RSS Feeds

Translate


5.11.2010

Beradablah wahai saudaraku!

Cetak Halaman

Etika dalam khilaf:

Manusia sering sahaja berselisih pendapat, atau khilaf. Dalam menangani perihal khilaf ini, pelbagai ragam akan terserlah. Orang yang nampak tenang, mungkin sahaja akan bertukar wajah menjadi kebengisan. Apatah lagi jika khilaf yang berlaku antaranya dengan insan lain dianggap hanya dia sahaja yang betul. Di sinilah Nabi s.a.w. pernah memberitahu bahawa orang yang tegas adalah orang yang dapat mengawal dirinya semasa marah.

Di sini saya ingin menukil perihal etika atau adab khilaf yang berkaitan dengan pendapat yang diyakini oleh seseorang muslim dari buku 'Khilaf Dalam Islam: sebab dan Adab' yang ditulis bersama oleh saya dan dua rakan seperjuangan. Semoga kita mendapat inspirasi daripada catatan ini:

[[ 6. (Adab) berkenaan pendapat yang dipilih:
6.1. Pendapat sendiri adalah kuat tetapi berkemungkinan lemah.
Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:111):

Maksudnya: Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

Semestinya, di dalam beramal dengan ajaran-ajaran Islam, kita memilih pendapat yang terkuat selepas melalui proses pengajian, pertanyaan dan kajian. Di dalam perkara-perkara yang mempunyai berbagai-bagai pendapat, pendapat kita samada sesuai dengan majoriti ataupun dengan minoriti sahaja. Apapun keadaannya, kita pasti akan menguatkan pendapat yang kita ambil. Di sini pendirian yang tepat ialah walaupun itu pilihan kita, masih ada kemungkinan pilihan orang lain lebih kuat. Mewujudkan kemungkinan ini akan menjadikan kita lebih terbuka dan senang untuk berbincang bagi mendapatkan keterangan yang lebih tepat dan mantap.

6.2. Menghormati atau memberi ruang kepada pendapat orang lain.
Di dalam sebuah riwayat:

Maksudnya: Daripada Anas Bin Malik, beliau berkata: Kami pernah bermusafir / mengembara bersama Nabi  , dan orang yang berpuasa tidak memperlekehkan orang yang berbuka, dan tidak pula orang yang berbuka memperlekehkan orang yang berpuasa.

Satu perkara yang lain ialah kemestian menghormati pendapat orang lain. Adab ini akan menghasilkan keharmonian dalam masyarakat yang sudah jelas mempunyai pelbagai pendapat dan pegangan. Menghormati pendapat orang lain yang kita anggap salah bukan ertinya kita lemah di hadapannya, sebaliknya kita mementingkan perpaduan yang amat memerlukan kelembutan daripada pihak kedua. Kekerasan tidak boleh ditangani dengan kekerasan sepertimana kelembutan tidak boleh dihadapi dengan kelembutan. Sekiranya sesuatu pendapat itu dianggap salah, jelaskanlah kesalahannya secara tersusun dengan tangan atau lisan. Jika tiada kemampuan, pindah kepada peringkat minimum iaitu dengan hati. ]] (selesai nukilan)

Seterusnya, ingin saya nyatakan bahawa memilih salah satu daripada beberapa pendapat Ahli Sunnah wa al-Jama'ah tidaklah wajar dihukum sesat, diminta bertaubat, dicaci, dicerca atau dituduh menyakiti Rasulullah s.a.w. Sepatutnya kita dapat lebih beradab dalam perkara berunsur khilaf atau yang merupakan khilafiyyah. Beradab dalam perkara khilaf bukanlah dengan memaksa orang lain menerima pendapat yang kita pilih. Apatah lagi menuduhnya dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

Saya pilih pendapat ini, anda pilih pendapat lain; apa yang saya dan anda boleh buat ialah berbincang dengan penuh keharmonian. Jika sesuatu masalah itu tidak wajar dibangkitkan dalam masyarakat, mengapa dimarahi orang yang memberi respon dan bukannya orang yang mula-mula mengeluarkan sesuatu isu itu di dada akhbar dalam bentuk yang tidak menyeluruh? Justeru, apabila ada yang memberi pendapat di alam maya, kebebasannya untuk menyatakan pendapat dan pandangan pula yang dipersoalkan atas hujah perkara ini tidak relevan. Mana satukah yang tidak relevan; membuka perbincangan secara tidak menyeluruh atau memberi respon terhadap kelemahan dalam perbincangan itu dengan tujuan pembaikan?

Ustaz Fadlan di Seminar Iman Orang Asing (1 Ogos 2009)

Tajuk: Allah di sisi Orang Asing
Tarikh: 1 Ogos 2009
Tempat: Dewan Utama, Pusat pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.



Untuk melihat rakaman selanjutnya sila klik sini

5.05.2010

Pemikiran Kritikal yang Positif dan bukannya yang Negatif

Cetak Halaman

Di dalam satu kursus anjuran UKM, saya berkesempatan berbual dengan seorang pensyarah dari fakulti lain yang menyatakan kepada saya perihal pandangannya terhadap pelajar-pelajar Fakulti Islam yang disifatkannya sebagai agak tidak bersifat kritikal dalam pemikiran. Seolahnya mereka begitu berpegang kepada dalil-dalil tanpa ada usaha menganalisa. Soalannya, 'Adakah itu merupakan gaya pendidikan di Fakulti Islam?'

Menjawab persoalan yang dilontarkan, saya menjelaskan kepadanya bahawa memang ada tenaga pengajar yang bersifat demikian. Akan tetapi saya memberitahunya bahawa sebahagian tenaga pengajar khususnya yang muda-muda sudah bergerak ke arah menerapkan pemikiran kritikal; iaitu pemikiran yang menganalisia dalil-dalil yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Ayat al-Quran memang tidak boleh diragui; akan tetapi adakah tafiran kepada sesuatu ayat itu sentiasa betul? Saya jelaskan bahawa itulah yang perlu dilakukan oleh pelajar iaitu menilai secara kritikal tafsiran sesuatu ayat. Berkaitan hadith pula, saya jelaskan bahawa satu perkara asas yang amat perlu ialah mengenalpasti autentisitinya diikuti dengan menilai interpretasi absah bagi hadith itu.

Tidak saya nafikan pelajar Fakulti Islam masih memerlukan penggembelingan tenaga bersepadu daripada para pensyarahnya dalam mengangkat pemikiran mereka agar menjadi dinamis dan kritikal. Pelajar seharusnya dididik agar berani menyatakan sesuatu pandangan yang terhasil dalam benaknya, kepada pensyarahnya. Pensyarah pula wajar menggalakkan usaha murni perbincangan ilmiah dan perlu terbuka mendengar pandangan pelajar malahan teguran mereka.

Sudah tiba masanya rakan-rakan pensyarah merubah dan meningkatkan pendekatan pengajaran dan pendidikan agar dapat membina pelajar yang berkeperibadian kritikal dalam erti kata positif (iaitu teliti dan kritis) dan tidak sekali-kali keperibadian kritikal dalam erti kata negatif (iaitu lemah dan nyawa-nyawa ikan)…

Bagi para pelajar sekelian, ambillah pengkhabaran tentang luahan persepsi ini sebagai satu cabaran. Anda perlu menjadi seorang pelajar yang sentiasa Ikhlas dalam menuntut ilmu, berusaha dengan rasional dan bukan dengan emosi, berfikiran kritikal dan bukan berfikiran 'semua yang pensyarah sebut tu mesti betul', bersikap proaktif dan tidak hanya menunggu telunjuk pensyarah sahaja, serta sentiasa menuntut bantuan Ilahi.

Saya berterima kasih kepada pensyarah dari fakulti lain tersebut kerana sudi menyuarakan persepsinya walaupun beliau nampak sedikit teragak-agak pada permulaannya…

Bagi saya, kita memang perlu mendapat maklum balas pihak ketiga dalam usaha kita untuk membaik pulih kesilapan-kesilapan yang mungkin sahaja terlepas pandang oleh kita. Dan kadang-kadang maklum balas pihak ketiga itu perit untuk ditadah oleh telinga kita dan panas untuk dihadapi oleh muka kita, tetapi itulah yang perlu dilakukan oleh setiap daripada kita. Ingatlah firman Allah Ta'ala (al-Zumar:17-18):

maksudnya: { Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu -.

Iaitu mereka yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.}

Akhir coretan, semoga Allah menggolongkan kita sebagai 'mereka yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya'. Ya Allah, perkenankanlah…

5.03.2010

Rakaman Ceramah Cara Mengenal Allah

Seminar Mengenal Allah
Tarikh: 1 May 2010
Tempat: Yayasan Ta'lim, TTDI.

Tajuk: Cara Mengenal Allah, Dari Zaman Salafussoleh Sehingga ke Zaman Perkembangan Falsafah
Oleh : Ustaz Fadlan Mohd Othman (Pembentangan 2)

4.23.2010

(Siri 6) 6 Siri Santapan Ilmiah Imaniyyah Berkaitan "Orang Asing" (الغرباء)

Cetak Halaman

Siri 6- KAITAN ANTARA HAQ DAN BILANGAN:

Sesungguhnya bilangan yang sikit tidak sekali-kali menjadi dalil bahawa sesuatu perkara itu tidak benar / haq. Yang haq itu dikenalpasti dengan Al-Quran dan As-Sunnah dan bukannya dengan jumlah orang yang beramal dengannya. Di antara ayat-ayat yang menerangkan perkara ini ialah:

1- Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-An’aam 6:116):

Maksudnya: Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap allah).

2- Firman Allah Ta‘ala dalam surah Saba (34:13):

Maksudnya: Dan sedikit sekali dari hamba-hambaku yang berterima kasih.


Kesimpulannya, hendaklah orang yang benar-benar inginkan kebenaran kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Pada masa yang sama dia mesti ingat bahawa dengan memasuki jalan ini, bermakna dia akan menjadi orang asing. Di dalam mengharungi rintangan-rintangan sepanjang jalan yang mulia ini, hendaklah dia sentiasa ikhlas dan sabar sehinggalah Allah Ta’ala meredhainya. Itulah sebenarnya tujuan murni dan destinasi sejati kehidupan di dunia ini menuju alam ukhrawi…

(Siri 5) 6 Siri Santapan Ilmiah Imaniyyah Berkaitan "Orang Asing" (الغرباء)

Cetak Halaman

Siri 5- IMAN DAN PENGHARAPAN:

Di dalam melakukan suruhan dan meninggalkan larangan ajaran Islam, seseorang itu mestilah benar-benar beriman bahawa perkara tersebut disyari’atkan oleh Allah Tacala dan benar-benar mengharapkan ganjaran baik dari Tuhannya. Antara dalil yang menganjurkan dua perkara ini ialah:

1- Hadith pertama:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.]

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang silam.

2- Hadith kedua:

عَنْ أَبِيهِ (عامر بن سعد بن أبي وقاص) أَنَّهُ كَانَ قَاعِدًا عِنْدَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ إِذْ طَلَعَ خَبَّابٌ صَاحِبُ الْمَقْصُورَةِ فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ أَلَا تَسْمَعُ مَا يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ [ مَنْ خَرَجَ مَعَ جَنَازَةٍ مِنْ بَيْتِهَا وَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ تَبِعَهَا حَتَّى تُدْفَنَ كَانَ لَهُ قِيرَاطَانِ مِنْ أَجْرٍ كُلُّ قِيرَاطٍ مِثْلُ أُحُدٍ وَمَنْ صَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ رَجَعَ كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُحُدٍ] فَأَرْسَلَ ابْنُ عُمَرَ خَبَّابًا إِلَى عَائِشَةَ يَسْأَلُهَا عَنْ قَوْلِ أَبِي هُرَيْرَةَ ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَيْهِ فَيُخْبِرُهُ مَا قَالَتْ وَأَخَذَ ابْنُ عُمَرَ قَبْضَةً مِنْ حَصْبَاءِ الْمَسْجِدِ يُقَلِّبُهَا فِي يَدِهِ حَتَّى رَجَعَ إِلَيْهِ الرَّسُولُ فَقَالَ قَالَتْ عَائِشَةُ صَدَقَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَضَرَبَ ابْنُ عُمَرَ بِالْحَصَى الَّذِي كَانَ فِي يَدِهِ الْأَرْضَ ثُمَّ قَالَ لَقَدْ فَرَّطْنَا فِي قَرَارِيطَ كَثِيرَةٍ.

Maksudnya: Daripada Amir bin Sa‘d bahawa dia pernah duduk bersama Abdullah bin Umar apabila muncul Khabbab yang berkata: Wahai Abdullah bin Umar, tidak kamu mendengar apa yang dikatakan oleh Abu Hurairah bahawa dia telah mendengar Rasulullh s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang keluar mengiringi jenazah dari rumahnya (jenazah itu) dan sembahyang ke atasnya kemudian dia mengiringi jenazah itu sehingga ianya dikebumikan, dia akan memperoleh pahala sebanyak dua qirat, setiap satu bersamaan bukit Uhud. Sesiapa yang sembahyang ke atas jenazah kemudian pulang kerumahnya, dia akan memperoleh pahala seperti satu bukit Uhud.” Maka Ibnu Umar pun menghantar Khabbab supaya menanya Aisyah berkenaan kesahihan kata-kata Au Hurairah dan datang semula untuk memberitahu jawapan Aisyah. Sementara itu, Ibnu Umar memegang segenggam batu-batu masjid dan membalik-balikkannya dengan tangannya. Apabila utusannya pulang dan memberitahu bahawa Aisyah telah membenarkan kata-kata Abu Hurairah, Ibnu Umar membaling batu-batu itu ke tanah dan berkata: Sesungguhnya, kami telah melepaskan banyak qirat.

3- Hadith ketiga:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ أَعْرَابِيًّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ دَخَلْتُ الْجَنَّةَ قَالَ تَعْبُدُ اللَّهَ لَا تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ وَتُؤَدِّي الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَتَصُومُ رَمَضَانَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا أَزِيدُ عَلَى هَذَا فَلَمَّا وَلَّى قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى هَذَا.

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah bahawa seorang badawi telah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata: Tunjukkanlah aku satu amalan, sekiranya aku beramal dengannya, aku akan masuk syurga. Jawab Baginda: “Kamu menyembah Allah, tidak mensyirikkannya sesuatupun, mendirikan solat yang difardhukan, menyelaraskan zakat yang difardhukan dan kamu berpuasa bulan Ramadhan.” Dia berkata: Demi tuhan yang jiwaku berada di dalam tanganNya, aku tidak akan tambah amalan lain selain amalan-amalan ini. Selepas lelaki itu pergi, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang ingin melihat lelaki dari kalangan ahli syurga, bolehlah dia melihat lelaki ini.”

(Siri 4) Siri Santapan Ilmiah Imaniyyah Berkaitan "Orang Asing" (الغرباء)

Cetak Halaman

Siri 4- BID’AH TIMBUL SUNNAH LENYAP (PERIHAL "ORANG ASING"):

Setiap kali satu bid’ah dicipta, pasti akan lenyap satu Sunnah. Seorang tabi‘in Hasan bin Atiyah telah berkata:

مَا ابْتَدَعَ قَوْمٌ بِدْعَةً فِي دِينِهِمْ إِلَّا نَزَعَ اللَّهُ مِنْ سُنَّتِهِمْ مِثْلَهَا ثُمَّ لَا يُعِيدُهَا إِلَيْهِمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.

Maksudnya: Hasan bin Atiyah telah berkata: Tiada satupun kaum yang membuat bid’ah dalam agama mereka kecuali Allah Ta‘ala akan mencabut satu perkara yang sepertinya daripada sunnah mereka, dan kemudian Dia tidak akan mengembalikannya kepada mereka sehinggalah datangnya hari kiamat.

Lama kelamaan, sesiapa sahaja yang berusaha menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. dalam Aqidah dan Syari’ah akan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Dia akan dituduh sebagai; sesat, pembawa bid’ah, mereka-reka benda baru, masih muda dan mentah, menentang amalan ‘ibadah’ yang diwarisi, kolot, pelampau dan lain-lain lagi.

Pada hakikatnya, merekalah orang-orang asing itu.. Merekalah yang akan mendapat ganjaran sepohon pokok di syurga kelak. Ini adalah janji dari Allah Ta’ala untuk mereka kerana mereka telah berusaha bersungguh-sungguh menentang arus yang keras lagi kuat. Mereka perlu kepada dua perkara dalam memastikan kesinambungan amalan mereka, iaitu:

1- Keyakinan (Keikhlasan) yang teguh.
2- Kesabaran yang kuat.

Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Sajdah (32: 24):

Maksudnya: Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.

Sesungguhnya Rasulullah telahpun memberitahu kita keadaan jalan ke neraka dan keadaan jalan ke syurga dengan sabdanya dalam sebuah hadith:

[ حُفَّتْ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتْ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ.]

Maksudnya: Syurga itu telah dihiasi dengan perkara-perkara yang tidak disukai, dan neraka itu telah dihiasi dengan perkara-perkara yang sesuai dengan syahwat (hawa nafsu).

(Siri 3) 6 Siri Santapan Ilmiah Imaniyyah Berkaitan "Orang Asing" (الغرباء)

Cetak Halaman

Siri 3- PERBANDINGAN ANTARA DULU DAN SEKARANG (PERIHAL "ORANG ASING"):

Islam telah bermula dalam keadaan asing. Rasulullah  telah diutuskan membawa Islam yang berlandaskan Tauhid di dalam masyarakat Arab yang ditenggelami oleh syirik. Dengan ini dakwah Baginda adalah sangat asing dengan keadaan orang Arab waktu itu.

Rasulullah  memberitahu kita bahawa di akhir zaman nanti -kita termasuk juga dalam tempoh ini-, keadaan akan kembali seperti pada permulaan dakwah Islam. Syirik akan berleluasa, Tauhid akan menjadi perkara asing. Apabila Tauhid dinodai unsur-unsur syirik, Syari’ah juga turut ternoda dan rosak. Manakan tidak, sedangkan kita telahpun mengetahui bahawa Aqidah Tauhid adalah teras Syari’ah yang suci dari unsur-unsur syirik dan bid’ah.

Islam adalah suatu agama yang asing di kalangan agama-agama lain. Di dalam Islam itu sendiri, ASWJ juga adalah asing di kalangan pecahan golongan-golongan Islam yang lain.

(Siri 2) 6 Siri Santapan Ilmiah Berkaitan "Orang Asing" (الغرباء)

Cetak Halaman

Siri 2- CIRI-CIRI ORANG ASING DAN GANJARAN MEREKA:

Secara menyeluruh, orang-orang asing ini mempunyai ciri-ciri berikut:
1- Beramal saleh menepati ikhlas dan sunnah.
2- Menghidupkan, mempertahankan serta menyebar sunnah Rasulullah .

Di dalam sebuah hadith, Rasulullah  telah menerangkan ganjaran mereka yang berpegang dengan ajaran Islam di akhir zaman seperti berikut:

عَنْ أَبِي أُمَيَّةَ الشَّعْبَانِيِّ قَالَ أَتَيْتُ أَبَا ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيَّ فَقُلْتُ لَهُ كَيْفَ تَصْنَعُ بِهَذِهِ الْآيَةِ قَالَ أَيَّةُ آيَةٍ قُلْتُ قَوْلُهُ تَعَالَى يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنْفُسَكُمْ لَا يَضُرُّكُمْ مَنْ ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ قَالَ أَمَا وَاللَّهِ لَقَدْ سَأَلْتَ عَنْهَا خَبِيرًا سَأَلْتُ عَنْهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ بَلْ ائْتَمِرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنَاهَوْا عَنْ الْمُنْكَرِ حَتَّى إِذَا رَأَيْتَ شُحًّا مُطَاعًا وَهَوًى مُتَّبَعًا وَدُنْيَا مُؤْثَرَةً وَإِعْجَابَ كُلِّ ذِي رَأْيٍ بِرَأْيِهِ فَعَلَيْكَ بِخَاصَّةِ نَفْسِكَ وَدَعْ الْعَوَامَّ فَإِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامًا الصَّبْرُ فِيهِنَّ مِثْلُ الْقَبْضِ عَلَى الْجَمْرِ لِلْعَامِلِ فِيهِنَّ مِثْلُ أَجْرِ خَمْسِينَ رَجُلًا يَعْمَلُونَ مِثْلَ عَمَلِكُمْ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْمُبَارَكِ وَزَادَنِي غَيْرُ عُتْبَةَ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَجْرُ خَمْسِينَ مِنَّا أَوْ مِنْهُمْ قَالَ بَلْ أَجْرُ خَمْسِينَ مِنْكُمْ.]

Maksudnya: Daripada Abu Umayyah al-Sya‘bani berkata, “Aku telah datang kepada Abu Tha‘labah al-Khusyani dan bertanya: Bagaimanakah tafsiran kamu terhadap ayat ini? Jawabnya: Ayat mana? Aku berkata: firman Allah Ta‘ala (Maksudnya: ) Katanya: Demi Allah, sesungguhnya kamu telah bertanya kepada orang yang mengetahui tentang tafsirnya. Aku pernah bertanya kepada Rasulullah , lalu Baginda menjawab “Maksudnya ialah: hendaklah kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran sehinggalah apabila kamu melihat ketaatan terhadap rasa tamak, ikutan terhadap hawa nafsu, mendahulukan dunia dan rasa bangga seseorang itu terhadap pendapatnya; di masa itu hendaklah kamu menjaga diri kamu sendiri dan tinggalkanlah hal orang lain. Sesungguhnya di belakang kamu kelak merupakan hari-hari yang memerlukan kesabaran. Kesabaran di masa itu seperti memegang bara api. Orang yang beramal dengan Islam di masa itu mendapat pahala lima puluh orang yang beramal seperti amalan kamu sekarang (sahabat).” –berkata Abdullah bin al-Mubarak: Seorang perawi selain Utbah telah menambah- ada orang yang bertanya: Wahai Rasulullah, adakah pahala lima puluh dari kalangan kami (sahabat) atau dari kalangan mereka? Jawab Rasulullah “Bahkan pahala lima puluh dari kalangan kamu (sahabat).”

(Siri 1) 6 Siri Santapan Ilmiah Imaniyyah Berkaitan "Orang Asing" (الغرباء)

Cetak Halaman

Siri 1- HADITH TENTANG ORANG ASING:

Di dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. telah bersabda di dalam sebuah hadith riwayat Muslim:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ.]

Maksudnya: Sesungguhnya Islam telah bermula dalam keadaan asing, dan ia akan kembali menjadi asing sepertimana ia mula. Maka sepohon pokok di syurga (sebagai ganjaran) bagi orang-orang asing itu.

Dalam riwayat lain:

عن عَبْد اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِي قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ وَنَحْنُ عِنْدَهُ [طُوبَى لِلْغُرَبَاءِ] فَقِيلَ مَنْ الْغُرَبَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ [أُنَاسٌ صَالِحُونَ فِي أُنَاسِ سُوءٍ كَثِيرٍ مَنْ يَعْصِيهِمْ أَكْثَرُ مِمَّنْ يُطِيعُهُمْ]

Maksudnya: Sepohon pokok (sebagai ganjaran) bagi orang-orang asing itu. Maka ditanya; Siapakah mereka wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Mereka ialah orang-orang yang saleh di kalangan jumlah manusia rosak yang banyak, orang yang mengingkari mereka lebih banyak dari orang yang mentaati mereka.

Dalam riwayat lain:

عَنْ جَدِّهِ (عمرو بن عوف بن زيد) أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ [ إِنَّ الدِّينَ بَدَأَ غَرِيبًا وَيَرْجِعُ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ مِنْ بَعْدِي مِنْ سُنَّتِي.]

Maksudnya: Sesungguhnya agama ini telah bermula dalam keadaan asing, dan ia akan kembali menjadi asing. Maka sepohon pokok di syurga (sebagai ganjaran) bagi orang-orang asing itu. Mereka ialah orang-orang yang memulihkan sunnahku yang telah dirosakkan oleh manusia selepasku.
Related Posts with Thumbnails