله عليه وسلم أنه قال [هي الحالقة لا أقول تحلق الشعر ولكن تحلق الدين]. (سنن
الترمذي، كتاب صفة القيامة والرقائق والورع، باب منه، رقم 2433).
2. Hadith Hasan
Li Dhatih Kepada Sahih Li Ghairih
Sekiranya hadith hasan li dhatih datang
melalui jalur yang banyak, ianya akan naik ke tahap sahih li ghairih.
Berkata Muhammad Jamal al-Din al-Qasimi (1425H-2004, 144):
اعلم أن الحسن إذا روي من وجه آخر، ترقى من الحسن إلى الصحيح، لقوته من
الجهتين، فيعتضد أحدهما بالآخر، وذلك لأن الراوي في الحسن متأخر عن درجة الحافظ
الضابط مع كونه مشهورا بالصدق والستر، فإذا روي حديثه من غير وجه، ولو وجها واحدا
قوي بالمتابعة وزال ما كان يخشى عليه من جهة سوء حفظ راويه، فارتفع حديثه من درجة
الحسن إلى الصحيح.
Ketahuilah bahawa sekiranya hadith hasan
diriwayatkan daripada jalur lain, ianya akan naik daripada peringkat hasan
kepada sahih kerana kekuataannya dari dua sudut, lalu setiap satu akan
menguatkan yang lain. Periwayat hadith hasan dikira rendah sedikit daripada
peringkat periwayat yang menghafal dengan teguh walaupun dia dikenali dengan
kebenaran dan kebaikan. Jadi jika hadithnya datang dari jalur lain, walaupun
satu jalur, ianya akan menjadi kuat dengan mutaba‘ah (kewujudan mutabi‘)
dan terhakislah keraguan terhadapnya dari sudut kelemahan hafalan periwayatnya.
Dengan ini hadith itu naik daripada peringkat hasan kepada sahih.
Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 62-65):
قال
الإمام الترمذي حدثنا علي بن حجر أخبرنا حرملة بن عبد العزيز بن الربيع بن سبرة
الجهني عن عمه عبد الملك بن الربيع بن سبرة عن أبيه عن جده قال قال رسول الله صلى
الله عليه وسلم [علموا الصبي الصلاة ابن سبع سنين واضربوه عليها ابن عشر.]
قال وفي الباب عن عبد الله بن عمرو. قال أبو
عيسى حديث سبرة بن معبد الجهني حديث حسن صحيح. (سنن الترمذي، كتاب الصلاة، باب ما
جاء متى يؤمرالصبي بالصلاة، رقم 372).
Hadith ini bertaraf Hasan li dhatih
kerana Abdul Malik bin al-Rabi‘ berada pada tahap hasan. Hadith ini naik
taraf kepada Sahih li ghairih dengan hadith Shahid berikut yang
juga bertaraf Hasan li dhatih kerana Sawwar Abu Hamzah al-Sayrafiy
berada pada tahap hasan:
قال الإمام أبو داود حدثنا مؤمل بن هشام يعني اليشكري
حدثنا إسمعيل عن سوار أبي حمزة قال أبو داود وهو سوار بن داود أبو حمزة المزني
الصيرفي عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم [ مروا
أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا بينهم في
المضاجع.]
حدثنا زهير بن حرب حدثنا وكيع حدثني داود بن سوار المزني
بإسناده ومعناه وزاد [وإذا زوج أحدكم خادمه عبده أو أجيره فلا ينظر إلى ما دون
السرة وفوق الركبة.] قال أبو داود وهم وكيع في اسمه وروى عنه أبو داود الطيالسي
هذا الحديث فقال حدثنا أبو حمزة سوار الصيرفي. (سنن أبي داود، كتاب الصلاة، باب متى يؤمر
الغلام بالصلاة، رقم 418).
Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At Boleh Melemahkan
Hadith
Dari sudut yang lain, di antara peranan al-shawahid
wa al-mutaba‘at ialah menekankan penolakan terhadap sesuatu hadith.
Hadith da‘if shadid al-da‘f dan hadith maudu‘tidak
sekali-kali dapat diselamatkan. Berikut adalah garis panduan perbincangan ini.
Garis Panduan Melemahkan Hadith Dengan
Al-Shawahid Wal Mutaba‘At
1. Hadith Da‘If
Shadid Al-Da‘F Kekal Bahkan Bertambah Da‘if
Sekiranya sesuatu hadith itu shadid al-da‘f
(lemah secara serius), ianya tidak akan dapat dinaik tarafkan kepada hasan
li ghairih walaupun mempunyai shawahid dan mutaba‘at yang
berbilang-bilang. Kathrah al-turuq (jalur yang banyak) dalam keadaan ini
hanya akan menambahkan sifat al-da‘f pada hadith tersebut. Berkata Muhammad
Nasir al-Din al-Albani (1422H-2001, 31):
Antara perkara masyhur di kalangan ulamak
ialah jika sesuatu hadith itu datang daripada jalur-jalur yang banyak, hadith
itu akan menjadi kuat dan hujjah walaupun setiap jalur itu secara tersendirinya
adalah da‘if. Akan tetapi kenyataan ini bukan secara umum. Sebaliknya, di sisi ulamak
yang teliti, ini bergantung kepada sifat al-da‘f dari sudut kelemahan
hafalan periwayat dan bukannya dari sudut tuduhan terhadap tahap kebenaran
periwayat mahupun keagamaannya. Jika tidak, hadith itu tidak akan menjadi kuat
walaupun jalurnya banyak.
Berkata Abdul Qadir al-Arnaut (al-Qasimi 1425H-2004, 154):
وبناء على ما تقدم: ليس كل حديث ضعيف
يرتقي بمجموع طرقه. بل قد تزيده كثرة الطرق ضعفا على ضعفه.
Berdasarkan perbincangan ini, bukan semua
hadith da’if boleh naik taraf dengan jalur yang banyak. Bahkan mungkin
jalur yang banyak itu menambahkan da‘f (kelemahan) di samping da‘f
(kelemahan) yang sedia ada.
Dengan itu dapatlah disimpulkan bahawa kriteria
hadith shadid al-da‘f (lemah secara serius) ialah
sifat al-da‘f berpunca daripada kelemahan tahap sidq (kebenaran)
atau kelemahan tahap din (keagamaan) salah seorang periwayatnya seperti
berikut (al-Khayrabadiy 1423H-2003, 289):
1- Salah
seorang daripada periwayatnya pembohong atau pemalsu.
2- Salah
seorang daripada periwayatnya dituduh pembohong atau dituduh pemalsu.
3- Salah
seorang daripada periwayatnya fasiq.
4- Hadith
itu bersifat shadh atau munkar.
5- Hadith
itu bersifat ma‘lul.
Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 94-109):
من حفظ على
أمتي أربعين حديثا من أمر دينها بعثه الله يوم القيامة في زمرة الفقهاء والعلماء
Maksudnya: Sesiapa yang menghafal untuk umatku
empat puluh hadith berkenaan urusan agama mereka, Allah akan bangkitkannya pada
hari Kiamat kelak bersama golongan fuqaha’ dan ulamak.
Berkata al-Imam Yahya
bin Sharaf al-Nawawi (Nazim, 1410H, 14):
واتفق الحفاظ
على أنه حديث ضعيف وإن كثرت طرقه
Maksudnya: Para
huffaz telah bersepakat mengatakan ini hadith da‘if walaupun jalurnya banyak.
Walaupun hadith ini mempunyai dua puluh lima jalur daripada tiga
belas para sahabat, namun hadith ini tidak naik taraf kepada hadith hasan li
ghairih kerana da‘f (kelemahannya) adalah serius seperti
berikut:
1- Enam belas jalur-jalurnya
mengandungi periwayat yang pemalsu, dituduh dengan pemalsuan, pembohong dan
dituduh dengan pembohongan.
2- Tiga jalur-jalurnya yang
lain mengandungi periwayat yang dihukum matruk al-hadith (ditinggalkan
hadithnya).
3- Lima jalur-jalurnya yang lain mu‘allaq (tergantung), di
samping wujudnya periwayat majhul (tidak dikenali), atau dua orang majhul
atau periwayat da‘if.
4- Satu jalurnya yang lain
mengandungi dua periwayat majhul dan wujud inqita‘ (sanad
terputus).
2. Hadith
Maudu‘ Kekal Bahkan Bertambah Maudu‘
Berkenaan dengan hadith maudu‘[1]
pula, ianya tidak akan sekali-kali dikuatkan oleh apa-apa sekalipun dari
sudut ilmu hadith. Perkara ini amat jelas kerana hadith maudu‘ sebenarnya bukanlah hadith yang boleh
disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bahkan para ulamak hadith mengharamkan
periwayatannya kecuali untuk menjelaskan perihal sifat wad‘
(kepalsuannya) (al-Qudah 1424-2003,183). Justeru kathrah al-turuq (jalur
yang banyak) tidak memberi apa-apa kesan langsung kepada hadith maudu‘.
Hadith maudu‘ juga tidak
boleh disifatkan sebagai mutawatir kerana sifat tawatur itu hanyalah
untuk hadith yang sahih sahaja[2].
Menyifatkan satu hadith maudu‘ sebagai mutawatir hanyalah
menyerlahkan lagi kecetekan intelektual dan kelemahan penguasaan disiplin ilmu
hadith.
PERHATIAN!
1. Hukum
Terhadap Sanad Tidak Semestinya Hukum Terhadap Matan
Di dalam mengeluarkan sesuatu hukum terhadap
sanad sesuatu hadith sebagai dacif atau dacif
shadid al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc
disebabkan kelemahan sifat
salah seorang periwayatnya seperti dacif, munkar al-hadith mahupun
kadhdhab, sebenarnya yang dihukum ialah hadith tersebut secara spesifik;
iaitu sanad dan matannya. Justeru, jika ditemui matan yang mirip dengan hadith
pertama itu, daripada sanad yang sahih atau hasan, hadith yang kedua itu
diterima. Dengan ini, pelaksanaan adalah berdasarkan hadith yang kedua dan
bukannya hadith yang pertama. Dalam kes ini juga hadith yang pertama itu
statusnya bertukar hasan lighayrih jika asalnya dacif
(khafif al-dacf), kekal dacif jika asalnya dacif
jiddan atau dan kekal juga mawduc jika asalnya mawduc.
Dapatlah perkara ini digambarkan dalam gambarajah berikut:
Hukum hadith pertama
|
Hukum hadith kedua (shahid @ mutabacah)
|
Natijah hukum hadith pertama
|
Status penerimaan atau penolakan
|
Dacif
|
Hasan atau Sahih
|
Bertukar jadi Hasan lighayrih
|
Hadith pertama dan kedua diterima
|
Dacif jiddan
|
Hasan atau Sahih
|
Kekal Dacif Jiddan
|
Hadith pertama ditolak, hadith kedua diterima
|
Mawduc
|
Hasan atau Sahih
|
Kekal Mawduc
|
Hadith pertama ditolak, hadith kedua diterima
|
2. Tidak Semua
Kenyataan Yang Benar Itu Hadith
Apabila seseorang itu mengeluarkan kenyataan
yang benar, kenyataannya hendaklah diterima sebagai kenyataan yang benar.
Itulah yang adil baginya. Akan tetapi perlulah ditekankan bahawa kenyataan itu
tidak boleh disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. semata-mata kerana ianya
adalah kenyataan yang benar. Untuk menyandarkannya kepada Rasulullah s.a.w.,
perlulah dinyatakan dalil iaitu sanad yang sahih atau hasan. Jika wujud satu
sanad yang bersambungan terus kepada Rasulullah s.a.w. dengan menepati syarat
sahih atau hasan, barulah kenyataan itu boleh disandarkan kepada Baginda s.a.w.
Dengan ini, dapatlah ditetapkan
bahawa erti matan yang sahih dari sesuatu hadith yang mawduc
masih boleh diterima sebagai kenyataan yang benar tetapi ianya haram disandarkan
kepada Rasulullah s.a.w.!
Kesimpulan
1- Para
ulamak hadith atau ahli al-hadith atau al-muhaddithun memberikan penekanan yang
besar terhadap peranan al-shawahid wa al-mutaba‘at.
2- Di dalam usaha
untuk menilai kekuatan atau kelemahan sesuatu hadith, pengkaji hendaklah
mendalami atau setidak-tidaknya memberi perhatian kepada peranan al-Shawahid
wal-Mutaba‘at.
3- Hadith da‘if
khafif al-da‘f boleh dikuatkan oleh al-Shawahid wal-Mutaba‘at manakala
hadith da‘if shadid al-da‘f dan juga hadith maudu‘ tidak boleh
dikuatkan oleh al-Shawahid wal-Mutaba‘at.
4- Kelemahan dalam
bidang ini boleh menyebabkan kesilapan dalam menguatkan hadith atau melemahkan
hadith.
5- Keperluan
merujuk kepada penilaian para ulamak yang pakar dalam bidang hadith dalam usaha
untuk menyatakan kesahihan atau kelemahan hadith.
6- Sekiranya
terdapat satu hadith yang mempunyai pelbagai sanad di mana sanad pertama dacif
shadid al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc
manakala sanad yang lain sahih
atau hasan, hadith ini boleh diamalkan berdasarkan hadith yang sahih atau hasan
itu. Hadith pertrama yang dacif shadid al-dacf (dacif
jiddan) atau mawduc itu
tetap tidak boleh diterima walaupun matannya telah sabit dengan hadith kedua.
Dalam ertikata lain, perlulah diambil matan hadith ini daripada hadith yang
kedua dan bukannya hadith yang pertama.
RUJUKAN
Al-Quran al-Karim.
Al-‘Asqalani, Ibn Hajar.
t.th. Nuzhah al-Nazar Bi Sharh Nukhbah al-Fikar Fi Mustalah Hadith Ahl
al-Athar. Ta‘liq Abu ‘Abd al-Rahim Muhammad Kamal al-Din al-Adhamiy. Al-Qahirah: Maktabah
al-Turath al-Islamiy.
Al-Albani, Muhammad Nasir
al-Din. 1422H-2001.
Tamam al-Minnah Fi al-Ta’liq ‘Ala Fiqh al-Sunnah. al-Riyadh: Dar
al-Rayah.
Al-Qudah, Dr. Sharaf Mahmud.
1424H-2003. al-Minhaj al-Hadith Fi Mustalah al-Hadith. Kuala Lumpur,
Albayan Corporation Sdn. Bhd.
Al-Tahhan, Dr.
Mahmud, 1407H-1987. Taysir Mustalah al-Hadith. Al-Riyad: Maktabah
al-Ma‘arif.
Al-Qasimi, Muhammad Jamal al-Din. 1425H-2004. Qawa
‘id al-Tahdith Min Funun Mustalah al-Hadith. Tahqiq al-Shaykh ‘Abd al-Qadir
al-Arnaut. Bayrut: Muassasah al-Risalah.
Nazim Muhammad
Sultan. 1410H. Qawa‘id Wa Fawaid Min al-Arba ‘in al-Nawawiyyah.
Al-Riyad: Dar al-Hijrah.
Al-Khatib, Muhammad
‘Ijaj. 1421H-2001. Usul al-Hadith ‘Ulumuh
Wa Mustalahuh. Bayrut: Dar
al-Fikr.
Al-Khatib, Muhammad
‘Ijaj. 1405H-1985. al-Mukhtasar al-Wajiz Fi ‘Ulumu al-Hadith.Bayrut:
Muassasah al-Risalah.
Al-Qattan, Manna‘.
1412H-`992. Mabahith Fi ‘Ulum al-Hadith. Al-Qahirah: Maktabah Wahbah.
Ahmad Muhammad
Shakir. 1417H-1997. al-Ba ‘ith al-Hathith Sharh Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith Li
al-Hafiz Ibn Kathir. Tahqiq
Dr. Badi‘ al-Sayyid al-Lahham. Dimishq: Dar
al-Fayha’ dan al-Riyad: Dar al-Salam.
Dr. al-Murtada
al-Zayn Ahmad. 1415H-1994. Manahij al-Muhaddithin Fi Taqwiyah al-Ahadith
al-Hasanah Wa al-Da‘ifah. Al-Riyad: Maktabah al-Rushd.
Al-Khayrabadiy, Dr.
Muhammad Abu al-Layth. 1423H-2003. ‘Ulum al-Hadith Asiluha Wa
Mu ‘asiruha. Selangor: Dar al-Shakir.
[1] Hadith Maudu‘ ialah:
Apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. secara rekaan dan pendustaan yang
mana Baginda tidak sebut, buat atau perakui (al-Khatib 1421H-2001, 275).
[2] Hadith Mutawatir ialah: Apa
yang diriwayatkan oleh bilangan yang banyak di mana mengikut kebiasaan, adalah
mustahil bagi mereka bersepakat untuk berdusta; dari permulaan sanad hinggalah
ke penghujung, dengan perantaraan pancaindera (al-Qattan 1412H-1992, 95).
Hadith
Mutawatir tergolong dalam bahagian al-maqbul (yang diterima) dan
merupakan tahap tertinggi di kalangan hadith yang diterima sehinggakan para
ulamak mengkafirkan orang yang menolaknya tidak kira samada mutawatir lafziy
atau mutawatir ma‘nawiy (al-Qudah 1424H-2003, 97).
Hadith
Maudu‘ pula tergolong dalam bahagian al-mardud (yang ditolak) bahkan
ianya merupakan tahap tertinggi juga di kalangan hadith yang ditolak sehinggakan para ulamak mengharamkan
periwayatannya kecuali untuk tujuan menjelaskan kepalsuannya (al-Tahhan
1407H-1987, 89-90).
0 comments:
Post a Comment