Pensyarah Kanan / Senior Lecturer Jabatan Pengajian Al-Quran Dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Translate
2.26.2012
Petikan Artikel Berita Minggu 26 Februari 2012
Oleh Dr Fadlan Mohd Othman
2012/02/26
Kewujudan ulama banteras cubaan seleweng sabda Rasulullah dapat pulihara kesucian Islam
SESUNGGUHNYA Allah Taala menurunkan al-Quran kepada hamba-Nya sebagai petunjuk sepanjang jalan untuk mereka di muka bumi ini kembali kepada-Nya di akhirat nanti. Al-Quran mengandungi segala sesuatu yang diperlukan oleh hamba Allah untuk menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat daripada segala bentuk kesengsaraan baik yang sementara mahupun yang kekal.
Antara perkara utama yang ditekankan dan diarahkan oleh al-Quran ialah menjadikan Muhammad bin Abdullah, Rasulullah SAW sebagai ikutan kita di alam ini. Kepercayaan kita kepada al-Quran sebagai kitab petunjuk sejati tidak sempurna jika tidak disulami dengan kepercayaan bahawa Rasulullah SAW adalah wakil Allah kepada kita.
Sebagai wakil Allah, Bagindalah yang paling mengetahui kehendak Allah dalam al-Quran. Justeru, apa saja kefahaman kita terhadap mana-mana saja ayat al-Quran tidak boleh diterima sekiranya tidak melalui pengesahan kefahaman Rasulullah SAW.
Dalam satu riwayat, Ibnu Mas’ud berkata: “Allah melaknati pembuat tatu, orang yang meminta tatu, orang yang mencabut bulu badan dan juga orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah.”
Kenyataan ini sampai ke telinga seorang wanita daripada Bani Asad yang bernama Ummu Ya’qub lalu dia datang lalu berkata: “Saya dengar kamu melaknat sekian dan sekian!” Ibnu Mas’ud menjawab: “Apa salahnya saya melaknat orang yang dilaknat oleh Rasulullah SAW dan juga yang terdapat dalam kitab Allah?” Wanita itu berkata: “Saya sudah membaca keseluruhan al-Quran dan saya tidak menjumpai apa yang kamu sebutkan itu.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Jikalau engkau benar-benar membacanya pasti engkau akan menjumpainya. Tidakkah engkau membaca (ayat 7 Surah al-Hasyr) yang bermaksud: “Dan apa yang dibawa oleh Rasul maka hendaklah kamu semua ambil dan apa yang ditegah olehnya maka hendaklah kamu tinggalkan?” Wanita itu menjawab: “Sudah tentu.” Ibnu Mas’ud berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menegah perbuatan itu.” (HR al-Bukhari, No. 4886).
Selepas diketahui bahawa tiada perbezaan dari sudut penghujahan antara ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, perlulah diketahui bahawa al-Quran tidak dapat diselewengkan dengan sewenang-wenangnya dari sudut ‘thubut’ iaitu ketetapan. Ini berbeza dengan hadis yang tidak mengalami proses penulisan seperti al-Quran. Dengan itu, masih ada ruang bagi musuh Islam untuk membuat penyelewengan dalam hadis dengan memalsukan kenyataan dan menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.
Walaupun begitu, Allah sudah menjanjikan bahawa agama-Nya akan kekal terpelihara. Kewujudan ulama yang pakar dan mahir dengan selok-belok hadis dapat mengatasi kemelut pemalsuan ini. Dr Subhi al-Salih dalam kitabnya Ulum al-Hadis wa Mustalahuh menyatakan bahawa apabila al-Imam Abdullah bin al-Mubarak ditanya: “Bagaimana dengan hadis palsu?” Beliau menjawab: “Akan muncul pakar yang membanterasnya. Allah telah berfirman (dalam Surah al-Hijr ayat 9) yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan peringatan dan pasti Kami akan menjaganya.”
Secara umumnya membezakan lalu membanteras hadis palsu adalah satu-satunya jalan untuk menjaga kemurnian agama Islam daripada diselewengkan dari sudut ini. Semoga Allah memperbanyakkan individu Muslim yang kritis dan cergas dalam mempertahankan agama Islam dengan mempertahankan hadis Rasulullah SAW.
Kerosakan sesuatu perkara hanya akan diketahui dengan tahap dosa yang dikaitkan dengannya. Di sini kita akan menyingkap tahap dosa yang dikaitkan dengan mereka yang menyebarkan hadis palsu. Dr. Syaraf Mahmud al-Qudhah dalam kitabnya al-Minhaj al-Hadis fi ‘Ulum al-Hadis halaman 183, mengkategorikan periwayatan hadis palsu ini kepada tiga bahagian seperti berikut:
Pertama, meriwayatkan hadis palsu secara sengaja. Ulama bersepakat mengatakan bahawa hukum meriwayatkan hadis palsu adalah haram berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menipu ke atas-Ku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka.” (HR al-Bukhari, No. 6197)
Kedua, meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja. Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja pula, dia dimaafkan dan tidak mendapat apa-apa dosa berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa.” (HR Ibnu Majah, Kitab al-Thalaq, Bab Thalaq al-Mukrah wa al-Nasi, No. 2033. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibnu Majah No. 1675).
Ketiga, meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa. Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa pula, dia tidak dimaafkan dan tetapi akan mendapat dosa menyebarkan hadis palsu walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui mengenai kepalsuan hadis itu.
Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut; pertama, Firman Allah dalam surah al-Isra ayat 36 bermaksud: “Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu mengenainya.”
Dalil kedua, hadis Nabi yang bermaksud: “Sesiapa yang meriwayatkan hadis daripadaku sedang ia diketahui oleh para ulama sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu.” (HR Muslim dalam Muqaddimah Sahih Muslim).
Dalil ketiga, hadis Nabi SAW yang bermaksud:,“Kadi terbahagi tiga golongan; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka.” (HR Abu Daud, Kitab al-Aqdiyah, Bab fi al-Qadi Yukhti’, No. 3573. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud No. 3573.)
Penulis ialah Pengerusi iLMU.
Artikel Petikan Berita Harian 22 Februari 2012
oleh : Dr Fadlan Mohd Othman
Berita Harian Rabu 22 Februari 2012
ALLAH SWT mencipta manusia daripada lelaki dan wanita serta menjadikan mereka sebagai pemimpin di atas muka bumi ini. Kedua-dua gender ini mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. Melihat kepada fizikal saja kita dapat membezakan antara lelaki dan wanita.
Perkara ini ditetapkan Allah SWT dalam Surah al-Imran ayat ke-36 bermaksud:
“Dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan.”
Agama Islam mengarahkan setiap satu daripada dua gender ini untuk tugas dan tanggungjawab yang sesuai. Sebagai contoh, kaum lelaki dididik ke arah menjadi pemimpin dan penjaga kepada kaum wanita seperti firman Allah dalam surah an-Nisa ayat ke-34 bermaksud:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Akan tetapi, kita perlu sentiasa ingat bahawa usaha syaitan tidak akan berhenti. Syaitan amat bersungguh-sungguh merosakkan ciptaan Allah. Usahanya cukup halus dan licik. Perkara ini digambarkan Allah dalam surah an-Nisa ayat 119 bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya, aku (syaitan) akan menyesatkan mereka dari kebenaran, dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka mencacatkan binatang-binatang ternak, lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”
Memfokuskan perbincangan kepada isu jantina, kita dapati Allah SWT memberikan pelbagai garis panduan yang jelas antara lain, isu perkahwinan yang mana perkahwinan seharusnya berlaku antara lelaki dan wanita dan bukannya sesama jantina.
Bahkan perkahwinan sesama jantina sesuatu yang dilaknat Allah. Perkara ini dijelaskan Allah dalam surah al-A’raf ayat 81 yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”
Lihatlah bagaimana Allah menyifatkan orang yang songsang amalan gendernya sebagai melampaui batas. Begitu juga golongan songsang ini disifatkan sebagai kaum jahil seperti dalam ayat 55 Surah al-Naml.
Justeru, untuk membendung perkara songsang ini, terdapat beberapa garis panduan yang diletakkan oleh agama Islam. Antaranya, sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Allah melaknati lelaki yang meniru gaya wanita dan wanita yang meniru gaya lelaki.” (Riwayat Ahmad)
Menurut hadis ini, lelaki dilarang meniru gaya perempuan dan begitu jugalah wanita dilarang meniru gaya lelaki. Perkara ini dilaknat Allah. Perkara inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia. Apabila setiap pihak melaksanakan tanggung jawab yang sesuai dengan jati dirinya, maka terhasillah kesejahteraan sejagat.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pihak yang dipimpinnya. Pemerintah sesuatu masyarakat adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi isi rumah suaminya serta anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Justeru, kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap pihak yang dipimpin.” (Riwayat Bukhari)
Apapun hakikatnya, sebagai seorang manusia pastinya akan ada kelemahan dan kekurangan. Jika pemerintah, masyarakat dan keluarga tidak dapat membentuk jati diri jantina seseorang individu itu, maka benteng terakhir adalah individu itu sendiri.
Masih belum terlambat bagi setiap seorang yang mempunyai kekeliruan gender untuk kembali ke pangkal jalan. Ini kerana taubat itu terbuka pintunya sehingga ke hembusan nafas yang terakhir sesuai dengan hadis Nabi SAW bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-Nya selagi dia belum nazak.” (Riwayat al-Tirmizi)
Justeru, bagi memastikan kita tetap kekal berada di jalan lurus dan diredhai Allah, kita wajar membaca doa Nabi SAW bermaksud:
“Wahai Tuhan kami, perbaikilah hubungan antara kami, tunjukkanlah kepada kami jalan-jalan kesejahteraan, selamatkan kami daripada kegelapan kepada cahaya, hindarilah kami daripada perkara keji sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi. Berkatilah kami pada pendengaran, penglihatan, hati, pasangan dan zuriat kami. Terimalah taubat kami kerana Engkaulah Yang Maha Penerima taubat dan Maha Mengasihani. Jadikanlah kami mensyukuri nikmat-nikmat-Mu, memuji dan menyebutnya, serta sempurnakanlah nikmat-nikmatMu ke atas kami.”
Penulis ialah Pengerusi iLMU.
Ralat : Akhbar Berita Harian menuliskan “Ahmad Tajudin Idris, Ketua Biro Belia dan Cinta Rakyat (CITRA), ilMU”
2.14.2012
Artikel Petikan Berita Minggu 12 Februari 2012
Dr Fadlan Mohd Othman, Pengerusi ILMU
Berita Minggu 2012/02/12
ISLAM ialah agama yang menjaga fitrah dan naluri manusia. Segala amalan yang disyariatkan memenuhi tuntutan zahir dan batin manusia. Antara perkara yang ditekankan oleh Islam ialah cinta, sifat penting dalam kehidupan dan peradaban manusia.
Cinta juga menjadi antara faktor kelangsungan generasi manusia. Apa yang pasti, ia berbeza tingkat dan lapisannya.Adacinta terhadap Allah, Rasulullah, Islam, ibu dan bapa, anak dan cucu, pasangan suami atau isteri, sahabat, bahkan terhadap binatang dan alam sekitar.
Bagaimanapun, cinta orang beriman terhadap Allah adalah cinta suci yang tiada bersyarat. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 165, yang bermaksud:
“Adajuga antara manusia yang mengambil selain Allah untuk menjadi sekutu Allah, mereka mencintainya, memuja dan mentaatinya seperti mereka mencintai Allah, sedang orang yang beriman itu lebih cinta dan taat kepada Allah.”
Cinta orang beriman terhadap Allah lebih hebat daripada cinta orang tidak beriman terhadap Allah. Cinta orang kafir dibahagi antara Tuhan dan berhala sembahannya, tidak seperti orang beriman yang semata-mata kepada Allah.
Begitulah sepatutnya cinta mukmin terhadap penciptanya. Namun, Iblis penghulu segala syaitan menyatakan tekadnya di hadapan Allah akan mengganggu anak Adam.
Ikrar Iblis dirakamkan al-Quran, Surah al-A’raf ayat 16 dan 17 bermaksud:
“Iblis berkata, oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat, maka aku akan mengambil tempat menghalangi mereka daripada jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.
Kerja keras syaitan ini berhasil dengan dua bentuk kelemahan manusia. Pertama, lemah ilmu, manakala kedua kelemahan pegangan diri. Al-Imam Ibnul Qayyim menjelaskan dalam karya agungnya, Zadul Ma’ad bahawa setiap mukmin wajib memerangi syaitan yang menabur syubuhat dan syahwat. Syubuhat bererti ideologi terseleweng, maka caranya ialah menimba ilmu mengenai kebaikan untuk diamalkan, di samping menimba ilmu mengenai keburukan agar dapat ia dihindari. Syahwat pula bererti hawa nafsu. Caranya dengan menanam keyakinan terhadap segala janji baik Allah bagi hamba-Nya yang berjaya mengekang kebuasan nafsu.
Melihat kepada kalendar Masihi, akan muncul Hari Kekasih pada 14 Februari.
Berdasarkan penerangan ringkas sebentar tadi, dapatlah ditegaskan menyambut Hari Kekasih sesuatu yang menyalahi Islam, bidaah lagi mungkar.
Dari sudut ilmu, kita dapati Hari Kekasih bukan perayaan umat Islam, tetapi untuk kaum Nasrani atau Kristian. Seorang paderi bernama Valentine dibunuh lalu hari pembunuhannya itu dijadikan Hari Kekasih. Ia dijadikan hari untuk melahirkan cinta pasangan kekasih dengan pemberian hadiah dan seumpamanya.
Apabila kita mengetahui Hari Kekasih bukan untuk umat Islam, adalah wajar kita menjauhinya. Jika ada yang pernah menyambutnya, mohon keampunan daripada Allah dan bertekadlah untuk tidak mengulanginya pada tahun ini. Semoga dengan taubat nasuha, keburukan dan maksiat yang pernah kita buat diampunkan Allah, bahkan diubah menjadi ganjaran kebaikan.
Kedua, dari sudut hawa nafsu. Jika benar seseorang cinta kekasihnya, maka lihatlah adakah ekspresi cinta itu menepati keredaan Allah atau hanya mengundang kemurkaan-Nya? Jika pasangan belum berkahwin, cara terbaik melahirkan cinta ialah dengan berkahwin. Jika pasangan sudah berkahwin, cara terbaik ialah saling memberi hadiah dari semasa ke semasa. Mengapa perlu dikhususkan 14 Februari, sedangkan kita mempunyai hari lain yang tiada keraguan padanya. Janganlah perbuatan manusia yang diutamakan, akan tetapi utamakanlah firman Allah dan sabda Rasulullah SAW.
Ingatlah wahai saudaraku ketinggian cinta terhadap Allah akan diuji dengan melihat tahap ikutan seseorang mukmin terhadap Rasulullah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 31 bermaksud:
“Katakanlah wahai Muhammad: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu.”
2.06.2012
Artikel Petikan Berita Minggu 5 Februari 2012
12.06.2011
Adab oh adab
Bila sebut adab ramai berkata
Ayuh! Kita semua perlu kepadanya
Namun bukan semua yang menyeru terseru
Ada yang menyeru tapi dirinya tak sampai seru
Bila orang kurang adab diri marah
Namun bila diri begitu hanya bermegah
Bila orang bicara belakang diri terasa
Namun bila diri begitu tidak mengapa
Bila orang dikritik diminta berlapang dada
Namun bila diri begitu merajuk dan gundah gulana
Soalnya...
Mengapa dwi hukum, dwi ukur? Mengapa pada orang ralat, pada kita tepat?
Jawabnya...
Jangan begitu wahai diri
Luruskan niat tepatkan amal
Dan mulakanlah dengan batang tubuhmu
Ya itulah adab..
11.04.2011
Hukum Dunia - Hukum Akhirat; Adakah Sama?
Di dunia ini, orang yang zahirnya Muslim kita anggapnya Muslim, orang yang zahirnya Kafir kita berurusan dengannya sebagai Kafir.
Adapun di akhirat, Jannah/syurga disediakan untuk Muslim yang bertaqwa sebenar-benarnya di sisi Allah walaupun zahirnya Kafir seperti Najashi. Sebagaimana Nar/neraka untuk orang Kafir walaupun zahirnya Muslim seperti Abdullah bin Ubayy.
Justeru;
Pertama: tidak salah kita sebut secara umum, "Orang kafir tempatnya dalam neraka secara kekal." Tetapi salah jika kita kata, "Saya boleh pastikan si A, B dan C adalah ahli neraka" bagi orang yang tidak dinyatakan secara spesifik dalam Al-Quran mahupun Hadith.
Begitu juga; tidak salah kita sebut secara umum, "Orang Muslim tempatnya dalam syurga secara kekal." Tetapi salah jika kita kata, "Saya boleh pastikan si A, B dan C adalah ahli syurga" bagi orang yang tidak dinyatakan secara khusus dalam Al-Quran mahupun Hadith.
Kedua; kenyataan ini menuntut Umat Islam agar berdakwah kepada ajaran Islam yang tulen seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan difahami oleh Baginda dan para Sahabat radiyallahu 'anhum. Dua perkara perlu dijauhi iaitu: pertama; memahami Islam dengan lojik akal semata-mata, dan kedua; memahami Islam dengan kebatinan semata-mata.
Semoga Allah Ta'ala menunjukkan kebenaran sebagai kebenaran kepada kita semua dan memudahkan kita beramal dengannya, di samping menunjukkan kebatilan sebagai kebatilan kepada kita semua dan memudahkan kita menghindarinya. Aamiin yaa Rabb!!
11.03.2011
Kami Bantah Kebebasan Gender
Perhimpunan Seksualiti Merdeka adalah suatu perhimpunan yang tekutuk di sisi Islam! Umat Islam mesti membenci kemungkaran besar ini. Mana-mana Muslim atau Muslimah yang terlibat dalam menjayakan perhimpunan ini perlu segera bertaubat! Redha terhadap ideologi ini adalah satu bentuk kekufuran.
Islam mendidik lelaki menjadi lelaki Dan wanita menjadi wanita. Islam melaknat lelaki yang menyerupai wanita Dan wanita yang menyerupai lelaki!
Jika anda, wahai Muslim Dan Muslimah, terlibat dengan perhimpunan ini atau menyokong ideologi kufur ini; maka segeralah bertaubat kerana pintu taubat masih terbuka dan Allah akan mengampuni anda jika bertaubat!
11.01.2011
Sekadar saranan bagi sahabatku yang kesedihan…
Di dalam hidup ini pasti ada sahaja perkara yang menjadikan diri kita kesedihan. Begitu banyak perkara yang dirasakan sepatutnya berlaku tetapi tidak berlaku dan sepatutnya tidak berlaku tetapi berlaku. Itulah namanya suratan takdir.
Memberi fokus kepada keadaan yang mendatangkan kesedihan, ingin saya berkongsi beberapa petunjuk Rasulullah s.a.w. dalam menghadapi kesedihan seperti berikut:
- Baca doa berikut dengan penuh penghayatan dan kefahaman:
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hamba lelakiMu (Adam) dan anak hamba perempuanMu (Hawa). Ubun-ubunku di tanganMu, keputusanMu berlaku padaku, qadhaMu kepadaku adalah adil. Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama yang telah Engkau gunakan untuk diriMu, atau Engkau turunkan dalam kitabMu, atau Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang Engkau khususkan untuk diriMu dalam ilmu ghaib di sisiMu; Engkau jadikanlah Al-Qur’an sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap kesedihanku dan penghilang tekananku.” HR. Ahmad 1/391. Menurut pendapat Al-Albani, hadith tersebut adalah sahih .
Secara penuh, matan hadith doa ini adalah seperti berikut: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sesiapa sahaja yang ditimpa tekanan dan kesedihan lalu dia berdoa… (doa di atas ini)…; pasti Allah akan menggantikan tekanan dan kesedihannya dengan kegembiraan.” Lalu ada yang bertanya, ‘Wahai Rasulullah baguskah kami mempelajarinya?’ Jawab Baginda, “Sudah tentu. Sesiapa yang mendengarnya amat wajar mempelajarinya.”
Semoga Allah Ta‘ala memberi ketenangan dan kegembiraan kepada jiwa kita yang sering sahaja diuji dengan pelbagai ujian di dunia yang fana’ ini… Amiin ya Rabbal ‘Alamin.
9.28.2011
Kuatkan bahasa Arab anda!
Assalamu alaikum ikhwah yang dikasihi sekelian. Semalam, semasa saya memandu kereta untuk pulang dari UKM ke rumah, saya merasakan ada baiknya jika saya berkongsi apa yang telah saya sarankan kepada pelajar-pelajar dan rakan-rakan saya di UKM untuk menguatkan bahasa Arab.
Saranan itu sebenarnya merupakan satu perkara yang pernah saya sendiri lakukan 22 tahun lepas. Saya diberikan satu kaset (semasa itu komputer masih di zaman permulaan) yang bertajuk al-Taubah al-Sadiqah oleh al-Shaikh Sa‘d al-Braik. Sayapun mendengar dari mula hingga akhir, dan bayangkan, berapa peratuskah yang saya faham? Emm, saya rasa hanya sekitar 5 peratus sahaja. Lalu, sayapun mengulangi kaset itu dan mencatatkan mufradat atau vocabulary yang terdapat dalam kaset itu dengan membuka kamus. Dan begitulah saya lakukan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya Alhamdulillah saya dapat menikmati kehebatan isi kaset itu secara menyeluruh.
Justeru, saya ingin menyarankan kepada ikhwah sekelian agar mencuba cara ini. Sudah tentu usaha ini memerlukan kesabaran. Akan tetapi saya merasakan usaha ini jauh lebih mudah sekarang jika dibandingkan dengan dua puluh tahun lepas. Manakan tidak, sekarang ini kita hanya perlu ada komputer dan internet lalu;
1- Kita dapat memilih mana-mana ceramah bahasa Arab yang telah dimuatnaik ke dalam internet.
2- Kita dapatlah mencatat perkataan yang tidak difahami terus ke dalam fail Words.
3- Kita boleh bertanya ‘Shaikh Google Translate’ berkenaan perkataan yang tidak difahami itu.
4- DAN, akhirnya dengan satu ceramah, kita akan dapat begitu banyak mufradat atau vocabulary!
Ikhwah yang dikasihi sekelian, cubalah cara ini, semoga Allah Ta‘ala memudahkan usaha kita untuk menguatkan penguasaan bahasa Arab kita. Cuma, nasihat saya, jika anda berjaya menyelesaikan satu ceramah, janganlah berhenti pula! Sebaliknya hendaklah anda teruskan dan teruskan…
Selamat mencuba, semoga Allah mempermudahkan usaha anda!
Nota: berikut adalah link ceramah yang saya dengar 22 tahun lepas :
http://audio.islamweb.net/audio/index.php?page=audioinfo&audioid=107291
9.26.2011
Pensyariatan dan pelaksanaan Hudud
Apapun yang terpenting ialah usaha bersepadu untuk memperkasa dakwah semula baik kepada Muslim mahupun Kafir. Jika masyarakat tak bersedia, dikhuatiri Umat Islam sendiri menolak hudud sebelum Umat Kafir, seperti yang pernah berlaku di beberapa negara Umat Islam.
Carian Al-Quran/Al-Hadith
| Search in the Hadith |
Arkib
-
▼
2019
(11)
-
▼
October
(10)
- Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [...
- Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [...
- Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [...
- Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam ...
- Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [...
- Ini bukan hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam [...
- Cetak Halaman Kesan Hadith Mauduk terhadap umat ...
- Cetak Halaman Tanda-tanda Hadith Mauduk : Terdap...
- Cetak Halaman Definisi Hadith Mauduk: Sebelum di...
- Punca Kemunculan Hadith Maudhu’ : Punca kemuncul...
-
▼
October
(10)
Label
Statistik
Blogger Showcase - Submit Your Blog Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress theme by Site5