KEPENTINGAN DAN PERANAN
USUL AL-FIQH DALAM MENGHADAPI CABARAN MASA KINI DAN BICARA BUKU “AL-USUL MIN
‘ILM AL-USUL” KARANGAN
AL-SHAIKH MUHAMMAD
BIN SALIH AL-UTHAIMIN
RAHIMAHULLAH
Oleh:
Dr Fadlan Mohd Othman
Student Affairs Division
Al-Madinah International University
PENDAHULUAN:
Ilmu Usul adalah
satu ilmu yang wujud sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Seperti juga
ilmu-ilmu Islam yang lain, ia hanya dikumpulkan menjadi satu ilmu yang
tersendiri dan lebih sistematik oleh para ulama‘ di zaman-zaman terkemudian.
Sekiranya ada suara yang mengatakan ilmu Usul al-Fiqh atau ilmu Usul al-Tafsir atau
ilmu Mustalah al-Hadith adalah ilmu-ilmu yang baru dan tidak terdapat dalam
agama Islam, kita menjawab dengan mengatakan “Ini satu kenyataan yang betul dan
salah.” Penjelasannya adalah seperti berikut:
1-
Betul; dari sudut ilmu
ini tidak wujud dalam bentuk yang tersendiri dan terasing dari ilmu-ilmu Islam
yang lain pada zaman Rasulullah s.a.w.. Perlu diketahui bahawa pada peringkat
awal kedatangan Islam, semua ilmu-ilmu Islam wujud dalam amalan-amalan Rasulullah
s.a.w. dalam bentuk yang serasi dan saling kuat-menguatkan. Di samping itu,
pengasingan satu ilmu dari ilmu yang lain tidak diperlukan memandangkan
kewujudan Rasulullah s.a.w. yang senang dirujuk pada bila-bila masa. Pun
begitu, kita juga mendapati Rasulullah s.a.w. telah memberikan gambaran
terhadap pengasingan ilmu-ilmu Islam demi pemantapannya dalam sebuah hadith
yang menjelaskan tentang kemahiran para sahabat dalam disiplin-disiplin ilmu
tertentu iaitu hadith berikut:
أرحم أمتى بأمتى أبو بكر وأشدهم في أمر الله عمر وأصدقهم حياء عثمان وأقرؤهم
لكتاب الله أبي بن كعب وأفرضهم زيد بن ثابت وأعلمهم بالحلال والحرام معاذ بن جبل
ولكل امة أمين وأمين هذة الأمة أبو عبيدة بن الجراح.[1]
Maksudnya: Di
kalangan umatku; orang yang paling merahmati umatku ialah Abu Bakr. Orang yang
paling tegas dalam pelaksanaan agama Allah ialah Umar. Orang yang paling pemalu
ialah Uthman. Orang yang paling mahir dalam bacaan al-Qur'an ialah Ubayy bin
Ka'b. Orang yang paling mahir dalam pembahagian pusaka ialah Zaid bin Thabit.
Orang yang paling mahir tentang halal dan haram ialah Muaz bin Jabal. Setiap
umat mempunyai pemegang amanah, dan pemegangn amanah umatku ialah Abu Ubaidah
bin al-Jarrah.
2-
Salah; jika kenyataan
ini diertikan bahawa: ilmu ini bercanggahan dengan ajaran agama Islam.
Sebenarnya ilmu ini tidak bercanggahan dengan ajaran agama Islam, sebaliknya ilmu
ini merupakan khulasah atau intipati atau formula asli ajaran agama
Islam. Sesiapa sahaja yang meneliti ilmu ini akan mendapatinya seratus peratus
berlandaskan sumber-sumber Islam yang asasi iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Secara umumnya, cendekiawan pertama yang mengarang ilmu Usul al-Fiqh ialah
al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi‘i di
dalam kitabnya yang masyhur iaitu al-Risalah yang merupakan pembuka bagi
kitabnya al-Umm. Selepas beliau, para ulama‘ Islam tidak jemu-jemu meneruskan
usaha murni memakmurkan lagi ilmu ini dengan pelbagai bentuk penulisan dan
huraian.[2]
Sehingga kinipun usaha ini masih berterusan. Dalam konteks Malaysia pula,
dirasakan amat penting dan amat digalakkan jika ada mana-mana institusi atau
individu-individu yang dapat mengarang satu kitab menyeluruh berkenaan ilmu ini
besesuaian dengan kefahaman dan keadaan semasa di iklim ini.[3]
Semoga Allah Ta‘ala menggerakkan dan memimpin mereka ke arah kecemerlangan.
PENGENALAN KEPADA PENULIS KITAB “AL-USUL MIN ‘ILM
AL-USUL”:
Pengarang kitab ini ialah al-Shaikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin. Beliau
ialah Abu ‘Abdullah Muhammad bin Salih
bin Muhammad bin ‘Uthaimin al-Wuhaybi al-Tamimi lahir pada 27 Ramadhan tahun
1347H di bandar ‘Unayzah, Arab Saudi. Sejak awal beliau diberi pendidikan agama
yang mendalam. Antara gurunya yang terkenal ialah Syaikh ‘Abd al-Rahman bin
Nasr al-Sa’di dan Syaikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz.
Sejak tahun
1371H beliau sudah mula mengajar di beberapa institusi pengajian. Kemudian
beliau, yang terkenal dengan gelaran al-Syaikh al-‘Uthaimin, menjadi salah
seorang ahli majlis fatwa Kerajaan Arab Saudi dan aktif menulis dalam pelbagai
subjek. Di samping itu beliau juga mengajar di Fakulti Syariah di al-Qasim.
Beliau juga merupakan Imam dan khatib di Masjid Jami‘ al-‘Unayzah menggantikan
tuan gurunya Syaikh Abdul Rahman al-Sa‘di.
Al-Syaikh
al-‘Uthaimin terkenal dengan cara penyampaian yang menarik perhatian. Beliau
juga amat disegani dan dihormati oleh penduduk kepulauan Tanah Arab khususnya
dan umat Islam umumnya. Al-Syaikh al-‘Uthaimin rahimahullah meninggal
dunia pada tahun 1421H.[4]
PENGENALAN
KEPADA KITAB 'AL-USUL MIN 'ILM AL-USUL' KARANGAN AL-SYAIKH MUHAMMAD BIN SALIH
AL-‘UTHAIMIN
Kitab ini sebenarnya merupakan sukatan pelajaran untuk pelajar-pelajar
tahun 3 sekolah menengah di Arab Saudi. Walaupun begitu, kita dapati susunannya
amat padat dan sesuai untuk dijadikan bahan bacaan atau kajian permulaan bagi
mereka yang ingin mendapat maklumat ringkas berkenaan dengan ilmu Usul al-Fiqh
ini. Kitab ini merangkumi empat perbincangan asasi ilmu Usul al-Fiqh iaitu:
1-
Hukum-hukum.
2-
Dalil-dalil iaitu
al-Quran, al-Sunnah, al-Qiyas dan al-Ijma‘.
3-
Cara istinbat iaitu
bentuk-bentuk petunjuk dalil-dalil tersebut.
4-
Orang yang membuat
istinbat iaitu mujtahid.[5]
Kitab ini merangkumi 20 tajuk yang dipilih oleh penulis dan dihuraikan
secara mudah dan jelas. Tajuk-tajuk itu ialah:
1- Usul al-Fiqh
2- Al-Ahkam (Hukum-hukum)
3- Al-'Ilm (Ilmu Pengetahuan)
4- Al-Kalam (Percakapan)
5- Al-Amr (Perintah)
6-Al-Nahy (Larangan)
7- Al-‘Am (Umum)
8- Al-Khas (Khusus)
9- Al-Mutlaq (Yang dibiar) dan al-Muqayyad (Yang
dikaitkan)
10- Al-Mujmal (Yang samar) dan al-Mubayyan (Yang dihuraikan)
11- Al-Zahir (Yang jelas) dan al-Muawwal
(Yang ditukar maksudnya)
12- Al-Naskh (Pemansuhan)
13- Al-Akhbar (Hadith-hadith)
14- Al-Ijma' (Persepakatan/ Konsensus)
15- Al-Qiyas (Penyamaan/ Analogi)
16- Al-Ta'arudh (Percanggahan)
17- Al-Tartib bain al-Adillah (Susunan dalil-dalil)
18- Al-Mufti (Orang yang mengeluarkan fatwa) dan al-Mustafti
(Orang yang meminta fatwa)
19-Al-Ijtihad (Usaha
pengeluaran hukum)
20- Al-Taqlid (Mengikut ijtihad cendekiawan)
Kebanyakan perbincangan akan dimulakan dengan definasi dari sudut bahasa
dan istilah serta huraian bagi istilah itu. Walaupun kitab ini nampak kecil dan
mudah, bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan ilmu ini, adalah amat
dinasihatkan agar dapat berguru untuk memudahkan proses pemahaman dan
penghadaman. Secara umumnya kitab kecil ini sesuai dijadikan permulaan bagi
pelajar baru dan peringatan bagi yang sudah lama berkecimpung dalam ilmu ini.
Sudah tentu, selepas mempelajari kitab ini, wajarlah kita memantapkan lagi
penguasaan ilmu ini dengan menerokai pelbagai kitab yang lebih mendalami
perbahasan ilmu Usul al-Fiqh.
KEPENTINGAN DAN
PERANAN USUL AL-FIQH DALAM MENGHADAPI CABARAN MASA KINI:
Al-Shaikh al-‘Uthaimin telah berkata,“Sesungguhnya
di dalam apa sahaja ilmu, perkara yang amat penting bagi orang yang ingin
mempelajarinya ialah mengkaji dasar-dasarnya yang dapat membantu memahami ilmu
tersebut. Pengajian dasar-dasar sesuatu ilmu akan
menjadikan pengkaji itu seorang yang mempunyai tapak yang kuat dalam ilmu itu.
Pepatah ada menyatakan bahawa orang yang tidak dapat memahami dasar, tidak
dapat sampai ke mana.”[6]
Salah satu
perbincangan dalam ilmu Ushul al-Fiqh ialah berkenaan dengan syarat-syarat
ijtihad dan mujtahid. Ini merupakan satu perkara penting dalam pensyariatan
agama Islam kerana dalil-dalil dalam agama Islam secara kasarnya boleh
dibahagikan kepada dua seperti berikut[7]:
Dalil-dalil
|
Dari sudut al-Thubut
(ketetapan)
|
Dari Sudut al-Dilalah (pengertian)
|
Qat‘i (Pasti
dan jelas)
|
Al-Quran / Hadith Mutawatir
|
(Al-Quran / Hadith Mutawatir/ Hadith Ahad)
Wajib solat,
wajib zakat, haram riba dan haram zina.
|
Zanni (Perlu
dikaji dan diteliti)
|
Hadith Ahad
|
(Al-Quran / Hadith Mutawatir/ Hadith Ahad)
{ثلاثة
قروء} البقرة 228
{لامستم النساء} النساء 43
[لا يصلين أحدكم العصر إلا في بني قريظة] البخاري
|
Kita dapati para ulama’ sebulat suara menerima kesempurnaan agama Islam dan
sumbernya. Persoalannya ialah dalam menghadapi isu-isu semasa yang tidak
disebut secara terperinci di dalam al-Quran dan al-Sunnah, apakah yang
sepatutnya dilakukan untuk mendapatkan hukumnya? Di sinilah terserlahnya fungsi
ilmu Usul al-Fiqh di mana ilmu ini menjana pemikiran para mujtahid dan juga
mufti untuk mengkaji dasar dan formula yang telah dinyatakan oleh dua sumber
asasi ini demi untuk mengeluarkan satu hukum yang sesuai samada dari sudut
dalil, pendalilan dan logik. Perlulah diketahui bahawa tiada pertentangan hakiki
antara pensyariatan agama Islam dan logik akal.
Secara umumnya, para mufti dan para mujtahid samada yang mutlak, muqayyad
atau juz’i[8],
merekalah yang berkewajipan untuk meneliti dasar dan formula itu. Dengan
melakukan demikian umat Islam sentiasa dapat mengatasi masalah-masalah yang
ditimbulkan oleh kemajuan duniawi atau kejahilan dalam agama atau kedua-duanya
sekali. Sekiranya mereka mempunyai penguasaan ilmu Usul al-Fiqh yang mantap,
dengan mudah mereka dapat menghasilkan istinbat-istinbat yang bernas dan
relevan.
Al-Shaykh Muhammad al-Khudari ada mengutarakan satu persoalan yang mungkin
timbul iaitu ilmu Usul al-Fiqh sudah tidak relevan kerana pintu ijtihad
telahpun ditutup. Beliau kemudiannya menerangkan bahawa para ulama‘ yang
mengeluarkan fatwa agar pintu ijtihad ditutup, sebenarnya mereka mempunyai
alasan tersendiri bagi tindakan itu. Apabila mereka melihat kebanyakan orang
yang belum berkeahlian untuk membuat ijtihad telah ‘berijtihad’, mereka
merasakan perlu supaya pintu ijtihad ditutup agar ijtihad tidak disalahgunakan.
Pada masa yang sama mereka masih lagi aktif mengembangkan ilmu Usul al-Fiqh ini
yang pada dasarnya merupakan alat-alat asasi bagi seorang mujtahid mengeluarkan
hukum dari dalil-dalilnya. Justeru, ilmu Usul al-Fiqh ini sebenarnya
membekalkan kemampuan kepada seseorang muslim dalam keadaan-keadaan berikut:
1-
Untuk membezakan antara
ijtihad-ijtihad para mujtahid, yang manakah lebih menepati kebenaran.
2-
Untuk mengkaji usaha
ijtihad mereka di mana sekiranya timbul satu perkara baru yang menuntut
penghasilan hukum, individu itu dapat memanfaatkan kajiannya bagi mengeluarkan
hukum yang sesuai untuk perkara baru itu berlandaskan perjalanan ijtihad para
mujtahid terdahulu.
Berdasarkan
inilah kita dapati ilmu Usul al-Fiqh ini pada hakikatnya merupakan keperluan
dan kemestian bagi para mujtahid, mufti dan pengkaji ilmu Islam yang
mementingkan metod istinbat hukum-hukum.[9]
Di samping para Mujtahid, ilmu Ushul al-Fiqh juga merupakan satu perkara
asasi dalam membina individu Muslim. Dengan ilmu ini seseorang individu Muslim
dapat menghindari dari beberapa kesilapan yang sering berlaku dalam umat Islam
seperti:
1-
Terlampau berani
dalam mengeluarkan hukum walaupun hukum itu bercanggahan dengan dasar-dasar
yang terdapat dalam agama. Kecenderungan ini dapat dilihat dalam individu atau
kumpulan yang sering inginkan perubahan dalam amalan umat Islam yang dianggap
mereka sebagai tidak adil dan tidak sesuai dengan sesuatu masa, tempat atau
kaum.
Contohnya ialah penyamaan wanita dengan lelaki.
-
Isu semasa: Solat wanita
sebagai Imam.
-
Individu dan kumpulan
yang terlibat: Kumpulan yang memperjuangkan hak wanita dll.
Berkenaan pejuang hak wanita, jika dikaitkan dengan Usul al-Fiqh, kita
dapati mereka tidak memahami konsep al-Qiyas. Kekeliruan juga berlaku dalam konsep
percanggahan antara dalil-dalil.
2-
Terlampau berjaga-jaga
dan takut dalam mengeluarkan hukum. Ini menyebabkan berlakunya pautan
kepada amalan-amalan atau kefahaman menyeleweng walaupun diakui kekurangannya.
Contohnya ialah amalan mengupah orang membaca ayat-ayat al-Quran al-Karim
supaya sampai pahalanya kepada si mati. Seperti juga amalan keluarga jenazah yang
menjamu para hadirin yang datang menziarahi jenazah. Amalan ini menjadi lebih
kronik jika ada unsur memandang rendah orang yang menegur walaupun dibawa
dalilnya sekali. Walaupun sebenarnya diakui oleh sebahagian atau kebanyakan masyarakat
bahawa amalan ini memberatkan mereka yang tidak berkemampuan.
-
Ini merupakan salah
faham terhadap konsep al-Taklif. Manusia hanya mukallaf semasa dia hidup.
Apabila mati amalan terputus kecuali apa yang dinyatakan oleh dalil. Amalan
pertama (mengupah) tadi tidak berdalil atau tidak mempunyai pendalilan tepat
manakala amalan kedua (menjamu) bersalahan dengan dalil yang warid.
3-
Tidak dapat memberi penekanan
seimbang kepada isu-isu agama.
Contohnya ialah amalan menekankan dakwah tanpa ilmu atau dakwah dengan
mengabaikan kebajikan keluarga.
-
Ini merupakan salah
faham terhadap konsep al-Akhbar (al-Ahadith). Di mana amalan Rasulullah s.a.w.
dilihat dari sudut tertentu dan tidak menyeluruh.
KESIMPULAN
BERKENAAN ILMU USUL AL-FIQH:
Secara
ringkasnya dapatlah dirangkumkan kepentingan dan peranan ilmu Ushul al-Fiqh
seperti berikut:
1-
Mengawal kaedah
pendalilan dengan membezakan antara dalil-dalil yang sahih dan dalil-dalil yang
palsu.
2-
Menjelaskan bentuk
pendalilan yang tepat kerana bukan semua dalil yang sahih digunakan dengan cara
pendalilan yang betul.
3-
Memudahkan usaha Ijtihad
dan mengeluarkan hukum yang sesuai dengan perkara baru yang berbangkit.
4-
Menerangkan kaedah-kaedah
fatwa, syarat-syarat mufti dan adab-adabnya.
5-
Menerangkan punca-punca
perselisihan ulama dan mencari alasan dan kelonggaran untuk mereka.
6-
Mengajak kepada ikutan
terhadap dalil dan meninggalkan sifat fanatik dan taqlid buta.
7-
Memelihara aqidah Islam
dengan menjaga dasar-dasar pendalilan dan menyanggah kesamaran golongan
menyeleweng.
8-
Memelihara fikah Islam
daripada dua perkara iaitu kelonggaran yang berpunca daripada menerima
sumber-sumber baru untuk pensyariatan, dan kebekuan yang berpunca daripada
dakwaan pintu Ijtihad dikunci.
9-
Mengawal kaedah-kaedah
perdebatan dan perbincangan dengan selalu merujuk kepada dalil-dalil yang sahih
lagi muktabar.
10-
Menjelaskan toleransi
Islam, kemudahannya dan juga kebaikannya.[10]
PENUTUP
Akhir kata, semoga lembaran-lembaran ini dapat membei manfaat kepada
penyusun dan juga kepada semua yang membaca dan menelitinya. Didoakan juga agar
Allah Ta’ala mengampunkan segala kelemahan dan kekurangan. Dia jualah yang
membuka hati dan menunjukkan jalan hidayat. Solat dan salam ke atas Nabi
Muhammad, ahli keluarga, para sahabat dan saudara-saudaranya.[11]
[1] Hadith riwayat Ahmad,
al-Tirmizi, al-Nasa’I, Ibnu Hibban dan lain-lain, dihukum sahih oleh al-Shaykh
al-Albani dalam: Sahih al-Jami‘ al-Saghir wa Zayadatih, al-Maktab al-Islami,
Bayrut, 1408h-1988, cetakan ke 3, jil. hlm. 216, hadith no. 895.
[2] Sila lihat: al-Ashqar,
Muhammad Sulayman Abdullah, al-Wadih fi Ushul al-Fiqh li al-mubtadi’in ma‘a
as’ilah li al-munaqashah wa tamrinat, Dar al-Nafa’is, al-Urdun, 1421h-2001,
cetakan 5, hlm. 14-15.
[3] Sila lihat Dr Muhammad Bakir
Hj. Yaakum, Usul Fiqh Dalam Konteks Masyarakat Malaysia: Antara Keperluan
Dan Pemahaman, dalam Prosiding Seminar Usul Fiqh, K.U.I.M., 2004, hlm. 157
[4] Sila lihat: http://www.ibnothaimeen.com/all/Shaikh.shtml
[5] Al-Khudari, Al-Shaykh
Muhammad, Ushul al-Fiqh, Dar al-Hadith, al-Qahirah,1424h-2003m, hlm. 7.
[6] Lihat: al-Uthaimin. Usul
al-Tafsir, Muqaddimah.
[7] Lihat: Zaydan, Dr. Abdul
Karim. al-Wajiz fi Ushul al-Fiqh, Muassasah al-Risalah, Bayrut,
Lubnan, 1422h-2001, hlm. 406. Lihat juga: Ustaz Abdul Rasyid, Dr Azwira dan
Ustaz Fadlan. Khilaf Dalam Islam: Sebab dan Adab, Perniagaan
Jahabersa, Johor Bahru, 19-21.
[8] Zaydan, Dr. Abdul Karim. al-Wajiz
fi Ushul al-Fiqh, hlm. 408.
[9] al-Khudari, Al-Shaykh
Muhammad, Ushul al-Fiqh, Dar al-Hadith, al-Qahirah,1424h-2003m, hlm. 18.
[10] al-Jizani, Muhammad bin
Husayn bin Hasan, Ma‘alim Ushul
al-Fiqh ‘ind Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, Dar Ibn
al-Jayzi, al-Riyadh, cetakan kedua, 1419h-1998, hlm 24.
[11] Kertas kerja ini telah diedit
semula pada 14/6/2010.
1 comments:
https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWV2lZaDBldU5Mem8/view?usp=drivesdk
Web: almawaddah.info
Salam
Kepada:
Redaksi, rektor dan para akademik
Per: 1. "Surat Terbuka Kepada PM (Surat PM)' dan 2. "Beberapa Hadis Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim yang disembunyikan".
Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info
Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.
Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan
Post a Comment